Soal Jawab & Isu Pilihan Mengapa Pelaburan Tidak Boleh Menjamin Keuntungan?
  • PDF
(3 votes, average 5.00 out of 5)

 

 

Mengapa  Pelaburan Tidak Boleh

Menjamin Keuntungan?

Oleh

Dr Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

janjiuntung

SOALAN

Saya ada terdengar cermaah Dr di radio dan Dr ada mengatakan sebuah pelaburan Islam tidak boleh dijamin keuntungan dan juga modalnya, oleh pihak pengusaha. Bolehkah Dr memberikan sedikit penjelasan khususnya dari segi fatwa badan ulama Islam dan dalilnya jika boleh. Jutaan terima kasih diucapkan.

JAWAPAN

Memang benar, hampir semua orang yang mempunyai lebihan wang untuk melabur sukakan sebuah pelaburan yang rendah risiko dan tinggi pulangannya, namun itu di luar norma kebiasaan dan sifat sesebuah pelaburan menurut perspektif Islam. Islam amat mementingkan kesaksamaan di antara pelabur dan pengusaha dan walaupun jaminan keuntungan itu dianggap sebagai suatu yang sangat disukai, ia sebenarnya mengakibatkan ketidakadilan kepada pengusaha, lantaran terpaksa membayar sesuatu kepada pelabur di ketika mengalami kerugian. Ketidakadilan pula kepada pelabur lantaran akan hanya mendapat peratusan terhad yang dijanij di waktu keuntungan melepasi peratusan yang dijanjikan.

Perlu difahami, rasa tidak adil dan rasa ditindas BUKAN penentu ('illah) halal haram dalam bab riba, justeru jika sekiranya pihak penguasaha secara SUKARELA menawarkan jaminan keuntungan sekalipun, ia tetap haram kerana wujudnya illah pengharaman iaitu, 'hutang wang dengan pulangan lebih yang dijanjikan', tidak kira sama ada kedua-dua pihak suka sama suka atau tidak.

Menyentuh bab jaminan modal dan keuntungan ini, pelbagai resolusi persidangan cendiakawan Fiqh telah dikeluarkan, antara yang paling berpengaruh adalah seperti berikut:-

1.       Badan Perakauanan dan Kewangan Islam Antarabangsa (AAOIFI)

Majlis Sharīʾah AAOIFI memutuskan seperti berikut:-

يد الشركاء على مال الشركة يد أمانة فلا ضمان على الشريك إلا بالتعدي أو التقصير. ولا يجوز أن يشترط ضمان أي شريك لرأس مال شريك آخر.

Ertinya: “Tanggungan para rakan kongsi terhadap modal perkongsian adalah tanggungan jenis amanah, maka tiada jaminan boleh diberikan kepada rakan kongsi kecuali apabila wujud pencerobohan atau kecuaian. Tidak juga harus disyaratkan jaminan (walau) diberikan oleh mana-mana rakan kongsi kepada modal rakan kongsi yang lain.”  (Al-Maʾāyir al-Sharʾiyyah, AAOIFI, hlm 164)

Selain itu, dalam resolusi berkaitan Ad-amānāt, AAOIFI memutuskan sebagai berikut:-

لا يجوز اشتراط الكفالة أو الرهن في عقود الأمانة ..لمنافاتهما لمقتضاها ما لم يكن اشتراطهما مقتصرا على حالة التعدي أو التقصير أو المخالفة وبخاصة عقود المشاركات والمضاربة..ولا يجوز تسويق عملياتها على أنها استثمار مضمون.

Ertinya: “Tidak harus disyaratkan kafālah atau rahn dalam kontrak-kontrak amanah…disebabkan bercanggah keduanya dengan kandungan kontrak amanah, kecuali jika syarat itu hanya terhad kepada ketika wujdunya kecuaian dan pencerobohan atau percanggahan, khususnya dalam kontrak mushārakah dan muārabah..dan tidak harus juga dipromosi seolah produk pelaburan ini adalah sebuah pelaburan yang dijamin”

 

2.         Majallah al-Ahkām Al-ʾAdliyyah

 

Dicatat di dalam klausa nombor 768:-

الأمانة غير مضمونة، فإذا هلكت أو ضاعت بلا صنع الأمين ولا تقصير منه لا يلزمه الضمان.

Ertinya: “(Kontrak) amanah tidak boleh dijamin, justeru apabila musnah atau hilang bukan disebabkan perbuatan yang pemegang amanah dan buka asbab kecuaian darinya, tidak boleh dimestikan baginya jaminan (gantian)” (Syarh Al-Majallah, Salim Rustam Baz, hlm 426)

 

Perlu difahami, kontrak pelaburan Islam dikategorikan sebagai kontrak amanah yang mana kedua-dua pihak dalam kontrak amanah seperti mushārakah adalah rakan kongsi yang perlu saling bantu membantu atas dasar keduanya pemegang amanah (amīn) terhadap wang modal masing-masing. Mereka bersepakat menggunakan modal tadi bagi menghasilkan keuntungan yang boleh dinikmati bersama, bukannya satu pihak terpaksa menjamin keuntungan atau keselamatan modal rakan kongsi yang lain. Jika itu dilakukan, ia mencarikkan asas utama kontrak amānah. Tiada alasan munasabah dan boleh diterima hukum Islam boleh menjustifikasikan tindakan terbabit, kecuali apabila terdapatnya pecah amanah dan kecuaian yang jelas. (Al-Maʾāyir al-Sharʾiyyah, AAOIFI, hlm 67)

 

Seterusnya apabila pemberian duit atas nama pelaburan, kemudian dijanjikan pulangan tertentu dan jaminan modal maka ia akan berubah sifatnya menjadi riba, tetapi nafsu manusia yang sukakan keuntungan pastinya akan merasa tidak selesa dengan hukum ini. 

 

Inilah punca utama pelaburan dengan jaminan keuntungan menjadi batal, berikut Majlis Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI berikut teks fatwanya :-

إذا شرط أحد الطرفين لنفسه مبلغاً مقطوعاً , فسدت المضاربة

Ertinya : "Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu" ( Al-Ma'ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240)

 

Ingin tegaskan sekali lagi bahawa keputusan Majlis Fatwa kebangsaan yang mengharamkan Pelaburan Melalui Internet adaah kerana beberapa ciri tertentu, yang paling utama adalah kerana jaminan dan promosi keuntungan tetap dan jaminan modal dalam sebuah pelaburan.  Sebenarnya ciri ini juga telah diputuskan haram secara sepakat Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada tahun 1992 yang mewartakan :

"إنه لا يجوز في المضاربة أن يحدد المضارب لرب المال مقداراً معيناً من المال , لأنه يتنافى مع حقيقة المضاربة ولأنه يجعلها قرضاً بفائدة"

"Sebarang pelaburan yang mana pihak pengusaha (mudarib atau syarikat) menjamin satu kadar pulangan tertentu kepada pelabur (peserta), maka ia adalah haram oleh kerana ia telah menukar sifat pelaburan secara Islam kepada elemen pinjaman dengan janji faedah Riba" ( Majma Fiqh Al-Islami, Qarar wa Tawsiat)

 

Malah Ijma ( persepakatan ulama ) dalam hal ini juga telah ada, ia di catat di dalam Keputusan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia apabila disebutkan:

وقد أجمع الأئمة الأعلام: على أن من شروط صحة المضاربة، أن يكون الربح مشاعاً بين رب المال والمضارب، دون تحديد قدر معين لأحد منهما،

Ertinya : "Telah ijma seluruh imam-imam (mujtahid) di mana termasuk dalam syarat sah sesebuah pelaburan "mudarabah" itu adalah mestilah pembahagian keuntungan dibuat secara nisbah untuk si pelabur dan pengusaha tanpa menentukan jumlah tertentu bagi sesiapa antara mereka "

 

Maka jika ditentukan 2.5 % dari modal akan diberi sebagai untung atau 250 % dari modal sebagai untung atau RM 150 setiap bulan, maka ia adalah sama bercanggah dengan nas fatwa di atas, kerana ia sudah ditetapkan, berbanding cara yang sah di sisi Islam iaitu meletakkan peratusan 30 % dari keuntungan ( jika ada)..maka jumlah hanya akan diketahui apabila perusaha itu sampai tempoh matangnya , kiraan untung akan dibuat tatkala itu, dan barulah boleh diketahui berapa jumlah 30 % dari untung itu. Malah jika tiada untung, maka tiadalah guna lagi 30 % itu.

 

BEBERAPA DALIL

Selain dalil hadis yang telah disebutkan banyak kali sebelum ini dan juga dalil Al-Quran yang melarang sesama manusia memakan harta yang lain secara bathil. Antara dalil tambahan yang menunjukkan jaminan sebegitu tidak dibenarkan adalah dari kata Sayyidina Ali :-

لا ضمان على من شورك في الربح

Ertinya : “Tiada jaminan ke atas sesiapa yang dikongsi keuntungan dengannya.” (Al-Mughni, Ibn Qudāmah, 5/32)

Jika terdapatnya jaminan keuntungan atau jaminan modal, ia juga akan mencanggahi prinisp asal pelaburan Islam yang meletakkan konsep :-

الغنم بالغرم

Ertinya: Keuntungan adalah melalui penanggungan risiko. (Al-Qawāʾid Al-Fiqhiyyah, Al-Nadwi Ahmad.A, Dār Al-Qalam, Syria, 2000), p. 411; Durar al-Ahkām Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 87, 9/90)

Dalam keterangan kaedah ini disebutkan:

من ينال نفع شيء، يجب أن يتحمل ضرره

Ertinya: Sesiapa yang berkehendak mendapatkan manfaat dari sesuatu, mestilah baginya menanggung kemudaratannya. (Durar al-Ahkam Sharh Majallah Al-Ahkam, nombor 85, 9/90)

Bermakna, pihak yang boleh menerima keuntungan adalah pihak yang sama-sama bersusah payah menanggung risko kerugian, sejurus mereka cuba menghilangkan risiko terbabit, bahagian keuntungan tidak lagi wajar diserahkan kepada mereka yang terjamin.

Hasilnya, dalam kontrak pelaburan Islam, kesemua pihak pelabur dan rakan kongsi  akan sama-sama menanggung kebolehrugian, atas dasar tersebut kesemua mereka berhak menerima keuntungan. Manakala keuntungan (jika ada) boleh dikongsikan sama ada berdasarkan peratusan modal yang disuntik atau apa-apa nisbah yang disepakati. Demikian menurut athar dari sayyidina ‘Ali kw :

الربح على ما يصطلحا عليه الشركاء والخسارة على قدر المال

Ertinya : Pembahagian keuntungan adalah diatas apa yang dipersetujui manakala kerugian mestilah di atas nilai modal masing-masing. (Musannad Ibn Abi Shaybah, matba’ah al-Rushd, Riyadh, jil 4, hlm 268)

Sekian

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 Syawwal 1432 H

16 Sept 2011



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Soal Jawab & Isu Pilihan Mengapa Pelaburan Tidak Boleh Menjamin Keuntungan?