Kerjaya Temuduga Kerja : Yang Perlu & Yang Jangan

Temuduga Kerja : Yang Perlu & Yang Jangan

  • PDF
(100 votes, average 4.76 out of 5)

Temuduga Kerja : Apa Kunci Kejayaannya ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

( ARTIKEL INI DISIARKAN SEMULA UNTUK MANFAAT PEMBACA-PEMBACA BARU YANG SEDANG BERTUNGKUS LUMUS MENDAPATKAN KERJA DI MUSIM KEGAWATAN EKONOMI, SEMOGA BOLEH MEMBANTU)

 

 

Menurut statistik undian yang dikumpulkan di web ini. Kelihatan jelas bahawa pelawat web zaharuddin.net kebanyakannya adalah golongan muda berumur 22- 30 tahun, lelaki dan wanita.

 

Temuduga Takut @ Seronok?

Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.

 

Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.

 

Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.

 

Saya bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

 

Saya bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktical dan mementingkan kefahaman berbanding hafalan semata-mata.

 

Tidak dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.

 

Jika anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya, adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu memperkembangkan ilmu.

 

Mungkin kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan soalan-soalan panel temuduga.

 

Melalui tulisan ringkas ini, saya akan cuba mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga. Namun masih boleh berkongsi pengalaman.

 

Secara ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon, kelemahan tersebut juga berulang-berulang.

 

Soalan Biasa

 

Tidak kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan awal adalah :-

 

"Please introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"

 

Ini adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.

 

Jawapan calon bagaimana?

 

"Saya berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"

 

"saya sekolah tadika di..., "

 

"Saya sudah berkahwin dah punyai ....anak"

 

Bagi saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.

 

Ini kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan dengan kerjaya yang diminta sahaja.

 

Cukup memfokuskan kepada bahagian berikut :-

1) Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.

2) Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)

3) Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.

 

Saya kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga, nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan ketidakmatangan calon.

 

Panel biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan calon.

 

Tahap Satu

 

Selapas soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :-

1) Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang diminta.

 

Sebagai contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah Islamic Bank.

 

Sudah tentu panel akan cuba menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.

2) Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.

 

Tatkala itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.

 

Sebagai contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.

 

Maka calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima arahan supervisor dan lain-lain"

 

Bagi saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat calon.

 

3)      Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang.

 

Ini soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda. Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu,

 

Kenalan saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :

 

"Tak pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun sebenarnya"

 

Kata sebegini adalah satu kesilapan besar.

 

4)      Mengapa kerap menukar kerja?

 

Soalan ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya, 'melompat-lompat'.

 

Mereka pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :

 

"Semua calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"

 

Lihat, malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.

 

Tanpa jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap melompat sebagai :-

1) Tidak setia kepada satu-satu organsasi.

2) Gila pangkat.

3) Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.

4) Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.

5) Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.

6) Kurang kemahiran interpersonel.

 

 

 

Tahap Kedua

 

Tahap seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :-

 

  • 1) Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.
  • 2) Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa bercakap
  • 3) Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.
  • 4) Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.
  • 5) Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.

 

Ini adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah menuntut satu tahap yang tinggi.

 

Bagaimanapun, sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah tentu lebih baik.

 

Bagaimanapun point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan eksekutif.

 

Banyak kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-

 

a-      Tidak yakin dengan jawapan. Ada dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua soalan bukan fakta.

 

Bagi soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.

 

Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka dan sedikit pergerakan tangan.

 

Ini tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika diprovokasi oleh panel seperti katanya,

 

"Anda sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"

 

b-     Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.

 

Kebanyakkan panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang calon yang berbakat.

 

c-      Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.

 

d-     Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah temuduga.  Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja. 

 

Bagi sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan tertekan.

 

 

Tahap akhir

 

Sebagai ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan gaji yang dipohon.

 

Ini sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.

 

Justeru, 'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan gaji calon sekarang.

 

Untuk itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja kilang sahaja.

 

Jangan letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding kelulusan anda.

 

Jika anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.

 

Jika calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.

 

Jika calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM 6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon, dibelakang sudah tentu agaknya.

 

Sebenarnya banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk aspek :-

1) Saiz Syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya punyai 'scale' yang berbeza.

2) Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan lain-lain. Ini juga banyak berbeza.

3) Jenis Kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan permohonan sedikit tinggi.

4) Jenis Jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua mempunyai scale masing-masing.

 

Justeru, calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel,

 

"Mengapa anda layak dengan gaji sebanyak ini?"

 

Jawapan perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi;

 

"Berapa minimum yang anda boleh agaknya?"

 

Sekali lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.

 

Oleh kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan 'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit tinggi. Demikian sebaliknya.

 

Soalan Penutup

Biasanya, soalan penutup panel temuduga adalah:

"Do you have any question?" atau " Saudara/i ada apa-apa soalan?"

 

Kebanyakan calon akan mengatakan ‘Tiada soalan"

Bagi saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.

 

Panel sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat, peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain. Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga, soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan panel.   

 

Demikianlah, beberapa nasihat dan pandangan ringkas saya buat bejkalan rakan-rkaan pengjung http://www.zaharuddin.net/ yang majoritinya beumur 22- 35 tahun. Sudah tentu proses temuduga akan berterusan dalam usia ini. Harapan saya, ia mampu membantu serba sedikit persiapan karier anda agar lebih berjaya.

 

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-

 

إن الله عز وجل يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani, terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)

 

Menurut sebuah hadis sohih pula :-

 

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Ertinya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional, ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )

 

Kedua-dua hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita sentiasa.

 

 

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

7 November 2007

26 Syawwal 1428 H

 

 

 

000025779



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 3 guests

Komen Terbaru

You are here: Kerjaya Temuduga Kerja : Yang Perlu & Yang Jangan