Soal Jawab & Isu Pilihan Bai'ah Diikat Lafaz Talaq : Suatu Ulasan
  • PDF
(18 votes, average 4.78 out of 5)

Bai'ah  Diikat Lafaz Talaq Tiga : Suatu Pandangan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

( Info : Pada 12 Nov, Kenyataan Rasmi PAS Pusat  dikeluarkan , PAS TIDAK BERSETUJU dengan Bai'ah beserta Ta'liq Talaq Tiga)

talaq3.jpg

 

SOALAN

Baru-baru ini, heboh diperkatakan tentang janji setiap calon yang bertanding untuk menceraikan isteri masing-masing dengan talaq tiga jika khianat atau keluar parti, minta sangat ustaz dapat ulas perkara ini dari sudut hukum Islam. Harap ustaz dapat bersifat neutral seperti biasa ketika menghuraikannya.

JAWAPAN.

Sebelum memberikan jawapan, saya cuba melihat-lihat berita yang ditulis dalam perkara ini, maklumlah, setiap berita yang berkait dengan sesebuah parti politik lebih baik dicari dan diambil dari sumber ahli parti tersebut. Ini penting bagi mengelakkan salah faham dan termakan dengan mainan berita oleh pihak yang tidak bersama dengannya.

Oleh kerana isu ini berkait dengan parti PAS, maka berita yang disiarkan oleh akhbar yang dikenali sebagai pro UMNO mungkin perlu diambil disemak ketepatannya dari sumber media parti PAS itu sendiri. Bagi saya, ini adalah pendirian yang amat perlu bagi semua pembaca dan masyarakat Malaysia.

Sama seperti, setiap berita berkenaan UMNO yang disiarkan oleh akhbar rasmi PAS seperti Harakah, setiap individu sepatutnya berhak untuk menyemak ketepatannya dari sumber parti UMNO. Begitulah displin yang dianjurkan oleh Islam.

Namun setelah mencari dan membuka web para pimpinan PAS dan berita rasmi PAS, tiada kelihatan sebarang tulisan berkenaan hal ini. Sudah pasti, hal ini sama sekali TIDAK ELOK untuk didedahkan kepada umum. Malah saya kira ia mungkin salah satu dari perkara yang dirahsiakan oleh PAS yang dianggap sebagai isu dalaman pimpinan.

Namun demikian, pengesahan yang dibuat oleh YB Shah Alam, temuramah Mingguan Malaysia dengan Dewan Muslimat PAS serta tulisan YB Zulkifli Nordin yang mengandungi pengesahannya setelah beliau menghubungi beberapa wakil rakyat PAS. Dengan semua informasi ini, kelihatan sudah cukup untuk saya mempercayai kewujudan Bai'ah tersebut.

Hari ini barulah muncul berita di Harakahdaily yang menunjukkan baia'ah tersebut agak pelik dan janggal, malah mungkin hanya dibuat oleh beberapa negeri atas inisiatif pesuruhjaya masing-masing. 

Bagaimanapun, disebabkan telah ada pengakuan seperti yang disebutkan oleh YB Khalid Samad, soalan ini masih relevan untuk dibincangkan.

Bagi saya, paling kurang terdapat beberapa perkara yang perlu diperinci dan diteliti dalam hal ini. Ia seperti berikut :-

  • 1)    Hukum melafazkan Talaq tiga dengan sekali lafaz
  • 2)    Bersumpah atau berbai'ah sambil ta'liq talak dengan tiga sekaligus.
  • 3)    Munasabah mengikat bai'ah taat setia dengan lafaz ta'liq tercerai isteri dengan tiga talaq

TIGA SEKALI LAFAZ JATUH BERAPA DAN DOSA ATAU TIDAK?

Ulama berbeza ijtihad seperti berikut:-

PENDAPAT PERTAMA: Talaq sedemikian adalah HARUS (dibenarkan) dan jatuh TIGA sekaligus : Ini merupakan ijtihad mazhab Syafie dan Hanbali serta majoriti ulama silam : (al-Muhazzab, 4/282; Al-Mughni, 7/104 ;)

Malah Umar al-khattab juga mendenda sesiapa sahaja yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus. Sebagai dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari :-

أَنَّ عُمَر كَانَ إِذَا أُتِيَ بِرَجُلٍ طَلَّقَ اِمْرَأَته ثَلَاثًا أَوْجَعَ ظَهْره

Ertinya : Sesungguhnya Umar, apabila didatangi oleh lelaki yang menceraikan isterinya dengan talaq tiga ( sekali lafaz), lalu akan dipukul belakangnya (sebagai hukuman)

Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:

أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله   

Ertinya : "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!" (Riwayat Nasa'i, 2/349, perawinya dikatakan boleh dipercayai namun diperbincangkan oleh Ibn Hajar)

Gejala menceraikan isteri dengan talaq tiga melalui satu lafaz juga berlaku di zaman Umar al-Khattab r.a, ini dikisahkan oleh Ibn Abbas r.a dalam satu riwayat yang sohih:-

إبن عباس رضي الله عنهما قال: كان الطلاق على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبي بكر وسنتين من خلافة عمر رضي الله عنهما طلاق الثلاث واحدة، فقال عمر رضي الله عنه: إن الناس قد استعجَلُوا في أمرٍ قد كانت لهم فيه أَنَاة، فلو أَمْضَينَاهُ عليهم، فأَمْضَاهُ عليهم

Ertinya : Ibn Abbas berkata : Talaq di masa Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan dua tahun awal pemerintahan Umar, talaq tiga dianggap satu , maka Umar berkata selepas tu : Sesungguhnya manusia (ramai orang) tergesa-gesa dalam urusan ini (semakin ramai menggunakan lafaz tiga tanap tertibnya), walaupun sebelum ini mereka lebih cermat, maka jika demikian kita benarkan untuk mereka (jatuh tiga sekaligus) ( Riwayat Muslim, no 1472 )

Pendirian Umar al-Khattab ini yang tidak dibantah oleh sahabat lain, menunjukkan berlakunya Ijma' Sukuti berkenaan jatuhnya tiga talaq dengan sekali lafaz.

 

PENDAPAT KEDUA : Ia adalah HARAM (DOSA) dan jatuh TIGA SEKALIGUS : Malik dan Abu Hanifah & Salah satu riwayat dari Ahmad. Ia juga pendapat majoriti Sahabt, tabien dan ulama silam.  (Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385)

Sebahagian dalil-dalil mereka adalah sama dengan kumpulan pertama di atas namun dengan cara kefahaman yang berbeza.

 

PENDAPAT KETIGA : Ia HARAM tetapi hanya jatuh SATU talaq sahaja : Sebahagian sahabat seperti Ali Abi Talib r.a, Ibn Mas'ud r.a,  Abd Rahman Auf r.a, Az-Zubayr Awwam r.a.

Dalil mereka yang pertama adalah hadis Ibn Abbas dari Thowus, namun riwayat ini dikritik oleh ulama hadis seperti Ibn Abd Barr dan ramai lagi serta dianggap lemah.

Dalil kedua adalah hadis Ibn Umar yang menjatuhkan talaq tiga dengan sekali lafaz, kemudian Nabi s.a.ww mengarahkannya untuk kembali dan rujuk.

Dalil ketiga adalah Hadis Rukanah yang juga menceraikan isterinya dengan sekali lafaz, namun bila dirujuk kepada Nabi, berikut adalah hadisnya :

طَلَّقَ رُكَانَة بْن عَبْد يَزِيد اِمْرَأَته ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد ، فَحَزِنَ عَلَيْهَا حُزْنًا شَدِيدًا ، فَسَأَلَهُ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْف طَلَّقْتهَا ؟ قَالَ : ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد فَقَالَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّمَا تِلْكَ وَاحِدَة ، فَارْتَجِعْهَا إِنْ شِئْت . فَارْتَجِعْهَا

Ertinya : Rukanah Bin Abd menceraikan isterinya dengan talaq tiga dalam satu majlis, maka sesudah itu ia jatuh sedih yang amat sangat. (Apabila dibawa kepada Nabi) Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya : Bagaimanakah kamu menceraikannya? Dia menjawab  : Dengan tiga sekaligus dalam satu majlis, lalu Nabi menjawab : Sesungguhnya itu hanyalah satu, rujuklah dengannya sekiranya kamu mahu, lalu dia pun kembali rujuk dengan isterinya ( Riwayat Ahmad dan Abu Yu'la, Dinilai Sohih olehnya)

Penggunaan hadis sebagai hujah, tidak disetujui oleh Ibn Hajar dan beliau menjawabnya dengan jawapan panjang lebar dari empat sudut, (Rujuk kitabnya Fath al-Bari syarah sohih Bukhari)

Selain itu, berkata Ibn Abbas :

وهل هو إلا كمن قال : قرأت سورة البقرة ثلاث مرات وقد قرأها واحدة فإن قوله ثلاث مرات يكون كاذباً

Ertinya : "Adakah ia tidak ubah seperti seorang berkata : aku telah membaca surah Al-Baqarah sebanyak tiga kali, padahal ia hanya membaca sekali, dan kata-katanya TIGA kali itu hanyalah bohong semata-mata"

Ibn Taymiah, Ibn Qayyim dan As-Syawkani juga bersama dengan kumpulan ini. (Zad Al-Ma'ad, 4/67)

 

DI MALAYSIA MANA YANG TERPAKAI?

Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan.

Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya. Pun begitu, di negeri Perlis, hanya talaq satu yang jatuh. Juga hakim di beberapa negeri boleh memutuskan hanya jatuh satu atau tidak jatuh samasekali berdasarkan keterangan mereka yang terlibat di mahkamah.

 

TA'LIQ DENGAN TALAQ TIGA DALAM BAI'AH

Setelah melihat ringkasan perbahasan ulama di atas, jelas kepada kita undang-undang keluarga di Malaysia mengambil pandangan majoriti mazhab yang menganggap jatuhnya TIGA TALAQ dengan sekali lafaz, maka oleh kerana itu, sekiranya mana-mana suami yang melafazkan ta'liq dengan talaq tiga sekaligus, lafaznya itu dianggap sah dan terpakai oleh empat mazhab Islam, dan jika berlaku, dua mazhab mengganggapnya berdosa selain jatuhnya talaq itu.

Talaq itu juga adalah berstatus Bain Baynunah Kubra dan tidak boleh rujuk kecuali setelah bekas isteri berkahwin lain dan kemudian tercerai secara neutral dan habis iddah, barulah bekas suami yang asal boleh bernikah baru dengan bekas isterinya itu. Dalilnya jelas dari firman Allah :-

فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىَ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِن طَلَّقَهَا فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Ertinya : Kemudian jika si suami menceraikan (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kawin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan istri) untuk kawin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui ( Al-Baqarah :230)

Seperti dijelas sebelum ini, terdapat satu kumpulan sahabat dan ulama yang menganggap hanya satu talaq sahaja yang jatuh walau dilafaz dengan tiga sekaligus.

Namun demikian, melafazkan talaq tiga dalam satu lafaz adalah satu isu. Berbai'ah akan tercerai isteri dengan talaq tiga pula boleh termasuk dalam perbahasan Fiqh yang lain pula. Iaitu kes Bersumpah Untuk Mencerai Isteri Secara Ta'liq.

Tidak dinafikan, ia mempunyai perbahasan tersendiri pula dan tidak mudah untuk diringkaskan dalam ruangan ini.

Cuma, ringkasnya terdapat sekumpulan ulama seperti mazhab Hanafi dan Ibn Taymiah menegaskan sumpah tersebut adalah bergantung kepada niat, tetapi si pelaku berdosa. [1]

ومن قال في معرض حديثه: الطلاق يلزمني لأفعل كذا، أو لأقول كذا فهذا يدل في ظاهره على اليمين لأنه لا معنى له غير هذا، ومن علق طلاق زوجته على أمر تفعله هي أو يفعله شخص آخر -كقوله: إن عمل أخوك أو أبوك كذا فأنت طالق- فهذا المرجع فيه إلى نيته الخفية، فإن كان يقصد من ذلك اليمين ولم يقصد الطلاق فقوله هذا يمين، وإن كان يقصد الطلاق إذا وقع الأمر المعلق عليه وقع الطلاق

Ertinya : Jika seseorang berkata : "Talaq akan jatuh sekiranya aku melakukan ini dan itu" ini semuanya menunjukkan pada zahirnya ia adalah sebuah sumpah dan tiada makna lain selainnya, barangsiapa yang mengikat akan jatuhnya talaq ke atas isterinya jika diperbuat sesuatu ataupun orang lain buat sesuatu seperti katanya :" Sekiranya saudara kamu atau bapa kamu melakukan itu maka engkau tercerai" semua lafaz sebegini perlu merujuk kepada niat dalamannya, sekiranya diniatkan ia sebagai sumpah dan tidak bermaksud sebenar untuk cerai, ia akan menjadi sumpah sahaja, jika diniat talaq, dan sekiranya berlaku apa yang diikat tadi, jatuhlah talaqnya. [2]

Berdasarkan pendapat ini, jika niat suami yang melafaz hanyalah sebagai ancaman kepada isteri atau menegahnya dari melakukan sesuatu perkara. Tatkala itu lafaz ta'liq itu dianggap bukan sumpah sebenar dan apabila ia dilanggari, perlulah si suami melunaskan kaffarah langgar sumpah yang ditetapkan oleh undang-undang Islam sahaja dan isterinya TIDAK TERCERAI sama ada dengan satu talaq atau tiga talaq.

Mazhab Syafie pula bergantung kepada uruf setempat, namun kebanyakan ulasan ulama syafie menjurus kepada JATUH TALAQ YANG DIIKAT ATAU DIJADIKAN SUMPAH, IAITU jika dilanggar dengan SENGAJA. Manakala, talaq tidak jatuh jika terlupa atau tidak sengaja. [3]

 

PANDANGAN SAYA DAN KONTEKS BAI'AH PAS

Maka dalam konteks PAS, DALAM MENENTUKAN HUKUM IJTIHAD MANA YANG AKAN TERPAKAI (IAITU JATUH SATU TALAQ ATAU TIGA) disebabkan PAS dan semua ahli parlimen PAS berada di dalam wilayah pemerintahan negara Malaysia, para ulama mengatakan keputusan menggunakan ijtihad ulama yang mana satu bergantung kepada undang-undang yang diterima pakai oleh pemerintah agama di Malaysia.

Namun demikian, saya tidak pasti sama ada akan ada pimpinan dan ulama PAS akan cuba mentarjihkan pandangan Ibn Taymiah yang mengelaskan jenis ta'liq talaq yang dibuat oleh calon PAS itu sebenarnya At-Ta'liq al-Qasami iaitu ikatan sumpah janji setia dan lafaz cerai isteri dengan talaq tiga hanyalah bersifat ancaman dan menunjukkan keseriusan tanpa diniatkan. Yang mana jika dilanggari Talaq sedemikian, talaq TIDAK JATUH TETAPI si pelaku hanya dikenakan Kaffarah melanggar sumpah sahaja. [4]

Ringkasnya, bai'ah tercerai isteri dengan talaq tiga itu masih boleh bergantung kepada niat calon PAS yang menyebut dan teks yang dibacakan. Jika ia diniat semasa dilafaz untuk cerai jika keluar atau khianat parti, maka cerai akan berlaku dengan Talaq Tiga, jika ia diniat sumpah, maka tidak tercerai, cuma perlu membayar kaffarah.Sekiranya ia benar-benar berlaku, dan dibawa ke Mahkamah Syariah di mana-mana Negeri, pihak hakim Syari'e yang mengendalikan MESTILAH tidak terlalu literal lalu menjatuhkan keputusan jatuhnya talaq tiga tanpa mendalami dan mengambil kira mulabasat (suasana dan keadaan) dimana baiah dan lafaz taklik itu dibuat, maqsad lafaz taklik, keadaan pelafaz dan sebagainya. Apa yang penting, MENGEKALKAN hubungan adalah lebih utama dari MERUNTUHKANNYA sekiranya wujud qarinah dan takwilan yang muktabar. WAJIBLAH juga pihak hakim SYarie mendengar dengan teliti hujjah pasangan yang terbabit sebelum ingin membuat keputusan hanya berdasarkan kertas bai'ah dan lafaz taklik itu. Sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW :-

فإذا جلس بين يديك الخصمان فلا تقض للأول حتى تسمع من الآخر كما سمعت من الأول فإنه أحرى أن يبين لك القضاء

Ertinya : Apabila datang dua orang yang bertengkar (yang inginkan perbicaraan) di hadapanmu maka janganlah kamu (hakim) memutuskan keputusan bagi yang pertama sehinggalah kamu mendengar penjelasan dari pihak lain sebagaimana yang engkau dengari dari pihak yang pertama, kerana ia lebih tepat dan baik untuk memandumu dalam menetapkan hukum (atau keputusan)" ( Riwayat Abu Daud, no 3582, 3/301 ; Al-Hakim, Shohih ; Al-Ahkam As-Sultaniyah, 1/75 : Al-Ahadith Al-Mukhtarah, 2/388  ;  hadith hasan menurt Imam Ibn Hajar ; Fath Al-Bari, 13/171 )

Juga sentiasalah beringat Hikmah dalam Islam sentiasa mengekalkan yang baik dari menjatuhkan hukuman, ia selaras dengan hadis yang menyatakan :-

ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

BERKENAAN KEPERLUAN BAIAH DENGAN LAFAZ TALAQ TIGA UNTUK DITERUSKAN : PANDANGAN SAYA

Pertamanya, Sheikh Dr. Abd Qadir Abu Faris menyatakan terdapat di dalam sahih al-Bukhari lafaz bai’ah Abdullah Bin Umar kepada Abd Malik bin Marwan dan tiada padanya sebarang sumpah.( Al-Nizam al-Siyasi fi al-Islam, Dr Abd Qadir Abu Faris, Dar al-Furqan, Jordan, 1986 , h. 307). Sehinggalah tiba zaman pemerintah zaim bernama Al-Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi yang melakukan penambahan dengan memasukkan lafaz sumpah bagi mengunci komitmen dan memastikan tiada yang berani melawan khilafah Umawiyah ketika itu. Sesiapa sahaja yang ingkar maka isteri mereka turut terjatuh talaqnya dan hamab milik mereka akan terbebas dan darah mereka pula menjadi harus. Ibn Khaldun menyatakan hal ini sambil berkata keadaan ini jenis sumpah sebegini di zaman bani Umayyah dan Abbasiyyah sehingga tiba suatu masa Imam Malik bin Anas mengeluarkan fatwa membantah dan mengugurkan paksaan sumpah di dalam bai’ah. Hasil fatwa terbabit beliau mendapat beberapa ujian dan cabaran dari pemerintah. (Al-Muqaddimah, Ibn Khaldun, h. 229)

Keduanya, saya tidak pasti bagaimana teks dan lafaz yang dibacakan oleh calon-calon PAS tersebut, justeru sukar untuk memberi komentar samada ia dari jenis sumpah dengan atau dilafaz ta'liq Talaq dengan niat.

Apapun, secara peribadi, saya cenderung untuk TIDAK BERSETUJU dengan cara bai'ah yang mewajibkan calon untuk melafaz ta'liq talaq tiga ke atas isteri masing-masing, yang diLAKUKAN OLEH SEBILANGAN PAS DI NEGERI-NEGERI TERTENTU. Walaupun saya merasakan bahawa sebahagian pimpinan PAS membenarkan teknik bai'ah sebegitu dibuat KEMUNGKINAN kerana :-

  • Pimpinan PAS dan calonnya semua secara yakin mampu melafazkan bai'ah sedemikian rupa  kerana sedar dan percaya semua mereka akan terus istiqamah dalam perjuangan Islam melalui PAS, sehingga lafaz tersebut sedikit pun tidak diras beban sama sekali.
  • Lafaz baiah dan ta'liq talaq itu TIDAK menjadikan isteri dan keluarga sebagai gadaian atau cagaran UNTUK KERJA POLITIK, malah ia sebenarnya menunjukkan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar politik tetapi adalah Islam dan semuanya adalah sama penting dengan keluarga. Kesemua itu seolah-olah satu, Politik, Islam dan kelaurga adalah perjuangan yang satu tanpa sebarang pemisahan.
  • Pimpinan mungkin membenarkan atas dasar siyasah syar'iyyah yang memang wujud di dalam Islam. Pun begitu, siyasah syar'iyyah sepatutnya adalah di sisi 'ulil amri' dan bukan pimpinan jemaah minal muslimin seperti PAS.
  • Bai'ah tersebut dibuat bagi tujuan menolak kemudaratan yang lebih besar dan menyeluruh (JIKA lompat, khianat atau keluar parti) sehingga diharuskan untuk dikemudiankan mudarat yang kecil peribadi dan individu. Dan ada kaedah Fiqh yang terang menyatakan : "Didahulukan maslahat ramai atas maslahat peribadi". Justeru, lafaz talaq walau dibuat mudaratnya hanya akan terkena atas individu sahaja berbanding mudarat kepada seluruh perjuangan parti dan Islam akibat keluarnya seseorang dari partinya.

Walaupun semua di atas saya yakin dan faham, namun secara peribadi saya melihat TIDAK BOLEH UNTUK sengaja menggabungkan dua mudarat dalam satu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang.

Kita faham, keluar dari parti (perjuangan Islam melalui parti) adalah satu kesalahan, malah di sisi ahli PAS, PAS adalah sebuah jemaah Islam dan bukan sekadar parti politik. Justeru memang amat wajar untuk tidak sesekali memikirkan untuk keluar dari kumpulan atau jemaah amar makruf nahi mungkar atas nama PAS itu dikira sebagai KESALAHAN, NAMUN ADALAH TIDAK WAJAR serta BURUK LAGI MESTI DIHENTIKAN kerana :

  • Mengikat KESALAHAN ITU DENGAN satu kesalahan lagi seperti mencerai isteri dengan Talaq Tiga kerana ia akan hanya menggandakan mudarat ke atas seseorang sedang Islam amat menganjurkan sesebuah mudarat itu diminimakan dan bukan dipergandakan. Lebih kurang tepat, kerana mudarat itu bukan hanya mengenai individu yang bersalah tetapi akan merebak kepada isteri dan anak-anaknya.

  • Islam juga tidak membenarkan hukuman atas satu kesalahan dijatuhkan sebanyak dua kali. Demikian juga displin dalam hal hukuman hudud dan qisas. Sebagai contoh, sekiranya seorang lelaki berzina sebanyak tiga kali, dan kemudiannya barulah dia ditangkap dan dihukumi oleh sebuah kerajaan Islam, hukuman sebatnya hanyalah 100 kali juga dan bukan 300 kali.[5] Kecuali setelah dihukum, ia mengulanginya, barulah hukuman berasingan akan dikenakan semula. Itulah ruh dan maqasid dalam hukuman Islam yang sentiasa mendidik dan minimakan hukuman. Namun dalam konteks baiah talaq ini, ia seolah memberikan hukuman berganda atas satu kesalahan (jika berlaku). Wallahu'alam. PAS mempunyai ramai cendiakawan Islam, kita amat berharap dapat mendengar hujjah dan justifikasi mereka dalam hal ini.

  • Keluarnya seseorang calon dari PAS tidak semestinya ia terus mengkhianati perjuangan Islam secara total, malah terdapat kemungkinan ia akan terus aktif dalam perjaungan Islam melalui platform jemaah-jemaah lain yang mungkin tidak bersifat politik seperti tabligh dan lain-lain. Justeru, mengenakan dua mudarat ke atasnya adalah tidak wajar kerana dia BELUM BOLEH DIKIRA mengkhianati Islam secara sepenuhnya, hanya kerana ia meninggalkan PAS.

  • Menggunakan sumpah setia dengan lafaz ta'liq sebagai pengikat juga tidak WAJAR kerana melafazkan talaq tiga dengan satu lafaz dianggap satu kesalahan dan dosa oleh majoriti ulama,malah penceraian sebegitu juga dibenci oleh Rasulullah serta para sahabat. Maka mengapakah diambil jalan yang dibenci ini sebagai strateginya, sedang boleh difikirkan cara-cara lain untuk mengikat calon untuk kekal. Seperti sumpah laknat atas diri, dicagarkan harta tertentu kepada parti dan sebagainya yang bersifat neutral, bukan sumpah yang tercela dan dikira dosa.

  • Bukankah talaq adalah perkara yang dibenci oleh Allah walau ia diharuskan? Ia juga adalah ihsan yang diberi oleh Allah bagi suami isteri yang benar-benar memerlukan, ia juga diajar oleh Allah swt untuk mengikut tertib kiraannya. Mengapa perlu hal sebegini dijadikan pengikatnya? Amat sedih jika terputus hubungan suami isteri, bukan kerana krisis dan ketidaksefahaman tetapi disebabkan perkara luar dari urusan dalam peribadi mereka berdua. Maqasid Shariah dalam peruntukan cerai dalam Islam adalah untuk keharmonian rumahtangga dan keluarga, peruntukan tiga kali diberikan oleh Allah adalah khas untuk suami isteri yang bercerai agar memikir kembali kebaikan kedua-dua pihak dan dibenarkan mengikat semula perkahwinan setelah muhasabah.

Lalu, sebarang penggunaan ‘cerai' untuk tujuan luar rumah tangga memerlukan nas dan hujjah yang benar-benar kukuh. Kerana ia aakan memadam seluruh objektif asal peruntukan cerai yang diberikan oleh Allah swt.

  • Saya tidak pasti bagaimana teks dan lafaz diolah. Cuma kita juga tidak boleh menolak kemungkinan perjuangan PAS menjadi melencong akibat pertukaran pimpinan di masa-masa akan datang. Walaupun akan dibidas sebagai KURANG PRAKTIKAL DAN TIDAK MUNGKIN HAL ITU AKAN MENJADI KENYATAAN, namun sepak terajang politik sukar diduga. Bayangkan, jika itu berlaku dan PAS tidak lagi komit dalam perjuangan Islamnya, apakah yang mampu dibuat oleh calon PAS yang masih inginkan perjuangan Islamnya?. Dia tidak boleh keluar parti kerana terikat dengan lafaz talaq tiganya.

 

AKHIRNYA

Demikian pandangan saya, semua yang membaca bebas untuk menerima pendapat ini atau menolaknya.

Saya hanya memberikan jawapan berupa pandangan kepada orang yang menyoal, boleh jadi pandangan ini benar dan wajar difikirkan, boleh jadi ia tidak mempunyai sebarang nilai untuk difikirkan. Keikhlasan saya dalam melontarkan pandangan ini, tidaklah perlu untuk dipersoal dan didebatkan dan cukuplah Allah swt sebagai saksinya. Saya yakin lontaran ini dibuat secara ikhlas, untuk kebaikan umat Islam di Malaysia khususnya ahli-ahli PAS.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

09 November 2009


Muslimat Pas pertahan bai'ah

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai'ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti.

Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai'ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai'ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.

"Kami sangat setuju dengan bai'ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah.

"Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti... sama kasihnya," kata beliau kepada Mingguan Malaysia semasa ditemui pada Seminar Memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai'ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.

Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai'ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.

"Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh 'main-main' masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam.

"Saya melihatnya positif. Media jangan 'main-main' dengan isu ini," katanya.

Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah.

"Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon," katanya.

Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah dilakukan oleh parti.

 


Bai'ah talak: PAS Pusat sedang siasatPDF | Print | E-mail
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS sedang menyiasat amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pihak dalam parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi dari PAS Pusat untuk berbuat demikian.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengarahkan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS untuk menyiasat perkara itu.

Mustafa membuat kenyataan ini bagi mengulas laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan para calonnya untuk berbai'ah (ikrar) untuk taat setia kepada parti.

Antaranya dilaporkan, calon PAS berbai'ah jika beliau menyeleweng dan mengkhianati PAS, maka terjatuhlah talak ke atas isterinya.

Ia dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Laporan ini pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Menurut laporan, PAS menjadikan bai'ah sebegini untuk memastikan tidak ada calon atau wakil rakyatnya yang mengkhianati PAS dengan cara berpaling tadah dan menyokong parti lawan.

Sehingga kini, terbukti tidak ada satupun wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti itu dengan menyokong parti lawan.
 

 

 


[1] Hasyiah Ibn Abidin, 3/785

[2] Majmu' al-Fatawa, IBn Taymiah, 33/141

[3] Al-Hawi Al-kabir, Al-Mawardi, 13/178 ; Mughni muhtaj, 3/326

[4] Rujuk Majmu' Al-Fatawa, 33/208 ( Kafarah langgar sumpah adalah mengikut urutan kemampuan 1) bebaskan seorang hamba 2) Memberi makan 10 orang miskin 3) berpuasa tiga hari.

[5] Rujuk At-Tasyi' Al-Jina;ie, Abd Qadir Awdah



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Soal Jawab & Isu Pilihan Bai'ah Diikat Lafaz Talaq : Suatu Ulasan