Soal Jawab & Isu Pilihan Zina & Liwat : Nak Percaya, Boleh Atau Tidak ?
  • PDF
(77 votes, average 4.69 out of 5)

Tuduhan Zina & Liwat : Boleh

Percaya Atau Tidak ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

 

gegaran isu politik Malaysia
 

Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro  dan lain-lain.

 

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

 

Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie  berkata :

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)

 

Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

 

Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-

 

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka  sebat (deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)

 

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.

 

Walaupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran,  Al-Qurtubi).

 

RINGKASAN SYARAT-SYARAT

 

Qazf mempunyai beberapa syarat :-

1)     Syarat kepada penuduh :

  • Beraqal
  • Sudah baligh

2)     Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf

  • Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3)     Syarat orang yang dituduh

  • Beraqal
  • Baligh
  • Islam
  • Merdeka diri
  • BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

 

Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

 

ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

 

Ertinya : dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

 

Imam Malik berkata :

قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،

Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes Al-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)

 

Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.

 

Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.

 

Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini.

Mungkin si pendakwa dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun Allah maha mengathui siapa yang benar dan salah, hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh, sama ada pendakwa atau tertuduh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.

Namun ingat, bukan tugas kita untuk mempercayai selagi syarat-syarat yang disebut di atas tidak dipenuhi. Apa jua keputusan mahkamah, itu keputusan mahkamah dan selaku orang yang tidak terlibat, kita tidak dipaksa atau terpaksa untuk mempercayai atau menolak.

 

TAMBAHAN

 

Isu-isu semasa di Malaysia masih lagi sempat diikuti, terasa juga ingin menulis panjang beberapa isu seperti tidak setujunya saya dengan pandangan  bekas Mufti Perlis dalam isu liwat dan saksi, namun beberapa perkara yang masih serabut di sini menghalang saya dari meluangkan waktu untuk mengulas isu ini dengan panjang lebar buat masa ini.

S.S Dr Mufti Perlis ( sekarang bekas) dinyatakan berkata :-

"Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat," kata Dr Asri.

"Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?

"Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim," katanya lagi." ( Sumber )

Tidak mengulas panjang isu ini, saya hanya ingin memberikan ringkasan pendapat saya dalam isu ini. Bagi mereka yang rajin membaca terperinci, bolehlah merujuk tulisan saya yang lalu di link berikut

Sesiapa sahaja yang menuduh dirogol atau diliwat oleh orang tertentu, ia wajib membawakan empat saksi. Ramai menyoal, dimanakah rasionalnya seseorang dirogol atau diliwat kemudiannya dituntut membawa empat saksi lelaki adil jika ingin mendakwa si penjenayah?. Jika tiada saksi apakah adil untuk di hukum sebatan si pendakwa kerana qazaf?.

NOTA  : cuba dengarkan ulasan ringkas saya dalam hal ini di video ini bermula minit 6:57.

Akibatnya, ramai tersilap faham lalu terbayang ‘zalim'nya hukum Islam. Padahal ia tidak sedemikian. Hakikatnya, sistem Islam menjaga kedua-dua belah pihak, penuduh dan yang dituduh.

Padahal isunya adalah sistem kita yang lemah dalam menjaga perkara yang perlu dirahsiakan. Hasil perbincangan saya dengan Mufti Besar Mesir (Sheikh Prof. Dr Ali Al-Jumaah) pada tahun 2004 dalam hal ini amat jelas. Malah saya turut membincangkan hal yang sama dengan professor-professor Shariah di Jordan seperti Prof. Dr Sheikh Mohammad ‘Uqlah El-Ibrahim dan lain-lain. Ia juga pernah diulas sebahagiannya oleh Sheikh Prof. Dr Ramadhan Al-Buti.

Kesimpulannya, begini :-

1-  Seseorang yang mendakwa diri diliwat dan dirogol tetap diTUNTUT membawakan empat saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas akan apa yang didakwa. Ia hukum asal. Tuduhan dari pihak ketiga atau pihak yang mendakwa menjadi mangsa adalah sama sahaja. Sebagaimana ulama bersepakat, seorang bapa menafikan nasab keturunan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai menuduh isterinya berzina. Cara penyelesaian khusus diberikan oleh Islam dalam hal ini adalah Li'an. Inilah cara yang dipersetujui oleh Mufti Perlis mungkin berdasarkan kaedah qiyas.

2- Jika tidak mempunyai saksi lelaki yang cukup, terdapat ulama yang membenarkan saksi wanita yang adil untuk diterima iaitu jika kejadian berlaku di tempat yang tidak memungkinkan ada lelaki. Tatkala itu saksi wanita diterima dengan kiraan 2 wanita menyamai 1 lelaki. (rujuk link artikel di atas untuk membaca lanjut)

3- Jika masih tiada saksi maka si ‘mangsa' BOLEH membawakan dakwaan kepada pihak berkuasa dan WAJIB dibuat secara TERTUTUP DAN RAHSIA. Kerajaan WAJIB menjaga aduan ini agar tidak tersebar sama sekali. Jika tersebar, kesalahan terletak di atas bahu kerajaan. Inilah yang dikatakan sistem yang lemah. Setiap isu yang diadu kerap tersebar ke media terutamanya apabila membabitkan selebriti dan orang politik.

4- Prof Dr Ali Jumaah selaku Mufti Mesir juga bersetuju bahawa jika aduan tertutup dibuat, dan disertakan ‘qarain' atau bukti-bukti selain saksi seperti air mani, bulu dan lain-lain yang boleh membantu dakwaan. Ia akan dibicarakan di mahkamah dan hukuman qazaf TIDAK DIKENAKAN kerana Maqasid dari hukuman Qazf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercemar di mata awam. Namun apabila ia dibuat secara tertutup, TIADA KEMUSNAHAN MARUAH tertuduh berlaku lalu inilah yang ingin dielakkan oleh Islam, iaitu kemusanahan maruah tanpa saksi yang cukup. Dalam keadaan ini, kerosakan maruah mereka yang didakwa ‘merogol atau meliwat‘ akan terkawal dan proses perbicaraan akan menentukan tindakan selanjutnya.

5- Bukti diberikan dianalisa, kemudian jika terbukti benar dakwaannya, perogol dan peliwat akan dihukum ta'zir dan bukan hudud kerana terdapatnya unsur syubhat dalam cara pensabitannya. Justeru, perogol dan peliwat akan dihukum sewajarnya smenurut hemat dan kebijaksanaan hakim Syarie. Jika pengadu tewas di mahkamah, hukuman qazaf juga tidak dilaksanakan kerana dakwaan tertutup dan syubhah dalam pensabitan hukuman qazaf. Justeru, tiada siapa yang terzalim dalam hal ini.

6- Perlu difahami hujjah mereka yang mengatakan zalim hukum jika dihukum qazaf mesti ditimbang sewajarnya antara hak individu yang dituduh dan menuduh. Ada pihak seolah membelakangkan hak mereka yang DITUDUH lalu terlalu melebihkan hak yang menjadi ‘mangsa', kononnya perlu dikasihani. Bagaimana jika tuduhan itu palsu, bukankah yang DITUDUH juga perlu pembelaan Islam. Perlu diingat, dengan mudah seorang wanita tiba-tiba mengaku dirogol oleh seorang Mufti atau Imam Besar tanpa sebarang saksi. Kemudian, dengan mudah boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah dan bermubahalah semata-mata?. Mungkin ia belum tentu sesuai pada masanya. 

7- Justeru, Islam menjaga kedua-dua belah pihak yang menuduh dan tertuduh, kerana itu sesiapa yang ingin mendakwa dirogol atau diliwat mesti empat saksi atau jika tidak, WAJIB membuat laporan secara tertutup dan kerajaan WAJIB pula menjaga dakwaan dari tersebar.

Itulah ulasan ringkas saya buat masa ini. Saya juga tidak sempat membawakan rujukan kitab dan lain-lain hujjah. Mengulas isu ini perlu lebih bertenang dan perbincangan dengan para ilmuan lain agar tidak tersilap mengulas, terutamanya dari seisapa sahaja yang berlatarbelakangkan agama.

 

 

 

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Jun 2008

 

DIHIGHLIGHT KEMBALI ARTIKEL ALAM INI DISEBABKAN KEHNAGATAN ISU INI DI KETIKA INI. ( ulang siar pada4 Feb 2010)



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Soal Jawab & Isu Pilihan Zina & Liwat : Nak Percaya, Boleh Atau Tidak ?