Syahwat Terangsang Tika Puasa :
Keliru Antara Mani dan Mazi
Assalamualaikum W.B.K ..
Al-Fadhil ustaz,
Saya seorang gadis berusia awal 20-an dan belum berkahwin. Sebelum ini saya tidak tahu untuk membezakan antara mazi dan mani. Tetapi, alhamdulillah baru-baru ini setelah saya terbaca ruangan ini, saya tidak ragu-ragu lagi untuk membezakan antara kedua "cecair" tersebut.
Bagaimanapun, saya ingin meminta pendapat.. Oleh kerana awal Ramadhan tempoh hari saya masih "jahil" mengenai mazi dan mani, apabila saya terangsang, saya menganggap cecair yang keluar ialah MANI.
Tetapi, jauh disudut hati saya mengatakan ianya bukanlah mani, jadi saya tetap teruskan berpuasa.
Setelah berbuka puasa, saya mandi wajib untuk keluar dari belenggu ragu-ragu. Perkara ini berlanjutan sehinggalah beberapa hari. Siangnya saya berpuasa, apabila keluar "sesuatu" saya menganggapnnya mani dan mengambil keputusan untuk mandi wajib setiap kali selepas berbuka.
Perkara ini membuatkan saya betul-betul tertekan apatah lagi bila memikirkan jumlah puasa yang perlu saya GANTI @ QADA' yang semakin meningkat HANYA kerana perasaan ragu-ragu tersebut.
Jadi, saya terdetik untuk "mencari jawapan" kepada masalah saya ini sehinggalah saya terbaca PERBEZAAN ANTARA MAZI & MANI yang terdapat dalam ruangan ini.
Sekarang saya yakin sedikit untuk membezakan antara keduanya. Hasil pembacaan dan pemahaman saya, saya dapati cecair yang keluar pada awal Ramadhan dahulu bukanlah mani, tetapi hanya mazi.
Soalan saya, apakah saya perlu mengQada' puasa-puasa yang saya ragui tempoh hari ? Bagaimana pula jika sekarang saya sudah PASTI yang keluar ketika itu memang bukan mani?? Saya harapkan jawapan.. Tolonglah.. Terima kasih !!!
- Soalan Melalui Ruangan Komentar -
Jawapan
Wa'alaikumussalam,
1) Puasa anda adalah sah dan tidak perlu di qadha ( ganti) kerana ia tidak batal hanya kerana keluar air mazi akibat terangsang.
2) Walaubagaimanapun, pahala puasa sdri sudah tentu tergugat dan berkurangan jika air mazi itu keluar akibat rangsangan syahwat. Jika seseorang terangsang sehingga keluar mazi, ini bermakna dia sedang melakukan satu dosa (kecualilah jika di antara suami dan isteri), kerana menurut kebiasaannya sesorang tidak boleh terangsang tanpa sebab, sudah tentu rangsangan itu datang sama ada kerana melihat gambar lucah atau bersembang dengan lelaki melalui telefon, berdepan atau 'chatting' secara bersyahwat...
Untuk makluman, AIR MAZI adalah sejenis cecair jernih sedikit melekit dan kurang berbau yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan AIR MANI pula cecair melekit dan berbau kuat seperti klorok, yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani).
Air MANI adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan AIR MAZI yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air mazi adalah najis dan perlu dibasuh untuk menunaikan AIR MANI, pula berbeza kerana jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB) untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran.
Kembali kepada kes yang bertanya, jika benar ia adalah air mazi yang keluar disebabkan syahwat dari aktiviti tidak elok, tidak syak lagi ia adalah satu dosa dan apabila ia berlaku dalam bulan mulia ini, sudah tentulah kesannya amat besar. Allah s.w.t menyebut dalam hadis Qudsi :-
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ من أَجْلِي الصِّيَامُ لي وأنا أَجْزِي
Ertinya : "Dia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya hanya kerana Ku ( Allah ), sesungguhnya puasanya adalah untuk Ku dan Aku lah yang akan membalasnya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )
Amat jelas lagi terang Allah s.w.t inginkan dari puasa kita penahanan dari 3 aspek fizikal iaitu tahan makan minum dan keinginan syahwat iaitu seksual.
Dalam hal di atas, jika rangsangan benar kerana syahwat, ia menunjukkan sdri telah melakukan suatu dosa sehingga tidak dapat menjaga syahwat dengan baik sehingga keluarnya mazi semasa berpuasa. Kaffarah yang berat bagi mereka yang bersetubuh di siang hari Ramadhan sudah cukup membuktikan kemurkaan Allah s.w.t bagi mereka yang melanggar displin syahwat tatkala berpuasa.
Jika syahwat antara suami isteri pun perlu dikawal, apatah lagi dengan lelaki atau wanita luar yang bukan mahram.
Jika benar, ia adalah mazi yang ekluar dengan syahwat, saya nasihatkan saudari agar segera berhenti dan menjauhkan diri dari semua perbincangan dan perbuatan yang boleh menaikkan syahwat kerana ia kelak boleh menjatuhkan seseorang dalam kumpulan hina iaitu penzina yang tidak bertawbat.
Semoga diampuni Allah s.w.t di bulan pengampunan ini.
BEZA MAZI DENGAN KEPUTIHAN
Jika cecair yang keluar itu tidak keluar disebabkan syahwat, maka ia mungkin pula adalah cecair keputihan yang kerap berlaku kepada beberapa kumpulan wanita. Cecair jenis ini adalah najis dan perlu dibasuh sebelum solat, namun ia tidak membatalkan puasa. Tiada dosa juga atas keluarnya cecair tersebut.Tetapi cecair jenis ini TIDAK keluar kerana syahwat terangsang. Ia keluar pada waktu-waktu biasa.
Cecair 'keputihan' ini biasanya keluar dengan sedikit kekuningan atau mempunyai bau yang busuk, berbeza dengan air mazi yang tidak berbau. Justeru, saudari perlu tentukan cecair apakah yang dimaksudkan. Jalan mudah adalah dengan bertanya kepada ibu saudari. Harapnya sang ibu mempunyai kejelasan fikiran tentang perbezaaannya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
28 September 2007
16 Ramadhan 1428 H
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites