Menjelas Kekeliruan Berkenaan Penyaluran
Wang Dari Sumber Haram & Bercampur
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Bermula dari isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang haram dan sumbangannya kepada kemaslahatan awam serta faqir dan miskin. Walau isu tersebut sudah padam dan tenggelam. Namun masih ada kekeliruan yang belum terjawab, akibatnya, ada yang berkata :-
“Jika harus diberikan wang haram itu kepada faqir miskin, maka bolehlah kita teruskan aktiviti haram itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan”
“Kerana hukumnya harus, maka mana-mana kerajaan pun yang naik selepas ini, mereka masih boleh membiarkan aktiviti haram”
“oo..bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat dari harta mereka untuk membiayai faqir miskin dan pembangunan negara”.
Jika itulah kefahaman sebahagian pembaca selepas membaca hujjah-hujjah para ulama mazhab yang silam dan kontemporari, maka mereka sebenarnya sungguh terkeliru.
Memang benar, tulisan saya yang lalu menjelaskan fatwa ulama silam dan kontemporari berkenaan harusnya kumpulan faqir, miskin dan kemaslahatan awam termasuk warga emas yang memerlukan menerima sama ada wang dari kerajaan negeri atau pusat walaupun ia datang dari hasil keuntungan judi, riba dan lain-lain aktiviti haram.
Namun apa yag sangat perlu difahami begini :-
Konteks sebenar yang disebut oleh para ulama mesti difahami dengan tepat. Kesemua mereka memberikan fatwa tersebut ketika mengulas kemanakah perlu disalurkan hasil harta-harta haram yang berada didalam pemilikan individu. Konteksnya adalah, sekiranya seseorang itu TELAH memperolehi wang haram sama ada hasil judi, perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat, maka kemanakah patut disalurkan wang tersebut?, Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar atau dibuang debunya ke dalam sungai dan lautan.?
Jawapannya mudahnya, telah hampir sepakat seluruh ulama mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah dengan pelbagai dalil, Maqasid Shari’ah dan logik aqal. Ini adalah kerana dosa perolehan harta haram itu adalah bersifat hukmi dan bukan ‘aini (jisim).
Berbeza jika kiranya barang yang dimiliki itu adalah haram pada ‘ain dan zatnya seperti sebotol berisi arak, semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak sembelih untuk makan tengahari dan yang sepertinya. Ketika itu, barulah hukumnya wajib melupuskannya dengan cara buang serta diharamkan untuk diberikan kepada sesiapa jua, termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun kepada orang bukan Islam. Demikian menurut hadis :-
نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari).
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-
وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة
Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi (barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Dan juga petunjuk jelas dari hadis ini :-
عن أنس عن أبي طلحة رضي الله عنهما قال: قلت يا رسول الله إني اشتريت خمرا لأيتام في حجري فقال صلى الله عليه وسلم :أهرق الخمر واكسر الدنان
Ertinya : dari Anas dari Abi talhah (r.a) berkata : aku berkat kepada Rasulullah : wahai Rasulullah aku telah terbeli arak untuk anak yatim yang didalam peliharaanku. Baginda memberikan arahan “ Musnahkan arak tersebut dan pecahkan bejana-bejananya” ( Riwayat At-Tirmizi : Hadis Hasan menurut Ibn Hajar & Albani)
Menurut huraian para ulama, sahabat yang membeli tersebut berniat untuk memeramkan arak terbabit sehingga ia bertukar sifat dan kemudian memanfaatkannya, tetapi itu juga dilarang oleh Nabi s.a.w. Ada juga ulama yang mentafsirkannya, sahabat tersebut membelinya sebelum turun wahyu pengharaman arak. Terdapat dalil lain pula yang menyebut anak-anak yatim tersebut mewarisi arak-arak dari ibu bapa mereka yang meinggal dunia, lalu apabila ditanya kepada nabi sama ada ia boleh diperam sehingga bertukar sifat, tetapi baginda tidak membenarkannya.[1]
Dari hadis di atas dan pelbagai dalil lain membuktikan pemilikan harta yang haram secara zat mesti dilupus, dihapus dan dibuang.
HARAM SECARA HUKMI
Manakala, harta haram secara hukmi ( menurut hukum kerana caranya bercanggah dengan Shari’ah seperti judi, rasuah, rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah HARAM digunakan untuk dirinya sendiri dan keluarganya.
Bagaimanakah cara melupuskannya?
Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada faqir dan miskin. Itulah konteksnya.
Bagaimana jika ia adalah sebuah negara atau negeri?
Jawabnya, cara pelupusan yang sama terpakai untuk sesebuah negara atau kerajaan. Setiap hasil cukai dan pendapatan dari hasil yang haram. Pemerintah yang bertanggungjawab mestilah menyalurkannya kepada faqir, miskin dan kemaslahatan awam, menurut nilai jumlah pendapatan itu. Itulah kaedah dan cara untuk mereka melupus dan menggunakannya.
Ini kerana harta haram tersebut, jika terus dibiar berada dalam pemilikan individu, ia bakal merosak keberkatan kehidupannya dan rezekinya.
Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada hasil haram tanpa justifikasi yang betul dari sudut hukum Shari’ah, akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan, dosa dan balasan azab pedih di akhirat.
Justifikasi yang dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan pimpinan Islam DIBENARKAN meluluskan sesuatu yang diterima oleh agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat itu. Dalam masa yang sama kerajaan dibenar untuk mengutip cukai hasil pemberian lesen itu.
Contohnya, dalam sesetengah agama, arak adalah dibenarkan, justeru pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru para ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan pembukaan kedai arak yang khusus untuk penganut agama terbabit sahaja. Itulah namanya siyasah syariyyah.Demikian statusnya dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agam mereka membenarkan, kerajaan Islam mestilah membenarkan pembukaan kedai jual babi, penternakan babi, dan gerai-gerai yang menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon oleh penganut agama yang membenarkan, namun secara terhad dan berhati-hati. Dalam masa yang sama, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa dari lesen dan cukai dari perniagaan itu.
Hasil sebegitu, walau kelihatan kotor, tetapi dari sudut pandangan Islam, ia adalah harus diterima oleh baitul mal bagi sesebuah kerajaan pemerintahan Islam, dibenarkan pula untuk diagihkan kepada kemaslahatan umum dan faqir miskin tanpa sebarang syubhah. Walau bukan dari akaun dan tabungan negara yang berasingan.
YANG DISEPAKATI HARAM
Namun begitu, perlu diingat tiada sebarang agama yang mengharuskan pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudiaan. Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan pengambilan cukai darinya adalah haram. Apabila ia masuk ke dalam pendapatan negara. Keberkatan dalam negara akan hilang, tatkala itu, ia memerlukan kepada proses pembersihan. Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan hukuman haram itu, akan ditanggung oleh pemerintah terbabit.
Justeru, dalam keadaan itu, dosa sudah terlekat di bahu pemerintah jika dia Muslim, jika dia bukan Islam. Ia di luar perbincangan kita.
Namun walau ia berdosa di bahu pimpinan, setelah dan jika diperolehi wang itu, kemana boleh disalurkannya? Kemanakah saluran yang tepat dari sudut pandangan Islam?. Wang dari sumber haram boleh berganda haramnya jika tidak disalurkan dengan betul..!
Sekali lagi, saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama dalah kemaslahatan umum, faqir dan miskin. Golongan ini sentiasa diharuskan oleh Islam untuk menerima wang dari sebarang hasil atas kapasiti mereka selaku faqir, miskin dan sangat memerlukan. Justeru mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan dan individu secara yang sah dan syar’ie dari sudut pandangan Islam. Tiada syubhat untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram. Sebarang momokan yang mengatakannya syubhat dan haram adalah kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.
IA ADALAH GALAKAN KEPADA INDUSTRI HARAM?
Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit silap memahami konteks.
Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi bukan merupakan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya.
Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti sedemikian tetapi fatwa keharusan itu adalah suatu pemberitahuan kaedah pelupusan sumber wang haram yang diperolehi oleh individu dan kerajaan. Bagi melepaskan bebanan haram yang sedang ditanggung oleh negara dan individu.
KESIMPULAN
Hasil dari itu, perlu dijelaskan sekali lagi iaitu :-
1. Memahami perbezaan di antara aktiviti haram (menurut Islam) tetapi diluluskan oleh agama lain dan yang tidak diharuskan oleh semua agama. Aktiviti pertama boleh sesebuah kerajaan mengambil hasil darinya, manakala yang kedua tidak dibenarkan, namun jika telah bertapak sekian lama dan terus menerus memberi hasil dalam bentuk cukai kepada kerajaan, cara penggunaannya yang tepat adalah kepada tiga kumpulan iaitu kemaslahatan awam, faqir dan miskin. Ia dibuat bagi tujuan pembersihan diri bagi individu dan Negara.dan perlu ada usaha untuk menamatkan perkembangan industri haram terbabit walau secara beransur-ansur.
2. Pelupusan harta dari sumber haram adalah dengan cara menyalurkan kepada tiga kumpulan tadi dibuat BAGI TUJUAN PEMBERSIHAN DIRI SENDIRI DI PERINGKAT INDIVIDU DAN PEMBERSIHAN HARTA NEGARA. Proses pembersihan ini amat perlu bagi mendatangkan berkat dan kemakmuran dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan Negara.
3. Cadangan pelupusan itu BUKANLAH MEMBAWA MAKSUD MENGGALAKAN INDIVIDU DAN KERAJAAN TERBABIT DAN TERUS MENERUS MENDAPATKAN HASIL DARI AKTIVITI HARAM, sama ada dengan memberi lesen terus memakmurkannya. Jika selepas pelupusan, mereka tetap perolehan haram itu, ia akan merosakkan hati dan membawa dosa ke atas pelakunya dan pengutip keuntungan itu.
Tatkala itu, jika di peringkat individu, AHLI KELUARGA YANG LAIN WAJIB menegur. Manakala di peringkat kerajaan sebagaimana diajar oleh nabi, wajib pula ahli kepimpinan yang lain atau penyokong-penyokong mereka untuk menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil, antaranya hadis nabi.
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )
“Ustaz sebelum ini sibuk mengajak orang makan makanan dan harta halal, tapi kali ini adakah ustaz ingin kumpulan faqir miskin itu memakan wang syubhat dan haram? Pelik sungguh..” kemudian dia membawakan senarai panjang hadis-hadis nabi yang mengarahkan kita menjauhi harta haram dan syubhat.
Ini adalah kekeliruan juga, saya sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam dari syubhat dan haram sama ada dari judi, riba, penipuan, rasuah dan yang sepertinya.
Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami dalam konteks yang salah. Ini kerana kita sedang bicara soal cara pelupusan yang memang bertujuan untuk membersihkan pemilik harta haram sama ada individu atau kerajaan. Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.
Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubhat yang dimiliki perlu disalurkan kepada dipulangkan kepada mangsa (jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui pemilik asal secara specifik, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat awam, faqir dan miskin.
Bagaimana untuk bertaubat jika kemaslahatan awam, faqir dan miskin juga tidak boleh menerima wang tersebut? tambahan pula dalam keadaan tidak diketahui pemilik asal harta terbabit. Adakah ingin dilemparkan ke dalam lautan atau dibakar? Itu sebuah pembaziran yang tidak perlu sebagaimana telah diterangkan di atas dan artikel sebelum ini.
Justeru, semua tulisan saya hanya membawakan pandangan ulama mazhab dan kontemporari dan mengajak kepada tatacara urusan wang secara halal dan tepat, menjauhi syubhat dan haram.
Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi haram dan syubhat ke atas penerima sama ada yang termasuk dalam golongan maslahat awam, faqir dan miskin. Justeru semua hadis yang cuba digunakan untuk penerima faqir miskin itu tidak relevan dan salah konteksnya sama sekali.
Harapnya, persoalan ini mampu difahami dengan baik oleh semua pembaca.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
17 Oktober 2010
[1] Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan Al-Tirmidzi oleh Syeikh Al-Mubarakfuri, Bab menjual arak dan larangannya, no 1293
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites