Warkah Berkenaan MLM
Uptrend: Telah Disahkan Halal?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Untuk pengetahuan Ustaz, penghantar SMS ini adalah kawan saya di universiti dulu. Kini beliau dianggap berjaya dlm UPTREND ini kerana pendapatan beliau utk setahun telah mencapai jutaan ringgit dan terpilih menganggotai MILLIONAIRE EXECUTIVE CLUB.
Pada mulanya saya memang tertarik dan berminat untuk join UPTREND di bawah beliau. Tetapi selepas saya membaca penerangan Ustaz di dalam blog dan bertanya dengan beberapa ustaz rasanya bisnes sebegini mungkin boleh menjadi haram kerana terlalu banyak unsur Gharar yang ahli-ahli UPTREND tidak mahu mengaku dan menyalahkan Ustaz pula kerana tidak memahami bisnes MLM yang sebenarnya.
Bagi ahli UPTREND ada dua ustaz yang menjadi rujukan mereka Ustaz Syairi & Ustaz Aizan selain PPIM.
Saya tidak minta Ustaz untuk ulas panjang isu ini (kerana Ustaz telah jelaskan panjang lebar dalam blog Ustaz), cuma saya nak tahu betulkah Ustaz menjadi advisor kepada satu syarikat MLM yang saya rasa sebenarnya tidak menjadi satu kesalahan pun (Ustaz jawab YA atau TIDAK pun dah cukup).
Saya rasa maklumat ini telah disalahgunakan, apabila ahli-ahli UPTREND menggunakan maklumat ini untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan sekarang.
Fauzi
(melalui email)
JAWAPAN
Wa'alaikumussalam,
Saya kira, Sdr dengan mudah boleh mendapat jawapan Ya atau Tidak, jika melawati website saya www.zaharuddin.net
YA BENAR, saya menyemak dan telah dilantik menjadi penasihat Shariah kepada syarikat Stormreaders Sdn Bhd bersama Alfadhil Ust Dr. Zahazan Mohammad. Syarikat ini adalah sebuah syarikat perniagaan MLM.
Pertamanya, saya telah memahami MLM sejak lama dahulu, kerana beberapa belas tahun dahulu saya juga pernah menyertai MLM sebagai ahli.
Cuma, menurut kefahaman dan pandangan saya, perlu diingat, bisnes yang dijalankan oleh Stormreaders ada perbezaannya dengan kebanyakan MLM lain.
Berkenaan UPTREND pula dan mana-mana MLM yang lain, suka saya menasihatkan bahawa sekadar beberapa orang ustaz yang menjadi rujukan tidak MAMPU untuk membolehkannya secara automatic dianggap sebagai pengesahan halal. Kerana ia dirujuk oleh siapa? Pengurusan tertinggi syarikat atau kalangan pengedar dan ahli sahaja?. Jika sekadar ahli dan pengedar yang merujuk, ia tidak memberikan apa-apa kesan kepada system yang telah sedia wujud.
Apa yang diperlukan adalah semua MLM ini WAJIB MELANTIK penasihat syariah yang berwibawa SECARA RASMI dan diwarwarkan secara RASMI juga, mereka juga tidak boleh melantik mana-mana ustaz-ustaz biasa yang bukan specialist di dalam fiqh muamalat dan aplikasi kewangan moden.
Justeru itu, maksud saya ‘berwibawa' dalam saranan saya di atas adalah merujuk kepada ahli penasihat Syariah itu mestilah well known specialist di dalam bidang Fiqh Muamalat dan terbukti melalui pengalaman, boleh memahami struktur kewangan moden. Ia penting bagi memastikan tidak ada proses ‘tangkap muat' sebagai jalan pintas.
Ustaz tersebut juga mestilah boleh dan jelas kefahaman di dalam Arab dan bahasa Inggeris kerana biasanya kontrak dibuat di dalam English (jika berkaitan)
Kemudian penasihat syariah itu mesti menjalankan tugasnya secara independent ketika membuat semakan, pembetulan dan audit sistem marketing dan plan komisyen serta bonus yang sedia ada, selain juga membaca dan meneliti borang permohonan dan kontrak-kontrak secara jelas. Mesti menyemak syarat dan rukun setiap kontrak dipenuhi serta sequence semasa pelaksanaannya dibuat dengan betul.
Jika bagi Uptrend atau mana-mana MLM yang sudah lama bertapak, proses itu mungkin akan memakan masa beberapa minggu atau bulan memandangkan ia sudah lama berniaga dan bergerak. Berbeza dengan Stormreader yang mana saya terlibat dalam prosesnya sebelum ia dilancarkan lagi. Keadaan itu lebih banyak memudahkan proses semakan dan pembetulan.
Hanya selepas pembetulan dan pemulihan dibuat serta diberi pengesahan rasmi, barulah sesuatu MLM itu boleh diwarwarkan sebagai harus, patuh Syariah atau HALAL. Ringkasnya, ia bukanlah satu proses mudah dan sewenang-sewenangnya didakwa mempunyai penasihat Syariah dan kemudiannya mendakwa telah dicop halal.
Bagi Stormreaders, saya terlibat sejak dari awal lagi sejak proses rangka plan hingga siap untuk dilancarkan, kontrak-kontraknya saya teliti dan perbetul, begitu juga borang-borang, syarat-syaratnya dan wording bahan sebarannya. Proses ini semuanya memakan masa 2 tahun.
Pun begitu tiadalah saya mahu mendabik dada ia yang terbaik, saya dan Ust Zahazan sentiasa menerima apa-apa pandangan yang komentar membina dan berkualiti. Jika benar ada yang kami ‘terlepas pandang', ia pasti akan diubah InsyaAllah.
Pada 15 Feb 2010 ini pula (semalam), saya dan Ust Zahazan TELAH membuat semakan audit sistem pengkomputerannya system dengan lebih terperinci, termasuk semakan E-Store system, E-Net, E-Wallet, cara kiraan komisyen, bonus, cara pembayaran, kaedah pembatalan dan sebagainya, beberapa tambahan kecil telah dicadangkan untuk dimasukkan bagi menjauhkan lagi dari sebarang unsur gharar. Semakan ini dibuat selepas stormreaders beroperasi bagi memastikan saya dapat menyemak operasi sistem secara live dan realtime, bukan lagi model contoh seperti sebelum ini tetapi boleh menyemak sistem yang benar-benar sedang diaplikasi.
BEZA ‘PENASIHAT SYARIAH' DAN ‘AHLI'
Selaku penasihat Syariah, mereka mestilah mempunyai akses kepada pemilik atau CEO kepada sesuatu MLM itu dan diberi hak untuk menegur dan membetul secara independent.
Bagi Stormreader Sdn Bhd, itulah juga yang saya punyai, iaitu akses terus kepada pemiliknya iaitu Telaga Biru Sdn Bhd, Tuan Hj Waharp dan Pengurus Besar, En Syah. Jika ada apa-apa yang tidak disetujui menurut pertimbangan hukum, saya boleh dengan segera melontarkan pindaan kepada mereka untuk tindakan segera. Inilah situasi yang UPTREND dan man-mana MLM lain perlu ada. Itulah juga fungsi dan akses yang dimilik oleh para Penasihat Syariah di institusi Kewangan Islam di seluruh dunia.
Kita perlu jelas, Penasihat Syariah perlu mempunyai term of references dan bidang kuasanya yang tersendiri, serta KUASA KHAS untuk membuat pindaan sesuatu yang didapati kurang tepat dari sudut hukum.
Sehingga kini, kita masih lagi menunggu banyak lagi syarikat MLM yang tidak mengambil berat soal huum dan kesahihan plannya. Perlantikan rasmi perlu dibuat, SELAGI BELUM ADA PENGUMUMAN RASMI DARI MANA-MANA SYARIKAT MLM dan TIADA PENGESAHAN RASMI DARI MAJLIS SHARIAHNYA berkenaan status MLM mereka, selagi itu, mana-mana dakwaan mengatakan mereka menepati hukum Syariah adalah tidak terpakai dan amat meragukan.
Syarikat MLM juga tidak boleh ‘tangkap muat' atau hanya bertenggek atas nama ustaz-ustaz tertentu yang telah masuk sebagai ahli, pengedar serta aktif dalam skim mereka lalu dianggap KONONNYA ustaz tersebut telah memberikan pengesahan dari sudut hukum Islam, itu tidak boleh sama sekali.
Mana-mana ilmuan Syariah atau Ustaz yang menyertai sesebuah MLM sebagai AHLI atau Pengedar yang 'mencari pendapatan tambahan' dalam sistem tersebut, peranan dan kemampuan mereka AMAT berbeza dengan SEORANG Penasihat Syariah yang dilantik dan mempunyai peruntukan kuasa untuk merubah dan meminda, selain hak akses kepada dokumen dan sistem MLM terbabit. Ahli dan pengedar biasa tidak punyai keistimewaan dan kuasa sedemikian.
BERLEPAS DIRI
Saya juga berlepas diri dari sebarang usaha mengaitkan saya dengan MLM lain, juga berlepas diri dari dakwaan kononnya pengesahan saya kepada Stormreaders secara automatis pengesahan kepada sistem MLM yang lain. Saya hanya menyemak Stormreaders dan apa-apa persamaan MLM lain yang secara zahirnya kelihatan seolah-olah sama dan wujud pada system stormreaders, TIDAK SAMA SEKALI membuktikan saya mengesahkan system MLM lain secara automatis. Tidak sama sekali. Zahir plan perniagaan mungkin adakalanya kelihatan sama tetapi untuk mengesahkan, banyak penelitian lain telah diambil kira. Khususnya penelitian kontrak, rukun, syarat, pelaksanaan hatta iklan dan cara promosinya. Kerana itulah saudara dapat melihat promosi rasmi dari pihak Stormreaders TIDAK memancing ahli dan peserta melalui KEKAYAAN, HARTA, KERETA , DUIT sebagai fokus asas tetapi adalah mempromosi ilmu Islam dan mengajak untuk menyebarkannya sebagai ASAS. Pendapatan tambahan adalah sampingan, sesuai dengan fungsi wang dan harta sebagai hiasan dan alat untuk mencapai redha Allah sahaja. Itulah nilai yang kita cuba terapkan di dalam diri semua pesertanya.
Akhirnya sekali sebagai menjawab email yang dihantar, pengesahan saya hanya khusus kepada MLM yang saya dipertanggungjawabkan, ia tidak sama sekali terpakai untuk yang lainnya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
5 Feb 2010
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites