Senarai Lengkap Artikel Soal Jawab & Isu Pilihan Nama Allah Ekslusif Atau Tidak : Hukum Asal, Dakwah & Siyasah

Nama Allah Ekslusif Atau Tidak : Hukum Asal, Dakwah & Siyasah

  • PDF
(12 votes, average 5.00 out of 5)

Nama Allah : Hukum Asal,

Dakwah dan Siyasah

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

 

allah_name_khat.jpg

Perdebatan dan perbahasan terbuka di media-media massa berkenaan isu penggunaan nama Allah oleh Kristian kelihatan sudah agak reda ditenggelami oleh isu-isu politik yang sentiasa kelihatan hangat.  Maka di kesempatan ini, saya terpanggil untuk cuba membuat sedikit ulasan dan huraian kesimpulan bagi menjelaskan letak duduk isu ini, khususnya di sebalik kepelbagaian pandangan khususnya di kalangan ilmuan Islam. Lebih khusus lagi, setelah saya memberi pengisian berkaitan tajuk ini secara online semalam. Boleh download ceramah tersebut di link ini . (sebahagian penerangan tidak dapat dinyatakan dalam tulisan ini bagi mengelakkan terlalu panjang)

BOLEH DOWNOAD PENJELASAN LISAN SAYA DI SINI http://www.mediafire.com/?4i17ush9nk45uiu   

Bagi mereka yang berminat untuk terus membaca, saya nasihatkan agar tuan dan puan dapat membaca dengan bertenang, jangan tergesa-gesa dan jangan melompat serta cepat memebuat konklusi sebelum tamat membaca. Jika tidak, salah faham akan berlaku. Jika tuan dan puan merasakan malas untuk membaca dengan teliti dan sehigga habis, saya menasihatkan agar tidak membacanya atau menangguh bacaan di waktu yang lapang dan tenang. Atau mungkin lebih ringan untuk mendengarkan kuliah terlebih dahulu.

AKIBAT BERBEZA PERSPEKTIF, HASIL BERBEZA

Setelah menyemak dan membaca artikel demi artikel dan huraian oleh pelbagai pihak dalam isu ini, jelas bagi saya bahawa perbezaan ini datang disebabkan target dan objektif setiap tulisan kelihatan cenderung kepada salah satu antara tiga perspektif berikut iaitu :-

 

  • 1)    Terdapat artikel dan ilmuan yang mengulas dari sudut hukum berdasarkan nas dan teks, tanpa dicampur aduk dengan perspektif lain.

 

 

  • 2)    Terdapat artikel yang kandungan isinya jelas berat kepada persoalan dakwah iaitu menjawab alasan Kristian dan mematikan hujah mereka, ia bukan memberi pandangan atas analisa teks Al-Quran.

 

 

  • 3)    Terdapat artikel yang diulas berat kepada isu kuasa kerajaan dan siyasah syar'iyyah.

 

 

  • 4)    Terdapat yang mengulas bagi meraih sokongan politik dan pengaruh. Bagi menunjukkan ‘kerterbukaan' bagi meraih sokongan bukan Islam, atau menunjuk kehandalan dalam mempertahankan Islam bagi mendapat sokongan orang Islam.

 

Justeru, saya berharap artikel ini mampu membantu pembaca menyusun idea dan kefahaman agar mampu menetapkan pendirian dengan lebih jitu dan tepat. Mampu memahami kepelbagaian dengan lebih saksama.

 

1.  NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF TEKS AL-QURAN DAN HUKUM ASAL

Melihat dari perspektif ini, perbincangannya berkisar tentang soalan  

"Adakah dibenarkan dari aspek hukum ‘Aqidah, untuk Kristian menggunakan nama Allah dalam urusan mereka?"

Dalam hal kefahaman hukum dari teks dan nas ini, ia tergolong dalam kategori hukum zhonni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan hukum yang paling tepat. Namun begitu, menurut penelitian saya, dari PERSPEKTIF HUKUM AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh adalah HARUS ATAU DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain untuk menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.

Ulama yang mengharuskan bersandar kepada dalil dan teks berikut, antaranya ( Lihat kepada teks yang diwarnakan) :- 

 

  • a.    Firman Allah di dalam Surah az Zumar ayat 3

 

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ 

Ertinya : Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. 

 

Ini jelas menunjukkan mereka menyembah berhala kerana ingin dekat kepada Allah. Justeru mereka sedar Allah itu Tuhan. Dan nama Allah itu telah digunapakai oleh mereka sejak dari dulu. Ayat ini menunjukkan situasi di waktu itu dan juga membawa implikasi hukum keharusan kerana Allah tidak membantah kafir memanggilnya sebagai Allah. Walaubagaimanapun, di dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, Allah SWT membantah tindakan mereka menyekutukanNya. Sekiranya penggunaan itu salah, pastinya Allah akan menafikan perkataan kafir tadi dan mengelakkan dirinya dikait dengan keyakinan sesat kafir musyrik.

 

 

  • b.    Firman Allah Surah Yunus ayat 18 :

 

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللّهَ بِمَا لاَ يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلاَ فِي الأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ 

Ertinya : Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: ""Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah"". Katakanlah: ""Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di bumi?"" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)

 

Selagi lagi ayat ini menunjukkan kesalahan kafir musyrik adalah kerana menyengutukan Allah dengan mengambil berhala sebagai perantara dan bukan pada memanggil Tuhan sebagai Allah.

 

 

  • c.     Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ 

Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)

Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :

   

هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به

Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang  ditujukan pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86)

 

 

  • d.    Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :

 

وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ 

Ertinya : Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka: ""Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.

   

Sahabat besar nabi, Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini  berkata :

من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق الجبال ؟ قالوا : الله , وهم مشركون

"Dari keyakinan dan iman puak-puak kafir ini apabila ditanya siapa yang menciptakan langit?, dan siapa yang menciptakan bumi?, dan siapa yang menciptakan gunung?. Mereka telah menjawab : ALLAH, namun begitu mereka mensyirikkanNya. 

 

  • e.    Firman Allah surah Zukhruf ayat 87-88

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى       
 
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ 

Ertinya : Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ""Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab: ""Allah"", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?

  • f.     Firman Allah surah Al-Isra ayat 42 :-

 

قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لاَّبْتَغَوْاْ إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً 

Ertinya : Katakanlah: ""Jika ada tuhan-tuhan di katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai Arasy ( Tuhan yang sebenar)"

Imam Ibn Kathir ketika mengulas tentang kesalahan kafir musyrik dalam surah Al-Isra' ini berkata ia adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan berhala-berhala mereka. Padahal mereka telah  mengakui Allah sebagai Tuhan, itu tidak dicela, apa yang dicela adalah tindakan mereka mensyirikkan Allah dengan berhala mereka. Beliau berkata:

 

"Ayat ini boleh difahami iaitu arahan Allah kepada Nabi Muhammad untuk bertanya kepada kepada kafir musyrikin yang menyangka ada bagi Allah sekutu-sekutu dari kalangan makhluk yang sehingga dijadikan barang sembahan selain Allah, kononnya sebagai perantaraan mendekatkan diri kepada Allah. ( Tafsir al-Quran Al-Azim)

 

Jelas dari dalil-dalil ini menunjukkan nama Allah sebagai TUHAN TIDAK EKSKLUSIF kepada orang Islam sahaja, cuma orang Islam adalah eksklusif pada pandangan Allah kerana menggunakannya dengan betul dan tepat.

 

Dakwaan Dr Khalif Muammar[1] yang mengatakan pengunaan nama Allah yang wujud dalam ayat-ayat di atas semuanya adalah sebelum diIslamisasikan adalah satu dakwaan tanpa bukti yang jelas.

 

Apakah dalil mukhassis yang ingin digunakan oleh beliau dalam menegaskan pandangan itu?. Jika surah al-Ikhlas ingin dijadikan dalil, maka surah ikhlas adalah suatu penjelasan konsep tauhid dan pengunaan nama Allah secara tepat sahaja. Ia bukan mukhassis kepada umum satu waktu kepada waktu yang lain. Justeru apakah dalil bagi menganggap Allah di zaman jahiliyyah yang disebut dalam ayat itu terhad kepada satu waktu tertentu, dan tidak selepas kebangkitan Nabi SAW ?

 

Bagi saya, ayat-ayat di atas tadi jelas menunjukkan pengunaan nama Allah bagi bukan Islam dibenarkan dari dulu sehingga sekarang bagi merujuk kepada Tuhan, tidak ada persoalan ‘Tuhan Umum' dan ‘Tuhan Khusus' dalam bab ini. Yang ada adalah kes kafir musyrik beriman kepada ketuhanan Allah tetapi mereka sesat kerana mensyirikkan Allah.

 

Dr Khalif juga berkata :
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."

 

Dakwaan ini agak ganjil bagi saya, kerana Nabi-nabi telah dihantar secara bersambung-sambung dari nabi Adam, walau dimusim ketiadaan nabi seperti zaman bapa nabi, beliau menggunakan nama Abdullah merujuk kepada syariat yang dibawa oleh nabi sebelumnya iaitu nabi Isa.

 

Justeru, Arab jahiliyah hakikatnya mengetahui siapa itu Allah dan boleh membaca berkenaannya melalui syariat Nabi sebelum Nabi Muhammad. Bukankah bapa saudara Khadijah bernama Waraqah Bin Nawfal yang meramal Nabi Muhammad akan menjadi Nabi, itu tahu siapa itu Allah melalui wahyu kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad.[2]

 

Lihat pula bagaimana seorang penyair Jahiliyah bernama Lubayd Bin Rabi'ah selalu mempersembahkan syairnya, lalu baginda Nabi mengakui satu syair Lubayd yang ada menyebut nama Allah. Hadis Nabi ini berbunyi :-

أصدق كلمة قالها شاعر , كلمة لبيد بن ربيعة : ألا كل شيء ما خلا الله باطل 

Ertinya : Sebenar-benar perkataan yang dikatakan oleh penyair (Jahiliyah) adalah perkataan Lubayd bin Rabiah yang berkata : "Ketahuilah semua perkara selain Allah adalah batil (hancur)"[3]

 

Jelas dari hadis ini bahawa Jahiliyyah dahulu sudah kenal Allah dan kekuasaan-Nya, Cuma mereka menyembah berhala sebagai perantara lalu syiriklah mereka.

 

Selain itu, bukankah terdapat dalam sirah nabawiyyah, apabila sahabat nabi menyebar kalimah tauhid kepada pemimpin kafir, sebahagian mereka memberi response :

إذن تحاربك العرب و العجم 

"kalau begitu, ‘Arab dan ‘ajam (bukan arab) pasti akan memerangimu" kata-kata mereka ini menunjukkan arab Jahiliyyah memahami erti nama Allah dan erti mentauhidkan Allah, tetapi mereka degil dan tetap mahu mensyirikkan-Nya dengan berhala mereka kerana itu adalah ajaran nenek moyang mereka dan mereka beroleh manfaat duniawi dari kepercayaan itu. Lalu pengakuan kalimah Shahadah bakal mengubah keseluruhan hidup mereka.  [4]

 

Maka oleh itu, dari dalil-dalil di atas, jelas Allah membiarkan nama-Nya digunapakai oleh kafir Musyrik apabila merujuk sebagai Tuhan pencipta, namun Allah ta'ala mengutuk dan membetulkan kesalahan mereka apabila mereka menyekutukan Allah dengan selain-Nya.

 

Justeru itu, jika Kristian di Malaysia atau dimana juga, jika mereka ingin menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan pencipta, ia adalah benar, betul dan diharuskan. Kerana Allah sememangnya Tuhan dan pencipta dan maha berkuasa. Namun tindakan mereka mengaitkan Allah dengan trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik dan salah dan dikutuk oleh Allah sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya, mereka HARUS menggunakan nama Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana Allah sememangnya Tuhan, apa yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan yang lain.

 

Malah penggunaan nama Allah dan pengakuan ketuhanan Allah ini juga dapat dilihat dalam syair-syair Arab Jahiliyyah, seperti syair oleh Ubayd bin Abras :

من يسأل الناس يحرموه * وسائل الله لا يخيب

Ertinya : Sesiapa yang meminta dari manusia, tidak diberi * dan yang meminta dari Allah tidak rugi.

 

Syair dari Uways Bin Hujr:

وباللات والعزى ومن دان دينها * وبالله إن الله منهن أكبر 

Ertinya : dan demi Latta dan Uzza dan yang hampirinya* dan demi Allah, sesungguhnya Allah itu lebih besar dari mereka (berhala) [5]

 

JADI, ADAKAH KALAU MEMBENARKAN KITA AKAN JADI KUFUR KERANA IKTIRAF KESYIRIKAN MEREKA?

 

Tidak begitu, apa yang dibenarkan oleh Allah ta'ala sendiri adalah bukan Islam boleh guna nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan, tetapi Allah mengutuk dan melarang mereka mensyirikkanNya. Justeru, itulah tugas umat Islam, berdakwah dan memperbetulkan keyakinan salah mana-mana kafir yang mensyirikkan Allah dengan yang selainNya. Kita tidak boleh menafikan benarnya dakwaan mereka bahawa nama Allah itu juga merujuk kepada Tuhan, apa yang kita mesti dan boleh nafikan hanyalah Allah itu tidak punyai anak, dan sekutu. 

 

Atas asbab itulah wujudnya tugas berdakwah, bagi mengajak mereka kembali kepada mentauhidkan Allah. Jika kita telah atau sedang berdakwah, MEREKA TETAP DEGIL, Allah mengajar kita meletakkan pendirian seperti berikut :-

 

·       Biarkan mereka dengan agama dan keyakinan salah mereka dan pisahkan diri kita dengan keyakinan mereka. Pendirian ini nyata dari firman Allah berikut :-

 

وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ 

Ertinya : Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah: ""Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan (Yunus : 41)

 

Firman Allah :-

 

وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ 

 

Ertinya : Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: ""Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil ( Al-Qasas : 55 )

 

Firman Allah :-

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ 

 

Ertinya : Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku (Al-Kafirun : 6)

 

KESIMPULAN : Hasil dari beberapa petikan dan kumpulan teks al-Quran ini, majoriti ulama Islam di  zaman silam sehingga hari ini dari pelbagai Negara telah berijtihad, hukum HARUS bagi bukan Islam untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Namun kesalahan mereka yang perlu didakwah dan diperbetul adalah kerana menyekutukan Allah sahaja. Itulah juga pandangan yang terlebih kuat pada hemat saya. Namun perlu difahami, hukum HARUS di peringkat ini tidak semestinya akan berterusan pada setiap keadaan sehingga mesti dibenarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa banyak soal. Satu faktor lain mesti diteliti iaitu faktor dakwah dan penjagaan konflik yang boleh mengugat keamanan.

 

 

2.    NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF DAKWAH

 

Faktor dakwah yang saya maksudkan di sini boleh merujuk kepada Maqasid Shariah yang pertama iaitu ‘mempertahankan Islam' (Hifdzu ad-Din). Menurut Imam As-Syatibi, mempertahankan aqidah Islam adalah wajib dalam dua bentuk iaitu:-

 

  •  Mengukuhkan aqidah Islam melalui ajaran, ajakan dan sebaran kefahaman tauhid yang betul.

 

  • Mempertahankan aqidah Islam dari penyelewangan, pengeliruan dan gangguan gerakan bukan Islam.

 

Apabila saya merujuk kepada penulisan beberapa tokoh dan ilmuan di Malaysia dalam isu penggunaan nama Allah ini, saya melihat majoriti mereka mencampur adukkan fokus dan penyataan hukum disebabkan terpengaruh dengan faktor kedua ini. Mereka banyak mengulas dalam konteks ini berbanding konteks hukum asal dan asas.

Sebagai contoh:-

Prof Madya Dr Khadijah Hambali [6] dalam tulisannya membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini.

Saya bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa yang dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan objektif dakwah, kerana ia jelas memperlihatkan beliau menolak keharusan (penggunaan nama Allah oleh Kristian), melalui kaedah menghancurkan hujjah Kristian, selain menimbulkan keraguan kepada sumber rujukan Kristian itu sendiri. Saya tidak melihat beliau mengulas dari perspektif hukum Islam berasaskan dalil-dalil al-Quran tetapi beliau berusaha mematikan alasan kumpulan Kristian agar melaluinya diharap dapat melunturkan keinginan Kristian untuk meneruskan permohonannya.  Ini bermakna Dr Khadjiah menolak atas dasar dan rasional untuk mempertahankan dakwah Islam dan aqidah Islam dalam konteks semasa, bukan atas hujjah teks Al-Quran dan Hadis secara specifik. Ia jelas cara seorang pendakwah mengemukakan hujahan balas kepada pihak bertentangan. Kesimpulannya, hukum larangan dan bantahan yang dikemukan oleh Dr Khadijah berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat dan bukan hujjah menafikan hukum asal keharusan.

Ada juga yang penulis yang berhujjah termasuk Dr Khadijah dan ramai lagi penulis lain, menyatakan bahawa kebenaran TIDAK BOLEH diberi kerana Kristian menggunakan nama ALLAH PADA KONTEKS DAN MASKUD YANG SALAH, seperti dikaitkan sebagai Tuhan bapa, mensyirikanNya dan sebagainya.

Bagi saya ini bukanlah hujjah yang betul untuk melarang, kerana JIKA semua penganut Kristian menggunakan Nama Allah pada tempat yang betul maka tidaklah mereka menjadi Kristian, lalu mereka akan seolah mengikut Islam secara paksaan pula. Bukankah mereka bukan Islam dan mempunyai keyakinan agama tersendiri?. Maka kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengikut penggunaan nama Allah pada tempat yang betul menurut aqidah Islam kerana mereka BUKAN ISLAM (atau belum). Apa yang boleh dilarang adalah MENYEBAR KEKELIRUAN DAN AJARAN SALAH MEREKA (MENURUT PERTIMBANGAN AQIDAH ISLAM) ITU KEPADA UMAT ISLAM.

Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.

Tulisan Dr. Syed Tawfiq Al-Attas[7], yang juga jelas memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan Kristian, sama seperti Dr Khadjiah. Justeru, tulisannya lebih mirip sebuah tulisan terpengaruh dengan objektif dakwah. Ia lebih kepada sebab dakwah dan bukan hujjah teks Al-Quran secara specifik. Hukum larangan yang diletakkan oleh Dr Syed ini jelas berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat sebenarnya.

Hal yang sama juga boleh dilihat dalam tulisan Pegawai JAKIM, Ust Aizam Mas'oud. Yang dengan jelas penulisannya berobjektif dakwah berbanding menjelaskan hukum asal. Dari 5 hujjah yang dikemukakan hampir kesemuanya membantah melalui bangkangan hujjah dan alasan Kristian. Hanya satu sahaja ulasan mengulas teks Al-Qurqan, beliau menyertakan dua hujjah menolak. Namun kedua-duanya tidak kukuh tapi tidak sempat untuk saya ulas di kesempatan ini.

Begitulah juga Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam fatwa tahun 2008, pandangan Ketua Pengarah JAKIM dan hampir semua pegawai-pegawai JAKIM dan IKIM yang lain. Semua mereka bagi saya, mengulas dari sudut realiti dakwah, situasi khas di Malaysia dan berobjektif mempertahankan dakwah dalam konteks dan situasi khusus Malaysia. Ia bukan mengulas dari sudut hukum asal dari teks Al-Quran.

Malah tulisan ringkas  saya yang disiarkan dahulu di web ini juga, selepas saya menyatakan hukum asal adalah HARUS, TETAPI realiti dan konteks semasa dakwah di Malaysia BOLEH menghasilkan keputusan ijtihad yang berbeza, iaitu LARANGAN.

Namun begitu, walapun larangan telah difatwakan secara rasmi oleh Majlis fatwa dan disokong oleh Institusi keagamaan rasmi dalam negara, ia tetap sebagai sebuah ijtihad. Ijtihad hasil penelitian konsep mudarat dan manfaat kepada umat Islam dan keharmonian rakyat.

Oleh kerana itu, pertimbangan seseorang dan sesuatu organisasi dengan yang lain, dalam melihat kesan manfaat dan mudarat mungkin berbeza. Hasilnya, beberapa ilmuan seperti Dr Mohd Asri, YB Khalid Samad, Dr Dzulkefli Ahmad, dan parti politik seperti PAS, PKR dan sebagainya terus berpegang dengan hukum asal, iaitu membenar dan mengharuskan orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah tersebut. Jangan pula meletakkan syarat agar "Kristian TIDAK MENYELEWENGKAN penggunaan nama Allah", ini kerana seleweng mengikut piawaian kita tidak sama dengan penyelewengan mengikut piawaian mereka. Justeru, syarat perlu konkrit dan jelas.

 

namaallah2.jpg
namaallah3.jpg

 

namaallah4.jpg

 


GAMBAR-GAMBAR PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN, IA MEMANG KEBEBASN DALAM BERAGAMA TETAPI IA DIBIMBANGI DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM.

 

Oleh itu, kalau ada mana-mana pimpinan PAS atau PKR yang kurang bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melarang, mereka sebenarnya tidak perlu berhujjah dari sudut hukum asal lagi, kerana itu sudah diketahui dan sememangnya majoriti ulama membenarkan, apa yang mereka perlu nyatakan adalah bagaimana mekanisme dan cara bagi mengawal ketakutan dan kebimbangan dokumen seperti gambar ini dari disebar kepada umat Islam yang berada dalam keadaan lemah ilmu hari ini.

Memang benar, Kristian hanya minta untuk akhbar 'The Herald' dan bukan untuk bahan bertulis yang lain atau gereja. tetapi itulah yang dibimbangi, kebenaran ini dijadikan batu loncatan dan asas kepada permohonan yang lain-lain selepas ini. Apakah jaminan yang mampu diberi oleh kumpulan ulama dan institusi yang menyokong bahawa ia TIDAK AKAN merebak kepada yang lain?

Kita semua memang mengakui, keperluan mengukuhkan ilmu agar menjadi benteng aqidah dan bukan semata-mata larang itu dan ini, namun larangan ini adalah salah satu dari pendekatan siyasah yang dirasakan sesuai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan di ketika ini.

 

Mengapa berbeza?

Kerana pertimbangan dan penilaian setempat mereka yang berbeza. Bagi saya, perbezaan mereka bukan isu besar sehingga boleh membawa kufur, ia perbezaaan dalam ijtihad menilai keadaan dan situasi sahaja.

Siapa yang lebih rajih dan kukuh?

Jawabnya muzakarah perlu diadakan bagi kedua-dua pihak mengemukan telahan dan penelitian mudarat dan manfaat yang dilihat dan dikenalpasti. Mungkin sahaja satu pihak tidak terlihat dan tersedar manfaat dan mudarat yang dilihat oleh pihak yang lain. Melalui cara tersebut resolusi yang terbaik akan dapat dihasilkan. InshaAllah.

AL-QARADAWI DAN AZ-ZUHAYLI KATA BOLEH, BAGAIMANA?

Pandangan Syeikh Al-Qaradawi dan Wahbah Az-Zuhayli yang membenarkan Kristian menggunakan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan, adalah tepat tetapi fatwa mereka tidak sesuai digunakan untuk menyokong keputusan pihak yang membenarkannya di Malaysia, ini kerana hukum asal sememangnya HARUS sebagaimana yang telah saya datangkan hujjahnya di atas tadi.

Kedua-dua Syeikh ini sebenarnya memberi pandangan hukum asal berdasarkan teks nas dan hadis, namun mereka tidak mempunyai autoriti yang cukup dari sudut memahami realiti dan konteks khas di Malaysia. Justeru, pandangan ulama-ulama luar Negara dalam konteks ini tidak tepat untuk dijadikan rujukan.

 

3.  NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF KUASA KERAJAAN (SIYASAH SYAR'IYYAH)

Setelah kita lihat hukum pengunaan nama Allah dari dua perspektif iaitu hukum asal dan fleksibilitinya  atas alasan maslahat dan mudarat dari perspektif dakwah.

Jika sekiranya mudarat melebihi manfaat, adakah kerajaan selaku pemerintah berhak dan dibenarkan oleh hukum Islam untuk melarang Kristian dari menterjemahkan kalimah God kepada Allah?. Ini persoalan ketiga, perspektif ketiga.

Ringkasan jawapan, kerajaan dibenarkan menggunakan kuasa dalam hal ini. Dan peruntukkan kuasa itu sememangnya diakui di dalam undang-undang Islam. Saya tidak ingin mengulas lanjut keharusan ini bagi mengelakkan artikel ini terlalu panjang. Cukuplah saya ingin membawa pembaca kepada ringkasan ulasan saya yang terdahulu dalam bab ini. Rujuk sini

KESIMPULANNYA

Kesimpulan tulisan ini adalah :-

1-   Tiada dalil qati'e yang putus sebagai asas dan indikasi hukum bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan.

2-   Terdapat banyak dalil Al-Quran yang bersifat zhonniyah ad-dalalah yang menunjukkan KEHARUSAN bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan Nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Ia adalah pandangan majoriti ulama termasuk Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lainnya.

     Terdapat juga beberapa kumpulan ulama cenderung kepada hukum haram, namun kebanyakan hujjahnya bercampur baur antara hujjah teks al-Quran dan hujjah maslahat dan dakwah. Justeru, melalui penelitian saya, pandangan yang melarang adalah lemah jika ditinjau dari perspektif argumentasi teks Al-Quran. Namun larangan boleh dibuat atas dasar masalah dakwah yang khusus di Malaysia.

3-   Ulama tanahair terbahagi kepada dua kumpulan dalam menentukan keharusan atau pengharaman dari perspektif dakwah dan melihat situasi khas di Malaysia. Majlis Fatwa dan yang bersamanya kelihatan mengharamkan manakala PAS, PKR dan individu masih menganggapnya sebagai HARUS dengan syarat-syarat tertentu. Melalui penilitian saya dalam konteks khusus di Malaysia, saya cenderung bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hal ini. Namun saya tidak melihat pandangan mereka yang membenarkan dengan syarat sebagai salah kerana ia merupakan sebuah isu ijtihadi dalam menilai mudarat dan manfaat. Perbezaan telahan dalam hal ini sememangnya sukar dielakkan.

4-   Jikalau keputusan mahkamah (selepas rayuan) tetap mengizinkan penerbit Kristian menterjemah kalimah ‘God' kepada Allah dalam penerbitan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak yang mencadangkan agar Kerajaan mengadakan segera muzakarah dan dialog di antara ulama, pakar undang-undang dan pihak Kristian bagi memastikan kebenaran itu tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam dan segala penulisan dihadkan kepada penganut Kristian semata-mata. Tatkala itu syarat-syarat dan perjanjian perlu dibuat bagi menjaga kehamonian masyarakat dalam Negara.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

8 Februari 2010



[1] http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/1-artikel-pilihan/48-why-non-muslims-cannot-use-the-word-allah-dr-khalif-muammar.html

[2] Rujuk riwayat pertemuan Khadijah dengan Waraqah dalam Sohih Muslim dan syarahnya oleh Imam An-Nawawi , begitu juga Fathul Bari oleh Ibn Hajar.

[3] Sohih al-Bukhari, dengan syarah Ibn Hajar ( Fathul Bari, Kitab al-Adab, no 6147, jil 10, hlm 660) ; Sohih Muslim, 15/8 cet. Darul Ma'rifat

[4] Fi dzilal al-Quran, Syed Qutb

[5] Al-Asnam, Ibn al-Kalbi, hlm 17

[6] http://www.misgonline.com/index.php?option=com_content&view=article&id=431:perbezaan-penggunaan-kalimah-allah-dalam-agama-islam-dan-kristian&catid=126:januari-2010&Itemid=300078

[7] http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/2-e-akhbar/49-menelusuri-kemelut-kalimah-oleh-datuk-dr-syed-ali-tawfik-al-attas.html



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Soal Jawab & Isu Pilihan Nama Allah Ekslusif Atau Tidak : Hukum Asal, Dakwah & Siyasah