Punca Gawat & Matawang Emas Akan Gagal Jika
- Kembalikan Fungsi Asal Matawang -
- Pemain forex pemusnah system matawang -
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Tidak dinafikan sistem kewangan Islam yang wujud hari ini masih banyak kelemahan dan kekurangannya. Dari pelbagai jenis sudut, sama ada dari sudut rangka kewangan dunia yang mengcengkam, system perundangan yang banyak kalanya tidak bersedia dan tidak menepati, pemegang saham perbankan Islam yang ‘tidak' ihsan serta terlalu mengejar keuntungan, sistem perkomputeran dan pengiraan yang masih lagi ‘terpaksa' mengikut rentak majoriti yang konvensional, produk perbankan Islam yang masih terbawa-bawa kehendak pelanggan berminda konvensional, pelanggan yang terlalu ‘demand' kesempurnaan pada praktis perbankan Islam tetapi diri sendiri terlalu jahil tentang Fiqh Muamalat dan kewangan moden hingga akhirnya menjadi racun kepada umat Islam, sistem matawang fiat yang direka, dicipta dan diatur tidak dengan cara yang betul dan panjang lagi senarainya jika ingin saya kongsikan di sini.
Dari senarai panjang tersebut, hanya satu yang ingin dikongsikan bersama dalam tulisan ringkas padat ini. Iaitu topik berkaitan sistem pengendalian matawang yang menyukarkan perubahan untuk melahirkan system kewangan Islam yang terbaik. Kesalahan pengendalian dan regulasi matawang hari ini telah diakui oleh begitu ramai pakar dari kalangan Muslim dan bukan Islam sebagai salah satu punca berlakunya kegawatan demi kegawatan.
Di dalam Forum Kewangan Dunia di Geneva 2010, baru-baru ini, Pengerusi Majlis Syariah Kesatuan Kewangan Islam Sedunia (AAOIFI) yang juga Naib Presiden Darul Uloom, Karachi, Syeikh Mufti Taqi UThamni telah berusaha berkongsi pandangan sebagai mewakili majoriti besar ulama dan ahli ekonomi Islam berkenaan system matawang.
Beliau cuba membawa menyedarkan pemimpin-pemimpin Negara maju untuk membuat satu perubahan radikal jika benar-benar ingin mengelakkan berulangnya ‘serangan' kejatuhan ekonomi di masa akan datang. Sesuai dengan tema program tersebut yang cuba mencari punca dan penyelesaian bagi kegawatan ekonomi baru-baru ini.
Benar, di waktu dan ketika ini, yang praktikal adalah dengan cuba meyakinkan pemimpin Negara maju ini untuk berubah, itu adalah salah satu cara terbaik untuk mempengaruhi system besar kewangan dunia untuk berubah dan dibaikpulih sedikit demi sedikit. Memang kita boleh menunjuk ‘lagak' untuk mempertikai itu dan ini dan mengkritik system kewangan Islam dengan pelbagai tuduhan keras selagi menumpang di atas system kewangan konvensional dan menggunapakai matawang fiat kertas.
Namun pandangan ideal semata-mata yang tidak menjejak di bumi pasti akan gagal menyakinkan pemimpin Negara maju untuk berubah, lalu ia akan kekal menjadi mimpi dan idaman sahaja.
Atas dasar itu, kita bersyukur dan berterima kasih atas usaha Syeikh Taqi Uthmani yang amat cemerlang. Beliau mengusulkan idea perubahan praktikal yang mesti dilakukan oleh dunia bagi menghasilkan sesebuah system kewangan yang lebih dinamik dan selamat di masa akan datang.
Salah satu cadangannya patut difahami sebaiknya oleh kita semua, selaku umat Islam sendiri. Kerana bagaimanakah boleh kita mengharapkan perubahan hanya dari minda dan tangan pemimpin barat sedang kita sendiri tidak faham apa yang sepatut dan yang tidak. Justeru, di kesempatan ini saya ingin menegaskan satu perkara sahaja.
Tanpa niat untuk mengulas secara mendalam perihal matawang emas dan praktikalitinya di dunia moden, sebenarnya ada satu isu yang lebih basic dari isu tersebut, yang tanpa memahaminya, matawang dinar emas ( jika mampu dilaksana) juga akan tetap gagal dalam membentuk sebuah system ekonomi yang Islamik dan stabil. Ia adalah isu kemestian untuk mengembalikan fungsi matawang dalam Islam.
KEMBALIKAN FUNGSI ASAL MATAWANG
Imam Abu Hamid Al-Ghazali sejak 900 tahun dahulu telah menegaskan fungsi asal dan asas bagi matawang menurut perspektif Islam. Beliau berkata
"Penciptaaan dirham dan dinar ( matawang emas dan perak) adalah benar-benar satu rahmat dari Allah ta'ala, kedua-duanya pada hakikatnya tiada nilai tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh manusia ( seperti untuk makan dan minum), tetapi akhirnya semua manusia memerlukannya disebabkan semua manusia memerlukan nilai suatu komoditi (barang) untuk ditukarkan bagi mendapatkan keperluan asasi makanan dan pakaiannya. Atas sebab itu, transaksi yang melibatkan pertukaran barangan antara satu sama lain tidak dapat dielakkan, Namun masalahnya, bagaimana untuk diukur nilai sesebuah barang dan ditetapkan harganya? Justeru keperluan itu, semua barangan keperluan ini memerlukan satu barang perantaraan yang boleh menjadi ukur rujuk bagi nilai. Maka itulah gunanya dinar dan dirham ini (wang emas dan perak), kedua-dua logam berharga itu akan menjadi ukuran nilai sesuatu barangan lain kerana KEDUANYA TIDAK MENJADI OBJEKTIF jual beli, ia hanya menjadi perantaraan, jika kedua menjadi OBJEKTIF seluruh system ekwangan akan ROSAK DAN TERGANGGU. Kerana itulah Allah menciptankannya, melalui perantaraannya, pertukaran barangn kepelruan yang menjadi sasaran dan oibjektif jual beli akan terjamin keadilannya."
Dari penerangan Imam Al-Ghazzali ini, jelas pendirian ekonomi Islam berkenaan matawang tidak kira ia dari jenis emas, perak atau kertas fiat adalah:-
a) Matawang mestilah hanya sebagai perantara bagi tranksaksi jualbeli komoditi sebenar sahaja dan ia sendiri BUKAN komoditi.
b) Matawang mesti menjadi panduan ukuran nilai sesuatu barang keperluan.
Kedua-dua syarat di atas saling berkait, tanpa salah satu, ia akan gagal menjadi matawang yang dikehendaki oleh Islam.
Ini juga konsep yang telah diakui tepat oleh para ahli ekonomi seluruh dunia, khususnya Muslim economist. Malangnya, di ketika ahli cerdik pandai ini menyarankan dan mengakuinya, pemimpin politik dan taikon kewangan dan regulator badan utama kewangan dunia tidak mahu menrima pakai cadangan dan pandangan tersebut, ia tidak lain adalah akibat ketamakan melampau puak korporat dan politik ini.
Kesannya, hari ini matawang selain dijadikan sandaran nilai dan medium perantara jualbeli, ia sendiri telah dijadikan sebagai KOMODITI yang juga barang yang dijual dan dibeli.
Dalam bahasa mudahnya, emas dan matawang sendiri dijadikan sebagai objektif dalam sesuatu transaksi jualbeli, ia sepatutnya hanya menjadi perantara namun kini, fungsinya telah disalahgunakan sehingga menjadi barang jualan dan akhirnya menyebabkan nilainya tidak lagi stabil (fluctuate). Ini mencacatkan fungsinya yang sepatutnya dijadikan sandaran atau ukuran bagi nilai komoditi lain.
Matwang yang dijadikan sandaran nilai sepatutnya mempunyai nilai yang hampir tetap, tidak terlalu banyak berubah dan bergerak. Hanya dengan itu, inflasi dapat dikawal dan jualbeli menjadi stabil dan keadilan tersebar.
Namun apabila matawang hari ini di jadikan komoditi, nilai sendiri tidak terkawal. Selain melihat nilai matawang kertas, cuba lihat juga nilai emas hari ini, bukankah ia juga turun naik dengan agak kerap..itu tanda emas yang wujud hari ini diperlakukan secara salah oleh manusia.
Atas sebab itu, hatta jika hari ini kita sibuk menginginkan emas untuk dijadikan matawang, namun dengan sikap dan attitude yang menggangap matawang sebagai komoditi, emas dan perak itu sendri pun akan gagal berfungsi sebagai matawang yang diinginkan oleh Islam.
Sebab itulah, perlu difahami, kejayaan menjadikan emas sebagai matawang belum boleh dianggap satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali, malah masih amat jauh. Malah, apa yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan system regulasi kewangan dunia hari ini.
Sistem matawang emas dan perak ini pun bukanlah diperkenalkan oleh Rasulullah, malah ia telah wujud sebelum dari kebangkitan Rasulullah. Islam menerima pakai dua logam berharga itu sebagai matawang dan hanya mampu di "ISLAMKAN' apabila syarat-syarat urusniaga matawang yang digariskan oleh baginda Nabi DIPENUHI. Justeru, hanya memperjuangkan matawang emas bukan segala-galanya bagi sebuah ekonomi dan kewangan Islam.
Justeru, janganlah ada yang menyangka bahawa system kewangan Islam akan hanya menjadi benar-benar Islam apabila menggunakan emas dan perak sebagai matawang. Tidak semudah itu. Malah dengan fiat money ini juga system kewangan Islam mampu dicapai jika regulasi dan pengurusan matawang berjaya direfomasikan kepada cara yang betul, sama ada cara ia dikeluarkan, edaran, kawalan dan penggunaannya.
MENYEDIHKAN BILA EMAS DIJADIKAN ALAT PELABURAN
Lebih menyedihkan, di ketika laungan dan desakan untuk mengembalikan emas dan perak sebagai matawang dipukul canang oleh sebahagian umat Islam, individu yang sama juga kelihatan sibuk memperdagangkan emas dan menjadikannya sebagai sebagai bahan pelaburan. Mereka sibuk membeli emas dalam bentuk jongkong yang dijual oleh Public Bank, Maybank melalui akaun pelaburan emasnya, atau melalui syarikat-syarikat lain untuk disimpan dan kemudian dijual bagi memperolehi untung atas perbezaaan hari ini dan masa hadapan. Kemudian mereka menggembar-gemburkan kononnya melabur dalam emas adalah Islamik dan menepati Islam.
Hakikatnya itu adalah dakwaan terseleweng mereka, ia tersasar dari falsafah matawang yang digariskan oleh Imam Al-Ghazzali, dan majority ilmuan Islam.
Memang benar, walaupun secara kontraknya jual beli mereka adalah sah apabila menepati syarat serah terima pada satu masa dan sama timbangannya (Yadan bi Yadin mithlan bi mihtlin), tetapi hakikatnya tindakan itu tersasar dari Maqasid al-Shariah kepada penciptaan emas dan perak itu sendiri.
Malah jika benar-benar satu hari kelak emas dijadikan matawang, individu sebegini yang akan merosakkan system kewangan Islam di ketika itu. Mengapa? Kerana mereka terlibat dalam mengubah fungsi emas dan perak yang sepatutnya menjadi matawang kepada komoditi dan objektif untuk membuat untung atas perubahan nilai. Selagi mereka melaksanakan kerja itu, selagi itulah emas juga TIDAK SESUAI dijadikan matawang. Kelak nanti syiling-syiling matawang emas semuanya disimpan dan disorokkan dari gunapakai, kerana ingin menunggu nilainya menaik. Tatkala itu ia akan tergolong dalam erti ihtikar yang diharamkan.!
Perlu difahami, emas yang sudah dibentuk menjadi perhiasan seperti gelang, rantai, cincin dan sepertinya tidak dilarang untuk dijadikan komoditi atas sifatnya yang telah bercampur dengan skill pembuatan dan ditokok tambah pula dengan batu permata dan sebagainya. Tatkala itu, barulah boleh diambil untung atas jualannya.
BAGAIMANA KONTEKS HARI INI MATWANG KERTAS?
Disebabkan matawang emas masih tidak wujud di ketika ini, maka bagi memastikan system kewangan lebih stabil dan selamat pada pandangan Islam, maka apa sahaja yang menjadi galang ganti kepada matawang emas dan perak juga TURUT WAJIB DIKENDALI SESUAI SEBAGAI MATAWANG BUKAN KOMODITI.
Kesatuan Fiqh Islam sedunia, akur kepada system kewangan dunia yang dipegang oleh bukan Islam, mereka mengatur dan menjadikan kertas sebagai matawang. Maka atas dasar hajiat, ulama sedunia bersama pakar ekonomi Islam membuat keputusan keharusan untuk mengunnapakai matawang kertas namun mestilah diuruskan menepati cara urusan emas dan perak.Iaitu dari sudut hukumnya dan juga cara pengendaliannya sebagai matawang, iaitu tidak harus dijadikan komoditi.
Atas sebab itu, forex trading walaupun dibuat spot tetapi untuk mengabil untung atas perbezaan nilai matawang, adalah juga HARAM di dalam Islam kerana ia lebih kepada spekulasi dan perjudian. Di samping isu-isu lain seperti gharar dan keterlibatan riba dalam leverage. Apapun, yang pasti perniagaan forex trading wang kertas pelbagai Negara adalah untuk menraih untung atas perbezaaan nilai matwang adalah HARAM kerana ia adalah judi dan penyebab mudarat kepada system ekonomi dunia dan penyumbang kepada inflasi serta ketidakstabilan nilai matawang.
Bank-bank Islam di seluruh dunia juga dikawal selia oleh Majlis Syariah masing-masing agar tiada unsur spekulasi dalam setiap forex trading mereka. Hanya forex untuk tujuan lindung nilai ( hedging) sahaja dibenarkan. Itulah juga keputusan Majlis Shariah Bank Negara Malaysia. Forex trading untuk raih untung atas perbezaan nilai matwang tidak dibenarkan OLEH MAJORITI Majlis Syariah bank-bank Islam walaupun ia dibuat secara spot.
Hasilnya, kita perlu faham, matawang kertas (fiat money) yang wujud hari ini juga mestilah TIDAK dijadikan komoditi, sama seperti emas dan perak. Itulah yang diwarwarkan oleh Syeikh Taqi Uthmani semasa Forum Kewangan Dunia. Bagi mengurangkan masalah di dalam system ekonomi semasa. Sebagai jalan pertama untuk mewujudkan system ekonomi adil dan menepati Islam.
Malangnya dicelah-celah ketamakan manusia hari ini, matawang kertas fiat hari ini turut menjadi bahan sasaran dan objektif keuntungan. Bukan sahaja bank-bank terlibat, malah ramai individu juga rambang mata berniaga FOREX melalui platform internet, Walau ia ditegah oleh kerajaan, semuanya tidak diendah lagi.
Mereka membeli matawang sesebuah Negara (Euro sebagai contoh) untuk disimpan sebagai pelaburan bagi menunggu nilainya menaik untuk dijual kembali di pasaran. Inilah punca dan penyebab kelam kabut ekonomi dunia. Sama ada ia dilakukan oleh industri perbankan atau individu. Kesemuanya BERDOSA. Imam Al-Ghazzali berkata :
"Jadinya, barangsiapa yang memulakan berjualbeli matawang (untuk mendapat keuntungan perbezaan nilai), tindakannya sendiri telah BERCANGGAH dengan objktif asal penciptaan matawang,... jika dibenarkan mereka berbuat demikian, kelak matawang itu sendiri akan menjadi tumpuan dan objektif lalu akan bermulalah perbuatan ihtikar (hoarding) = simpan untuk tunggu naik harga dan jual" [1]
Falsafah larangan dan objktif ini dijelaskan oleh Syeikh Taqi uthmani dapat dilihat dengan jelas dari pengharaman riba dan penghalalan jual beli sebagai ganti kaedah untuk mendapat untung.
PENYELESAIAN TEPAT DAN TIDAK PELIK
Sebenarnya cadangan ini tidaklah ganjil dan pelik, malah ia juga telah dicadang oleh ramai pakar ekonomi termasuk yang bukan beragama Islam. Contohnya selepas berlakunya kegawatan pada tahun 1930 an, ‘Economic Crisis Committee' telah dibentuk oleh Southampton Chamber of Commerce, selepas perbincangan dan diskusi mendalam mereka menyatakan:
"In order to ensure that money performs its true function of operating as a means of exchange and distribution, it is desirable that it should cease to be traded as a commodity."[2]
Malah suatu percubaan praktikal telah dicuba dan didedahkan oleh seorang ahli ekonomi bernama Margrit Kennedy di dalam bukunya bertajuk "Interest and Inflation Free Money." Beliau memaklumkan hasil percubaan pelaksanaan interest free model DAN MATAWANG TIDAK DIJADIKAN KOMODITI yang dilakukan di pekan kecil Austria pada tahun 1932- 1933, dia menyatakan :
"When over 300 communities in Austria began to be interested in adopting this model, the Austrian National Bank saw its own monopoly endangered. It intervened against the Town Council."[3]
Beliau juga bersama beberapa pakar ekonomi di USA telah berusaha bagi mencadangkan system alternative ini kepada kerajaan USA pada tahun 1933, tetapi semua cadangan mereka ditolak.
Syeikh Taqi menegaskan :
"In order to save the world from such evil consequences, trading in money itself should be stopped. Exchange of different currencies is, of course, inevitable for the purpose of international trade, for which one currency has to be sold for another currency, and a margin of profit for the seller may be inbuilt in the exchange rate. So far as these exchange transactions are carried out for the genuine purpose of cross border trade of real commodities, it cannot pose a problem. The problem arises when exchange of currencies is meant for speculative transactions in money itself. Unfortunately, majority of currency transactions carried out in the market are purely speculative. " [4]
Ertinya : "Bagi menyelamatkan dunia dari kesan buruk, penjualbelian matawang MESTI dihentikan, Namun begitu, pertukaran matawang berbeza adakalanya tidak dapat dielakkan bagi keperluan perdagangan antarabangsa, yang mana memerlukan pertukaran dan jualbeli matawang berbeza...dan margin keuntungan penjual mungkin telah dimasukkan dalam nilai tukaran. Biasanya pertukaran dari jenis ini yang didasari oleh tujuan-tujuan asas perdagangan komoditi sebenar, ia tidak banyak mengancam ekonomi. Masalah sebenar hanya berbangkit apabila pertukaran matawang dibuat bagi tujuan spekulasi dalam nilai matawang itu sendiri. Amat malang apabila didapati majority transaksi pertukaran matawang dibuat adalah atas dasar spekulasi tulen (judi).
Bayangkan, dengan jumlah global international trade pada tahun 2008 sekitar US$ 32 trillion, [5] iaitu purata US$88 billion setiap hari, mankala ‘daily turnover' bagi global foreign exchange markets pula dianggarkan pada nilai USD $ 3.98 trillion, [6] iaitu, 45 kali ganda lebih besar dari jumlah international trade. Ini bermakna hanya 2% daripada pertukaran matawang benar-benar didasari oleh permintaan sebenar oleh kerajaan dan peniga. Baki 98 % adalah dilakukan atas dasar spekulasi yang akhirnya menyebabkan inflasi di seluruh dunia dan menjadi salah satu punca ketidakstabilan ekonomi dunia dan kegawatan.
KESIMPULAN
- 1) Wajib mengembalikan fungsi matawang kepada asal iaitu penentu nilai barangan (komoditi) dan perantara kepada proses jualbeli komditi.
- 2) Tidak menjadikan matawang samada wang fiat atau emas dan perak sebagai komoditi kerana ia hanya akan merosakkan system nilai dan ekonomi serta menambah inflasi.
- 3) Haram hukumnya menyertai FOREX Trading melalui internet di peringkat individu kerana bercanggah dengan undang-undang negara dan banyak syubhatnya di sisi undang-undang Islam.
- 4) Setiap penasihat Syariah bank-bank Islam wajib menyemak kembali fatwa mereka (jika ada yang membenarkan) yang membenarkan bank seliaan mereka berniaga FOREX Trading walau mematuhi syarat serah terima sertamerta.
- 5) Kerajaan Malaysia amat patut mengenengahkan idea ini kedalam perbincangan ekonomi dengan Negara-negara maju di seluruh dunia. Saya yakin mereka sedar, hasil membenaRKAN matawang sebagai KOMODITI inilah yang menjadikan Malaysia sasaran George Soros pada tahun 1997. Tanyalah Dr Mahathir tentang hal ini.
- 6) PAS dan Pakatan Rakyat juga patut menjuarai isu ini di pentas nasional dan global. Jangan biarkan Syeikh Mufti Taqi Uthmani keseorangan dalam lontaran ideanya.
- 7) Kepada penyokong-penyokong matawang emas dinar, jangan anda terlibat dalam perdagangan emas jongkong sebagai komoditi kerana anda adalah punca kegagalan system itu diyakini oleh barat kerana nilainya juga turut akan menjadi fluctuate kerana anda.
- 8) forex YANG DIBENARKAN hanyalah a) Untuk lindung nilai (hedging) b) untuk tukar duit kerana urusan luar negara ( yang biasanya tukar di money exchange)c) forex tukaran matawang yang diperlukan kerana perdangangan komoditi di peringkat antarabangsa yang memerlukan penggunaan matawang berbeza.
- 9) FOREX trading untuk raih keuntungan yang dilakukan oleh individu sebenarnya kecil sekali berbanding FOREX yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia dan bank-bank Komersial. Kerajaan Malaysia sepatutnya MENIMBANG KEMBALI DASAR FOREX yang besar ini terlebih dahulu. Bukankah dahulu BNM pernah rugi berbillion ringgit akibatnya. Kesimpulannya kedua-dua Forex dari institusi dan perseorangan sama sekali tidak menepati Maqasid Shariah dan merosak fungsi matawang.
- 10) Sekadar menyimpan emas untuk diri sendiri di kemudian hari, tiada masalah di sisi Islam dan Maqasid Shariah. Apa yang saya sifatkan sebagai bermasalah dalam tulisan ini adalah yang simpan emas sekejap, kemudian jual, kemudian simpan balik, kemudian jual semula. Iaitu mereka yang menjadikan emas untuk trading secara kerap kerana meraih untung perbezaaan nilainya. Jadi, jangan salah faham tulisan ini sebagai in total melarang simpanan emas.
Terima kasih kepada sesiapa yang mampu membaca sehingga tamat artikel ini dan khusunya bagi mereka yang mampu memahami tulisan ini. Sampaikanlah ia kepada sesiapa yang mampu memgambil manfaat darinya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
1 Februari 2010
· Ingin tambah bacaan berkenaan wang kertas dan penciptaannya secara mudah. Buka tulisan saya yang lalu di sini .
[1] Al-Ghazali, Ihya'ul-uloom, v.4, p.348, Beirut 1997
[2] The Report of Economic Crisis Committee, Southampton Chamber of Commerce, 1933, part 3, (iii) para 2
[3] Margrit Kennedy: Interest and Inflation Free Money, p.39 Philadelphia 1995
[4] Uthmani, Muhammad Taqi (2010), Post-crisis reforms : Some points to ponder, World Economic Forum Values Report, Geneva, p. 51-57
[5] World Trade Organization. http;//stat.wto.org/statisticalprogramWSDBViewData.
aspx?Language=E
[6] http;//en.wikipedia.org/wiki/Foreign_exchange_market
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites





























Comments
melabur dalam emas tak boleh..
nak melabur dalam saham pun tak pasti halal haram...
pendapatan saya sdikit, hutang lama lagi nak selesai,
rancang ada modal sdikit ni nak la melabur,
bukan la nak kaya raya, cukup selesaikan hutang,
dapat simpanan masa depan cukup la..
ustaz ada cadangan tak bagi kami laburkan wang kami ni agar dapat kami merasa sedikit senang....
Hasil daripada kefahaman saya begini:
Bukan emas atau matawang sahaja yang tidak boleh diniagakan. Konsepnya sama seperti
Membeli gula atau tepung untuk tujuan sorok (akibatnya harga naik) kemudian kita jual. Ia akan memberi kesan kepada harga barangan seterusnya membawa kemudaratan.
Yang penting dalam Islam adalah mengekalkan konsep keseimbangan, tujuan dan niat yang baik.
Minta betulkan jika saya silap
Sefaham saya;
Pembenaran Hedging bukan pembenaran jangka panjang. Ia adalah mekanisme untuk melindungi matawang Malaysia dari manipulasi di dalam keadaan sistem kewangan semasa.
Sistem kewangan ideal yang dibincangkan dalam artikel di atas belum disokong oleh dunia. Pembenaran Hedging adalah untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar.
Allahu'alam.
Sefaham saya yang menjadi masalah adalah Emas yang bukan dalam bentuk barang pengguna seperti barang kemas dan barang2 bertatah emas.
Di sini saya ingin mengetahui pendapat ustaz serta hukum terhadap pembelian dinar iraq dan$ menyimpannya untuk tujuan pelaburan matawang.
Kedua saya ingin meminta penjelasan ustaz berkenaan website ini.http://vgmc.com/..saya ingin melibatkan diri dalam pelaburan ini. tetapi sebelum bertindak lebih baik saya mendgr penjelasan dari ustaz terlebih dahulu...di harap ustaz dpt jelaskan kedua masalah di atas
ana nk mohon penerangan.
ust menyatakan yang jual beli emas untuk meraih keuntungan dari perbezaan harga adalah bermasalah dari segi syarak. tapi jika simpan utk sendiri adalah tidka bermasalah.
tapi bagi org yang menyimpan, pastinya suatu hari nanti (katakan 1 tahun kemudian - sbb emas takkan boleh baut untung kurnag dari setahun) dia akan menggunakan/menjual emas tersebut - sbb nk guna duit. jadi pada waktu itu pastinya sudah ada perubahan harga. pastinya akan ada keuntungan/kerugian.
jadi apakah bezanya dgn org yg beli dan kemudian jual semua kepada org lain?
atau apakah yg UZAR maksudkan di atas ialah org yg bermain spot gold trading?
mohon pencerahan.
jzkk.
Banyak yang saya dapat....... maklumat yang baik untuk dijadikan panduan.
Minta kebenaran untuk C&P ...untuk memberi ingatan kepada kawan-kawan yang lain.
Terima Kasih.
admin facebook group ...Dinar dan Dirham.
Salam UZAR, tolong bagi penjelasan keseluruhan post yg saya quote ini..Terima kasih.
saya juga seorang forex trader dan dalam proses untuk tidak lagi bermain forex mamandangkan ia banyak meragukan saya dari segi hukum.
Saya ingin meminta izin daripada UZAR untuk publishkan artikel ini di laman blog saya (serambimekah.wordpress.com) untuk perkongsian kepada umat Islam dan rakan-rakan trader yang lain. Saya akan letakkan link artikel ini pada hujung post di blod saya.
bukankah sekiranya haram maka hukumnya adalah tetap haram tak kira samada ada kepentingan atau tidak?
kenapa pula hedging dibolehkan pula? tak mengganggu ekonomi duniakah? adakah ianya dibolehkan kerana ianya ada kepentingan kepada bank negara? Adakah hukum haram forex hanya untuk orang2 tertentu sahaja?
mereka yg berjual beli emas ini terlalu taksub sampai sanggup membakar wang kertas note rm 50 2 atau 3 keping (saya pernah lihat di fb) bagi menunjukkan tiada nilai wang kertas, saya katakan tindakan itu "kurang cerdik" kerana, wang kertas yg sama juga di gunakan utk membeli dan menjual emas so? bakarlah 100k baru gempak
Sekian terima kasih.
FATWA TENTANG JUAL BELI MATA UANG
Pertama : Ketentuan Umum
Transaksi jual beli mata uang pada prinsipnya boleh
dengan ketentuan sebagai berikut:
a. Tidak untuk spekulasi (untung-untungan)
b. Ada kebutuhan transaksi atau untuk berjaga-jaga
(simpanan)
c. Apabila transaksi dilakukan terhadap mata uang
sejenis maka nilainya harus sama dan secara tunai (attaqabudh).
d. Apabila berlainan jenis maka harus dilakukan dengan
nilai tukar (kurs) yang berlaku pada saat transaksi
dilakukan dan secara tunai.
Kedua : Jenis-jenis Transaksi Valuta Asing
a. Transaksi Spot, yaitu transaksi pembelian dan penjualan
valuta asing (valas) untuk penyerahan pada saat
itu (over the counter) atau penyelesaiannya paling
lambat dalam jangka waktu dua hari. Hukumnya
adalah boleh, karena dianggap tunai, sedangkan
waktu dua hari dianggap sebagai proses penyelesaian
yang tidak bisa dihindari ( EE' N D' (/ EPFG )P dan merupakan
28 Jual Beli Mata Uang 4
Dewan Syariah Nasional MUI
transaksi internasional.
b. Transaksi Forward, yaitu transaksi pembelian dan
penjualan valas yang nilainya ditetapkan pada saat
sekarang dan diberlakukan untuk waktu yang akan
datang, antara 2 x 24 jam sampai dengan satu tahun.
Hukumnya adalah haram, karena harga yang digunakan
adalah harga yang diperjanjikan (muwa'adah) dan
penyerahannya dilakukan di kemudian hari, padahal
harga pada waktu penyerahan tersebut belum tentu
sama dengan nilai yang disepakati, kecuali dilakukan
dalam bentuk forward agreement untuk kebutuhan
yang tidak dapat dihindari (lil hajah).
c. Transaksi Swap, yaitu suatu kontrak pembelian atau
penjualan valas dengan harga spot yang dikombinasikan
dengan pembelian antara penjualan valas yang
sama dengan harga forward. Hukumnya haram,
karena mengandung unsur maisir (spekulasi).
d. Transaksi Option, yaitu kontrak untuk memperoleh
hak dalam rangka membeli atau hak untuk menjual
yang tidak harus dilakukan atas sejumlah unit valuta
asing pada harga dan jangka waktu atau tanggal akhir
tertentu. Hukumnya haram, karena mengandung
unsur maisir (spekulasi).
Ketiga : Fatwa ini berlaku sejak tanggal ditetapkan dengan ketentuan
jika di kemudian hari ternyata terdapat kekeliruan,
akan diubah dan disempurnakan sebagaimana mestinya.
Ditetapkan di : Jakarta
Tanggal : 14 Muharram 1423 H.
28 Maret 2002 M.
DEWAN SYARI?AH NASIONAL
MAJELIS ULAMA INDONESIA
Ketua, Sekretaris,
K.H.M.A. Sahal Mahfudh Prof. Dr. H.M. Din Syamsuddin
UZAR : memang saya setuju fatwaMUi tu, lihat jelas syarat tu 'TIDAK UNTUK SPEKULASI'
ustaz..saya sgt bersetuju dgn pendapat ustaz tentang spot forex dan haram mengambil keuntungan dgn perbezaan matawang..akan tetapi bagaimana pulak dgn hedging (lindung nilai) ustaz..tidak kah kita mengambil untung dari perbezaan matawang juga..
UZAR ; Hedging matlamatnya lindung nilai dan mitigate risiko jual beli guna matawang berbeza, asansya adalah jual beli komiditi, hedging digunakan untuk elak risiko. Manakala yangbukan hedging adalah spekulasi yang memang tujuan utama adalah 'main' margin atau untuk spekulate agar dpt untung atas perbezaan nilai,
UZAR : sdr ni dah 'ketinggalan bas'. Isu kejatuhan ekonomi 2008 dah saya ulas sejak 2 tahun lepas lagi. baca artikel tu di sini www.zaharuddin.net/.../95 (www.zaharuddin.net/.../95)lain kali nak komen, belajar asas ekonomi dan asas mengomen sebelum beri komen
Apabila membaca artikel utstaz di laman web lain, saya pun mencari halaman ini, rupanya ustaz memang pakar dalam bidang ekonomi Islam, al-hamdulillah.
Saya juga telah mengubah pandangan saya terhadap ustaz kerana sebelum ini saya dengar ustaz menghalalkan forex.
Mulanya saya tidak setuju, tapi VCD yang saya lihat itu hanya sekerat jalan saja, namun apabila membaca sendiri kenyataan ustaz, Al-Hamdulillah. Dan Subhanallah.
Memang forex itu haram, ulama-ulama menghalalkannya ketika ini hanya kerana Dharurat. Selain itu ianya tetap haram. Tidak boleh dijual beli untuk pelaburan atau bagi tujuan mencari keuntungan. Masya Allah.
Saya rasa dengan adanya khidmat Ustaz, Islam akan kembali menjulang di mata dunia. Insya Allah. Teruskan usaha Ustaz. Saya berdoa dan semua umat Islam berharap pertolongan Ustaz. Pujuklah semua pemimpin Islam dan buatlah surat pada mereka, agar mereka dapat membantu menaikkan kekuatan Islam.
Saya juga berpendapat Islam boleh mempunyai Bank Islam Sedunia dan kita boleh menamakannya (WIN Bank, World Islamic Nation Bank) dan Juga mempunyai satu mata wangnya sendiri yang berdasarkan kepada nilai Emas dan Perak.
Bila Islam mempunyai Bank sendiri dan mata wang sendiri, maka Insya Allah swt, Riba mata wang Zionis Laknatullah akan hancur berkecai. Amin. Kerana ketika itu nanti segala pertukaran antara mata wang tidak perlu lagi, kerana umat Islam masing-masing memiliki wang yang sama.
Ihtikar dalam mata wangpun mungkin dapat dielakkan pada spekulator2 kecil disamping menggunakan undang-undang pada spekulator gergasi-gergasi.
Mohon bahan Ustaz dan Sila layari:
rahsia-rahsiabesardalamal-quran.blogspot.com/
dan
surah-al-kahfi.blogspot.com/
semoga Allah swt mnerima segala amalan kita dan memaafkan segala kesalahan kita dan memasukkan kita dalam golongan hamba-hambanya yang dekat di sisiNya sentiasa dunia Akhirat.
sebenarnya sy dah tanya sbl ni tapi x berjawab (mungkin terselindung bawah "replies to comments", so sy nak tanya sekali lg utk dpt penjelasan.
Ust cakap emas yg belum dijadikan perhiasan ADALAH matawang ! Saya musykil lah.. sbb sekarang ni Undang2 Malaysia (dan dunia) melarang emas dijadikan matawang iaitu utk quote harga utk pertukaran nilai. kalau Undang2 melarang penggunaannya sebagai Matawang, adakah ia jadi BUKAN matawang? sbb ikut kaedah "Kebiasaan / Adat itu menjadi Hukum" .. oleh sebab Undang2 kata Fiat money adalah matawang, maka gold bar, kijang emas etc ADALAH bukan Matawang ! (Atau bukan sebegitu ?)..
Lagi satu, kalau Ust insist juga Emas yg bukan bentuk Perhiasan adalah Matawang, maknanya ia akan mempengaruhi kiraan zakat wang; Contoh, En Ali mempunyai RM 5,000 di BIMB selama satu tahun & juga Gold Bar bernilai RM 5,000 juga selama setahun ; (jika nisab adalah RM 9,000) maka Wang En Ali ialah RM5,000(BIMB) + RM5,000 (gold bar); maka zakat RM 10,000 x 2.5% = RM 250.
Mohon penjelasan. Wassalam.
Dari artikel ustaz difahami bahawa emas tidak boleh dijadikan komoditi untuk mendapatkan keuntungan. Merujuk artikel www.zaharuddin.net/.../63 , kerajaan Kelantan telah mengeluarkan dinar emas. Pengeluaran dinar emas itu pula bukan untuk menggantikan sistem matawang kertas. Sudah tentu ia dijadikan cenderamata berharga dan komoditi.
Soalan:
1. Jika saya memiliki dinar emas tersebut dan bila tiba masanya saya terdesak perlukan wang tunai, maka saya tidak boleh menjualnya kerana ia akan menjadi suatu komoditi. Benarkanh begitu?
2. Jika menjadikan emas sebagai komoditi itu haram, sudah tentu tindakan kerajaan Kelantan mengeluarkan dinar emas juga salah kerana bukan bertujuan menggantikan sistem wang kertas. Bagaimana ini boleh terjadi?
Maaf ustaz, kami ingin membersihkan urusniaga kami. Harap ustaz bantu kami mencerahkan keadaan.
UZAR : dalam artikel saya, saya tidak ada kata tak bolehjual emas, BOLEH JUAL tapi ia dijual bukan kerana ingin spekualsi dan mengambil utung atas perbezaan nilainya dan dilakukan secara kerap dan menjadi sumber pendapatan.
Justeru soalan pertama sdr, ya boleh jual emas tersebut dgn syarat, transaksi itu dilakukan semerta tiada tangguh di kedua-da pihak
soalan kedua, kerajaan negeri boleh mengeluarkan dinar emas itu sbg alternatif simpanan bagi mereka yg berminat. Ia tiada salah, sama seperti menjual jongkong kpd sesiapa yang ingin membelinya krn ingin simpan untuk hari depannya..
Beliau adalah trader Muslim dan antara yang paling berjaya...
(deleted).. pejabat beliau tak jauh daripada UIAM..
Nama-nama seperti keputusan Majlis Syariah selalu digunakan. Panel-panel syariah dalam tu betul2 faham ke the real implementation utk trade tu? Sama ada spot, option atau Futures, saya betul2 meragui mereka memahaminya. Kemudian satu resolution akan dikeluarkan dan kita yang dinamakan org ramai hanya perlu ikut sahaja sebab kalau apa2 hal, mereka yang akan menanggung dosa@bertanggun gjawab. Itu yg saya selalu perhatikan dlm banyak tulisan di sini.
Adalah sesutu yang tidak masuk akal apabila FOREX atau Futures utk tujuan keuntungan tidak dibenarkan manakala untuk tujuan hedging dibenarkan. Habis bercelaru semuanya. Sama juga seperti satu masa dahulu di laman web ini ada menyatakan position long adalah dibenarkan manakala short-selling adalah tidak dibenarkan.
The actual fact, position long itu sendiri tidak akan di trigger sekiranya pada masa yang sama tiada org yg meletakkan position short utk menjual kontrak tersebut. Kewujudan keduanya adalah simbiosis. Apabila satu HARAM maka bagaimana kewujudan yg satu lagi itu menjadi harus?
Sama juga dalam keadaan hedging yang kononnya "dibenarkan", tetapi utk tujuan ambil untung tidak dibenarkan. Sedangkan pihak yg hedging itu sendiri sama ada meletakkan position long atau short akan menjual atau membeli dari pihak lain yang mempunyai pelbagai tujuan. Adakah dengan itu "Islamic" FOREX atau "Islamic" Futures akan meletakkan aqad setiap kali nak execute order tersebut dgn lafaz seperti "Saya dengan ini berikrar bahawa tujuan saya membuat order ini adalah untuk tujuan hedging sahaja, BUKAN untuk tujuan mengambil keuntungan"???
Justeru, janganlah apabila kita tidak bersetuju dgn panel syariah mana2 institusi, terus dilabel mcm2. Allah beri kita akal. Fikirlah
boleh tak ustaz pejelaskan hadis ini
Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda "Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan).
Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal.
kenapa rasullullah meminta kita menyimpan dinar & dirham?kenapa tidak benda lain?
jika kita simpan emas (dinar) kita kena bayar zakat..zakat bagus kerana dapat menyucikan emas..dan kita dapat pahala dengan zakat...
tapi takkan sekadar simpan saja emas tue?apa kegunaan emas sebenarnya?
jika dinar dijadikan matawang altenatif..selain wang fiat..bagaimana?zakat emas kena bayar jugak ke?
kalau kita simpan sahaja..apa kegunaannya?boleh ustaz ceritakan sedikit..apa kegunaan emas yang kita simpan..jika rujuk kepada hadis rasulullah ini..
sekian terima kasih
UZAR : 1) kena semak ststus hadis tu
2)jika hadis tu benar2 wujud dan sohih atau hasan, sbgmn hadis berkenaan harta anak yatim yg disuruh oleh Nabi untuk diniagakan, ia BUKAN bermaksud spekulasi nilai matawang , tetapi digunakan wang itu untuk melabur dalam bisnes jual beli komoditi sebenar.
Sama seperti simpan emas, dan jika disuruh labur, bukanlah bermaksud jual beli emas di anatar satu sama lain itu sendiri, tetapi adalah menggunakannya untuk melabur dalam bisnes real komoditi
Bukankah sistem fiat itu regulasinya sudah betul suatu ketika dahulu dan bagaimana keadaannya sekarang? Amat menyedihkan....tidak mungkin sama antara keduanya..percayalah kepada kekuasaan Allah yang menciptakan makhluk yang bernama emas dan perak..
nubexblog.blogspot.com/
wasalam
RSS feed for comments to this post