• PDF
(0 votes, average 0 out of 5)

 

DAHSYATNYA DOSA RIBA

Oleh :

Dr Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

riba

Tidak dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء

Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barangsiapa yang mensyirikkannya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik."

Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat di bawah, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti dengan segera mengebahkannya kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. ( Al-Baqarah : 275 )

Itulah kengerian hukuman Allah swt terhadap satu dosa selain syirik. Itulah pengamal riba setelah pengharamannya. Cuba kita sama-sama petikan penutup  ayat di atas

وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut :-

ومن عاد أي إلى الربا ففعله بعد بلوغه نهى الله عنه فقد استوجب العقوبة

Ertinya : Lafaz "barangsiapa mengulangi" ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walalupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras" (Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 1/328)

Berdasarkan dalil-dalil hadis, para ulama membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah shahadah, sebanyak manapun dosa yang dilakukan di atas dunia, mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, terkurung didalamnya untuk satu tempoh yang layak bagi dosa mereka, kemudian mereka akan dikeluarkan darinya dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan mati, kemudian ditempatkan di dalam sungai kehidupan, lalu hiduplah kembali. Semua ini dicatatkan dalam hadis. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 3/36 )

RIBA DAN HUKUMANNYA

Riba adalah ‘ziyadah’ atau ‘increment’ atau ‘excess’ pada  perkara tertentu lebih menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal (illegal excess) yang berlaku pada sesuatu jensi kontrak :-

1)      Bayaran Pinjaman Yang Bertambah

Cth: Beri RM1000, minta bayar balik dalam RM1100, maka RM100 adalah riba samada rasa tertindas atau tidak rasa tertindas

Contoh paling popular zaman ini adalah pinjaman wang dengan bank konvensional untuk membeli rumah, pinjaman peribadi, pinjaman modal atau juga pinjaman kereta iaitu pinjaman sebanyak RM100K, 10 % bayar deposit dan 90% lagi dari ‘loan’ bank konvensional. Bank kovensional beri pinjam RM100k yang perlu dibayar dalam jangkamasa 5 tahun dengan pertambahan interest iaitu 4%. Maka 4% itu adalah RIBA. Ada yang menggunakan hujah inflasi bagi menerima interest 4% dengan mengatakan harga RM1 pada tahun 2000 adalah berlainan dengan harga RM1 dalam tahun 2012. HUJAH INFLASI TIDAK DITERIMA DI DALAM ISLAM untuk menghalalkan perbezaan atas nama interest.

2)      Penalti Tambahan Akibat Lewat Bayar

Cth: Perlu bayar RM2000 dalam masa 5 bulan, si penghutang tidak membayar dalam  jangkamasa tersebut,  lalu si penghutang beri tangguh dengan dikenakan syarat dari  RM2000 menjadi RM2050 kerana kelewatan membayar. RM50 itu adalah riba

3)      Riba dalam pertukaran barang dengan barang

Ini dinamakan sebagai barangan ribawi, terdapat 6 jenis barang yang disebut oleh baginda Nabi saw iaitu Emas, perak, gandum, barli, Kurma dan Garam. Ulama bersetuju bahawa emas dan Perak mewakili matawnag yang punyai nilai yang diiktiraf, manakala emapt lagi item adalah barang makanan ruji yang tahan disimpan..

Cth: Tukar emas lama iaitu 2g dengan emas baru 3g. Jika ada pertambahan/pengurangan maka ia adalah riba

riba jadual

 

Imam An-Nawawi berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 )

Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam, apaibila mereka amat leka dan tidak ambil endah tentang besarnya dosa Riba. Justeru di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba. 

1.            Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT : 

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” (Al-Baqarah : 278 ) 

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. 

Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata : 

Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT”  ( Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : “ Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan”  (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73) 

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke

2.            Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

 Allah SWT berfirman : 

Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” ( Al-Baqarah : 276 )

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

•             Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringanya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harat yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul ( Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf  al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 , 1/224) . Sabda Nabi SAW dari Ibn  Mas’ud r.a :-

Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

•             Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

 Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” ( Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362  ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

3.            Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ”(Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim) 

4.            Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi SAW bersabda : 

Ertinya : “Satu dirham Riba  yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” ( Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 ) 

5.            Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadith nabi SAW : 

Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?

"Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?" Berkerut dahi student saya ketika bertanya di luar kelas di sebuah IPTA.

Saya membalas :

"Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan redha dan rela hati mereka."

"Sama seperti zina.!, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan redha dan rela..Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia Hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka" jawab saya.

SEDARKAH ?!

Namun sedarkah kita dan mereka di sekeliling kita, keluarga, rakan dan lainnya bahawa, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba setelah pengharamannya lalu jatuh kafir mereka itu, tatkala itu matinya mereka adalah dengan hati kekafiran hingga terkeluar dari senarai mereka yang boleh mendapat syafaat nabi Muhammad s.a.w.

Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakpedulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya. Seterusnya boleh mejatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Moga kita semua dipelihara oleh Allah swt.

Inilah yang diulas oleh Imam Fakhruddin Ar-razi apabila beliau menghurauikan maksud ‘orang yang kembali' dalam ayat di atas sebagai :-

فالمعنى ومن عاد إلى استحلال الربا حتى يصير كافراً

Ertinya : erti ayat "barangsiapa yang kembali" (di atas, adalah bermakna mereka kembali menghalalkan riba sehingga mereka itu jadi kafir. ( Tafsir Al-Kabir, 7/82)

Akhirnya, alasan sibuk, malas, belum sampai seru, nanti dan pelbagai pagi alasan orang di zaman ini dari berubah dari pinjaman rumah riba, kereta riba, kad kredit riba, akaun simpanan riba, insuran riba, skim riba, pelaburan riba, mahal sikit, leceh proses, belum ada masa dan pelbagai lagi TIDAK WAJAR SAMA SEKALI wujud dalam hati individu yang bernama MUKMIN MUSLIM.

 

Sekian

www.zaharuddin.net

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 56 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles DAHSYATNYA DOSA RIBA