Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Jauhi Hukum Secara PUKAL dan LALANG
  • PDF
(1 vote, average 5.00 out of 5)

 

Jauhi Hukum Secara Pukal & Lalang

Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

pukal

 

Sebahagian masalah sikap kita adalah kerap menghukum secara PUKAL dan mengabaikan kajian secara "big picture" sebagai contoh bila PM Canada naik, dipuji puja beramai-ramai kerana tidak berjabat tangan dengan wanita Islam, mudah bercampur & makan bersama masyarakat muslim di masjid, mudah berjumpa orang ramai dan lain-lain. Tiba-tiba apabila keluar satu video dia pakai kopiah yahudi dan menyokong Israel, semua pakat beralih serta merta menjadi maki hamun pula.

Didapati agak ramai yang berpendirian seperti 'lalang' kerana tiada kajian lengkap dan hanya membuat pendirian secara 'pantas' dan 'pukal' hanya dengan satu dua fakta, akhirnya pendiriannya sendiri berubah-rubah hingga mudah menzalimi orang yang dihakimi secara singkat. Hasilnya, kerapa saya terbaca di page beberapa tokoh ilmuan agama, yang disanjung oleh followersnya dan diambil manfaat darinya sejak bertahun-tahun, tiba-tiba, apabila ilmuan itu mengeluarkan satu kenyataan yang dilihat berlainan dari kehendaknya atau arus perdana, lalu terus dikatakan "dah tak respect ustaz", "ustaz sampah", "ustaz dah kena beli" dan lain-lain. Walaupun ilmuwan itu punyai hujjah namun mereka enggan menilainya dengan pemikiran terbuka dan adil. Semuanay disebabkan pemikiran disempitkan oleh sentimen kepartian, sesuatu aliran yang diikuti atau hasutan mudah netizen. Demikianlah tabiat dan ciri pemikiran LALANG. Sungguh goyah asasnya, cepat membuat konklusi lagi mudah pula berubah mengikut arus.

Dalam banyak isu khususnya dalam negara kita menunjukkan trend begitu sekarang semakin meningkat melalui pemerhatian di ruang internet, khususnya dalam bidang berkait POLITIK kepartian & aliran agama. Contohnya:-

a. Ada seseorang yang dilihat pendapatnya seiring dengan kerajaan BN dalam suatu isu, lalu secara PUKAL, pihak penyokong parti pembangkang akan menuduhnya sebagai "penyokong BN", walau jika dikaji banyak lagi pendapatnya yang mengkritik BN atau sifatnya sebagai pemikir bebas atau ahli akademik yang kerap memberi cadangan konstruktif.

b. Atau mungkin juga pandangannya bersamaan dengan pendirian PAS, PKR atau pembangkang dalam suatu isu, maka dengan cepat pula, pihak parti kerajaan akan mengganggapnya sebagai ikon pembangkang sehingga lebih teruk lagi apabila wujud pihak berjawatan besar dan pengampu parti kerajaan yang mula menganggu lebih serius dengan mengenakan pelbagai sekatan atau ditukar kawasan bertugas dan sepertinya. Walau mungkin banyak juga pendapatnya yang menyokong dasar BN.

c. Atau tersama atau kelihatan menyokong dengan parti AMANAH dalam isu tertentu sahaja, maka penyokong tegar parti PAS atau parti kerajaan akan secara pukal mendakwa 'dia penyokong parti amanah', wajib dipinggirkannya.

Itu dalam hal ehwal politik kepartian, budaya tidak sihat dan kurang intelek ini sedang berleluasa tidak kira dari mana parti sekalipun, kelihatan trend ini kuat menapak. Manakala dalam isu perbezaan aliran kefahaman ilmu Islam pula, perkara hampir sama turut berlaku. Sebagai contoh :-

Jika terdapat seorang ilmuwan agama yangmana satu dua pandangannya berkaitan hukum fiqh kelihatan berlainan sedikit dari kebiasaan amalan di Malaysia, maka pihak pemegang amalan agama secara tradisi di Malaysia kelihatan akan secara PUKAL melabelnya sebagai wahabi. Lebih dahsyat lagi apabila dipakejkan wahabi itu sebagai sesat, potensi pengganas dan lain-lain hukuman secara pukal yang melampau. Padahal geng yang dilabel Wahabi yang lain tidak pernah iktiraf ilmuwan tadi termasuk dari kalangan mereka kerana banyak berbeza dari serupa. Lalu, kedua-dua aliran mengganggap ilmuwan ini sebagai ‘musuh’ dan di luar kelompok mereka.

Sebagai contoh yang diringkasan dalam bentuk lebih jelas adalah seseorang yang:-
- Mengkritik Kerajaan/BN, dalam beberapa hal TIDAK semestinya 'macai' Pakatan pembangkang.
- Mengkritik Pakatan pembangkang dalam beberapa isu, TIDAK semestinya 'macai' BN.
- Sependapat dengan geng dilabel WAHABI dalam beberapa isu, TIDAK semestinya penyokong idea dan manhaj WAHABI dalam semua perkara.
- Sependapat dengan aliran Ash'ary dalam beberapa isu, TIDAK semestinya penyokong Ash'ary dalam semua hal.
- Sependapat dengan Sufi Tarekat dalam beberapa isu, TIDAK semestinya penyokong SUFI dalam semua perkara.
- Sependapat dengan Sekularis LIBERALIS BARAT dalam beberapa isu, TIDAK SEMESTINYA penyokong LIBERAL dalam semua hal.
- Berpendapat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah kepada Kristian di Malaysia, TIDAK semestinya dia penyokong MURTAD.
- Membantah penggunaan kalimah Allah oleh kristian dalam bahan terbitan mereka TIDAK semestinya extremist agama.

Dan banyak lagi..AKHIRNYA kita lebih cepat mencipta MUSUH dari berukhuwwah, bertoleransi dan berkawan. Mencipta 'the others' dengan sangat mudah dan pantas, kemudian kita menghabiskan masa ‘bertempur’, berdukacita dan ‘stress’ dengan perkara yang tidak pasti, semua akibat pemikiran singkat kita sendiri yang bermudah secara PUKAL menjatuhkan hukuman dan label terhadap seseorang.

Apa yang sewajarnya, di era sumber maklumat dan ilmu bercambah dengan hebatnya ini, kita sewajarnya kita jadi orang yang lebih ADIL dan INSAF dalam menilai seseorang, lalu lebih sabar dan rajin mencari 'bigger picture' terhadap apa yang dikatakan oleh sesesorang yang bercirikan ilmuwan dan pemikir, itu lebih baik dari tergesa-gesa membuat tuduhan atau mengganggap seseorang tu ‘jahat’ atau ‘baik’, ‘penyokong’ atau ‘penentang’ hanya secara PUKAL.

Penilaian lebih adil dan berpijak atas kebenaran dan BUKAN secara PUKAL adalah suatu sikap yang perlu diterapkan dalam masyarakat kita hari ini. Perbezaaan pasti terus wujud, perjuangan kita bukan hanya sibuk untuk meyakinkan orang dengan apa yang kita yakini sahaja, tetapi juga perjuangan untuk terus faham dan tahu kaedah terbaik dalam mengurus perbezaan buah fikiran dan pendekatan. Tindakan melabel, mengkelas-kelaskan seseorang secara teregesa-gesa hanya merugikan umat Islam dan melemahkan kekuatannya. Mencantas sebarang perbezaan pemikiran walaupun perbezaan itu berdiri atas rasional dan hujah hanya akan menghasilkan umat yag lemah, bantut pemikiran serta lemah kualiti.

Marilah kita sama-sama menilai perkataan dan tindakan seseorang atas PERKARA itu sendiri terlebih dahulu, tanpa tokok tambah penyebab tuduhan dan pelengkap teori sendiri. Jika setelah kajian yang tenang serta munsif dilakukan lalu terbukti benar dakwaannya, akuilah dan sokonglah dan JANGAN menyokong atau membantah secara PUKAL KECUALI telah terbukti secara komprehensif. Demikian apabila membantah dan tidak setuju terhadap seseorang. Jelaskan kita kita membantah satu ideanya, bantah idea tersebut kerana mungkin 100 ideanya yang lain dipersetujui kita.

Allah swt menyebut :-

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu". 15

Displin ini juga yang dipakai oleh ilmuwan di waktu mereka mengeluarkan fatwa sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ibnu Solah dengan katanya:

“Hendaklah mufti (yang mengeluarkan fatwa itu) seperti perawi (hadis) yang tidak terkesan olehnya kaum kerabat dan permusuhan, mestilah hanya untuk membawa kemanfaatan dan menolak kemudaratan.”

Manusia amat kerap boleh bersetuju dalam satu dua perkara namun kerap pula bercanggah dalam hal yang lain. Justeru, label dan serta merta cop seseorang sebagai itu dan ini TIDAK BOLEH diamalkan sama sekali. Khalifah Umar al-Khattab berkata :
لا تظن بكلمة خرجت من أخيك المؤمن شراًً وأنت تجد لها في الخير محملاً
Ertinya : Janganlah menyangka buruk dari satu kalimah dari saudaramu yang mukmin SEDANGKAN engkau boleh dapati padanya kemungkinan kebaikan (ertinya takwilan atau andaian maksud kebaikan )

Satu pengajaran besar yang perlu difahami juga adalah JANGAN sesekali menokok tambah kata-kata seseorang kepada yang lebih buruk jika itu tidak diungkapkan. Kaedah ada menyebut :-
لازم القول ليس بقول
Ertinya : Sesuatu yang seolah mesti selari dengan suatu pendapat, tidak semestinya wujud pernyataan sebegitu. (Al-Mawsu’ah Al-Kuwaitiyyah, jil 14, hlm 56 ; Syarh Mukhtasar Al-Sorim Al-Maslul, Muhammad Hasan Abd Ghaffar, jil 8, hlm 6)

Sebagai contoh, apabila wujud ijtihad ulama mazhab Al-Syafie yang berpendapat batalnya wudhu apabila bersentuh kulit dengan isteri, berbeza dengan pendapat ijtihad mazhab Hanafi dan Maliki serta Hanbali yang menyatakan wudhu masih sah selagi tiada syahwat. Pun begitu, TIDAK sama sekali ulama mazhab Al-Syafie turut berpendapat bahawa solat seluruh ulama dan pengikut mazhab Hanafi, mailiki dan Hanbali adalah tidak sah kerana wudhunya telah batal sebelum solat, lalu solatnya juga batal. Tidak halal untuk dipukalkan sesuatu pendapat berdasarkan andaian sendiri semata-mata.

Kaedah ini perlu difahami dengan betul, kerana hal ini selalu menjadi penyebab gejala ekstrim di ketika berbeza pendapat, iaitu kerana masing-masing membayangkan pernyataan yang tidak dinyatakan oleh pihak yang lain, akhirnya menggambarkan tuduhan berat ke atas masing-masing.


Konklusinya, masyarakat kita WAJIB memperbetulkan cara berfikir mengenai orang lain. Fahamilah, melabel seseorang sebagai mendokong sesuatu secara SEPENUHNYA/PUKAL hanya kerana beberapa aspek adalah suatu kezaliman dan boleh pula jatuh dalam dosa lebih serius iaitu memfitnahnya dengan sesuatu yang TIDAK benar.

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

15 Oktober 2015



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 12 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Jauhi Hukum Secara PUKAL dan LALANG