Mestikah Iman Dan Ilmu Mereka Telah Dibeli?
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Segelintir masyarakat merasa tidak yakin terhadap kesahihan beberapa buah institusi kewangan Islam disebabkan oleh kredibiliti ahli majlis penasihat Syariah di institusi kewangan itu sendiri. Ini adalah kerana ada yang mendakwa disebabkan ahli ilmuwan Shariah itu menerima elaun dari pihak institusi itu juga, maka ini akan menjejaskan keadilan ulama tersebut dalam membuat keputusan. Sudah tentunya mereka akan bersetuju dan meluluskan semua produk institusi itu tanpa banyak soal. Dengan demikian dapat memanjangkan lagi hayat perkhidmatannya di institusi terbabit serta menikmati elaun yang memasuki poketnya setiap bulan.
Kita semua perlu bersikap adil dalam mengamati isu ini, selain perlu dimeneltinya dari perspektif hukum Islam. Walau mungkin dakwaan di atas ada berlaku, walau bagaimanapun, ia bukanlah fakta umum yang terpakai buat semua ahli Shariah di setiap institusi kewangan Islam tempatan dan antarabangsa. Justeru itu, tindakan menghebahkannya dan menjadikannya sebagai satu kenyataan umum adalah tidak menepati hukum Islam. Nabi SAW berkata:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Ertinya: “Individu menanggung dosa apabila ia menceritakan semua perkara yang didengari tanpa usul periksa.”(Riwayat Abu Daud, no 4992, hlm 540; Albani: Sohih)
PANDANGAN SUDUT HUKUM?
Maka bagaimanakah ingin dilihat isu ini dari sudut hukum Islam? Saya boleh kongsikan sebagai berikut:-
1) Hukum asal bagi setiap insan adalah tidak bersalah dan tiada tertanggung di atasnya tuduhan selagi belum dibuktikan secara specifik.
- Hadis Nabi :-
لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر
Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kaedah fiqh menyebut :
الأصل براءة الذمة
- Ertinya : Hukum asal bagi individu adalah bebasnya dia dari sebarang kesalahan dan tuduhan. ( Rujuk Al-Ashbah Wa an-Nazair, As-Suyuti)
البينة على المدعي، واليمين على من أنكر
- Ertinya : Bukti mestilah diberikan oleh yang mendakwa dan hanya selepas itu tertuduh perlu bersumpah (mempertahan diri).
- Dan satu lagi kaedahnya :
اليقين لا يزول بالشك
Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.
- Juga satu prinsip yang berbunyi
ان الشك يفسر لمصلحة المتهم
Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)
- Berkata Az-Zubaydi
قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك
Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi, Taj Al-Urus)
2) Jika terbukti ada seseorang yang melakukan kesalahan sebegitu, Islam tidak membenarkan dipukul rata atau menanggungkan kesalahan seorang ke atas yang lain tanpa bukti. Firman Allah :-
وَلا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلا عَلَيْهَا وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Ertinya : Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan ( Al-An’am : 164 )
Inilah yang dijelaskan oleh Imam Al-Qurtubi, Ibn Kathir dan lainnya ketika menfasirkan ayat ini.
3) Gerakan memburukkan para ilmuwan Islam dan cuba mempasakkan ke dalam hati dan minda orang ramai dengan dakwaan tidak amanah dan ‘mudah dibeli’ ke atas seseorang ilmuwan Islam adalah suatu gerakan halus yang keji dan jahat.
Akhirnya, orang awam yang tiada ilmu menjadi ragu dan memandang rendah kepelruan ilmuwan Islam di dalam kehidupan seharian, lalu mereka bakal hilang arah, mudah diperangkap oleh gerakan Islam liberal, ajaran sesat dan atheis. Atau paling kurang, masing-masing mula sewenang-wenangnya merasakan diri layak untuk mengeluarkan fatwa sendiri tanpa ilmu alat yang mencukupi, lalu sesat dan menyesatkan.
4) Majlis penasihat Shariah berfungsi dalam kumpulan, justeru tidak mudah untuk mencari sekumpulan ilmuwan yang mendalami ilmu Islam dan hukum hakam, tetapi tiba-tiba kesemuanya boleh bersepakat mementingkan wang dan melupakan sepenuhnya persoalan harta haram dan hukuman berat di akhirat.
5) Tiada salahnya bagi sesebuah institusi memberikan elaun kepada ahli majlis Shariah, sebagaimana rakyat memberikan pemimpin elaun untuk meminpin, Khalifah Abu Bakr juga mendapat elaun atas tugasnya sebagai khalifah, begitu juga gabenor-gabenor dilantik di zaman Khulafa ar-Rasyidin. Lantaran itu, amat tidak wajar secara automatik menjadikan semua ilmuwan Shariah yang menerima sebagai tidak amanah.
Selain itu, perihal elaun atas tugasan semakan ketelusan ini biasa ini juga berlaku di semua syarikat korporat apabila setiap laporan tahunan dan operasi syarikat perlu disemak dan diaudit oleh sekumpulan juru audit luar (auditors) seperti syarikat Price Waterhouse Coopers, Ernst and Young, Jabatan Audit Negara, Ketua Audit Negara dan sebagainya.
Semua pengaudit luaran atau external auditor ini juga menuntut kos profesional daripada syarikat yang disemaknya. Adakah secara pukul rata boleh kita katakan semua mereka pasti meluluskan apa sahaja di dalam syarikat walau penyelewengan kerana mereka meneirma bayaran dari pihak syarikat?.
Ini suatu tuduhan yang tidak berjejak di bumi nyata dan menafikan ketelusan semua pihak.
Kelak nanti akan wujud pula dakwaan bahawa para pensyarah universiti sengaja memberi lulus kepada muridnya kerana menerima gaji dari universiti dan unversiti pula perlu ‘menjaga hati’ pelajar bagi memastikan mereka terus membayar yuran pelajar.
6) Pihak penasihat Shariah tidak sebebaskan boleh meluluskan sesuatu oeprasi dan produk di institusi kewangan Islam kerana kebanyakan keputusan mereka akan didiskusikan di konferen terbuka yang dihadiri oleh ilmuwan lain yang pastinya tidak makan elaun dari syarikat terbabit, malah pemantauan juga dilakukan oleh Jabatan Perbankan Islam dan Takful serta Majlis Penasihat Shariah kebangsaan. Kesemua mereka tidak menerima elaun dari syarikat terbabit, justeru tiada sebab mereka akan berdiam diri jika sekiranya ditemui kesilapan dan kelemahan fatwa dikeluarkan oleh penasihat Shariah Institusi Kewangan Islam.
Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pihak pengurusan menghulur rasuah kepada syarikat audit bagi menutup sebelah mata atas segala kesilapan yang berlaku dalam akuan syarikatnya. Hal seperti ini tidaklah harus kita menuduh kepada ilmuan Syariah secara umum.
AKHIRNYA
Tanggungjawab semua ilmuan Shariah adalah amat besar dan mereka bertanggungjawab kepada Allah SWT. Justeru itu, adalah terbaik bagi orang awam supaya bersangka baik terlebih dahulu kepada mereka. Jangan disebabkan seorang dua yang bersikap demikian, kita menganggap semuanya sama, boleh dibeli dan menggadaiakn prinsip kerana duit. Ia sama sekali tidak wajar. Malah di dalam perkembangan hari ini, setahu saya pihak Institusi Kewangan Islam hari ini semakin ‘berebut’ mendapatkan ilmuwan Shariah yang kritis dan hanya yang akan meluluskan sesuatu dengan hujjah dan dalil dan bukan sebaliknya sebagaimana yang dituduh oleh sebahagian penuduh.
Nabi Muhammad SAW tidak menuntut kita bagi melihat dalam hati manusia lain, tetapi hanya melihat kepada zahirnya. Nabi SAW berkata:
Ertinya: Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah daripada sebahagian lainnya, maka aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang aku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Direkodkan oleh Tirmidzi, no 1339; dan lain-lain; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920; Albani: Sohih)
Dari itu, Rasulullah tidak mengarahkan kita untuk cuba berandaian terhadap ketidakikhlasan seseorang dan wewenangnya menuduh ilmuwan Shariah dibeli dan seolah dengan mudah boleh disuap mulut untuk sentiasa bersetuju dan menangguk, sebarang tuduhan sedemikian adalah dari bentuk kezaliman dan pastinya akan diperhitungkan di kahirat kelak dari mereka yang tertuduh secara zalim. Wallahu’alam.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
1 Nov 2011
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites