Mutiara Pengajian & Ijazah dari Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Doa dan hasrat yang terpendam lama untuk mempelajari ilmu secara terus daripada ulama tersohor dunia ini tidak pernah padam dari jiwa saya sejak dari mengenali keluasan ilmu beliau 15 tahun yang lalu.
Pengambilan ilmu melalui catatan keilmuannya yang dicetak di dalam bentuk buku-buku, belum tentunya mencukupi untuk memenuhi hasrat terpendam itu, walau idea dan pendekatan Sheikh Al-Qaradawi sudah banyak meresap ke dalam minda dan hati.
Semasa di Jordan saya sempat mendapat pengajian ringkas, bak kata orang, ‘mengambil berkat’ dari Syeikh ketika beliau hadir di sebuah persidangan di ibu negara Jordan, Amman. Walau ringkas, namun cukup bermakna kerana secara bertiga (saya, syeikh dan seorang pelajar baru Malaysia yang mengikuti saya), kami berdiskusi ilmu dan menadah nasihat di dalam bilik penginapan Syeikh. Juga sempat menghadiri kuliah Syeikh ketika beliau berziarah di Mesir pada tahun yang sama.
Selepas itu, saya hampir ke Qatar namun kekangan wang menggagalkan segalanya, selepas itu, tiada saya ketahui sama ada akan ada rezeki selanjutnya untuk bersama beliau.
Sering kali, ketika menelaah buku Sheikh Al-Qaradawi saya terfikir
"Alangkah ruginya aku, aku hidup sezaman dengan ulama sehebat ini, namun aku melepaskan peluang untuk menuntut ilmu secara langsung dengannya, terbayang betapa ruginya orang Islam yang sezaman dengan Rasulullah tetapi tidak berpeluang bertemunya, sezaman dengan Imam Shafie, Malik, Al-Bukhari dan lain-lain tetapi tidak menuntut ilmu darinya"
Fikir itu seringkali mengetuk-ngetuk pemikiran dan hati saya, khususnya apabila keadaan kewangan sudah agak stabil. Maka tiada lagi alasan untuk tidak mampu terbang ke Qatar untuk berusaha dan menunjukkan azam untuk belajar.
HASRAT TERCAPAI
Alhamdulillah, pada tahun 2011, bulan Februari, Allah mengizinkan saya untuk terpilih menyertai ‘Pertemuan Syeikh Al-Qaradawi Bersama Murid dan Sahabat’. Ia sampai benar-benar tepat pada waktunya, iaitu saya telah menyiapkan tesis PhD malah telah pun selamat menghantarnya. Sambil menunggu tarikh VIVA, saya sekeluarga meneruskan saki baki waktu menetap di Leicester, United Kingdom sementara menanti tarikh pulang ke Malaysia pada 29 Mac 2011, betul-betul sebelum tamat VISA UK iaitu pada tanggal 31 Mac 2011.
Pada waktu itu juga saya telah bekerja dan mempunyai sumber kewangan yang agak stabil, ditambah pula mengenali rakyat Malaysia yang bertugas di Qatar. Ini benar-benar sebuah rezeki kurniaan yang menepati hasrat terpendam selama ini.
Dengan segera menghubungi Sdr Megat di Doha, untuk menyusun program sambil menghadiri kursus intensif bersama Syeikh Qaradawi tersebut.
Penerbangan Turki dipilih untuk ke Qatar, dan sebelum bermula majlis itu saya dibawa oleh Akhi Sufyan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid yang mana Syeikh Qaradawi dijadualkan menyampaikan khutbah Jumaat diikuti dengan memimpin demonstrasi aman menyokong demonstrasi aman rakyat Mesir.
PENGAJIAN BERMULA
Pengajian intensif kali ini memberikan fokus kepada pengajian fiqh dan manhaj Sheikh Qaradawi di dalam fatwa beliau. Dimulakan dengan manhaj Fiqh al-Taysir, Fiqh al-Ibadah, Fiqh al-Mua’malat, Fiqh Keluarga dan diakhiri dengan diskusi kandungan Fiqh al-Jihad.
Amat gembira apabila jadual yang diterima menunjukkan Sheikh akan memperuntukan waktu beliau yang amata banyak bersama para peserta iaitu setiap hari dari jam 9- 4 petang dan juga sebelah malam. Malah sebahagian majlis di sebelah malam dibuat di kediaman Sheikh Qaradawi.
Peserta Malaysia kali ini hanya saya seorang, terdapat seorang dari Indonesia dan beberapa peserta asing yang lain dari India, Bangladesh, Pakistan dan kebanyakkannya adalah wakil-wakil ulama dari Negara arab dan sebahagiannya peserta Arab mewakil benua Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan lain-lain. Pendek kata, cukup pelbagai peserta yang hadir, cukup antarabangsa anak murid dan sahabat-sahabat Al-Qaradawi.
Kami berkumpul di atas manhaj yang sama, iaitu wasatiy. Setiap hari Sheikh akan hadir dan memberikan sedikit amanah sebelum melayani dan berdiskusi dengan peserta berkenaan topik yang telah ditentukan setiap hari.
Ulama hebat serata dunia turut serta seperti Prof. Sheikh Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi, Dr Ali Shallabi, Dr Akram An-Nadawi, Sheikh Dr ‘Ishom Bashir, Muhtar As-Syanqiti, Dr Anas Zarqa, Dr Monzer Kahf, Dr Wanis dan ramai lagi.
“Sebagaimana dimaklumi, kaedah Fiqh ada menyatakan “tiada ingkar dalam hal yang diperbezakan pandangan, yang patut diingkari hanyalah dalam perkara yang terdapat ijma’ padanya’, namun realiti hari ini kelihatan begitu ramai ulama islam yang mengingkari ijtihad atau pandangan berbeza dengan mereka sehingga dikatakan kurang ilmu dan sebagainya, apa pandnagan Sheikh?” Begitulah pertanyaan yang saya ajukan kepada Sheikh semasa diberi peluang dalam satu sesi soal jawab.
“Benar sekali, setiap ulama mesti mengawal nafsu mereka yang yakini kebenaran di pihak mereka, justeru mengingkari pandangan yang berbeza dalam perkara yang tiada ijma’ padanya adalah suatu tindakan yang salah.” Demikian jawapan awal Sheikh dan disambung dengan lagi panjang huraian yang sukar untuk saya kongsikan di sini.
“Bagaimana pula jika seorang ulama itu mengambil pandangan yang lemah untuk diamalkan di Negara mereka” bertanya lagi.
Jawab Sheikh “beramal dengan pandangan yang diyakini lemah adalah tidak boleh bagi seorang ulama’, kecuali jika terdapat maslahat yang muktabar di negara masing-masing atau suasana ketika itu, pandangan itu tidak boleh dikatakan lemah lagi, tetapi ia telah menjadi kuat di waktu tersebut. Seorang alim perlulah sentiasa beramal dengan pandangan yang diyakini kuat dan dekat dengan hati serta ilmunya.”
Saya bertanya lagi, “Apa pandangan Sheikh berkenaan seorang yang bermimpi Rasululullah sallallahu’alaihi wasallam?”
“Kita sebenarnya tidak boleh pasti bahawa sama ada yang dilihatnya benar-benar Rasululullah atau bukan, seperkara lagi yang perlu diingat, jika kalau benar dia bermimpi sekalipun, itu tidak boleh dijadikan kayu ukur kesolehan seseorang kerana Allah tiada menyebut berkenaan taqwa itu disandarkan kepada mimpi sebegitu…” panjang lagi huraian sheikh, namun itu adalah antara isi yang sempat saya simpan elok-elok di dalam memori.
RUMAH QARADAWI
Program malam di rumah Sheikh Al-Qaradawi cukup mengujakan, kami peserta yang tiada kenderaan sendiri diminta untuk tunggu untuk menaiki bas yang disediakan. Di dalam bas, perbincangan di antara sesama kami cukup meriah dengan perbincangan ilmu. Saya banyak bersembang dengan peserta dari Bangladesh dan Pakistan. Sesekali terdengar input-input ilmu dari perbincangan peserta lain di dalam bas. Memang hebat.
Samapai di rumah Sheikh, kami disambut oleh Sheikh dan pegawai-pegawainya di muka pintu.
Ya, rumah itu memang besar namun ia adalah hadiah pemimpin Qatar untuk memudahkan Sheikh Qaradawi memberikan terus khidmatnya di bumi Qatar ke senatero dunia.
Di ruang tamu, semua peserta duduk dan Sheikh bersama beberapa tetamu ulama besar yang hadir sudah sedia memulakan majlis, dimulakan dengan sedikit nashid dan berbalas syair puji-pujian kepada Rasulullah dan para ulama berjasa.
Hingga Sheikh qaradawi sendiri juga tidak terkecuali berkongsi nashid atau syair beliau.
KESATUAN ULAMA SEDUNIA
Hari terakhir kami berkumpul di Pusat Majlis Ulama Sedunia, di mana kami menjadi ahli dan juga diberikan ijazah oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, itulah antara hari yang paling berharga buat saya, menerima ijazah dan amanah untuk membawa Fiqh Wasatiy ke seantero dunia, dari Sheikh Al-Qaradawi dengan sanad yang bersambung kepada guru-guru beliau sehingga ke baginda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam.
AKHLAK SHEIKH
Saya sedar, sangat ramai yang menyanjung Sheikh dan usaha-usaha ilmu dan dakwahnya yang jauh tersebar di seantero dunia, ini pastinya menyebabkan kecemburuan ramai lalu cuba mencari kesalahan Sheikh atau apa-apa sahaja yang boleh ditakwilkan sehingga menjadi salah untuk dijadikan buah pukulan dan penghinaan.
Soalan-soalan ini ada diajukan kepada Sheikh khususnya di hari terakhir, iaitu hari yang dibenarkan bertanya apa sahaja kepada Sheikh.
Ada peserta yang bertanya, apakah rutin harian Sheikh.
Ada yang bertanya bagaimana pengalaman beliau sewaktu dipenjarakan dahulu. Ketika menceritakan kisah ini, Sheikh mengalirkan air mata.
Ada yang bertanya sama ada Sheikh pernah bermimpi Rasulullah.
ada yang bertanya perihal kutukan sebahagian ulama terhadapnya.
Ada juga peserta yang hadir mempertikaikan beberapa fatwa Sheikh yang dikatakan mungkin kurang tepat.
Semua soalan dijawab oleh Sheikh dengan tenang lagi insaf (tidak emosi). Terasa benar, seperti beliau seorang bapa yang amat pengasih, guru yang penyayang, mursyid yang amat menenangkan.
Sepanjang program berlangsung juga, para peserta kelihatan tidak puas-puas mencuri masa untuk bergambar dengan Sheikh, sama ada sedang berjalan, duduk atau berdiri, tidak kurang juga yang mencium dahi Sheikh. Bukan setakat dahi ada juga yang mencium pipi Sheikh. Macam-macam ragam sehingga sehingga adakalanya tersenyum lucu melihat gelagat anak murid dan peserta yang ingin bergambar dengannya.
Hasil dari pertemuan ini, saya dapat simpulkan ketinggian akhlak Sheikh Al-Qaradawi dan begitu meresap ke jiwa keikhlasannya. Dalam penyampaian ilmunya kepada kami sepanjang program ini, adakalanya Sheikh sebak, terhenti kalam khususnya apabila menyebut perihal Rasulullah dan perjuangannya. Sheikh juga sebak digelar 'Imam' oleh anak muridnya, sehingga adakalanya beliau larang peserta memanggilnya sebagai Imam sewaktu mengajukan soalan,
"Aku masih anak murid seperti kamu, dan aku ingin juga belajar dari kamu sekarang" Kata Sheikh Qaradawi.
Tidak saya dapat gambarkan hinanya jiwa yang tanpa usul periksa dan mengenepikan sangka baik, mendahulukan sangka buruk lalu menghentam Sheikh sebagai munafiq, penyokong Yahudi dan sebagainya.
Saya sedar lagi faham, tiada manusia yang maksum selain baginda Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam. Saya sendiri ada tidak cenderung kepada beberapa fatwa Sheikh Al-Qaradawi, namun itu tidak sesekali memberi saya lesen untuk mengutuk beliau dan mendahulukan sangka buruk.
Sheikh Qaradawi kerap mengajar kami agar sabar dan teruskan menelaah ilmu yang terlalu luas seta jangan sesekali mendabik dada merasakan kebenaran itu pasti di sisi kita.
Begitu sedikit coretan yang sempat dikongsikan bersama, sebagai perkongsian kegembiraan hadir di dalam majlis ilmu seorang pendakwah dan ilmuan tersohor di dunia, bekalan untuk ke alam akhirat.
Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat Malaysia di Qatar, khususnya Saudara Megat dan semua yang membantu serta menumpangkan saya bila perlu dan juga memberikan sponsor. Moga sumbangan kalian menambah keberatan timbangan amal kita semua di akhirat kelak.
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
19 Oktober 2011
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites