Rumahtangga & Keluarga Jawapan KeKeliruan Isu Ruju' Cerai

Jawapan KeKeliruan Isu Ruju' Cerai

  • PDF
(15 votes, average 4.73 out of 5)

Kekeliruan Dalam Hal Ruju' Cerai

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Apabila saya mendedahkan beberapa panduan dan kesilapan kerap dalam bab penceraian di Malaysia khususnya, di ruangan komentar ramai yang bertanya pelbagai soalan berkaitan, bagi menjawab soalan-soalan berikut, saya sediakan artikel ringkas ini.

Ruju' Lepas Cerai

Antara isu yang dikira paling keliru di kalangan masyarakat adalah bab ruju'.

Ada wanita yang berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"

Ketahuilah, bahawa ruju' tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah ijma' ulama seluruhnya. Ruju' ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya tertakluk kepada suami.

Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :

"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"

Tiada sebarang peruntukan oleh Allah swt dan RasulNya untuk wanita dalam hal tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin ruju' kembali. Imam Ibn Qudamah berkata :

والمراجعة أن يقول لرجلين من المسلمين : اشهدا أني قد راجعت امرأتي . بلا ولي يحضره , ولا صداق يزيده . ..وجملته أن الرجعة لا تفتقر إلى ولي , ولا صداق , ولا رضى المرأة , ولا علمها . بإجماع أهل العلم ;

Ertinya : Ruju' adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini ruju' kembali dengan isteriku"

Tanpa diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya, sesungguhnya ruju' tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si isteri dan tidak juga disyaratkan mesti  pemakluman kepada isteri, ia adalah dengan ijma' seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e as-Sonaie', Al-Kasani)

Namun, khabarnya Malaysia (mungkin Ijtihad Malaysia) mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila mereka  mengambil fatwa yang berbeza dengan ijma yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah tadi, ini adalah kerana berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin meruju'.

Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.

Kedua : bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut.

Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.

Setelah itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses ruju' itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Namun apapun, pihak pemerintah Malaysia kelihatan membuat keputusan dan ijtihad sendiri apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -

والجديد أنه لا يشترط  لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب

Ertinya : Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya ruju', kemudian, (ruju') juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )

BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ? 

Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.

Namun ada yang bertanya kepad asaya sama ada ada cara lain, bagaimana jika berlakunya persetubuhan dalam masa iddah tersebut sebelum lafaz.?

Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-

Hanafi  : Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.

Maliki : Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju' semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'.

Syafie :  Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram.

Imam As-Syafie berkata :-

والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة  
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm)

Hanbali : Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau tidak.

Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.

AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH 

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya????

Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.

RUJU' DALAM KES TEBUS TALAQ 

Adapun tebus talaq ataupun khulu', penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan ruju', sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talaq (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).

Namun majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talaq.  Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijma' (perspekatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak ruju' bagi kes tebus talaq. Ini adalah kerana Talaq itu jatuh dalam kategori Talaq Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh diruju'). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)

Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin ruju' juga dalam kes tebus talaq. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh ruju' seperti kes talaq biasa, namun dalam kes tebus talaq, lelaki hilang haknya untuk ruju' tanpa redha isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)

PERLUKAH RUJU' KEPADA SAKSI?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab ruju' adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah s.w.t :

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

Ertinya : Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( At-Talaq : 2 )

Namun pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat secara rasmi.

Ia baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian ruju' boleh dilakukan di mahkamah Shariah.

Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-

مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب

Ertinya : Mahzab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan seluruh aqad selain aqad nikah dan ruju' adalah digalakkan sahaja, tidak wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170)

Mazhab Syafie berfatwa, digalakkan wajib saksi dalam hal aqad nikah dan sunat dalam hal ruju'.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

8 Mei 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Rumahtangga & Keluarga Jawapan KeKeliruan Isu Ruju' Cerai