Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Anwar Ibrahim & PAS Memacu Kewangan Islam : Boleh Diharapkah ?

Anwar Ibrahim & PAS Memacu Kewangan Islam : Boleh Diharapkah ?

  • PDF
(24 votes, average 4.63 out of 5)

Bolehkah Diharapkan Anwar Ibrahim &

PAS Untuk Memacu Kewangan Islam ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

sgorstate.jpg

 

Dato Seri Anwar Ibrahim baru sahaja dilantik menjadi penasihat ekonomi Kerajaan Negeri Selangor. Berbekalkan pengalaman beliau selaku Menteri Kewangan suatu ketika dahulu dan lain-lain pengalaman berkaitan, kepada beliau diletakkan harapan oleh pengikutnya dan rakyat negeri Selangor untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat negeri Selangor. Khususnya apabila diwarwarkan Selangor sedang dirancang untuk dirubah menjadi Islamic financial hub.[1

Semua orang mempunyai harapan dan jangkaan terhadap beliau. Sama ada positif, negatif atau ‘tunggu dan lihat'. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad awal-awal lagi telah memberi indikasi bahawa DSAI akan gagal memacu ekonomi negeri tersebut malah lebih teruk akan mempersembahkan hasil bernilai RM 1, sama seperti bayaran elaun bulanannya.

DSAI sebelum ini terkenal sebagai salah seorang individu yang membolehkan perbankan dan kewangan Islam berputik di Malaysia. Walaupun ia bukanlah inisiatif beliau seorang diri, namun peranannya diakui oleh ramai.

Hasil dari itu, kini saya lebih ingin melihat sejauh mana beliau dapat menerapkan ekonomi dan perbankan Islam di dalam pengurusan kewangan negeri Selangor.

WUJUDKAH KEWANGAN DAN PERBANKAN ISLAM DI SELANGOR?

Saya faham dan tahu bahawa ruang lingkup takrif ‘ekonomi' adalah luas dan merangkumi banayk aspek. Namun salah satunya adalah yang melibatkan urusan perbankan dan pelaburan. Maka dalam konteks ini soalan-soalan berikut kerap bermain di minda saya :-

·           Apakah kerajaan negeri Selangor akan mula mengikuti jejak langkah negeri Kelantan yang menutup semua akaun bank konvensional dan membuka akaun perbankan Islam  selepas ini? Kita tunggu dan lihat.

·           Apakah kerajaan negeri Selangor akan membuat satu garis panduan untuk semua anak syarikat kerajaan negeri agar menggunakan khidmat pembiayaan Islam dalam apa jua keperluan kewangan syarikat-syarikat tersebut?

·           Apakah kerjaaan negeri akan mengeluarkan atau menamatkan pendapatan dari hasil pelaburan kerajaan negeri yang menggunakan instrument pelaburan riba seperti Fixed Deposit di bank konvensional, pemegangan bond konvensional,  dan sebagainya?

·           Apakah kerajaan negeri akan menukar Insuran konvensional Riba kepada Takaful untuk semua kakitangannya dan juga semua anak syarikatnya?

·           Apakah kerajaan negeri akan menerbitkan bond Islam (SUKUK) untuk membiayai projek-projek besar kerajaan negeri dan syarikat di bawahnya?

·           Apakah kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah koperasi Islam atau bank Islam yang benar-benar boleh menjadi model kepada seluruh bank-bank Islam di Malaysia yang dikatakan bermain silap mata oleh Menteri Besar Selangor? Saya benar-benar ingin melihat sebuah bank Islam yang dipelopori oleh kerajaan negeri dari PKR dan PAS yang boleh menyediakan kos pembiayaan yang jauh lebih murah berbanding bank-bank Islam yang wujud hari ini.

·           Apakah kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan takrif jelas RASUAH dan seterusnya mengeluarkan arahan pekeliling untuk menjauhinya di semua peringkat. Saya juga ingin melihat apakah kaedah dan cara yang bakal dilakukan oleh DSAI untuk membuktikan beliau mempunyai idea untuk menguatkuasakannya dengan jelas di dalam kerajaan Selangor, berbanding kerajaan Pusat.

·           DSAI dikatakan kerap berkunjung dan bertemu tokoh-tokoh ekonomi dan perniagaan islam di seluruh dunia. Apakah pelaburan-pelaburan baru yang akan ditarik masuk ini akan dipastikan semuanya menuruti proses pelaburan Islam atau tidak?

·           Adakah kerajaan Selangor juga akan mengikut jejak langkah Kelantan menubuhkan gadaian Islam ar-Rahn dengan lebih meluas?

·          Adakah kerajaan Selangor akan atau telah menyediakan pembiayaan mikrokredit Islam? Saya kira Kelantan mungkin menghadapi sedikit kekangan kewangan untuk ini, namun tidak bagi Selangor.

·           Adakah tanah-tanah waqf di Selangor telah dan akan diurus secara dinamik melalui kaedah-kaedah kewangan Islam?

·           Adakah kerajaan Negeri Selangor akan memperhebat dan menubuhkan pengajian kursus Perbankan dan kewangan Islam untuk semua institusi pendidikan di bawah urus tadbirnya? Ini perlu bagi menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang yang sedang berkembang luas ini.

·           Adakah bajet kerajaan Negeri Selangor ada mempertekankan persoalan kewangan dan perbankan Islam?.

·           Adakah Selangor akan mengikuti jejak langkah kerajaan PAS Terengganu dahulu yang melantik Chief Religious Officer bagi semua anak syarikat di bawahnya bagi memantau pergerakan dan aktiviti kewangan syarikat agar menepati Islam.?

·           Adakah kerajaan negeri Selangor sanggup dan bersedia menamatkan mereka perkhidmatan tidak beretika dan tidak Islamik yang disediakan oleh anak-anak syaraikat di bawah mereka.? Cuba lihat senarai bisnes yang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat ini, nescaya anda kan menjumpai aktiviti yang bercanggah dengan nilai Islam. Semakan ini mestilah sepatutanya dilakukan oleh DSAI atau pekerjanya.

·           Adakah kerajaan Selangor akan atau telah menyediakan blue print projek kewangan Islam yang akan dilaskanakan?

·           Adakah kerajaan Selangor akan menyediakan garis panduan atau Parameters yang menerangkan bentuk dan jenis dan portfolio yang boleh dilabur, disertai dengan penjelasan teknik pelaburan yang dibenarkan dan dilarang. Sebagai contoh tidak dibenarkan terlibat dalam short selling, aktiviti spekulasi matawang dan saham dan lain-lain.

·           Adakah kerajaan Selangor akan membuat sebarang MoU dengan mana-mana bank-bank Islam untuk menawarkan tawaran khas buat kakitangan dan pelanggan kerajaan negeri Selangor sama untuk  mengislamkan (refinancing) pinjaman pembelian kereta, rumah, aset lain dan sebagainya dengan harga istimewa. Saya kira, banyak bank Islam yang sudi berbincang jika ditawarkan.

SEDIKIT USAHA SAYA

Sebelum bertolak ke UK tahun lepas (2008), saya pernah dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Agama negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Hasan Mohd Ali. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua badan organisasi agama Selangor termasuk Mufti Selangor, Lembaga Zakat Selangor, JAIS dan lain-lain.  Saya dijemput selaku ahli akademik untuk memberi idea, turut dijemput beberapa orang ahli ahli akademik dan individu berpengalaman seperti Puan Hjh Rohani Dato Sharir dan lain-lain.

Di dalam pertemuan itu, saya ada memberikan idea agar kerajaan Selangor menubuhkan Bank Islam mereka sendiri atau Koperasi Islam atau Yayasan yang mana fokusnya adalah memberikan model terbaik kepada kerajaan Persekutuan akan konsep perbankan Islam yang ‘tulen'.

YB Dato Hasan ketika itu amat bersetuju dan menyatakan bahawa sememangnya Selangor mempunyai dana yang mampu untuk tujuan itu. Namun cadangan itu lenyap dan hilang begitu sahaja.

Selain itu, saya juga pernah dijemput memberikan taklimat kewangan Islam kepada jabaatan pendbednaharaan Selangor ( tidak ingat namanya), di akhir taklimat tersebut para pengurus pelaburan dan pegawai-pegawai kewangan kerajaan Selangor tersebut kelihatan gusar dan risau dengan kerjaya dan tugasan yang sedang mereka laksanakan, lalu  beberapa orang mendekati saya cuba mendapat nasihat yang lebih specifik, namun begitu perubahan mestilah datang dari pihak atasan. Itulah yang mereka harapkan, saya hanya mampu menyeru mereka untuk mendesak YB Dato Hasan bagi  mengemukakan idea dan keperluan ini kepada MB Selangor. Sesudah itu, saya tidak pasti apa yang berlaku.

Saya cukup ingat, kenyataan Dato' Menteri Besar Selangor yang mengutuk perbankan dan kewangan Islam yang ada hari ini sebagai ‘bermain silap mata'. Dato' Seri Presiden PAS pula pernah mendakwa di dalam parlimen bahawa perbankan Islam terlalu mahal.

Jika itulah kritikan mereka, saya merasakan inilah masa yang paling sesuai kerajaan Selangor (dan juga Kedah) yang diwakili oleh PKR dan PAS untuk menunjuk contoh dan bukan hanya berkata dan mengkritik ‘kosong' tanpa alternatif dan modul. Malah jika perlu, boleh ditubuhkan secara bersama dengan kerajaan Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.  

Jangan dibimbang DAP tidak bersetuju kerana pelanggan utama di bank-bank Islam seluruh Malaysia adalah pelanggan berbangsa Cina yang menyedari kelebihan perbankan Islam yang lebih menguntungkan dan menjimatkan. Saya yakin, penerangan yang jelas mampu untuk mendapatkan laluan dari mereka. Halangan sebenarnya adalah orang Melayu Islam sendiri.

TERTANYA-TANYA

Sehingga hari ini, ahli-ahli akademik dan pendokong industri perbankan dan kewangan Islam masIh tertanya-tanya apakah peranan, sumbangan dan gerak kerja yang telah dilakukan oleh Kerajaan Selangor dan Kedah untuk pembangunan sektor kewangan dan perbankan Islam?.

 

pasforall.jpg

 

Jika ditinjau Ucapan dasar Presiden PAS yang terbaru, tiada perkara baru yang disebut dalam hal kewangan dan perbankan Islam. Hanya perkara lama yang asyik diulang-ulang tanpa perincian untuk melaksanakannya.[2] Diharapkan perincian boleh dibahas oleh perwakilan, namun ia  juga meleset. Tiada kedengaran ahli yang memperbahasakan kepentingan memastikan halal dalam pendapatan dan kewangan dan perbankan, apatah lagi cara lebih perinci untuk memastikan ianya dilaksanakan.

Saya masih ingat bertemu dengan Dato Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS di rumah beliau. Ketika itu saya bertanya dan mencadangkan kepada beliau, agar Majlis Syura PAS mengeluarkan satu arahan jelas kepada semua ahli PAS untuk TIDAK TERLIBAT dengan kewangan dan perbankan riba Konvensional. Beliau bersetuju tetapi tidak saya ketahui apa yang terjadi selepas itu.

Bukankah penglibatan dalam riba beerti perang dengan Allah dan rasulNya?.. sebagaimana difirmankan oleh Allah ( al-Baqarah : 278), kecaman berat juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Justeru bagaimana PAS ingin memperjuangkan politik dan pentadbiran Islam sedang diringankan soal pendapatan, perbankan dan kewangan yang halal.!? Bukankah pendapatan ahli, pimpinan serta kerjaan pimpinan mereka yang haram serta syubhat boleh menggugat perjuangan politik Islam mereka.?

Saya boleh memuji Kelantan yang telah mencuba beberapa perkara dalam pentabdbiran kewangan mereka, yang paling menonjol adalah skim Kifalah dan Ar-Rahn. Namun saya masih tidak terbaca apa yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan Kedah dan Selangor yang majoritinya adalah Islam.

PENUTUP

Sehingga hari ini, telah melebihi setahun pentadbiran kerajaan Pakatan rakyat di Kedah dan Selangor, saya dan rakan-rakan pecinta kewangan dan perbankan Islam masih menunggu-nunggu apakah yang dibuat oleh kerajaan mereka dalam hal ini. Apakah bezanya mereka dari kerajaan yang ada dalam hal ini, ataukah Kewangan dan perbankan Islam di bawah BN adalah lebih baik berbanding Pakatan Rakyat ?

Saya masih menunggu dan jika telah dilaksanakan sesuatu, diharap ada yang boleh berkongsi maklumat dengan kami. Saya sedar, kami ‘tidak tahu' tidak semestinya tiada. Cuma sebagai ahli politik, kebaikan khsusnya dalam hal ini perlulah segera diwarwarkan untuk umum mengetahui bahawa anda BERBEZA dan PRIHATIN.!

Tetapi persoalannya kini, adakah Anwar dan PAS sebenarnya boleh disandarkan HARAPAN untuk kemajuan kewangan dan Perbankan Islam? Adakah disana tanda-tanda pengharapan dalam ruang lingkup kuasa yang mereka TELAH MILIKI? (iaitu beberapa buah kerajaan Negeri).

Jika yang di dalam kuasa pun tidak mampu dijadikan contoh, apakah harapan untuk dilaksanakan dalam kerajaan yang belum mereka kuasai..

 

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

9 Disember 2009
 

 




[1] http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/12/3/business/5228337&sec=business

 

[2] Berikut adalah teks ucapannya :

IKLIM EKONOMI

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Dunia pada hari ini berdepan dengan krisis kewangan, sekaligus kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem kewangan Barat berteraskan riba, ihtikar dan gharar.

Adalah mengandungi hikmah mengapa Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w. menyenaraikan riba di kalangan dosa besar, walaupun tidak dimasukkan ke dalam jenayah Qisas dan Hudud, namun ianya diberi amaran yang keras.

Akibat muamalat kewangan ini, maka terbitlah pelbagai produk dengan beraneka nama canggih yang diniagakan oleh negara Barat yang bermegah dengan kemajuannya. Bank Dunia mengakui bahawa krisis kali ini melibatkan kerugian bukan berbillion bahkan beberapa trillion dollar Amerika. Setelah dunia melihat pertembungan ekonomi kapitalis dan komunis, kini berlaku pula pertembungan antara negara-negara kapitalis yang merugikan dunia.

Kerajaan BN pula berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan. Tindakan kerajaan ini adalah tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan sindrom penafian yang menjadi amalan kerajaan BN selama ini.

Lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama. Rakyat terus menanggung kerugian besar, sementara segelintir pihak kroni terus mengecapi keuntungan semasa ekonomi mewah sedikit waktu dulu dan mereka diselamatkan oleh ‘bailout' kerajaan BN.

Tegasnya, isu utama yang dipertikaikan hingga kini adalah ketelusan dan bertanggungjawaban. Peristiwa Bank Bumiputra yang hidup berkembar dengan pejabat Umno hanya tinggal dalam lipatan sejarah hitam ekonomi negara.

PAS juga menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menguruskan pelaburan rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diuruskan dengan penuh berhemat. PNB yang menguruskan dana berjumlah hampir RM120 billion, semestinya mampu memberi pulangan yang mapan untuk faedah rakyat. Perlu juga diingatkan keperluan untuk mematuhi kehendak syariah dalam setiap pelaburan tersebut.

Lembaga Tabung Haji juga mestilah mampu memenuhi tanggungjawab menjaga kepentingan ekonomi umat Islam dan memastikan setiap pelaburan adalah tidak berasaskan spekulatif dan mengambil kira semua risiko yang terlibat.

Kini rakyat dan pekerja akan terdedah kepada kesan kemelesetan ekonomi. Beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman swasta, yang menyaksikan hutang tak-berbayar (NPL) akan terus meningkat. Permintaan dunia telah pun berkurangan dan menyebabkan ekspot kita jatuh. Hal ini jelas dengan pengurangan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) sebanyak 15.8% pada hujung tahun lalu, hasil pengurangan permintaan khususnya di sektor pengeluaran/pembuatan dalam sektor elektrikal dan elektronik, semi konduktor, produk-produk kimia dan juga sektor komoditi.

Dengan permintaan yang menurun secara mendadak, pengilang tidak ada cara lain kecuali membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan serta mengelak kerugian besar. Pada hujung tahun 2009 ini, 200,000 pekerja dijangka dibuang dan menjadi penganggur. PAS kerap kali membangkitkan perkara ini supaya segera ditangani.

PAS suka mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini. Mentadbir kewangan dan menjadikan pengurusan ekonomi serta membangunkan harta atau ‘Hifzul Mal', adalah termasuk dalam perkara-perkara penting, yang disebutkan sebagai lima keperluan hidup manusia atau ‘ad-Dharuriyat al-Khamsah' yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah kerajaan yang dibimbing dan ditadbir oleh syariat Islam.

PAS menekankan kepentingan menentukan keutamaan (awlawiyat) dalam kerangka menentukan perbelanjaan, sama ada Perbelanjaan Mengurus dan Membangun serta persoalan sektor utama dan kritikal yang hendak dibangunkan. Acapkali negara diaibkan dengan ketidakcukupan pemakanan seperti beras, sementara negara kita ini dilimpahi dengan tanah pertanian. Tidak salah ingin menjadi negara industri maju, tetapi semua negara maju mempunyai ‘Kedaulatan dan Keselamatan Pemakan' seperti UK, Jepun, Amerika dan Eropah.

Songsang dan bersimpang siur pemikiran pemimpin negara dalam hal pacuan pembangunan negara, sehingga negara hilang daya saing dalam segala hal dan juga tidak punya daya tahan mendepani pelbagai krisis termasuk pemakanan. Laksana "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".

PAS juga amat insaf dengan kepentingan asas moral dan nilai agama yang kukuh bagi memastikan kepimpinan politik negara selamat daripada bencana rasuah, penyalahgunaan kuasa serta tamak, rakus dan boros. PAS kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian masalah ekonomi manusia bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak, serta iltizam pemimpin kepada tuntutan amanah Allah SWT bagi mentadbir dan memakmurkan bumi dalam rangka tuntutan khilafah dan amanah.

PAS mahukan gagasan Sistem Liberal-Kapitalis lapuk yang telah memansuhkan emas sebagai sandaran utama mata wang ditinggalkan. PAS ingin mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.

PAS juga mahukan konsep Pertumbuhan Hijau terus diperkasakan. Falsafah Petumbuhan Hijau amat selari dan sejajar dengan tuntutan tasawwur Islam yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan mestilah mengambil kira impak kemusnahan kepada alam sekitar dan sumber-sumber serta aset negara yang tidak mampu diganti.

Hijau yang tidak membawa kemusnahan kepada kelangsungan kualiti hidup dan daya saing generasi mendatang, wajar ditekankan dalam paradigma pembangunan lestari. Itulah tasawwur pembangunan memakmurkan bumi yang dianjurkan Islam sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 61.

Maksudnya: "Dan kepada kaum Tsamud (Kami utus) saudara mereka Salleh. Salleh berkata: ‘Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu daripada tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya karena itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." [11:61]

Di samping itu PAS menekankan bahawa pembangunan perlu seiring dengan semangat "perkongsian" yang sebenar di antara entiti-entiti bisnes dan perniagaan, atas dasar berkongsi dalam keuntungan dan juga kerugian - "musyarakah bil gharam wal ghanam". Penswastaan perkhidmatan dan keperluan asas seperti perkhidmatan air, elektrik, kesihatan dan pendidikan adalah amat tidak digalakkan kerana membebankan rakyat akhirnya.

Sementara Islam adalah mesra perniagaan, tetapi ia tidak mengorbankan kepentingan awam. Golongan berpendapatan rendah, fakir dan miskin, tambah-tambah lagi mesti dilindungi dengan pelbagai kaedah agihan kekayaan dalam pendekatan zakat dan sadaqah bagi membela kehidupan mereka. Di samping itu jaringan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan bagi semua rakyat, agama, kaum dan budaya mestilah juga ditekankan dalam dasar kerajaan. Segala pendekatan positif mesti dilakukan di atas dasar dan prinsip keperluan dan kelayakan secara adil. Inilah prinsip keadilan Islam yang terus dijunjung tinggi oleh PAS dalam semua keadaan.

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 5 guests

Komen Terbaru

You are here: Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Anwar Ibrahim & PAS Memacu Kewangan Islam : Boleh Diharapkah ?