Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Bahasa Inggeris dan Pemansuhan PPSMI

Bahasa Inggeris dan Pemansuhan PPSMI

  • PDF
(5 votes, average 5.00 out of 5)

Bahasa Inggeris dan

Pemansuhan PPSMI

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

english.jpg

Tahniah saya ucapkan kepada para pejuang bahasa yang menolak pelaksanaan PPSMI selama ini. Apa yang diperjuangkan oleh mereka iaitu pengajaran Matematik dan sains di dalam bahasa ibunda bakal menjadi kenyataan bermula tahun 2012 selepas pimpinan kerajaan membuat keputusan untuk membatalkannya setelah enam tahun ia dilaksanakan.

Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata :-

"Sebelum ini kita banyak mendapat memorandum meminta untuk mengkaji semula, maka kita menetapkan supaya satu kajian dibuat mengikut tempoh pelaksanaan dasar itu iaitu selama enam tahun (2003 hingga 2009). Dan semalam keputusan telah dicapai menerusi kajian selama enam tahun itu. Itu membuktikan keputusan semalam dibuat bukan kerana desakan"

Ia jelas, menunjukkan desakan mengkaji semula mendapat perhatian kerajaan, tetapi keputusan muktamad kerajaan itu sebenarnya lebih dipengaruhi oleh hasil kajian mereka sendiri dan bukannya kerana terpengaruh dengan desakan demi desakan dari pelbagai pihak termasuk kesemua Sasterawan Negara dan parti pembangkang. Seorang pimpinan parti kerajaan dilaporkan berkata[1] ,

''UMNO Johor sejak mula lagi tidak bersetuju dengan PPSMI. Pembangkang jangan pula kata ini usaha mereka kerana perubahan dasar ini dibuat setelah kajian teliti dan perbincangan dilakukan pelbagai pihak,

Itulah gambaran politik yang belum cukup matang malah kurang sihat sebenarnya, semua parti kelihatan asyik cuba mengelak dari pihak lawan mendapat kredit atas tindakan dan keputusannya. Parti pemerintah begitu, pembangkang juga demikian.

Bagi saya, tiada apa salah sekalipun jikalau mengakui bahawa tindakan pemansuhan itu dibuat disebabkan oleh antaranya desakan parti pembangkang. Bukankah pembangkang juga mewakili sebilangan besar para pengundi warganegara Malaysia yang membayar cukai dan mentaati undang-undang demokarasi berparlimen Malaysia.  Malah ‘pengakuan' sebenarnya akan membuatkan pihak yang mengaku tampak lebih matang dan terbuka dalam menerima segala cadangan yang baik demi kebaikan rakyat Malaysia. Bukankah itu kelebihan berbanding penafian.?

Malah akibat penafian, ia akan menunjukkan seolah-olah pihak parti pemerintah dan kerajaan TIDAK AMBIL ENDAH atau ‘pekakkan telinga' terhadap semua desakan dari mana-mana yang membantah dan mendesak.  Apa yang boleh mengubah pendirian pimpinan kerajaan lebih tertumpu kepada hasil kajian mereka sendiri dan orang mereka sendiri sahaja? Demikiankah mesej yang ingin disampikan?.

Saya lebih selesa apabila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang berkata, pemansuhan dasar itu dibuat setelah kajian terhadap keberkesanan pelaksanaannya dilakukan.

"'Keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan bertanggungjawab setelah mendapati dasar ini kurang berjaya. Kita mesti berani buat keputusan untuk memperbetulkan keadaan" [2]

"Ini bukan keputusan yang dibuat dalam masa sehari, langkah ini diambil untuk kepentingan rakyat, buat apa kita teruskan dasar yang kurang berjaya.

"Contohnya kita lihat pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak dilaksanakan pada 2003, telah jatuh daripada 85 peratus kepada 83 peratus," katanya.[3]

ANTARA FAHAM DAN BAHASA

Apapun, kita berharap keputusan ini terbaik buat semua rakyat. Perlu disedari bahawa bahasa Inggeris sememangnya penting, namun kefahaman dalam pengajian lebih penting dari bahasa yang digunakan dalam pengajian sesuatu ilmu itu. Samalah seperti pengajian ilmu Islam di dalam bahasa Arab, sekiranya peljara gagal memahami ilmu itu, ia lebih bahasa walaupun kita boleh berbangga kerana kelas dilaksanakan di dalam bahasa arab. Kesannya, pelajar akan menghafal tanpa faham dan apabila tamat pengajian dan ingin menyumbang kepada masyaarkat, mereka mula goyah dan bermasalah. Namun demikian, keperluan untuk memahami bahasa Arab dengan baik dan kemas AMAT penting bagi mereka yang ingin memahami ilmu Islam dengan tepat. Pergantungan kepada terjemahan hanya sesuai untuk peringkat awal dan permulaan, bukan bagi mereka yang ingin menjadi pakar.

 

english2.jpg

 

Pernah saya tuliskan sebelum ini, Germany, Perancis, Jepun dan kebanyakan negara maju tidak memandang Bahasa Inggeris sebagai penting untuk mereka mengekalkan kemajuan. Mereka terus kukuh mempertahankan survival bahasa ibunda mereka sendiri dan sesiapa yang ingin mengambil manfaat dari mereka, pelajarilah bahasa tempatan atau terpulang kepada anda untuk terpinga-pinga. Menurut pengalaman saya, seolah-olahnya itu mesej mereka, percubaan kita bertutur dan bertanya di dalam bahasa Inggeris langsung tidak diendahkan walau mereka faham. 

Menurut pengalaman saya, seolah-olahnya itu mesej mereka, percubaan kita bertutur dan bertanya di dalam bahasa Inggeris langsung tidak diendahkan walau mereka faham. Pasti dibalas di dalam bahasa mereka. Lebih sukar, apabila barang makanan tidak mempunyai maklumat di dalam bahasa Inggeris (khususnya kandungan makanan), semuanya di dalam bahasa Jerman jika di Germany dan bahasa Perancis jika di Perancis.

Keadaan ini menjadikan para pelajar Malaysia yang berada di Germany, Perancis serta Jepun khususnya menghadapi cabaran tambahan. Masakan tidak, para pelajar ini memberitahu saya bahawa semua pengajian menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa pengantar. Bagi pelajar yang mempelajari kejuruteraan automatif di Germany sebagai contoh, semua rujukan, buku dan bahasa komunikasi adalah bahasa Jerman.

Apabila mereka pulang untuk mendapat pekerjaan di Malaysia, temuduga dilakukan di dalam bahasa Inggeris. Tatkala itu, graduan ini akan menghadapi kesukaran dan cabaran tambahan. Setiap istilah kejuruteraan dan perubatan yang difahami dan dipelajari di dalam bahasa Jepun, Perancis, Russia dan Germany bukan mudah untuk dicari istilah yang sama di dalam bahasa Inggeris.

Saya kira, kalau begitulah keadaannya, adalah lebih baik sekiranya syarikat-syarikat di Malaysia menggunakan bahasa Malaysia sahaja bagi temuduga graduan lepasan negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mereka. Salah satu sasaran temuduga adalah melihat sejauh mana kompeten seseorang calon dalam ilmunya, seleaps itu baru dilihat kualiti lain termasuk kebolehan berbahasa Inggeris untuk komunikasi sewaktu kerja.

ILMU SEKOLAH, UNIVERSITI DAN DUNIA SEBENAR

Saya bukan pelajar aliran sains semasa di sekolah rendah tetapi sekadar membuat satu perbandingan melalui pengalaman sendiri, saya merasakan alam persekolahan rendah dan menengah bukanlah tempat yang paling berkesan untuk murid menggarap sebanyak ilmu. Saya kira, apa yang diperlukan di ketika itu adalah kesedaran dan minat untuk belajar  selain mempersiapkan diri murid dengan skill tertentu.

Pemerolehan ilmu secara terperinci biasanya akan diperolehi bermula di peringkat Universiti. Jika tapaknya sudah disediakan dengan baik di sekolah, minatnya sudah dibiakkan, kehidupan universiti bakal menyaksikan peningkatan dahsyat dalam diri seseorang. Mungkin sahaja dia akan keluar seperti seorang yang amat asing dari dirinya semasa di sekolah.

Justeru itu, harapan agar lebih ramai pelajar sekolah mampu menguasai apa yang didakwa sebagai "bahasa teknologi dan sains" iaitu Bahasa Inggeris di peringkat persekolahan, amat sukar untuk memberikan si murid ketiga-tiganya sekali dalam satu masa, iaitu kepakaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, pasti tidak akan mampu, malah satu di antara tiga pun belum tahu mampu.

Saya pernah bertanya kepada ahli keluarga saya dan rakan-rakan yang sudah berjaya di sektor kejuruteraan, farmasi, kedoktoran dan lain-lain sektor berasakan ilmu Sains, saya ingin tahu sama ada ilmu yang dipelajari di universiti banyak membantu semasa bertugas di alam realiti korporat, industri dan pekerjaan. Jawapannya, tidak banyak yang relevan, apa yang dipelajari berbeza dengan alam realiti. Malah sewaktu bertugas itulah beliau belajar dengan lebih sempurna dari masa ke semasa, berbekalkan ilmu asas dari Univeristi.

Keadaan itu merujuk kepada pembelajaran di Universiti, kalau hanya itu kesan pembelajaran dari universiti, apatah lagi ilmu yang diperolehi di peringkat sekolah, tentunya lebih jauh. Saya juga melihat bagaimana silibus persekolahan United Kingdom.

Amat jelas mereka tidak terlalu membebankan murid dengan pelbagai ilmu, peperiksaan, tekanan dan desakan di alam persekolahan. Namun sistem universiti mereka yang berperanan penting membentuk generasi mereka sehingga lahir sebagai ahli sains, pakar matemtik, ekonomi dan lain-lain.

Maka jika ingin menguatkan Bahasa Inggeris murid, memang tepat untuk tidak memaksa murid sekolah rendah untuk belajar Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris. Semakin tepat apabila dilihat prasarana sekolah dan latar belakang guru yang langsung tidak bersedia untuk menyahut cabaran dan hasrat itu. Hasilnya, tentulah murid gagal, guru pun akan gagal dan ini terbukti dengan keluarnya hasil kajian yang dilakukan oleh kerajaan sendiri.

Apa yang perlu adalah memulakan modul intensif bahasa Inggeris di peringkat Universiti. Minda dan kematangan pelajar di ketika itu sedang berada ditahap yang terbaik.

 

LAWAK BAHASA INGGERIS

Lihatlah betapa orang Jepun dengan slambanya merasa lucu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahan bagi rancangan lawak mereka. Selamat menonton

 

 

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Julai 2009

 



[1] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0709&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm&arc=hive

 

[2] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0709&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm&arc=hive

[3] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0715&pub=utusan_malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm&arc=hive

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 6 guests

Komen Terbaru

You are here: Politik & Dakwah Politik Islam & Dakwah Bahasa Inggeris dan Pemansuhan PPSMI