Isu Undi, PIlihanraya & Wakil Rakyat :
Pandangan Ringkas
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
Pilihanraya adalah suatu proses meraih sokongan dan keyakinanan rakyat bagi membolehkan seseorang calon dipilih mengetuai sesebuah kawasan-kawasan tertentu atau organisasi-organisasi tertentu, dengannya juga dipilih pimpinan sesebuah negara.
Adakah proses ini terdapat di zaman Nabi s.a.w ? Yang nyata, bentuk yang ada hari ini sememangnya tiada terdapat di waktu pemerintahan Baginda Rasululallah s.a.w.
Namun begitu, ini tidak semestinya menjadikannya sebagai haram, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.
Ia berbeza dengan hal ehwal ibadat yang tidak perlu dikaji hikmah tersirat bagi sesuatu pergerakan ibadah. Undi dan pilihanraya adalah tergolong dalam bab muamalat ( urusan hubungan manusia dengan manusia ) yang diberikan kelonggaran di dalam Islam yang mana penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan objektif yang ingin dicapai.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah" pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).
Pilihanraya
Lalu dalam hal ini, maksud pilihanraya dan undi yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat, dipercayai dan disenangi rakyat untuk diberi tugasan dan amanah pentadbiran kawasan dan negara.
Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas membolehkannya kerana ia hanyalah bentuk-bentuk dan alat bagi mencapai Maqasid as-Shariah, iaitu Negara yang mempunyai pemimpin, bukankah mempunyai pemimpin itu satu kewajiban.
Manifesto & Kempen
Rasulullah s.a.w semasa di permulaan dakwah juga melakukan kempen bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam. Justeru proses kempen adalah diterima dalam Islam selagi mana ia tidak berbohong melaluinya. Di zaman ini, amat perlu bagi rakyat untuk meneliti manifesto dan bukan hanya terpesona dengan rupa wajah calon bertanding serta kandungan percakapannya semasa kempen.
Manifesto sepatutnya menjadi penentu utama samada kita diharuskan untuk mengundi seseorang calon itu atau tidak. Ia ibarat perlembagaan calon dan parti yang bertanding. Mungkin kita menemui manifesto yang menawan hati namun selepas itu track record serta kemampuan peribadi calon perlu diperhatikan pula.
Tidak wajar juga, untuk kita hanya menilai manifesto serta calon berdasarkan penilaian aqal serta material semata. Kerana sesuatu yang baik di sisi aqal dan mata kita kemungkinan sahaja tidak baik di sisi Allah swt, demikian sebaliknya. Bukalah hati dan iman bagi berperanan menentukan pilihan kita yang amat penting ini.
Memang benar, calon yang berkualiti perlu dititik beratkan, namun dalam konteks Malaysia hari ini, kehebatan calon sahaja tidak cukup untuknya berperanan, kerana ia akan terikat dengan manifesto partinya. Kerana itu, manifesto serta dasar parti perlu dilihat selain kemampuan calon.
Perlu diingat bahawa Islam meletakkan pertimbangan utama undian atau kesaksian tidak boleh kerana selain dari Allah swt sebagaimana firman Allah :
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَن كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
Ertinya : ...persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. ( At-Talaq : 2)
Selain itu, tidak boleh pula rakyat tidak keluar mengundi sedangkan ia berkemampuan sebagaimana tidak harus saksi-saksi enggan memberikan penyaksian sebagaimana firman Allah terutamanya apabila diminta untuk membantu proses keadilan dan kebaikan.
وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Ertinya : ...dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Amat jelas serta terang lagi nyata, sikap Islam terhadap penyaksian dalam hal hutang dan lain-lain isu yang berkaitan urusan muamalat sesama manusia (yang meliputi undian dan pilihanraya) adalah HARUS malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang membawa manifesto yang menjurus ke arah kejayaan dunia dan akhirat.
Penentu peribadi bagi calon sudah tentulah agama, pemikiran dan perjuangan seseorang calon itu. Kita tidak mahu bertanggung jawab kelak di akhirat kerana menaikkan calon yang menyukai kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.
Nabi s.a.w menyebut :-
Ertinya : "Orang yang menunjukkan (membawakan) ke jalan kebaikan akan mendapat pahala sebagaimana orang yang melakukannya"
Demikian juga hadis :-
Dari Abu Hurairah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dari pahala orang yang mengikutinya sedikit pun, barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang mengikutinya.
Undi kita termasuk dalam kategori hadis ini, jika kita mengundi calon baik dan dasar baik, hasilnya mereka mampu melakukan yang baik, maka kita turut mendapat keberkatan dan hasil pahalanya. Jika sebaliknya, kita juga menanggung akibatnya di barzakh dan akhirat. Berhati-hatilah saudara dan saudari, jangan sampai kita mendapat DIVIDEN DOSA berterusan akibat tindakan kita sendiri, iaitu undi.
Saksi
Oleh kerana kita yang mengundi dianggap sedang menjadi saksi terhadap calon atau parti calon dan manifesto calon. Justeru sebagai saksi kita tidak boleh mengundi secara sembrono, kita WAJIB menjadi saksi yang adil lagi amanah. Bagaimana caranya?
Jawapnya, kita wajib menilai apa yang terdapat disekeliling kita mengikut neraca Islam pertamanya dan realiti keduanya. Cuba perhatikan samada LIMA (5) asas utama yang perlu dijaga telah dijaga, iaitu Agama, Nyawa, Maruah dan keturunan, Harta. Perhatikannya dari sudut kehendak Allah swt, kerana itulah yang bakal ditanya di alam barzakh dan akhirat kita. Bukan penilaian dari kacata mata yang sama seperti George Bush.
Selepas penilaian, kita ibarat di mahkamah untuk 'testify against' atau 'support'. Saya hanyamemberikan panduan umum, keputusan di tangan anda.
Undi
Kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, adalah diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat'ie yang melarang.
Selagi lagi diingatkan kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya :
"Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma'ani (maqasid)". (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).
Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.
Boleh dikatakan secara ringkas, bahawa Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia tergolong dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Mafhum : "Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu"
Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap pemerintah yang dipilihnya untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.
Walaupun sistem undian wakil rakyat ini boleh diteruskan, namun bagi memastikan ia menepati kehendak Islam ia perlu diletakkan beberapa syarat dan panduan, agar ia bertepatan dengan Islam sepenuhnya.
Ahli Parlimen & konsep ‘Al-Hakimiah Lillah' sewajarnya hanya bertindak seorang pimpinan seumpama gabenor wilayah di zaman khilafah Islam.
Dalam konteks zaman ini, ahli parlimen berkumpul di Dewan Rakyat bagi mewakili rakyat dalam beberapa perkara:
i. Menggubal dan memperbahaskan undang-undang baru.
ii.Mengawasi undang-undang yang digubal.Kedua-dua perkara tersebut adalah termasuk didalam tugas pemerintah di bawah sebuah kerajaan Islam.
Sudah tentu gabenor-gabenor wilayah akan bertindak sebagai ‘ahli al halli wal aqd' iaitu kabinet utama khalifah. Tugasnya juga sama iaitu menggubal undang-undang baru yang tidak ditentukan oleh Allah secara qa'tie dan juga mengawasi undang-undang iaitu amar makruf nahi mungkar.
Cuma titik perbezaan ketara yang WAJIB DIFAHAMI ADALAH, ahli parlimen yang ada hari ini mungkin boleh bertindak menafikan ‘al-Hakimiyah Lillah' iaitu menafikan kuasa perundangan utama dan asas iaitu hak ALLAH. Sistem inilah yang menyebabkan terdapat para ulama semasa yang mengharamkan penyertaan pilihanraya.
Bagaimanapun Al-Qaradhawi berijtihad menyatakan harus menyertainya bahkan wajib jika dengannya boleh mengurangkan mudharat terhadap Islam.. DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH. [Min Fiqh Ad-dawlah Fil Islam, Al-Qaradawi)
Jangan Menang Undi, Iman Tergadai
Selamat menggunakan seluruh pancaindera kita, terutamanya hati, iman, aqal dan minda dalam menentukan pilihan kita, pilihan kita juga adalah untuk menentukan bentuk Negara di masa akan datang serta untuk anak-anak kita yang tercinta.
Akhirnya, sekali lagi saya mengingatkan, jauhilah rasuah semasa pilihanraya. Kita tidak mahu musim pilihanraya menjadi asbab seseorang itu terhumban di dalam neraka dengan lebih lama. Disebabkan setiap kali pilihanraya rasuah diberi dan diterima, fitnah menjadi mainan, bomoh dirujuk bagi mendapatkan ‘kuasa luar biasa'.
Hasilnya setiap kali pilihanraya berapa ramai yang jatuh syirik, menempah bilik neraka lebih lama dan menjauhkan diri dari Syurga. janganlah jual iman dan nilai diri hanya dengan beberapa ratus ringgit. Fikirkanlah....
Sekian
18 Feb 2008
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites