Peribadi, Tazkirah & Fikir Sejadah 'Berdiri' di Rumah Saya!

Sejadah 'Berdiri' di Rumah Saya!

  • PDF
(29 votes, average 5.00 out of 5)

Sejadah 'Berdiri' di Rumah Saya!

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

sejadahku.jpg

 

Di ketika saya menulis artikel ini, di Malaysia khabarnya sedang agak hangat dengan peristiwa pelik sejadah ‘berdiri' di surau-surau. Mungkin disebabkan minat yang tinggi manusia kepada perkara luar biasa dan pelik, lalu hal ini menjadi tarikan media. Tersiarlah gambar-gambar sejadah berdiri di pelbagai akhbar dan media.

Surau yang terbabit menjadi penuh, orang ramai datang dari jauh dan dekat untuk melihat sejadah ‘berdiri', ya ‘berdiri' menunaikan solat? Wallahu'alam.

"mungkin ini teguran Allah kepada hambanya agar menunaikan solat" tegas seorang ustaz lepasan timur tengah, sambil mengangguk-angguk kepalanya, insaf barangkali.

"Ini tanda orang di sekitar surau terbabit tak solat, sampai sejadah terpaksa mendemonstrasikan apa yang patut dibuat" kata seorang pengulas semi profesional yang lain.

"Hebatnya islam, hingga ada sejadah berdiri" ada tak agaknya orang bukan Islam yang kagum dengan peristiwa ini sehingga boleh terpacul kata sebegini?

Memang benar, surau yang biasanya gersang dari pengunjung tiba-tiba menjadi penuh. Bertambah ramai kerana sejadah ‘berdiri'.

SAYA DITANYA

Biasanya saya tidak begitu meminati berita seperti ini, bukan ingkar atau menafikan, cuma Al-Quran itu sudah lebih dari ajaib untuk kita sebenarnya.

"Namun tidak mengapalah, ada sesetengah orang mungkin memerlukan yang lebih dari Al-Quran untuk beriman agaknya, seperti sejadah ‘berdiri', hmm pelik. Biarlah jika mereka ingin kagumi, asal akhirnya boleh kembali kepada Al-Quran." Tegas hati dalam saya bila terbaca satu tajuk berita di internet, tanpa saya minat untuk menekan dan membaca lanjut.

Namun satu hari, apabila saya ditanya berkenaannya dan diberikan link berita yang ditulis mengenainya. Tergerak pula hati untuk klik dan melihat gambarnya.

Subhanallah !

Saya tidak dapat menahan untuk senyum sejurus saya klik dan melihat gambar yang terpapar. Hati menjadi kurang selesa, minda laju berfikir. Saya memikir apakah yang telah jadi dalam pemikiran orang di zaman moden ini. Saya berfikir, adakah itu jenis ‘berdiri' yang dianggap hebat dan luar biasa?

Terus terang saya menjadi sedikit malu dengan gambar-gambar yang dipaparkan.

Mungkin anda tidak bersetuju dengan saya, anda bebas, namun saya tidak dapat memaksa hati dan minda saya untuk menerimanya sebagai keajaiban. Saya merasakan, agak ramai yang mentertawakan gelagat orang-orang surau yang mendakwa sejadah mereka ‘berdiri'.  

sejadahsatu.jpg

 

 

 

sejadahdua.jpg
Gambar : Inilah gambar sejadah 'berdiri' yang dipapar oleh media

 

PERTIKAIAN DAN MENJADI LAWAK

Saya mula terdengar lawakan orang. Pertikaian orang yang akhirnya akan memburukkan nama Islam dan penganutnya jua.

"entah budak nakal mana yang mendirikannya di waktu tiada mata yang melihat kecuali Allah, didakwanya luar biasa" kata sebahagiannnya

"Mungkin juga ada orang kampung yang berstrategi mempopularkan surau, kampung atau tempat mereka" seorang lagi memberi komen.

Sebelum ini saya membayangkan sejadah itu ‘berdiri' dengan tegak dan amat luar biasa.

Namun rupanya, ‘berdirinya' ia hanya seperti piramid sahaja. Jika itulah bentuk ‘berdiri' yang dikagumi, sejadah di rumah saya pun boleh ‘berdiri'.

berdiri.jpg

Gambar : Ini pula adala dua sejadah di rumah saya di UK, yang berdiri (saya yang mendirikannya, ini sejadah yang dah lama, jika baru beli, lagi tinggi ‘berdiri', sama tak?)

Saya tidak menafikan bahawa memang tersangat boleh, kuasa Allah untuk mendirikan semua sejadah-sejadah itu. Tapi tidak semua perkara yang luar biasa wajar dikongsi kepada umum, kerana sebahagiannya akan menjadi bahan gelak ketawa dan back fire kepada Islam dan penganutnya sendiri.

Sebenarnya lebih elok, jika benar-benar ia ‘berdiri' sekalipun, cukuplah bagi orang yang nampak untuk memuhasabah diri. Bagi saya, sesiapa yang dapat melihat sesuatu keajaiban, dialah target utama untuk insaf, sedar atau bertambah taqwa.  Kemudian, diamkan sahaja atau kongsikan bersama mereka yang amanah dan dipercayai sahaja.

Kaedah ini mengambil manfaat dari ajaran Islam iaitu bagi mereka yang mendapat mimpi baik atau buruk. Mimpi baik perlu dirahsiakan untuk diri dan hanya wajar dikongsi kepada orang yang hampir, amanah dan dipercayai sahaja. Jika tidak mimpi yang baik itu akan sengaja diputar belit sehingga membawa kesan negatif kepada empunya mimpi, akibat hasad dengki manusia di zaman ini. Manakala mimpi buruk jangan sesekali dikongsi dengan sesiapa pun, buangkan ia dari minda sama sekali, selepas beristi'azah dan meniup ke kiri sebanyak tiga kali serta menukar posisi baringan. Itulah yang diajar oleh baginda Nabi s.a.w.

Kepelikan di zaman ini bukanlah mu'jizat yang perlu dikongsikan kepada awam. Mu'jizat hanya berlaku di zaman Nabi s.a.w, Karamah hanya berlaku kepada individu yang soleh tanpa kehendak dan kawalannya. Keajaiban lain boleh dilihat pada alam semesta, itulah keajaiban, tubuh kita adalah keajaiban, maka jika masih perlukan keajaiban tambahan untuk dikongsi dan diwarwarkan. Dalami hal tersebut, maka manusia yang beriman dengan logik juga akan terkejut dan mengkaguminya.

diritegak.jpg

 

Gambar : saya ingatkan sejadah berdiri tu berdiri tegak macam ni. Rupanya tidak

Justeru, jika benar-benar ingin menayangkan kepada umum juga, pilihlah sesuatu keajaiban yang benar-benar sukar disangkal logik aqal, minda para pembenci Islam dan orang kebanyakan. Jangan sampai ‘keajaiban' yang disangka hanya sesuai menjadi bahan tertawa sehingga Islam dan penganutnya diperlekeh. Seperti keajaiban sejadah ‘berdiri'.

Kita semua bertanggungjawab menjaga nama baik Islam dan penganutnya. Jangan pula tersangat sensitif dan tinggi benar imiginasinya sehingga mendakwa sejadah itu sedang solat. Banyak lagi perkara lain yang perlukan sensitiviti umat Islam, namun asyik tidak diendahkan.

Saya menjadi lebih bimbang apabila umat Islam terlalu mudah mengagumi perkara pelik, kelak nanti mudah diperdaya oleh ajaran-ajaran sesat dan kepercayaan tahyul serta khurafat, lantaran kenipisan iman dan ilmu.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

23 Oktober 2009

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 29 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Sejadah 'Berdiri' di Rumah Saya!