Menerima Anugerah Media Islam Negara :
Web Islamik Individu Terbaik
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Segala pujian bagi Allah swt, usaha dakwah fardiah yang dilaksanakan melalui web ini dapat dirasai sumbangannya oleh masyarakat ramai. Lebih bersyukur lagi apabila web ini ( www.zaharuddin.net) dianugerahkan sebagai LAMAN WEB ISLAMIK TERBAIK INDIVIDU, di Majlis Anugerah Media Islam Negara Ketiga 2009 yang berlangsung pada 7 Oktober 2009 yang lalu.
Alhamdulillah..
Lebih mengujakan apabila sehingga hari ini saya masih TIDAK MENGETAHUI siapakah gerangannya yang secara sukarela mengisi borang pencalonan untuk web ini dan menghantarnya kepada pihak urusetia.Apapun jutaan terima kasih kepada individu terbabit.
Memang sebelum ini saya ada terfikir untuk menyertainya tetapi setelah memikirkan kepelbagaian kandungan web ini yang sebahagiannya pula mungkin boleh mencetus rasa kurang selesa pihak tertentu, saya membatalkan hasrat tersebut. Ditambah pula apabila melihat item-item di dalam borang pencalonan yang agak ‘leceh', akhirnya terus terpadam semangat untuk menghantar penyertaan.
Sehinggalah awal bulan September 2009 saya mendapat sapaan dari pihak urusetia majlis mellaui ruangan komentar di web, untuk hadir ke Majlis anugerah yang akan berlangsung pada 7 Oktober 2009. Agak terkejut juga kerana tiada penyertaan dibuat tetapi dijemput.
Dari situ, sedarlah saya bahawa ada insan yang secara sukarela mendaftarkan web saya untuk kategori web islamik individu terbaik. Namun jemputan itu bukanlah indikasi ‘akan diberi anugerah', hanya sekadar pemberitahuan telah disenaraipendek sebagai penerima anugerah sahaja, justeru layak untuk hadir ke majlis.
Pada 14 September sehingga 1 Oktober 2009, saya berada di Malaysia, terfikir juga untuk mengubah tiket flight agar saya boleh menghadiri majlis besar itu, namun disebabkan pelbagai urusan yang dikira lebih penting, saya mewakilkan sahabat saya Sdr Khairul Hisham Kamal untuk menghadiri majlis tersebut. Terima kasih diucapkan kepada beliau atas kesudiannya membantu saya. Gambar-gambar ini dikirim oleh sahabat saya, saya Khairul Hisham yang juga menjadi wakil saya ketika menghadiri program tersebut. Sekali lagi terima kasih kepada beliau atas kesudiannya membantu.
Gambar : Sdr Khairul Hisam ( Wakil dan rakan saya) semasa menghadiri majlis tersebut.
Selain web, penerbit buku Wang, Anda dan Islam, Truewealth Sdn Bhd turut memaklumkan saya dijemput untuk hadir ke majlis tersebut atas kapasiti calon ‘buku ilmiah terbaik', pihak penerbit yang menghantar pencalonannya.
Namun saya amat yakin, buku tersebut tidak terpilih kerana sifat buku itu bukanlah sebuah buku ilmiah tetapi separa ilmiah sahaja. Namun saya bersyukur kerana panel penilai membaca buku tersebut semasa proses penilaian dan seterusnya menyenaraipendekkannya untuk menerima anugerah kategori buku ilmiah terbaik. Namun tidak terpilih sebagai terbaik, hanya ‘baik' sahaja. Bagi saya, buku tersebut lebih sesuai dicalonkan dalam kategori ‘buku umum'
Apapun terima kasih buat semua dan terima kasih kepada pihak JAKIM atas anugerah ini. Ia tidaklah dipinta tetapi dianugerahi, namun sentiasa ingat dan sedar, redha dan anuegrah Allah adalah matlamat utama kita semua. Anugerah dari manusia hanyalah sampingan dan akan hilang.
Jutaan terima kasih buat semua, isteri tercinta, Noraslina Bt Jusin dan anak-anak saya yang sentiasa memberi ruang dan mendokong. Juga buat individu yang mengisi menghantarkan penyertaan dan smeua pengunjung web ini.
Akhirnya, saya juga sedar dan insaf bahawa sebenarnya banyak lagi web Islamik individu yang jauh lebih baik daripada web ini, namun mungkin mereka tidak dicalonkan atau tidak menghantar penyertaan. Kesimpulannya, marilah terus ‘berlari' dan ‘berlumba' mengejar redha dan anugerah Allah. Jangan tertipu dek pujian dan anugerah manusia di pertengahannya, kelak terhenti di separuh jalanan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
19 Syawal 1430
8 Oktober 2009
p.s Lihatlah sejauh mana liputan media terhadap majlis anugerah ini.. terlalu malap dan hampir tidak kelihatan. Itulaha cabaran media Islam
BERIKUT ADALAH PETIKAN BERITA UTUSAN MALAYSIA YANG MENYEBUT BERKENAAN PENERIMA ANUGERAH .
PUTRAJAYA 7 Okt. - Utusan Melayu (M) Berhad yang
menerbitkan akhbar Utusan Malaysia muncul penerbit akhbar terbaik pada
Anugerah Media Islam Negara (AMIN) Kali Ketiga yang diadakan di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Kemenangan bagi kategori Anugerah Penerbitan Media Cetak itu melayakkan
syarikat berkenaan menerima hadiah wang tunai RM2,000, satu set Kitab
Fi Zilal al-Quran berserta trofi dan sijil.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Panel Hakim Anugerah Penerbitan Media
Cetak, Datuk A. Aziz Deraman kepada Pengarang Meja Agama Utusan
Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin.
AMIN yang dianjurkan setiap tahun itu adalah bagi memberi penghargaan,
penghormatan dan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada pengamal
media elektronik dan cetak yang memberikan sumbangan cemerlang dalam
bidang keislaman.
Sebanyak 34 anugerah dipertandingkan yang dibahagikan kepada enam
kategori iaitu Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan
Televisyen, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Laman Web,
Anugerah Khas Juri dan Anugerah Perdana AMIN.
Penterjemah Kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran karya Asy-Syahid Sayyid Qutb
yang diterbitkan dalam 17 jilid, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob
dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana AMIN.
Hadiah bagi kategori itu adalah wang tunai RM10,000, trofi dan hadiah
iringan berupa satu set Kitab Fi Zilal al-Quran 17 jilid bernilai
RM3,000 beserta sijil.
Sementara itu, Radio 24-BERNAMA diumumkan sebagai pemenang bagi
kategori Penerbit Bicawara Berunsur Islam Radio Terbaik menerusi
rancangan Makan di Hotel, Halal atau Haram? oleh Naziran Noran.
Bagi kategori Penerbit Dokumentari Berunsur Islam Televisyen Terbaik
pula dimenangi NHF Production Sdn. Bhd. menerusi rancangan Hari Ibu
terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Untuk kategori Anugerah Laman Web Berunsur Islam Terbaik kategori
individu dimenangi Zaharuddin Abd. Rahman menerusi laman webnya, www.zaharuddin.net manakala bagi kategori organisasi pula dimenangi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi laman web www.jais.net.my.
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites