Kad Hutang & Dilemma Di Eropah
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Saya berada di daerah Wolfsburg, Germany di ketika ini. Alhamdulillah baru sahaja sudah menyelesaikan tiga program kepada para pelajar Malaysia di sini.
Wolfsburg adalah satu bandar kecil di sebelah tengah Germany, ia bukanlah satu bandar yang sangat terkenal. Kekuatan bandar ini banyak bergantung kepada kilang atau pusat pengeluar kereta Volkswagen. Menurut para pelajar di sini, pusat pengeluaran dan kilang inilah yang menjadikan bandar Wolfsburg boleh terus hidup dan berkembang sedikit demi sedikit.
Namun hari ini (23 Mei 2009), Bandar ini menjadi semakin terkenal kerana buat pertama kali dalam sejarah bolasepak Germany, pasukan mereka muncul juara liga utama Germany setelah menewaskan Warder Bremen petang tadi lalu meraih 69 mata keseluruhan. Sekaligus menewaskan Bayern Munich yang jatuh ke tempat kedua dengan 67 mata. Kebetulan, saya berada di Wolfsburg ketika mereka mencipta hari bersejarah mereka, tatkala artikel ini ditulis pun, sambutan dan masih kedengaran sorak sorai warga Wolfsburg di luar kediaman tumpangan saya ini.
BUDAYA & BAHASA
Setakat 3 hari berada di sini, jelas kelihatan warga German mempunyai nilai pemanduan yang sama dengan kebanyakan warga United Kingdom. Mereka memandu dengan berhemah, jika dilihatnya kita sedang menuju ke zebra lane sahaja, mereka sudah memperlahankan kereta dan berhenti untuk memberikan kita menyeberang. Keadaan yang sama seperti di UK, namun tidak seperti di Malaysia, Jordan dan Maghribi tentunya.
InshaAllah, hari ini saya akan mula memandu di German, nanti saya laporkan bagaimana etika pemanduan kseluruhannya di Germany, Switzerland, Perancis dan Luxemburg.
Selain itu, orang Germany juga kelihatan cukup komited dengan bahasa ibunda mereka sendiri, hatta siara televisyen mereka dari filem ke kartun, semuanya menggunakan bahasa german, tiada pula sarikata dalam English atau lain-lain bahasa. Malah jika ada filem yang berbahasa Inggeris disiarkan, ia telah pun di alihbahasa ke bahasa German sepenuhnya. Kartun seperti Pocoyo, SpongeBob, filem Back to the future (pelakon Micheal J Fox) dan lain-lain semuanya telah dialihbahasa sepenuhnya.
Semalam saya cuba masuk ke sebuah kedai baju di Bandar Wolfsburg, setiap kali saya bercakap Inggeris, merkea akan membalas di dalam German. Pening-pening lalat saya dibuatnya, memang benar bahasa German bunyinya memang dahsyat sikit, teringat kepada P.Ramlee yang agak kerap mengatakan :
"Ini bahasa Germann dah.."
Bagi saya Bahasa German, dari sudut pelik bunyinya ada kelihatan sedikit persamaan dengan Bahasa Welsh, yang tidak kurang peliknya malah mungkin lebih pelik dari bahasa German.
ISLAM DI WOLFSBURG
Walaupun Bandar Wolfsburg tidak besar, namun boleh berjumpa dengan ramai juga penduduk Islam di sini, terdapat beberapa buah kedai Kebab dan pasar mini milik warga Turki dan Arab. Malah kerap juga saya terserempak dengan warga Arab, wanita bertudung di Wolfsburg ini. Cuma warga Pakistan dan India tidak kelihatan menjadikan bandar ini berbeza sedikit dari Leicester dan lain-lain daerah di UK yang dipenuhi Pakistan dan India.
Ketika bersembang dan berbual di dalam bahasa Arab dengan pengasas markaz Islam Wolfsburg yang berasal daripada Tunisia, menurutnya solat Jumaat di masjid baru mereka boleh mencecah 300 orang, dan jika hari raya jumlah boleh meningkat ke 600-700 orang. Namun jumlah Muslim dari kalangan warga Germany yang asasl tidalah ramai. Kebanyakan warga Muslim di sini berasal daripada Turki dan negara Arab, mereka adalah pekerja sama ada di kilang Volkswagen dan lainnya. Namun mereka tidak semewah warga Islam di UK.
Markaz Islam pula banyak bergantung kepada derma pemerintah Shariqah yang biasanya mendemra tidak kurang dari Euro 60,000 setahun. Kutipan derma solat Jumaat hanya mampu mencecah purata Euro 1500 sebulan. Hasilnya, Markaz Islam di sini tidak mampu menggaji pegawai sepeunuh masa kecuali Imam sahaja. Apapun, binaan markaz Islam dan masjid ini cukup kemas dan bersih. Program kami juga dibuat di sini, tanpa sebarang sewa, cuma infaq bebas sahaja diberikan kepada pihak markaz.
DILEMMA KAD KREDIT DI GERMANY
Memberi dan menentukan hukum sememangnya agak mudah, maksud saya sejurus didapati sesuatu transaksi itu bercanggah dengan beberapa undang-undang jual beli yang diputuskan oleh Islam, maka tentulah hukumnya haram. Namun apa yang sukar, adalah mencadangkan jalan keluar, khususnya bagi mereka yang sudah terjebak dan yang sedang mencari alternatif yang praktikal.
Semalam saya memberikan sedikit kuliah ringkas berkaitan dengan kerjaya dan kewangan kepada sekumpulan pelajar Malaysia di Wolfsburg. Rata-rata mereka adalah pelajar kejuteraan automotive dan mekanikal.
Disebabkan kerana Germany tidak langsung mempunyai bank Islam walau sebuah, malah tidak kedapatan mana-mana bank konvensional mereka menawarkan akaun simpanan Islam, pembentangan saya tentunya menjadikan para pelajar resah gelisah dan adakalanya buntu.
Mungkin, agak sukar untuk mereka mengelakan diri dari menyimpan wang di akaun simpanan konvensional (riba) di sebabkan ketiadaan akaun Islam. Selain itu, ketiadaan kad debit Islam dan kad kredit yang diitiraf halal menyukarkan lagi keadaan.
Keadaan ini menjadikan ramai yang tiada banyak pilihan kecuali terpaksa menggunakan kad kredit Citibank, Deutsche Bank dan lainnya. Memang benar, selagi tiada alternative yang boleh diambil, selagi itu terdapat keringanan di dalam Islam untuk menggunakan kad kredit riba ini namun dengan SYARAT MEMBAYAR PENUH PADA SETIAP BULAN bagi mengelakkan sebarang kadar interest.
KAD PREPAID TUNAI DI UNITED KINGDOM
Bagi pelajar di United Kingdom, keringan itu sukar diberikan kepada mereka kerana di United Kingdom, kita masih mempunyai Llyods Bank Ltd yang menawarkan akaun Islam serta kad VISA debit Islam. Malah mereka juga mempunyai panel Shariah yang mengesahkan semua produk ini.
Manakala jika kita ingin mengembara di Eropah dan bimbang kad VISA DEBIT Lloyds mungkin tidak laku di Eropah, masih tidak sebarang keringanan (rukhsah) bagi kita menggunakan kad kredit bank konvensional yang haram itu.
Ini kerana, ada satu maklumat yang amat baik untuk dikongsikan bagi semua warga Islam di United Kingdom yang ingin ke Eropah sama ada atas tujuan tugas atau melancong, iaitu disampng membawa wang tunai yang berisiko tinggi, kita boleh menggunakan kad :
‘Kad Prepaid The Money Shop'
Menggunakan kad prepaid mastercard titanium oleh The Money Shop . Kad ini dinamakan sebagai kad percutian (holiday card), bagi memudahkan sesiapa yang ingin melancong membawa wang euro tanpa perlu mengambil risiko membawa dengan wang tunai yang banyak.
Konsep kad Prepaid The Money Shop ini ada banyak persamaannya dengan Kad Prepaid Tune Money di Malaysia, ia juga halal untuk digunakan oleh warga Malaysia di tanahair khususnya. Namun banyak juga mendengar rungutan berkenaan kad ini. SIla baca komentar di sini.
Kita kembali kepada perbincangan kad Money Shop. Secara ringkasnya, kad ini membolehkan kita menukarkan wang tunai (contohnya dari Pound Sterling atau lainnya kepada matawang Euro), kemudiannya secara pilihan kita semua jumlah Euro itu boleh kita dimuatkan ke dalam kad prepaid titanium ini. Dengan itu, kad ini akan menjadi seperti kad debit yang halal, kerana tiada sebarang interest yang dikenakan atau diambil, malah tiada juga sebarang caj bagi setiap transaksi yang menggunakan matawang Euro.
Apa yang lebih penting, kad ini diiktiraf oleh Master Kad (Master Card) dan boleh digunakan seluruh Eropah, sama ada untuk membeli tiket keretapi, kapalterbang, hotel atau penginapan, mengeluarkan wang tunai di mesin ATM dan membeli barangan. Jumlah minimanya hanyalah GBP 200.
Maka dengan wujudnya kad ini, saya kira semua warga Muslim di seluruh UK bolehlah mereka mencari jalan untuk memohon kad ini dan menggunakannya secara halal.
Cuma kelemahannya yang ketara adalah :
a) Kedai-kedai The Money Shop ini hanya berada di UK.
b) Ia hanya boleh dipohon oleh seseorang yang menetap di UK. Justeru, pemohon terpaksalah mencari rakan dan akaun di UK untuk membolehkan mereka membuka kad ini.
Dengan limitasi itu, gagal hasrat saya untuk mencadangkan kad ini dipohon oleh warga Muslim di seluruh Eropah khususnya di negara yang tiada khidmat perbankan Islam. Petang tadi, saya cuba mencadangkan kepada para pelajar Malaysia di Germany, namun setelah meneliti dua syarat di atas, kelihatan ia gagal menjadi alternatif kepada mereka.
Maka satu-satunya alterntaif mereka adalah memohon kad-kad caj dan kad kredit Islam di Malaysia dan membawanya ke Germany dan negara lainnya. Antara bank Islam di Malaysia yang menawarkan kad ini adalah Ar-Rajhi Bank Malaysia, HSBC Amanah Malaysia atau Maybank Islamic Bank Malaysia. Manakala Bank Islam yang menawarkan kad kredit Islam adalah Bank Islam Malaysia Berhad dan Am Islamic Bank.
Demikian apa yang sempat saya fikirkan sepintas lalu sebagai cadangan jalan keluar bagi pelajar dan warga Malaysia di sekitar Eropah dan negara yang tiada kemudahan khidmat perbankan Islam.
Sekadar itu dahulu, InshaAllah, ada peluang akan saya kongsikan catatan bermanfaat berkenaan kembara di Eropah. Esok (24 Mei 2009) saya akan mengambil kereta sewa untuk meneruskan perjalanan di destinasi seterusnya.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
Wolfsburg, Germany
23 Mei 2009
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites