Peribadi, Tazkirah & Fikir Balik atau Merantau ?

Balik atau Merantau ?

  • PDF
(19 votes, average 4.74 out of 5)

Balik atau Merantau ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

camel.jpg

 

Sewaktu saya sedang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Jordan, ramai yang bertanya sama ada saya dan keluarga akan balik bercuti di Malaysia atau tidak, khususnya di hari raya. Biasanya, jawapan biasa saya adalah

"tidak"

Pastinya akan ditanya dengan soalan susulan,

"tidak balik langsung walau sekali?"

Jawapan saya adalah :

"ye, setakat tiga tahun, belum kuat keperluan untuk balik, sekiranya 10 tahun tu, mungkin ada lebih logik untuk balik sekali sekala"

"Tidak rindu ?" Tanya rakan saya lagi.

"rindu atau tidak, tugas menuntut ilmu memerlukan pengorbanan perasaan dan fizikal" jawab saya ringkas.

SEBAB-SEBAB LAIN

Jawapan saya untuk tidak balik bukan sahaja kerana tempoh 3 tahun yang saya rasakan pendek, malah dirasakan sebagai merugikan waktu dan kos juga. Kecuali jika ada keperluan penting seperti ahli keluarga yang sakit dan sepertinya, tatkala itu wajar untuk bertolak pulang.

Justeru, isteri dan anak-anak saya turut mengikut keputusan saya untuk berada di perantauan selama 3 tahun penuh semasa di Jordan. Selain itu, masalah kos juga menjadi sebab kuat untuk bertahan di Jordan.

Kini saya dan keluarga berada di United Kingdom pula, berdasarkan jadual asal, saya perlu menamatkan pembelajaran dalam tempoh 3 tahun. Sekali lagi, saya tidak berhasrat untuk pulang sama sekali. Jika ada kemampuan sekalipun, saya lebih cenderung untuk menambah ilmu dengan merantau di benua eropah, meraih ilmu tersirat dan tersurat dari alam ciptaan Allah swt.

PENTINGNYA PENGAJIAN LUAR NEGARA

Bagi saya, pengajian di luar negara dan berjauhan dengan ahli keluarga adalah perlu bagi seorang penuntut ilmu. Kita perlu belajar untuk berdikari dan sekali sekala mengurangkan ‘manja' dengan ahli keluarga di Malaysia. Cukup sekadar telefon bagi bertanya khabar dan berita. Bakinya adalah waktu menumpukan masa untuk ilmu dan pengajian. Wang biasiswa, pinjaman dan zakat yang dihulur bukan untuk kita memikirkan untuk pulang  bercuti ke tanahair bermanja dengan keluarga, tetapi ia adalah suatu amanah untuk meraih sebanyak ilmu sebagai hadiah untuk masyarakat dan negara tercinta.

Ya, ia satu amanah dan jangan sekali menyalahgunakan ia dengan membeli sesuatu yang tiada faedah untuk kecerdasan minda dan kemantapan ilmu kita. Kelak nanti dipersoal oleh Allah swt, menyesal dahulu berguna, menyesal kemudian, azab pastinya.

Pengalaman untuk keluar dari kepompong pengajian, minda dan system pengajian Malaysia adalah perlu sebagai proses kematangan idea dan ilmu seseorang penuntut. Tidak saya nafikan ramai juga yang mampu berjaya dan cemerlang walau hanya menuntut di dalam negara; namun bagi mereka yang berpeluang ke luar Negara, peluang untuk menjadi lebih berjaya dan cemerlang terbuka amat luas, bagi mereka yang bijak memanfaatkannya.

Justeru itu, bagi penuntut yang mampu dan sedang mencari yang terbaik, amat disarankan mereka ke luar negara. Proses pembelajaran, merasai sistem pengajian di Negara asing, meneliti dan melihat gerak geri dan sikap manusia pelbagai bangsa, merasai perbezaan cuaca dan rupa fizikal sesebuah Negara dan ciptaan alam pasti akan mampu memberikan sesuatu yang berharga buat penuntut. Mutiara dari lisannya boleh sahaja menjadi lebih rencam dan mindanya lebih terkehadapan. Jika mereka bijak memanfaatkannya.

Imam Muhammad bin Idris as-Syafie turut berubah akibat perbezaan tahap ilmu di perantauan. Fatwanya di Baghdad berubah apabila berada di Mesir. Ulama kontempoarari yang hanya terperap di tanahair masing-masing tanpa dakwah keluar, amat berbeza fatwanya dengan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi seorang ulama antarabangsa dan berfatwa sambil menilai suasana dan manusia dari pelabagi Negara. Ilmu secara teori tidak sama dengan secara praktikal. Ini semua kesan dari ilmu dari perantauan yang tidak dapat dirasai oleh ilmuan yang tidak merantau.

MERANTAU DAN TEKNIK BELAJAR

Atas asbab itu, bagi penuntut Malaysia di luar negara, waktu cuti sepatutnya tidak menjadi masa untuk pulang ke kampung Malaysia, tetapi adalah waktu menuntut ilmu di Negara di sekeliling anda. Jangan pulang, kecuali dihambat hal penting atau arahan tanpa kompromi oleh ibu bapa.

Bagi penuntut ilmu Islam pula, secara peribadi saya amat kuat merasakan keperluan untuk mereka berada, menuntut dan merasai suasana pembelajaran sama ada rasmi atau tidak rasmi di negara Arab. Bercampur baur dengan bangsa arab dan mengenali rupa bentuk tanah arab adalah perlu bagi menajamkan pandangan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan menjiwai kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Ia adakalanya mampu mendekatkan kita dengan maksud kalimah arab di dalam al-Quran, juga mengahmpirkan kita dengan suasana kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kepada para pelajar ilmu Islam di Mesir, Jordan, Syria, Maghribi, Yaman, Mekkah, Madinah, Pakistan, Lubnan, United Kingdom, Australia, New Zealand dan lainnya. Jauhkan fikiran untuk menikmati percutian di kampung, gunakan peluang keberadaan kita di perantauan untuk meluaskan jangkauan ilmu, melangkau benua dan bangsa.

Dalam pada masa perantauan ilmu, jangan pula meninggi diri, kerana pertambahan ilmu hanya akan lebih mudah apabila kita merendahkan diri. Lagi rendahnya perasaan keegoaan diri seseorang, lebih banyak individu boleh menjadi guru, malah alam dan binatang turut berkelayakan menjadi guru kita. Hasilnya, ilmu akan bertambah dengan cukup hebat. Ketinggian ego seseorang hanya akan memperbodohkan dirinya, akibat sumber ilmu mereka yang akan menyempit dan amat terhad.

Ramai orang yang enggan membuka buku dan membaca tulisan seseorang individu kerana merasakan dirinya tidak layak untuk membaca dan melihat luahan ilmu dari seorang yang ‘dianggap lebih rendah darinya. Akhirnya tersekatlah perkembangan ilmunya.

Ramai yang enggan mendengar ulasan kebaikan dari seorang individu lain hanya kerana merasa dirinya lebih mengetahui, akhirnya tersekatlah ilmunya. Dan begitulah tersekatnya ilmu si ego kerana keegoaannya.

Keegoaan sebenarnya akan menjadikan seseorang semakin ‘tidak pandai', lebih dari itu, akan menjadikan dirinya ‘ujub dan hebat pada matanya sendiri sahaja, namun ia kelihatan ‘bodoh' pada pandangan ramai. Ya Allah jauhi kami dari tergolong kumpulan ini.

Nabi s.a.w bersabda :

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

 

Ertinya : harta tidak akan berkurangan kerana sedeqah, dan tidak akan Allah swt tambahi kepada seorang yang mengampunkan kecuali kemuliaan, dan TIADALAH seorang yang merendahkan dirinya kerana Allah kecuali akan ditinggikan kedudukan mereka oleh Allah swt. ( Riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

 

SAYA PULANG JUGA KE MALAYSIA

Hasrat saya untuk tidak balik ke Malaysia sepanjang tempoh pengajian PhD di United Kingdom ini, akhirnya kelihatan tipis untuk dipenuhi apabila saya diperlukan untuk pulang ke Malaysia atas dasar kerja dan program, bukan percutian dan berehat. Saya akan pulang ke Malaysia pada 30 April 2009 selama seminggu sehingga 7 Mei 2009.  

Kemungkinan saya akan sekali lagi terpaksa pulang pada bulan Julai 2009 untuk menghadiri tiga buah sebuah persidangan, forum dan konferen kewangan dan perbankan Islam, selaku pembentang dan panel. Selain itu, bulan Ogos 2009 sekali lagi mungkin terpaksa pulang atas sebab yang hampir sama di atas.

Sehingga ini saya masih memikirkan, bagaimana untuk memaksimakan manfaat pulangnya saya ke Malaysia dalam ketiga-tiga bulan yang disebutkan di atas.

Semoga Allah swt mempermudahkan perjalanan saya dan melorongkan ruang untuk saya boleh memberi manfaat kepada ummah dan belajar ilmu sepulangan saya ke tanahair. Allahumma amen.

 

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

24 April 2009

 

 


 

 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Balik atau Merantau ?