Peribadi, Tazkirah & Fikir Berkembara di Tanah Lahirnya Ibn Batuta, Maghribi

Berkembara di Tanah Lahirnya Ibn Batuta, Maghribi

  • PDF
(8 votes, average 5.00 out of 5)

Berkembara di Tanah Lahirnya

Ibn Batuta, Maghribi

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Segala puji bagi Allah swt, perancangan untuk berprogram dan bekembara di tempat kelahiran pengembara Islam terkenal Ibn Batuta, iaitu Maghribi terlaksana juga akhirnya. Setelah perancangan disusun beberapa bulan lepas kelihatan seperti akan tergendala akibat beberapa masalah teknikal.

Saya pula hampir-hampir tidak sempat memperolehi visa untuk ke maghribi. Namun dengan izin Allah swt, dipermudahkan apabila pegawai di Consulate Morocco di London, berlapang dada memberikan saya peluang mengemukakan pemrohonana walaupun saya di luar waktu sepatutnya. Saya sampai pada jam 12.30 tengahari, sedangkan waktu untuk menyerahkan permohonan visa ke Maghribi adalah pada jam 9.00 - 10.00 pagi sahaja.

TIKET TAMBANG MURAH YANG TIDAK MURAH

Tepat pada tarikh 3 April 2009 (Jumaat), pada jam 6 pagi waktu United Kingdom saya berlepas ke Marakesh, Maghribi menggunakan penerbangan murah Rynair yang sebenarnya TIDAK MURAH. Ia hanya kelihatan murah kerana harga tiketnya diasingkan dari semua caj-caj biasa seperti caj pengendalian, caj airport, caj beg, insuran dan lain-lain. Sehingga adakalanya ia sama sekali tidak boleh dianggap murah walaupun dahulu sememangnya murah, namun kini caj-caj berasingan semakin banyak dikenakan.

Bulan hadapan saya akan menziarah dan berprogram di Germany, tiketnya berharga GBP 0.01, murah bukan?. Tetapi apabila sudah selesai membeli dan menempah, beserta caj-caj berasingan, tiket saya bernilai +- GBP 110. Tidak lagi semurah yang dijangkakan. Sudahlah kapalterbang Rynair adalah tidak selesa ruang dan kerusi, ia sememangnya sesuai untuk sebuah penerbangan tambang murah. Namun yang terasanya adalah ia kini tidak lagi dengan nilai yang murah, justeru, sudah sampai masa untuk memperbandingkan harganya dengan syarikat penerbangan biasa lain yang memasukkan sekali semua caj-caj terasing tadi

 

student merakam saya.jpg

 

Penerbangan mengambil masa selama 3 jam untuk sampai ke salah satu kawasan pelancongan utama di Maghribi iaitu Marakesh. Sampainya di Marakesh, menemukan saya dengan permandangan sedikit pelik bagi saya. Wanita Maghribi berpakaian seperti orang-orang di United Kingdom, khususnya wanita di London. Tidak seperti di Jordan yang masih ramai wanita berpakaian elok lagi sopan (semasa saya berada di sana). Perkara pertama hasil jajahan Perancis yang amat jelas.

DATO' DUTA YANG LUAR BIASA

Ini merupakan pengalaman pertama saya berprogram bersama warga dan pelajar Malaysia di luar Negara yang menemukan saya dengan seorang Duta Malaysia (TYT Dato' Osman Samin) yang begitu mudah dihampiri dan tiada pula banyak protokolnya. Malam pertama itu, saya dibawa penganjur ke rumah duta bukan untuk menziarahi duta semata-mata tetapi bermalam di rumahnya selama tiga malam. Bukan saya sahaja yang bermalam di sana, malah demikian juga Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Maghribi bersama lebih kurang 5 orang ahli jawatankuasa program.

Lebih luar biasa, Dato' Osman bukan sahaja berkenan merasmikan program dua hari yang dinamakan Sinergi 2009, malah turut serta dalam sebahagian besar pengisian saya. Turut hadir bersama beliau adalah sebahagian besar pegawai Malaysia di Kedutaan.  Saya dan penganjur semua menjangkakan Dato' tidak akan hadir di hari kedua. Namun sangkaan kami meleset.

"Dato ada program di mana pagi ini Dato'?" Tanya Presiden Persatuan kepada Dato Osman sekitar jam 8.00 pagi apabila di lihat lagi Dato' Duta sudah siap dengan pakaian lengkap kot bertali leher.

"Eh, saya nak ke program kamu la" Balas Dato ringkas.

Tidak cukup dengan kehadiran, dipesan pula kepada pelajar untuk membeli buku-buku saya, malangnya semuanya sudah kehabisan stok kerana hanya sedikit yang mampu saya bawa ke sana. Hanya sebuah buku "Money, You and Islam' dapat saya hadiahkan kepada beliau, telah saya niatkan sejak dari awal. Tahniah dan terima kasih Dato' atas bantuan dan sokongan. Kita inginkan lebih ramai Duta-duta Malaysia yang bersikap mesra rakyat dan menggalakkan aktiviti pengisian kebaikan seperti ini.

MAGHRIBI & PENGARUH JAJAHAN

Hati dan minda masyarakat Maghribi kelihatan masih terjajah apabila masjid bantut dari kuliah dan majlis agama. Selain itu, masjid di sana juga mirip sebahagian besar masjid-masjid di United Kingdom apabila pintunya tertutup rapat lagi berkunci di luar waktu solat sehingga menyukarkan para musafir seperti saya dan warga tempatan untuk menunaikan solat sekiranya sedikit kelewatan.

Selain dari apa yang saya lihat sendiri, para pelajar juga memberitahu bahawa kebiasaan lelaki dan wanita di sini apabila bertemu akan melagakkan pipi, hatta walau di antara lelaki dan wanita yang tiada hubungan. Satu suasana pelik bagi sebuah Negara umat Islam, khususnya dilakukan oleh individu yang beragama Islam. Ini turut memberikan gambaran kejauhannya ilmu Islam di dalam diri mereka.

Suasana memandu kereta amat memeningkan kepala, jika dibandingkan dengan suasana jalanraya di United Kingdom yang amat teratur. Pada pengamatan saya, cara memandu bahaya di Maghribi lebih teruk sedikit dari Malaysia yang sudah dikira tergolong amat bahaya. Tidak dinafikan, walau saya baru hampir 8 bulan berada di UK, suasana jalan raya di Maghribi dirasakan amat janggal dan menakutkan.

Penyelok poket pakar dikatakan pula agak ramai di Maghribi, mereka amat pakar sehingga tidak terasa apabila mereka beroperasi mengoyak poket mangsa. Jumlah individu yang meminta wang di sana sini amat ramai, sehingga ketika kami memasuki masjid Qairawan, kami disapa oleh dua orang tua yang kelihatan seperti pegawai masjid. Mereka amat berbudi apabila secara sukarela terus menceritakan serba ringkas sejarah masjid dan juga membawa kami meninjau kawasan masjid. Di akhirnya, semuanya bukanlah percuma, mereka meminta bayaran namun dibuat secara berselawat. Saya kira, hal sedemikian tidak berlaku di Jordan, Syria, Lubnan mahupun Mesir, setakat pengalaman saya.

KELEBIHAN MAGHRIBI ?

Selain cuaca yang hampir sama dengan Jordan yang mempunyai empat musim, yang bagi saya menyegarkan. Beberapa kelebihan Maghribi tentunya dalam bidang pendidikan. Saya difahamkan pengajian di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti sehingga ke tahap doktor falsafah (PhD). Ini satu fakta yang menakjubkan. Bukan sahaja percuma, malah ada terdapat peruntukan biasiswa bagi pelajar masters dan PhD di universiti di Morocco, jumlah bantuannya memang tidak begitu besar tetapi ia masih dikagumi kerana Maghribi bukanlah sebuah Negara yang kaya raya seperti Saudi dan Negara arab di Teluk. Namun demikian, ia masih mampu memberikan pendidikan percuma bukan sekadar untuk rakyatnya tetapi juga rakyat asing yang bertandang ke Negara. Antara yang mendapat manfaat ini adalah para pelajar Malaysia di sana sama ada yang sedang berada di peringkat Ijazah, Masters mahupun PhD.

Sehebat Malaysia yang merupakan Negara yang kaya dengan pelbagai hasil mahsul, serta sedang membangun ‘dengan pesat' tetapi masih tidak mampu menyediakan pendidikan percuma hanya walau pendidikan rendah atau tadika. Itu kelebihan Maghribi. Namun kekeruangannya sedikit, para ilmuan dan pensyarah universitinya kebanyakkannya terhad kepada individu lulusan Maghribi sendiri, mungkin akan menyebabkan ketidakpelbagaian manhaj dan cara belajar dan pengajaran.sistem peperiksaan dan pembelajarannya juga agak tertinggal  sedikit ke kebelakang.

Selain itu, agak ramai ilmuan tersohor berasal daripada Maghribi keluar dan mengajar di negara lain seperti Prof Dr Ahmad Ar-Raisuni (www.raissouni.org), yang pakar dalam bidang Maqasid As-Syariah. Demikian juga Syeikh Prof. Dr Muhammad Rooki dan lain-lain lagi. Manakala sebahagian lagi sudah pencen dan tidak lagi berkhidmat di university seperti Dr Faruq dan beberapa nama yang gagal saya mengingatinya.

Apa yang menarik juga, saya sempat menziarahi perpusatakaan Universiti Ibn Tufayl, dan mendapati kitab-kitab dan kemudahan belajar di sini adalah cukup dan amat memuaskan, khususnya bagi pengajian tanpa sebarang yuran. Justeru itu, amat digalakkan bagi sesiapa yang berminat untuk memohon pengajian Islam di Maghribi juga atas kelebihan sebegini. 

Pengajian ilmu Islam di Maghribi sama seperti di Negara lain, turut menawarkan pengajian jenis pondok, bersanad tanpa sijil universiti. Ramai pensyarahnya sendiri mengakui pengajian islam di universiti mereka tidak mampu menghasilkan seorang bertaraf ‘alim', cuma ia hanya mampu memberikan kunci asas bagi seorang graduan Syariah untuk melanjutkan pemerantauan dan pendalaman ilmu sama ada di pusat pengajian tradisional seperti di Jami Qairawan di Fes dan lain-lain kelas talaqqi oleh pelbagai alim ulama di sekitar Maghribi.

KAHWIN : ANTARA JORDAN DAN MAGHRIBI

Jika di Jordan, warga asing khususnya asia kerap diperlekeh dan dilihat rendah oleh orang Jordan, walaupun sebenarnya warga Jordan bukannya bijak manapun, tidak juga terkehdapan dari sudut ilmu sains, tidak pula juara dalam bidang Syariahnya. Ego warga Jordan tinggi, hamper sama tinggi egonya masyarakat Mesir, Negara Teluk dan Arab Saudi.

Namun berbeza di Maghribi, mereka seperti rakyat Syria yang menghormati dan memandang agak tinggi orang asing termasuk rakyat Malaysia. Mereka tidak sekasar warga Mesir dan Jordan, namun tidak pula selembut masyarakat Syria. Apapun, istimewanya mereka adalah galakan kaum wanita mereka untuk berkahwin dengan warga luar. Mungkin demi mempertautkan hubungan dengan orang asing yang dijangka lebih mampu memberikan masa depan lebih cerah buat warga muslimah mereka. Hasilnya, pelajar Malaysia tidak terlepas dari bertemu jodoh dengan warga muslimah Maghribi. Sejak dahulu sehinggalah sekarang mungkin sudah berpuluh-puluh keluarga Malaysia berbesankan arab Maghribi. Di Jordan, sememangnya ada pelajar lelaki yang berkahwin dengan muslimah Jordan, namun jumlahnya amat kecil berbanding bilangan pelajar Malaysia di sana.

Untuk maklumat, alu-aluan ini bukan sahaja terhad bagi sang bujang, malah melangkaui kepada suntingan sebagai isteri kedua, ketiga dan selanjutnya. Maklumat yang tidak dapat dinafikan bakal menggerunkan kaum wanita yang membaca, khususnya bagi suami yang kerap ke Maghribi sama ada atas nama tugasan, pelajaran atau lawatan. Lebih menggalakkan untuk kasih bertaut adalah belanjanya yang tidak semahal di Negara arab lain, belanja perkahwinan di Maghribi adalah sekitar kos perkahwinan di Malaysia sahaja.

 

 

 

 

 

Gambar : Kembara saya di Maghribi. Sebahagian gambar adalah ihsan, kiriman dan petikan dari blog pelajar Maghribi.

PENGISIAN PROGRAM

Jutaan tahniah saya ucapkan kepada pihak persatuan yang pertama kali menganjurkan satu seminar dan program dua hari dengan penceramah jemputan dari luar Maghribi. Tentunya ia melibatkan kos yang tinggi. Hal ini adalah biasa di UK, USA, dan lain-lain negara yang mempunyai ramai pelajar Malaysia peringkat PhD dan warga Malaysia yang bekerja. Mereka biasanya punyai sumber kewangan yang kukuh dan banyak individu yang boleh menyumbang. 

Inilah keistimewaan pertama jemputan pelajar Maghribi ini. Bermula dari usaha akhi Azri Amin Che Din ketika bertandang ke rumah saya di Wales tahun lepas. Mereka kreatif mencari sponsor untuk membawa saya bertemu mereka. Usaha yang amat saya hargai, kerana memilih dan memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menyumbang sedikit ilmu, sedangkan beribu orang lagi ilmuan Syariah yang wujud dan jauh lebih terkehadapan boleh mereka jemput. Lalu ia menjadi sejarah pertama diri saya menjejakkan kaki ke bumi Maghribi.

Mereka turut kreatif dan bekerja keras mengatur bukan sekadar program rasmi dua hari saya berada di sana, malah juga 4 hari seterusnya sehingga 8 April 2009.  Juga kesungguhan mereka dalam berurusan dengan Dato Duta dan sebuah syarikat Malaysia di Maghribi, iaitu syarikat  Al-Hidayah Group yang turut menghulurkan sumbangan tajaan.  Tahniah.

Jutaan terima kasih juga buat Ustaz Ahmad Wifaq Mokhtar, pensyarah USIM yang sedang menunggu munaqasyah thesis PhD di sana yang sudi mewaqaf masa, tenaga dan kereta beliau untuk membawa saya dari Kunietra sehingga ke Fes dan kembali semula ke Casablanca. Juga kepada presiden Persatuan, Akhi Ahmad Fathi, Akhi Azri dan akhi Pak Lah yang turut sudi mengiringi kami sepanjang-panjang perjalanan.

Pengisian saya merangkumi pengenalan muamalat Islam, solat sempurna, persiapan dan cabaran bagi seorang ustaz dan ustazah di Malaysia, serta isu-isu berkaitan kaedah berkesan dalam menuntut ilmu. Namun demikian, pembentangan saya sedikit berbeza dari pembentangan di kebanyakan tempat-tempat awam sebelum ini bagi menyesuaikannya dengan pendengar yang terdiri dari kalangan ustaz dan ustazah.

Tiadalah mampu saya coretkan isi-isi mutiara yang saya lontarkan buat mereka. Jumlah soalan yang mencecah ratusan turut memberikan indikasi minatnya mereka untuk mempersiapkan diri menghadapi segala jenis cabaran sama ada di Maghribi, semasa menuntut ilmu secara rasmi, mahupun kelak di Malaysia. Sehingga hampir sahaja saya kehilangan suara dek disebabkan selsema, juga soalan bertubi-tubi. Saya hanya mampu berharap semua cadangan, pandangan, ilmu yang diberikan akan disambut sebagai mutiara dan bukan sebagai serpihan kaca tajam lagi membahayakan diri dan orang ramai.

Apapun saya meletakkan objektif agar apabila mereka balik kelak, mereka:-

  • tidak mengeruhkan lagi suasana pertempuran salaf dan khalaf, meninggalkan prejudis dan memantapkan kefahaman dalam ilmu Usul Fiqh di ketika meneliti pertempuran dalil dan perbezaan hukum.
  • Memahami kaedah terbaik menentukan sikap di hadap medan pertempuran jemaah-jemaah dari Pas, Tabligh, ABIM, JIM, Hizb Tahrir, Ahbash, ISMA, Tareqat dan lainnya.
  • Berhemah pula menanggapi kegawatan politik Malaysia. Lagi bijak dalam menentukan sikap sewajarnya sebagai seorang ilmuan.
  • Bijak pula berhadapan dengan ruang dan peluang kerjaya yang mengecil. Tidak semata mengharap makan gaji tetapi kreatif dalam mencipta kerjaya halal sendiri.
  • Beberapa cara menuntut ilmu secara berkesan. 
  • mengetahui kunci kekuatan seorang ustaz dan ustazah dan apakah kunci awal kepada kejayaan tersebut di dunia dan akhirat.
  • Mengetahui harapan masyarakat dan memahami status ilmu masayarakat Malaysia di ketika ini.
  • Serta berkebolehan dalam mengemudi nafsu muda mudi. Khususnya dalam memilih pasangan hidup dari awal dan pengemudiannya sehingga akhir hayat.

Itulah serba ringkas objektif yang teringat saya untuk diturunkan di sini. Moga ia tidak mengelodakkan nafsu amarah mana-mana pembaca untuk bersangka buruk kepada inti pengisian yang saya berikan atau kepada graduan Maghribi.  Tiada pelajar yang dipaksa menuruti idea dan cara saya, mereka bebas untuk menerima, menolak dan menganalisanya sebaik mungkin.

Semoga bertemu lagi di lain masa dan ketika...

WEB PELAJAR MALAYSIA MAGHRIBI

Di kesempatan ini, saya turut ingin mengajak para pembaca untuk melawati web ilmiah para pelajar Malaysia di Maghribi, buah tangan mereka buat ummat, hasil kerja mereka untuk menggilap bakat dan menajam minda, mencuba diri dan latihan menghadapi ummah. Saya amat menggalakkan mereka untuk berkecimpung dalam dakwah melalui internet ini dan inilah hasil permulaan mereka. Berilah kerjsama anda dan manfaatkanlah ilmu dari bumi Maghribi.

 

BUKA DI SINI ( akan bermula dengan rasminya pada hari Sabtu 11 April 2009)

Sekian

 

 

 

ZAHARUDDIN ABD RAHMAN

www.zaharuddin.net

9 April 2009

13 Rabiul Thani  1430

 

 

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 19 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Berkembara di Tanah Lahirnya Ibn Batuta, Maghribi