Mencari Permata Dicelah Pepasir
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Dalam artikel sebelum ini, saya telah mengutarakan kisah Nik Nur Madihah dan bagaimana kejayaannya dicapai walau dalam di ketika serba kekurangan dari sudut material.
Sebagaimana yang dapat kita agak, berpusu-pusulah bantuan tiba. Ramai juga yang berasa bersalah membiarkan beliau sekeluarga tinggal di rumah sedemikian rupa. Saya difahamkan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz telah menghadiahkan sebuah rumah buat Madihah sekeluarga. Dan banyak lagi bantuan sama ada terus kepada keluarga atau khas buat Madihah melalui tawaran biasiswa oleh pelbagai institusi.
Namun, Madihah mendapat bantuan ini hanya setelah KEJAYAANNYA YANG LUAR BIASA. Di luar sana masih ramai pelajar cemerlang tetapi tidak luar biasa yang belajar dalam serba kekurangan, mereka juga tulus, bersungguh dalam pelajaran sama ada di peringkat menengah, universiti atau ijazah lanjutan yang tercabar dan terhalang dek kekurangan bantuan kewangan.
MENUNTUT ILMU DAN HALANGAN KEWANGAN
Saya masih ingat ketika di Jordan, saya hanya memperolehi bantuan zakat daripada sebuah institusi dan seorang penderma budiman. Peluang pengajian di Jordan tidak saya sia-siakan, saya TIDAK SESEKALI akan merasa cukup dengan pengajian rasmi di dalam kelas. Justeru saya mula berusaha mencari dan berusaha mendapatkan tunjuk ajar syeikh-syeikh di luar kelas rasmi.
Akhirnya saya berjaya melalui beberapa cara iaitu :-
1) Saya sendiri mengasaskan satu kuliah talaqqi di RUMAH SEWA SAYA iaitu dengan mengambil inisiatif menjemput Syeikh Prof. Dr Mohammad ‘Uqlah el-Ibrahim untuk membuka dan mengajar kitab ‘Al-Mughni' yang dikarang oleh Imam Ibn Qudamah. Kemudiannya saya menjemput pelajar-pelajar Malaysia lain turut sebagai murid, turut serta adalah pelajar Indonesia dan Thailand. Gembira apabila rumah saya menjadi markaz ilmu!. Mujurlah Prof ini amat dahsyat sedeqah jariahnya sehingga kelas di rumah saya boleh berjalan tanpa perlu kami membayar satu sen pun kepada beliau. Kami merinduimu wahai Syeikhuna..
2) Tidak puas hati dengan kelas tersebut sahaja, secara individu saya bertemu dengan Syeikh Prof Dr ‘Uqlah di pejabatnya dan meminta untuk dibuat sesi pelajari kitab secara khusus. Alhamdulillah syeikh setuju, dan sempat saya mempelajri kitab Naylul Awtar karangan Imam As-Syawkani dan juga Al-Muwafaqat karangan Imam As-Syatibi secara bersendirian dengan guru ini. Sekali lagi bertuah saya apabila kelas khusus tambahan ini juga dibuat secara percuma oleh Syeikh. Kelas ini adalah dalam walking distance dari rumah saya. Justeru, tiada kos diperlukan.
3) Tidak cukup dengan itu, saya pada masa yang sama mencari Syeikh lain untuk kami mengambil manfaat darinya. Lalu hasil pertemuan saya dengan Syeikh Dr Muhammad Faleh, pakar Fiqh Mazhab Syafie. Beliau setuju dengan permintaan saya untuk menganjurkan kelas talaqqi khas dengan pelajar Malaysia. Kitab yang kami buka kali ini adalah ‘Mughni al-Muhtaj' karangan Imam Khatib As-Syarbini. Kelas ini dibuat di luar jarak berjalan kaki dari rumah saya dan rakan-rakan Malaysia. Kami terpaksa sama ada menaiki bas dan balik menaiki teksi yang melibatkan kos, kosnya bukan banyak tetapi selaku pelajar yang cukup-cukup makan bantuannya, hanya sekitar JD 1 untuk tambang pergi dan balik (1 Jordan Dinar = RM 5.35 di waktu itu) adalah besar. Ini menjadikan kelas ini semakin sikit penyertaan pelajar Malaysia dan akhirnya terhenti. Amat malang kami disebabkan kekurangan beberapa ringgit kami gagal menambah ilmu kami. Itulah yang berlaku..
4) Kemaruk ilmu terus melanda saya, lalu saya berusaha mencari kelas di kawasan sekitar Irbid, dan saya menjumpai kelas yang dikendalikan oleh bekas Mufti, iaitu Syeikh Dr Nuh al-Qudah. Kelasnya membuka dua buah kitab, iaitu kitab Nurul Yakin untuk pengajian Sirah Nabawiyyah dan sebuah kitab Fiqh Syafie, Hasyiah Al-Bujairimi. Namun untuk ke kelas ini memerlukan kenderaan, sekali lagi budjet kecil sekitar 1 Dinar diperlukan untuk teksi pergi dan balik. Kesempitan belanja menjadikan saya hanya sempat menghadiri kelas beliau beberapa kali sahaja.
5) Usaha saya diteruskan dan dengan izin Allah swt, saya berjaya menghadiri kelas ulama besar tanpa sebarang kos pengangkutan, ini kerana dengan taqdir Allah swt, dua orang ilmuan terulung tafsir di Jordan dan Mesir, mengajar subjek tafsir untuk pelajar PhD di Univeristi Al-Yarmouk. Saya tidak melepaskan peluang untuk meminta izin dari dekan dan kedua-dua guru terbabit untuk menjadi mustami' ( pelajar pendengar tanpa exam), dua guru tersebut adalah Syeikh Prof. Dr Fadhal Hassan Abbas (Jordan), dan Syeikh Prof. Dr Ibrahim al-Khalifa (yang dipinjamkan dari Universiti Al-Azhar). Untuk makluman, kedua-dua syeikh hebat ini cacat penglihatan tetapi amat cerah mata hati dan aqal. Kedua-dua kelas ini tidak melibatkan sebarang kos buat saya.
6) Saya turut menjadi pelajar tidak rasmi dalam kelas seorang lagi professor Shariah yang didatangkan dari Universiti Al-Azhar ke Univ. Al-Yarmouk iaitu Prof. Dr Abd Fattah Idris. Alhamdulillah ia juga tida melibatkan sebarang kos.
7) Habis kawasan Irbid dan Univ. Al-Yarmouk saya terokai, kini saya mencari syeikh-syeikh di kawasan Amman, Jordan pula. Masalahnya Amman berada sekitar 80 km dari Irbid, dan kos pengangkutan bas pergi balik Irbid-Amman-Irbid adalah sekitar 2 Dinar.
Dengan izin Allah swt, Syeikh Dr Solah Abd Fattah Al-Khalidi memulakan dua pengajian talaqqi di Masjid Sweileh. Beliau membuka kitab Tafsir At-Tabari yang beliau telah ringkaskan dan juga kitab Syarah Aqidah At-Tohawiah. Bagi membolehkan saya turun setiap minggu pada hari khamis untuk kelas ini. Kos sebanyak 2-3 Jordan Dinar diperlukan, walaupun jumlahnya kelihatan kecil tetapi ia besar buat saya khususnya bekeluarga dan mempunyai dua orang anak di ketika itu.
Selain itu, kelas Syeikh Muhaddith Syu'aib al-Arnout turut saya hadiri, kelas tafsir al-Qurtubi dan juga kelasnya berkenaan ulum hadith. Namun saya gagal untuk terus komit dengan kelas ini disebakan kos untuk menghadirinya lebih mahal kerana ia memerlukan beberapa buah pengangkutan awam untuk sampai ke tempat kuliah. Hasilnya, terhalanglah niat saya untuk menuntut kerana kekurangan beberapa ratus ringgit wang pengangkutan yang diperlukan secara bulanan.
8) Diringkaskan kisah, saya bertemu dengan Syeikh Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi di Jordan dan Mesir. Pertemuan di Jordan secara individu (in person, face to face) memungkinkan saya untuk memohon kepada beliau untuk saya duduk bertalaqqi secara khusus dengannya di Qatar. Walaupun di awalnya beliau menolak kerana kesibukan, tetapi akhirnya beliau bersetuju. Namun rancangan saya terpaksa dibatalkan kerana halangan kewangan. Khususnya diketahui kehidupan di Qatar amat mahal.
9) Dengan sisa-sisa baki simpanan yang masih ada saya menziarahi Mesir, dan sempat masuk kelas talaqqi oleh Syeikh ‘Imad di Jami' al-Azhar, beliau ketika itu sedang mengajar kitab Hasyiah al-Bujairimi as-Syafie. Sempat bertemu secara khusus hasil bantuan rakan-rakan PMRAM dengan Syeikh Mufti Dr Ali Al-Juma'ah, juga sempat secara peribadi bersama Ustaz Anhar Opir, bertandang ke rumah Syeikh ‘Atiyyah Saqar rahimahullah (bekas ketua lajnah fatwa azhar)bertemu dan berdiskusi dengan beliau.
10) Sebelum pulang ke Malaysia, saya bercadang untuk menuntut satu atau dua minggu di Syria bersama Syeikh Dr Ramadhan al-Buti, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili dan ramai lagi ulama Syria, jadual waktu dan tempat pengajian turut sudah berada di dalam tangan saya. Namun terpaksa saya batalkan di saat akhir SEKALI LAGI kerana kemampuan kewangan yang amat terhad.
Ringkasan kisahnya, sememangnya wang tidak boleh menjadi matlamat tetapi sebahagian matlamat boleh terganggu tanpa alatnya, salah satu alatnya adalah wang. Begitu banyak kerugian yang saya rasai akibat tidak mampu dan tidak sempat menambah ilmu kerana halangan kewangan. Pastinya ramai yang merasa pedih seperti saya di luar sana.
INDIVIDU LAIN : KEPERITAN YANG SAMA
Setelah pulang ke Malaysia, bekerja dan berpendapatan sederhana dan baik. Saya amat faham dan terasa apabila mengenangkan sukarnya saya untuk belajar dahulu disebabkan tekanan kewangan. Hasilnya, melalui kenalan jutawan melayu islam yang baik-baik, dapat saya kumpulkan beberapa jumlah bantuan, dan saya salurkan terus ke Jordan dan Mesir. Namun, penyaluran wang bantuan ini saya HADKAN hanya kepada mereka yang bersungguh dan rajin untuk belajar,bukan untuk sembarang pelajar di sana.
Saya faham dan mengerti, ramai pelajar Malaysia yang berada di Jordan, Mesir serta Syria khususnya (yang saya ketahui), mereka berada di sana bukanlah untuk belajar tetapi sebenarnya adalah untuk ‘bermain', mereka balik bukan untuk menjadi ulama tetapi untuk ‘menyemak' atau menjadi ‘penyemak'. Golongan sebegini, tiada prioriti untuk dibantu,
Justeru itu, saya meminta dengan wakil persatuan di Jordan dan individu kenalan di Mesir untuk menyenaraikan sepuluh pelajar cerdik, rajin, bersungguh dan serius belajar tetapi miskin atau dalam keadaan kewangan yang meruncing, saya tumpukan saluran bantuan yang saya kumpul kepada mereka ini. Agar keghairahan mereka untuk mencari ilmu tidak terhalang sebagaimana yang saya rasai dahulunya ketika di Jordan. Amat perit dan masih dapat saya rasakan kerugiannya.
BANTULAH
Bayangkanlah, di tengah-tengah tumpuan ramai kepada individu cemerlang speerti Nik Nur Madihah, sebenarnya ribuan lagi individu cemerlang di sekolah menengah, universiti di dalam dan luar negara yang sedang merana dan terhalang perkembangan pengajian mereka akibat halangan kewangan. Jumlah yang mereka perlukan sebenarnya tidak banyak, hanya sekitar RM 100-300 sebulan untuk membolehkan mereka terus cemerlang dan berkembang.
Persoalannya, prihatinkah kita terhadap golongan ini ? Amat perit apabila seorang yang cintakan ilmu terpaksa berjauh dengannya akibat halangan kewangan.
Disebutkan di dalam sebuah hadis :-
مَنْهُومَانِ لَا يَشْبَعَانِ طَالِبُ عِلْمٍ وَ طَالِبُ دُنْيَا
Ertinya : Dua golongan pelahap yang TIDAK AKAN KENYANG , iaitu pecinta ilmu dan pecinta dunia ( Riwayat Al-Hakim ; bertaraf sohih lighayrihi dan disepakati oleh Az-Zahabi ; namun terdapat kritikan terhadap hadis ini )
Kepada institusi zakat dan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi, jika anda ingin menderma, inilah kumpulan sasaran utama, hasil jariahnya bukan sedikit tetapi berterusan ke akhirat. Golongan sebegini perlu dicari dan bukan ditunggu kehadirannya meminta bantuan.
Buat individu yang membantu saya sewaktu pengajian khususnya, sedarilah pelaburan anda itu telah menghasilkan paling tidak web ini yang ditatapi 3000-4000 orang setiap hari, dan beberapa buah buku, sesi ceramah dan kursus. Setiap ilmu saya yang dimanfaatkan oleh orang ramai, pastinya para penyumbang pengajian saya akan merasai nikmatnya di akhirat khususnya. Tahniah..
Namun pastinya masih ramai yang lebih baik dari saya dalam ‘proses in the making' di sekolah dan univeristi. Carilah mereka, ia seperti sebuah kaunter pelaburan yang berpotensi tinggi, hanya yang cekap mencarinya akan beroleh berlipat kali ganda untung.
Teruskan usaha mencari dimanakah pelaburan hakikat wang anda, dermakna ia di tempat yang tepat, kepada individu yang tepat.
JEMPUT KE WEB ISTERI SAYASaya ingin menjemput pembaca web saya yang budiman untuk menzaiarahi blog isteri saya, semoga beroleh manfaat dari kami sekeluarga. Sila buka (www.ummuhusna99.blogspot.com)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
26 Mac 2009
29 Rabi'ul Awwal 1430 H
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites