Mencari Susah Untuk Senang
: Berpindah dan Berubah
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Pada tanggal 7 Mac 2009 yang lalu, kami berpindah buat kali yang kedua sejak sampai di United Kingdom. Namun kali ini kami berpindah jauh dari kawasan Lampeter, malah keluar dari Wales.
Kami berpindah dari sebuah kawasan yang disebut sebagai kawasan perkampungan dan desa kepada satu bandar yang sederhana besar di dalam daerah England, iaitu Leicester. Untuk pengetahuan mereka yang masih kurang jelas, United Kingdom terkandung empat daerah besar iaitu Scotland, Wales, Ireland Utara dan daerah terbesar adalah England.
Ini adalah salah satu sebab mengapa web saya tidak dikemaskini hampir seminggu. Terima kasih kepada semua warga Lampeter yang bertungkus lumus membantu mengangkat, menyiapkan makanan dan membersihkan rumah. Jutaan penghargaan juga buat warga Leicester yang sudi membantu memindahkan barangan dari van ke rumah baru kami. Khususnya buat Dr Shahrul Zuraidi dan keluarga yang amat banyak membantu kami. didoakan Allah swt membalas jasa kalian dengan sewajarnya di dunia dan akhirat.
DIRI DAN CERITA
Kami berpindah dari daerah Wales ke England, namun saya masih bersama Universiti of Wales, dan juga supervisor yang sama. Hanya berpindah rumah sahaja. Sebabnya panjang dan sebahagiannya bersifat peribadi untuk disenaraikan. Pada mulanya, ingin juga saya coretkan untuk pengetahuan teman-teman pembaca, namun teringat pula satu kata-kata nasihat yang agak relevan dalam bab ini iaitu :-
"Orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain'. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri"
Satu nasihat dan ungkapan yang dalam namun masih boleh diperdebatkan tentunya kerana ia bukanlah nas al-Quran atau Hadis, cuma buah fikiran seseorang yang berfikir dan mengamat. Apapun, saya kira seseorang yang bijak masih boleh menceritakan kisah dirinya jika pandai mengulas dan mengolah sehingga pengajaran dari kisahnya lebih tertonjol dari dirinya. Ada baiknya jika anda ikuti ulasan lanjut oleh sifu pemikiran dan penulisan kepada beberapa penulis terkenal di ruangan ini . InshaAllah bermanfaat.
Sejak lama dahulu, saya memang agak kaku serta bimbang apabila bercerita berkenaan dengan diri. Namun tidak dinafikan adakalanya terdapat sesuatu yang ingin dikongsi dan dimanfaatkan oleh pembaca. Justeru, sekali sekala saya coretkan juga beberapa pengalaman dan kisah diri walaupun terlalu banyak jika ingin dikongsi pahit manis perjuangan peribadi yang sedang berusaha mencapai al-Falah di dunia dan akhirat.
Saya tahu, ramai di luar sana tercari-cari model dan panduan menjalani kehidupan. Tidak ramai pula individu yang rela dan sudi mengorbankan pengalaman peribadi untuk tatapan umum. Mungkin ramai lepasan mahasiswa yang masih muda dalam kehidupan sedang tercari-cari arah tuju perjalanan hidup dalam dunia lepasan kampus yang lebih luas dan mencabar. Kecuali di akhir-akhir ini sudah banyak juga biografi diri orang ternama dijual, namun kebanyakkan adalah hasil tangan orang lain dan bukan si tokoh itu sendiri. Mungkin individu yang mencari ijalan hidup berpandukan cara kejayaan tokoh-tokoh ini boleh dan mampu memanfaatkan tulisan-tulisan sedemikian.
PINDAH DAN PERUBAHAN
Berbalik kepada kisah saya dan pindah, hanya saya coretkan secara ringkas dan ringan di celah kesibukan. Cumanya pengajaran umumnya, setiap perpindahan walau perit di sudut fizikalnya namun ia PERLU untuk satu perubahan. Sudah tentu kita perlu mensasarkan perubahan kepada yang lebih baik. Itulah yang mendorong saya berpindah dari Wales ke Leicester ini. Saya sedang merancang manfaat kepada diri dan ummah yang lebih luas dan besar serta tidak terbatas oleh jarak perjalanan.
Apa yang pasti, setiap perubahan memerlukan keberanian, setiap keberanian memerlukan kepada keyakinan, keyakinan memerlukan kepada ilmu dan perancangan. Perubahan tanpa mengikuti aliran ini adalah perubahan yang kerap menghasilkan kerugian dan kegagalan.
Lihatlah teguran Allah swt kepada kafir musyrik yang enggan berubah dan hanya selesa dalam zon kehidupan jahiliyah mereka.
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ
Ertinya : Dan apabila dikatakan kepada mereka: ""Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,"" mereka menjawab: ""(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami"". ""(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?
Justeru itu, cabar zon selesa anda ketika ini dengan yang perkara baru, ilmu baru, medan baru, konteks baru dan lain-lain yang lebih mencabar dan boleh menghasilkan kesan positif buat diri dan ummat nescaya satu perkembangan cemerlang akan berlaku dalam diri. Pastinya ia akan membimbangkan, menakutkan, mendebarkan tetapi menyeronokkan InshaAllah.
Atas alasan itu, saya berpindah ke Leicester mencari yang lebih mencabar, mencari susah...untuk manfaat diri di dunia dan akhirat serta kebaikan ummat. Doakan kami..agar pencarian susah kami berbaloi.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Ertinya : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan"
Salam Maulidur Rasul...
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18, Barbara Avenue,
Leicester
LE5 2AA
Tel rumah (baru) : +44116212 8056
11 Mac 2009
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites