Peribadi, Tazkirah & Fikir Hukum Tanpa Syarat

Hukum Tanpa Syarat

  • PDF
(4 votes, average 5.00 out of 5)

Hukum Tanpa Syarat

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Apa hukum demonstrasi, ustaz?

Apa hukum sambutan hari jadi?

Apa hukum forex tanpa leverage?

Apa hukum jual barang ini?

Bolehkah kita makan ayam Mcdonald dan KFC?

Saya nak jama' solat kerana tersekat jem di jalan raya, boleh ke?

Bagaimana kalau saya solat fardhu dalam kereta sahaja kerana di United Kingdom ni mungkin bahaya solat kat tempat awam, nanti depa tuduh terrorist?

Boleh kan jika saya tayammum guna batu?

Saya masih pelajar tapi saya mesti berdakwah, wajibkah ?

Saya masih di tahun ketiga universiti tetapi nak berkahwin, ok ke nak kahwin semasa belajar?

Ustaz, saya nak berpoligami dan ada kemampuan, kira ok le kan ustaz?

Saya nak pergi haji walaupun ada hutang, boleh tak?

Saya terpaksa berkongsi rumah dengan pelajar wanita di sini kerana kos hidup di Uk terlalu tinggi, ia darurat, boleh betul tak ustaz?

Menyertai skim perniagaan MLM boleh tak ?

Imam Ghazali kata semua alat muzik boleh main, so saya nak masuk kelas gitar boleh kan ustaz?

Dan seribu satu macam soalan lagi yang diajukan..

 

quranbunga.jpg

 

PERSOALAN & PUNCA

Bagaimana sebenarnya jawapan yang penyoal ingin dengar dan apa sebenar kandungan jawapan yang ingin pemberi jawapan beri faham, ia seringkali tersasar.

Salah siapa? Penyoal yang hanya memikirkan jawapan yang ingin didengari atau pemberi yang kurang cekap dan berhati-hati?

Lebih elok tidak menuding jari namun perlu mencari beberapa punca kefahaman jawapan tersasar.

Dari senarai panjang sebab musababnya, ada yang timbul dari pemberi jawapan dan ada yang datang dari penyoal. Namun bagi tidak menulis panjang lebar, ingin saya pilih SATU sahaja sebab dan diulas secara ringkas

MASALAH DARI PENYOAL

Satu trend kurang sihat yang saya kerap lihat sejak dahulu hingga sekarang adalah desakan dan keinginan penyoal kepada jawapan ringkas dan mudah seperti :-

Jawapan kepada soalan saudara adalah hukumnya : Haram dan full stop!.

Atau Harus dan full stop!.

Atau sunat dan full stop!.

Atau Wajib dan full stop!.

Atau Makruh dan full stop!.

Sedangkan, soalan yang diberikan mungkin bersifat umum, tidak jelas, ayat tergantung dan pelbagai lagi. Justeru, sekiranya soalan yang diutarakan tidak termasuk dalam kategori umum, masih timbul masalah iaitu CARA BERFIKIR dan MINDA penyoal semasa membaca dan menerima jawapan.

Saya dan beberapa rakan yang kerap membantu merungkaikan permasalahan agama dari orang ramai sentiasa BERUSAHA memberikan sesuatu yang baru kepada minda umat Islam serta memberi jawapan yang spesifik sesuai dengan keadaan dan latarbelakang soalan. Kami cuba mengelak dari memberi jawapan ringkas tanpa huraian dan syarat.

Huraian dan pemberitahuan berkenaan syarat-syarat bagi sesuatu hukum amat penting agar kefahaman penyoal jelas bukan setakat kepada soalan yang ditanya sahaja, tetapi melangkaui pelbagai persoalan lain dalam situasi yang berbeza. Ia penting bagi menambah kemampuan masyarakat untuk mengerti status hukum di masa akan datang tanpa perlu merujuk semula kepada pemberi jawapan.

Bagi mencapai objektif ini, sudah tentu kami ingin mulakan dari  individu yang masih punyai keinginan untuk bertanya pandangan Islam dalam kehidupannya. Iaitu mereka yang masih yakin dengan halal dan haram, dosa dan pahala.

Kami akui, sebahagian besar dari kumpulan yang punyai benih iman ini punyai minda yang lebih cenderung inginkan jawapan ringkas seperti salah satu dari lima hukum yang disebut di atas.

Minda sebegini perlu diubah, ini minda yang sefesyen dengan minda ingin cepat kaya, cepat faham, cepat lulus, cepat segala-galanya. Ia bukan dari kaedah tepat dalam memahami dan mempelajari ilmu. Ia lebih mudah membawa kesilapan faham.

SYARAT DILUPAKAN

Jawapan dari ilmuan Syariah yang baik BIASANYA akan disertai dengan ulasan dan syarat-syaratnya. Perlu diingat hukum dengan mudah boleh berubah apabila sesuatu syarat tidak dipenuhi atau situasi berbeza.

Hampir semua suruhan dan larangan dalam Islam mempunyai syaratnya. Ia fenomena lumrah dalam hukum hakam agama. Maka tidak lengkap pengajian tanpa mempelajari dan meneliti syarat. Sesuatu perbuatan baik seperti solat mungkin sahaja ditolak tanpa ditunaikan syaratnya.

Firman Allah berkenaan arahanNya kepada Nabi Adam a.s :

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلاَ مِنْهَا رَغَداً حَيْثُ شِئْتُمَا وَلاَ تَقْرَبَا هَـذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الْظَّالِمِينَ

Erti : Dan Kami berfirman: ""Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ( Al-Baqarah : 35 )

Lihat, kebenaran yang diberikan oleh Allah untuk menginap di Syurga, namun masih ada syarat dan larangannya. Tanpa penelitian kepadanya,  akan jatuhlah dalam larangan.

Juga sabdaan Nabi s.a.w :-

صلّوا كَمَا رَأيْتُمُوني أصَلّى

Ertinya : Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku menunaikan solat" (Riwayat Al-Bukhari)

Perkataan ‘sebagaimana kamu melihat aku solat' adalah syarat dan tuntutan untuk setiap individu Muslim mempelajari dengan hampir hadis-hadis berkenaan cara Nabi solat, jika tidak mampu fahami secara terus, melalui fatwa ulama Syafie atau lainnya. [1]

Apa yang penting, kalau solat secara semborono tanpa ilmu, tanpa fahami syarat dan tuntutannya. Ia bukanlah solat seperti yang didirikan oleh baginda Nabi s.a.w dan diarahkannya.

NAMA TANPA ISI

Satu kontrak halal dalam perniagaan seperti jual beli secara Al-Murabahah boleh dengan mudah menjadi Murabahah yang HARAM apabila syaratnya dilanggari.

Demikian juga kontrak pelaburan Islam seperti Mudarabah yang cukup popular, kerap kali disalahgunakan kerana penganjur dan pelaburnya tidak membaca syarat sah bagi kontrak Mudarabah.

Akhirnya tinggal nama tanpa ruh.

Demikian orang Islam tanpa meneliti syarat sebagai seorang Muslim, mereka hanya akan menjadi beban kepada Islam. Merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain. Mengapa?! Kerana tidak meneliti dan memahami syarat seorang Muslim.

Namun masalahnya, senarai syarat ini kerap kali dilupakan, ditinggalkan dan tidak diendahkan, sehingga seseorang boleh beramal dengan salah kerana tidak meneliliti syarat dalam jawapan yang diberikan.

Fatwa hebat dari dua tokoh ilmuan seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi berkenaan muzik turut menjadi mangsa salah faham dan sikap malas pembaca syarat bagi hukum.

Benar, memang benar kedua-dua  mereka memberi fatwa harusan mengunakan alatan muzik dari jenis apa pun. Namun terlalu ramai yang membaca fatwa dan pandangan ini mengutip 10 % dari fatwanya lalu meinggalkan bakinya. Mereka hanya mengambil hukum HARUS, tanpa membaca dengan teliti BILAKAH YANG DIKATAKAN HARUS ITU, dan bila pula ia bertukar menjadi HARAM.

Malangnya, dengan kelemahan itu, mereka mengambil dan menyebarkan fatwa HUKUM HARUS MUZIK, sambil melupakan bahwa kedua-dua tokoh tadi meletakkan syarat-syarat yang mesti diambil kira bagi sesiapa sahaja yang ingin beramal dengan fatwa mereka.

Tanpa melihat syarat, seseorang sebenarnya telah salah dalam pengambil fatwa kedua tokoh terbabit, lebih salah lagi apabila menyebarkannya.

Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ni. Ramai yang ingin fatwa mee segera dan melupakan syarat. Mereka hanya ingin baca apa yang mereka INGIN baca bukan fahami apa yang pemberi jawapan inginkan mereka FAHAM.

Baru-baru ini, saya menulis pandangan berkenaan hukum membeli dan menjual melalui web ebay. Kesimpulan harus dengan syarat-syarat. Namun pastinya sudah ada yang mula menyatakan harus dengan melupakan syarat.

Saya nyatakan system perniagaan yang diamalkan oleh Jainetwork sebahagiannya mengikuti kaedah bai inah, namun begitu syarat-syaratnya dan perkara lain yang perlu diambil perhataina adalah...panjang huraian saya. Tiba-tiba diwarwarkan saya mengatakan Jainetwork halal dan full stop.!

Demikian juga bagi mereka yang membaca hukum Onani yang difatwakan oleh Syeikh Al-Qaradhawi, tetapi melupakan syarat-syaratnya.

Yang sama dalam hal MLM, apabila saya katakan syubhat atau haram, mereka lupakan bahawa saya sertakan beberapa sebab dan bentuk yang menyebabkan ia jatuh haram atau syubhat. Dipukul rata semuanya haram  dan disandarkan kepda nama saya. Demikian juga halnya dalam isu Forex dan halnya hokum solat dalam kenderaan, jama' solat bukan kerana musafir, makan makanan ahli kitab dan macam-macam lagi.

MAKIN ROSAK

Habis..akibatnya ramai yang sesuka hati menceduk fatwa dan pandangan ilmuan separuh-separuh. Mereka menyangka mereka telah menjadi baik tetapi kejahilan akhirnya menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Apabila fenomena ini berkembang, ia menjangkiti ilmuan Syariah yang baru terjun dalam bidang konsultasi hukum kepada orang awam dan juga generasi veteran yang sudah lama. Akibat kecenderungan awam yang ingin ringkas dan pendek. Jawapan hukum turut menjadi pendek dan ringkas, kononnya memudahkan, tetapi hakikatnya mengelirukan dan menjauhi proses pendidikan sebenar.

Ilmuan menjadi semakin malas, hingga fatwa turut malas dibuat huraian, lebih malas untuk digariskan syarat-syarat itu ini. Kononnya agar tidak mengelirukan orang awam dan memeningkan mereka.

Ye, ia mungkin boleh memberikan kemudahan jangka pendek tapi kemudaratan jangka panjang!.

Buku hukum dan fatwa pun jadi pendek dan ringkas, tanpa syarat, tanya satu baris, jawapan pun satu baris..memudahkan bukan?. Tidak semua yang pendek dan ringkas itu mudah, ia pasti membawa pelbagai takwilan dan tafsiran sendiri oleh pembaca.

Ilmuan tidak wajar terikut dengan kehendak orang ramai, sepatutnya mereka yang mencorakkan pemikiran orang ramai agar lebih rajin dan teliti. Bayangkan betapa telitinya Imam Syafie, Imam Abu Hamid Ghazzali, Imam Nawawi dan ramai lagi dengan buku mereka berpuluh malah beratus jilid. Ilmuan berlumba-lumba mengarang kitab yang terperinci dan ada pula yang ringkas tapi padat dengan syarat dan nasnya. Skill penulisan dan pemilihan syarat dan nas serta persembahan adalah ditagih.

ISLAM AJAK KITA TELITI DAN RAJIN

Allah s.w.t berfirman :-

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Ertinya : "Ketahuilah (pelajarilah dengan ilmu jelas), sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Allah dan kemudian pintalah ampun bagi dosamu, dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu" (Muhammad : 19 )

Ini satu nilai yang mesti kita faham, bagi sesiapa jua yang ingin melaksanakan Islam dalam dirinya dengan berkesan, mereka tidak boleh malas membaca dan berfikir dan seterusnya menghayati.

Saya bimbang jika trend ambil ringkas, pukul rata ini digunakan..akhirnya umat Islam akan semakin lembik, lembap dan hanya memberikan penelitian dalam hal keduniaan, penelitian dalam hal akhirat dianggap membebankan lalu ditinggalkan. Lebih teruk apabila dalam kedua-duanya tidak teliti.

Selain itu ia juga boleh mencetuskan salah faham antara satu ilmuan A dengan ilmuan B atau C, D dan lainnya. Salah faham akibat, seorang atau sekumpulan awam menyampaikan kepada ilmuan B,C dan D, bahawa ilmaun A berkata hukum ini halal, itu haram, dan meninggalkan huraian dan syarat-syaratnya. Ilmuan B,C dan D pula merasakan sebaliknya, lalu tanpa fikir panjang akan dicemuh ilmuan A dengan kata-kata nista dan penghinaan. Orang awam terus keliru  atau menjadi berpecah dan menyampaikan cemuhan dari seorang ke seorang yang lain, akhirnya ilmuan bertempur sesama sendiri akibat miscommunication antara sesama mereka.

Saya kerap membaca dan melihat pertempuran antara beberapa individu berkenaan hukum Islam sedangkan sebenarnya mereka sama  pendapat, Cuma akibat keegoan masing-masing serta tidak ingin merujuk kepada sumber asal dan tidak membaca dengan hati bersih dari sangka buruk, mereka bertempur hingga pastinya digoda Syaitan untuk menunjuk "aku lebih alim", bukan untuk mencari kebenaran.

Antara puncanya, tidak membaca syarat-syarat yang diletakkan oleh masing-masing, sehingga A bercakap berkenaan ‘Tasek', ilmuan B bercakap tentang ‘Sungai'. Kedua-dua mereka menyangka sedang berdebat berkenaan topik masing-masing, ia mungkin berpunca akibat pembaca yang malas merujuk kepada syarat dan huraian.

AKHIRNYA

Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan pendakwah yang berkecimpung dalam bidang memberi nasihat dan jawapan dalam hal ehwal agama kepada masyarakat untuk mengasah skill memberi jawapan.

Saya menyeru pembaca jawapan keagamaan agar lebih rajin dan meneliti syarat yang disertakan bersama sesuatu hukum.  Moga kita berjaya berhijrah dari yang kurang baik kepada baik, yang baik kepada yang lebih baik. Amiin

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

18 Jan 2009

 

 

 

 

 

 

 

 

 



[1] Mughni al-Muhtaaj, Khatib ash-Sharbini, 1/210 (Daar al-Fikr Pub.)



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 14 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Hukum Tanpa Syarat