'The Fantastic Four' di Himpunan Ukhuwwah
Insaniah Seluruh Ireland (PUISI 2008)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Gambar : Bersama ajk PUISI 2008sebelum berangkat pulang ke UK
Slot saya di perhimpunan ukhuwwah insaniah seluruh Ireland ( PUISI 2008) telah selamat disempurnakan pada 22-24 disember yang lalu. Namun program tersebut melabuhkan tirainya pada 26 Disember 2008.
Program kali ini dibuat di Killarney, Ireland. Walaupun saya sekarang berada di Wales, United KIngdom namun pemergian ke tempat program kali ini tidak juga boleh dianggap dekat. Saya perlu memandu kereta seawal 5.00 pagi untuk ke Bristol Airport sejauh 212 KM, ( ini lah masalah saya kerana duduk di kawasan ‘ulu' di Wales ini) dan dari Bristol, destinasinya adalah ke Airport Dublin dan seterusnya berkenderaan bersama ahli Jawatankuasa program selama 4 jam untuk ke kawasan desa di Killarney.
Apapun, tahniah saya ucapkan buat penganjur yang berjaya mengumpulkan peserta seramai 190 orang untuk program tahun ini. Peserta datang dari pelbagai daerah dan negara, adayang datang dari United Kingdom, Ireland, Czechoslovakia dan Germany.
Saya difahamkan, majoriti peserta pula berlatarbelakangkan pengajian perubatan terutama peserta dari Ireland dan Czech. Kesimpulannya, semua peserta terdiri dari mereka yang ‘excellent' dalam pengajian akademik masing-masing dan keadaan ini menjadikan tugas saya membentang lebih mudah, lancer dan menarik.
Tahniah juga kepada penganjur kerana berjaya menarik Duta Besar Malaysia di Ireland, TYT Raja Nazrin untuk merasmikan program kali ini.
PUISI tahun ini menonjolkan "The Fantastic Four" merujuk kepada 4 aspek asas yang menjadi tumpuan seluruh pembentangan saya bersama seorang lagi penceramah jemputan.
Saya memilih empat asas berikut :-
1) Pemurnian Aqidah 2) Ibadah 3) Fiqh Kewangan 4) Akhlaq
PEMBENTANGAN PERTAMA
Penyediaan slide pembentangan saya dibuat dalam bentuk mengemukakan senarai DO'S and DON'TS dalam setiap topik. Bermula dengan bab Aqidah.
Target saya pelbagai. Pengertian Aqidah, kepentingannya dan terus kepada pembahagian Usul dan Furu' Aqidah, contoh dan kesannya akibat ketidakfahaman perbezaan antara keduanya.
Gerakan kafir mengkafir yang merugikan akibat politik dan aliran kefahaman, Isu syiah, ilmu kalam, sifat dua puluh dan pecahan tauhid kepada tiga jenis, takwil atau tafwid ayat mutashabihat dan lain-lain lagi yang berkaitan.
Seterusnya punca dan latarbelakang perbalahan tiada kesudahan antara salaf ( kaum muda) dan khalaf ( kaum tua) turut didedahkan dan diakhiri dengan beberapa cadangan pendirian yang boleh dipertimbangkan oleh peserta. Pendirian Imam Ibn Kathir dan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi diberikan tumpuan dalam hal ini.
Target saya agar semua peserta mendapat gambaran berkenaan isu-isu utama dalam aqidah dari aspek inti ilmunya dan juga memahami bagaimana perpecahan boleh berlaku. Seterusnya bagaimana mereka boleh menetapkan sikap mereka secara moderate bersandarkan kefahaman kepada asas ilmu Usul Fiqh.
Selain itu, saya juga memfokuskan kepada bebereapa perkara Qat'ie yang dilarang dalam Aqidah seperti syirik, pecahannya dan bentuk-bentuk syirik kontemporari dan moden.
PEMBENTANGAN KEDUA
Melalui pembentangan ini saya berusaha untuk memberikan peserta kefahaman terhadap salah faham dalam definisi ibadah.
Senarai Do's dan Don'ts yang merangkumi kefahaman keperluan bermazhab namun menjauhi diri dari gejala ta'asub, kembali beramal berdasarkan ilmu, kriteria taqlid tercela dan yang dibenarkan, status diri masing-masing antara Muqallid, Muttabi atau mazhab Mufti. Memahami sunnah tasyri'iyyah dan yang jibiliyyah. Adab dalam perbezaan pendapat, kefahaman mengapa ada kalanya fatwa berubah, priority dalam ibadah, ijtihad dalam ibadah dan sejauh mana dibenarkan, jauhi tatabbu' ar-rukhas dan beberapa yang lain.
Namun akibat kekangan masa dan soalan yang begitu banyak, terdapat beberapa point tidak sempat saya huraikan.
PEMBENTANGAN KETIGA
Tumpuan kepada pembentukan akhlaq yang merupakan target kebangkitan baginda Nabi s.a.w. Senarai do's and don'ts dalam bab akhlaq terlalu panjang, justeru saya hanya mengumpulkan yang terpenting berdasarkan pengalaman hidup saya dalam gerakan dakwah, hasil bercampur dengan pelbagai tahap masyarakat dari orang desa kepada kumpulan elit super profesional. Kesimpulan dari gabungan pengalaman itu, saya ringaskan dalam bentuk senarai perlu jauh dan senarai perlu buat ( Do's and Don'ts).
PEMBENTANGAN KEEMPAT
Berkenaan Fiqh Muamalat. Beberapa kandungan buku "wang, anda dan islam" di bentangkan dalam hal ini.
Saya mengucapkan tahniah kepada peserta yang menunjukkan tahap konsentrasti yang tinggi sepanjang pembentangan dan memberikan respon balas ayang amat amat baik terutaman jika dinilai melalui soalan-soalan yang dikemukakan.
Moga ia mampu menjadi beberapa panduan dan pedoman hidup beragama anda semua.
Sabda Nabi :
العلم بالتعلم والحلم بالتحلم ومن يتحر الخير يعطه ومن يتوق الشر يوقه (رواه الخطيب وحسنه الالبناني)
Ertinya : Ilmu dengan pembelajaran, kesantunan dengan latihan, barangsiapa yang mencari kebaikan akan diberi, dan yang mengidamkan keburukan akan terjebak (riwayat Al-Khatib, Albani : Hasan)
Satu lagi pesan saya buat diri, pembaca dan peserta PUISI 2008, ingatilah siapa muflis di sisi Islam dan sama-sama kita jauhinya.
إن المفلس من أمتي يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة، ويأتي قد شتم هذا، وأكل مال هذا، وسفك دم هذا، وضرب هذا، فيعطي هذا من حسناته، وهذا من حسناته، فإن فنيت حسناته قبل أن يقضي ما عليه، أخذ من خطاياهم فطرحت عليه، ثم طرح في النار (م)
Ertinya : Muflis di kalangan umatku, datang di hari qiyamat dengan solat, puasa, zakat namun datang juga cercaannya kepada orang ini, makan harta orang itu, menumpahkan darah sana, memukul sini lalu digantirugi dengan amalan baiknya sehingga habis semunya lalu ia mengambil dosa mangsanya sehingga ia dilontar ke neraka ( Riwayat Muslim)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
26 Disember 2008
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites