Peribadi, Tazkirah & Fikir Blog, Mufti & Ahli Agama

Blog, Mufti & Ahli Agama

  • PDF
(10 votes, average 4.60 out of 5)
Blog, Mufti & Ahli Agama

 

Oleh

 

Zaharuddin Abd Rahman

 

 

 

Niat untuk berdakwah menerusi internet atau blog sendiri, setakat ini saya dapat saya kotakan Alhamdulillah.  Segala jenis pengalaman pahit dan manis ditempuhi bersama dengan web ini. 

Sejak dahulu lagi, akan terdapat ilmuan yang mengasaskan institusi pengajian tinggi, pondok, pasentren dan yang sepertinya bagi menyebar luaskan ilmunya kepada masyarakat. Kini, peluang dan ruang itu boleh bercambah lebih luas jika dapat ditambah lagi kepada penggunaan medium lebih luas seperti internet.

kubah

 

Sememangnya sukar untuk dibandingkan antara pengajian berdepan dengan guru (talaqqi) dan ilmu yang diperolehi dan disampaikan melalui internet. Namun paling tidak, ia mempunyai beberapa kelebihan lain seperti penyebarannya lebih meluas dan capaiannya boleh di buat pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Jika ingin disenaraikan positif dan negatifnya, secara puratanya yang positif akan mengatasi negatif. Justeru saya bersama rakan-rakan blogger Islam lain akan terus berusaha memakmurkan teknlogi moden yang wujud ini dengan pengisian mendidik minda dan jiwa, merapatkan manusia kepada penciptanya dan membawa manusia tunduk kepada larangan dan suruhanNya.

Setakat pengetahuan saya web bercorak agama yang paling popular di dunia adalah http://www.islamweb.net/, www.islamway.com dan www.islamonline.net. Ketiga-tiga web ini mencatatkan pelawat harian mencecah ratus ribu dan juta, dan jauh lebih popular dari web berita semasa malaysiakini.com.

PELAWAT DI WEB INI  

Adapun web saya, ia sederhana sahaja, dengan sekitar 5000 - 6000 unique visitor pelawat menjenguk web saya secara purata dalam sehari. Adakalanya mencecah 10,000 pelawat. Namun apa yang penting usaha menyediakan platform informasi agama mesti diteruskan.

Sejak Mac 2007, web saya telah dilawati oleh lebih 3.7 juta pelawat. Menurut sitemeter yang saya gunakan, statistic ini hanya mencatatkan unique visitors sahaja, atau setiap satu IP berbeza dikira satu. Begitulah sefaham saya dari panduan sitemeter.

Catatan sitemeter juga telah mencatatkan bilangan halaman yang dibuka mencecah 8.81juta.

Namun demikian setiap pelawat di web saya ini mungkin berbeza dengan sesetengah web yang lain. Pelawat yang menziarah, datang dari pelbagai latar belakang; dari insan-insan soleh dan solehah sehinggalah dari kalangan pembenci-pembenci hukum, pendengki-pendengki kebaikan dan penyuruh kepada maksiat. Semuanya ada melawat beberapa kali di web saya. Ini dapat dilihat dengan jelas dari komen-komen yang dicoretkan, tetapi sebahagiannya tidak diluluskan, manakala bakinya diluluskan.

Kumpulan kedua ini kerap menghamburkan kata-kata kesat dan yang sepertinya. Lebih memudaratkan, jjka kita tersilap memberi respon atau sedikit teremosi, nescaya akan dijajanya dan diperbesarkan sehabis mungkin bagi menjalan peranan mereka iaitu ‘character assasination'. Justeru, dua pedoman yang diajar oleh Allah swt ini tersemat teguh dalam minda saya iaitu :-

1)      Jika ingin balas, bertenanglah dan balas dengan kata-kata yang lunak.  Namun untuk melaksanakannya tidak mudah tanpa kesabaran yang mencukupi.

Firman Allah :-

 

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا 

 

Ertinya : Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. (Al-Furqan : 63)

 

2)      Pilihan selanjutnya, abaikan sahaja atau dalam kata lainnya, ‘delete'.

 

Ia berdasarkan firman Allah swt :

 

وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ

 

Ertinya : Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: ""Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil (Al-Qasas : 55)

AHLI AGAMA DAN MUFTI TIDAK PERLU BERBLOG?

Hasil dari kata-kata kesat oleh pelawat negatif ini dan adakalanya menjatuhkan maruah para agamawan dan mufti, muncul individu yang berpendapat ilmuan agama (atau mufti terutamanya) sebaiknya mengelakkan diri dari berblog atau mengendalikan web sendiri.

Tindakan mufti yang berblog dikatakan oleh kumpulan ini sebagai boleh dikira menjatuhkan maruahnya dan kedudukannya yang tinggi serta merosakkan jawatan MUFTI.

Hujjahnya :

1)      Mufti rasmi (dalam konteks Malaysia), kedudukannya adalah sangat tinggi dan berada di bawah Sultan, tatkala itu mufti perlu menjaga hemahnya dan kebesarannya iaitu dengan mengurangkan percampuran dan kekerapan memberikan pandangan.

Bagi mereka yang mencadang idea ini, kekerapan memberi pandangan boleh menjatuhkan ketinggian pandangan ramai terhadap seorang mufti. Lebih senyap mungkin lebih bagus jika menurut pendapat ini, mungkin supaya bila sesekali sang mufti bersuara maka akan terasa kehebatannya dan ‘aura'nya.

Pandangan ini jelas tiada asas sama sekali. Ia bercanggah terus terang dengan sifat baginda Nabi s.a.w yang sentiasa bersama para sahabat menjawab persoalan mereka. Malah Al-Quran juga diturunkan dengan sebahagian asbab an-nuzul yang berkisar kepada menjawab persoalan berbangkit dalam masyarakat Islam ketika itu.

2)      Ada pula yang berhujjah, mufti tidak boleh bersuara sewenang-wenangnya. Mereka ada prosedur dan peraturan dalam pengeluaran fatwa, fatwa pula mesti di ‘gazet'kan atau pewartaan secara rasmi dengan perkenan Sultan sebagai Ketua Agama sesebuah negeri. Hanya sesudah itu mereka boleh mengeluarkan fatwa rasmi.

Saya faham akan hal itu, namun adakah mufti tidak mempunyai pandangan peribadi yang boleh dikeluarkan untuk pedoman masyarakat.? Memang benar, setiap fatwa yang diwartakan beerti ia telah dikuatkuasakan dan mana-mana individu dalam negeri terbabit yang melanggarinya, pelaku kesalahan boleh dikenakan tindakan.

Malah fatwa yang dikeluarkan pula mestilah dalam ruang lingkup negeri masing-masing.

Saya faham bahawa mufti ada had kuasa dalam pengeluaran fatwa. Namun demikian, sebagai ilmuan Islam yang menjadi rujukan dalam soal hukum, orang awam sentiasa mengharapkan pandangan peribadi sang mufti dalam banyak isu. Biarpun ia bukan fatwa dalam konteks rasmi, tetapi cukuplah berdasarkan adalah analisa ilmiah mufti atas kapasiti dirinya sebagai seorang dari ‘ilmuan Islam', demi faedah masyarakat awam.

3)      Kali ini, terdapat pula Mufti yang beralasan dengan mengatakan :-

"Wartawan tidak bertanya maka bagaimana saya ingin menyatakan pandangan"

Bagi saya, wartawan tidak merujuk kepada sang mufti, kerana Mufti itu sendiri tidak pernah membuat kenyataan kepada media.  

Cubalah pihak mufti meminta pegawainya menelefon wartawan dan kemudian ulaslah isu yang dikehendakinya, tentunya wartawan akan menghargai dan menyiarkannya, kalau tidak semua pun, sebahagiannya.

Jika ini dapat dibuat, selepas ini tentunya wartawan lebih senang untuk menghubungi mufti berkenaan.

Ia bukan tujuan ‘gilakan publisiti atau glamour' tetapi menggalas amanah sebagai ilmuan Islam selain amanah dari jawatan rasmi sebagai seorang Mufti tadi.

Jika mufti bimbangkan wartawan tidak dapat mencatat ulasannya dengan baik dan tepat, LALU AMAT BAIKLAH bagi mufti untuk mempunyai blog peribadi, bukannya sekadar blog rasmi Jabatan Mufti Negeri. Blog peribadi diperlukan agar belau mampu menyampai segala ilmu tanpa had dan prosedur.

Tahniah buat Mufti bakal bersara beberapa hari lagi kerana punyai blog sendiri.

Firman Allah buat Rasul dan seluruh ilmuan Islam yang mewarisi ilmu Islam dari baginda  s.a.w:-

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ

Ertinya : Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya..( Al-Maidah : 67)

Ia diperlukan agar mudah rakyat mengadu masalah dan isu, agar lebih dekat dengan masyarakat dan masalah mereka.

JIka dikatakan, mereka tidak perlukan blog kerana mereka lebih mengutamakan penulisan kitab atau buku. Malang sekali lagi, masih belum begitu nampak buku=buku dan kitab-kitab hasil minda mereka di ketika ini.

Yang ternampak adalah tindakan mengharamkan beberapa buah buku sahaja. Sebaiknya, semasa pengharaman, ada buku yang dicadangkan, janganlah dicadangkan kitab kuning kepada orang awam, perlulah buku moden karangannya sendiri yang telah dipermudah.

Pengalaman blog atau web saya menyaksikan puluh ribuan masaalah masyarakat Malaysia diutarakan kepada saya dan lain-lain blogger agamawan (yang bukan mufti) yang berdakwah melalui blog dan web.

Alangkah baiknya jika mufti rasmi turut boleh merasai bagaimana keringnya umat ini dari ilmu, sebahagian mereka pula amat dahagakan bantuan dan pandangan. Saya cukup simpati dengan semua mereka yang mengutarakan komentar di ruangan web saya berbentuk soalan dan permintaan nasihat, tidak lupa juga di email. Namun jumlahnya TERLALU BANYAK, sehingga mencecah 22 000 soalan dalam ruang komentar, hampir 6000 email soalan agama masih gagal saya balas dalam kotak email saya sejak 3 tahun lepas.

Sabda Nabi s.a.w :-

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلى أَذَاهُم

Ertinya : Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah LEBIH BESAR GANJARANNYA dari mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan kejahatan masyarakatnya. (Riwayat  Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Ahmad ; hadis sohih)

Sehingga tiada lagi kemampuan saya untuk membuka dan membaca sebahagian besar darinya komentar dan email yang diutus. Maaf saya pinta.

Alangkah baiknya, jika semua mufti dan ilmuan Islam dapat sama-sama berusaha membantu penyoal-penyoal ikhlas dan juga yang ‘nakal' ini.

Bagi rakan-rakan agamawan atau ilmuan agama, kini semakin ramai yang punyai blog sendiri yang mampu mendidik dan menghampirkan masyarakat dengan Islam.

Tahniah.! Cabarannya adalah semakin tinggi jumlah pelawat yang mengambil manfaat, semakin tinggi juga komitmen dituntut.

Selain ilmu yang perlu dicurahkan, masa mengarang yang diperuntukkan, pemikiran yang ditumpukan  untuk mengolah ayat dan mesej agar mudah dan mampu difahami dengan baik. Kami juga tercabar dengan :-

a.      soalan-soalan ikhlas lagi mendesak jawapan segera

b.      soalan menguji,

c.      soalan dengan biadap,

d.      soalan dicampur provokasi,

e.      soalan basic yang maha amat,

f.      soalan berulang-ulang berpuluh dan berates kali,

g.      soalan yang jawapannya telah terpampang di artikel tetapi tidak dibaca,

h.      soalan dicampur dengan percubaan character assassination,

i.       soalan di luar bidang penguasaan ilmu saya,

j.       soalan yang boleh dijawab tetapi memerlukan huraian perkara teknikal yang rumit,

k.      soalan yang jawapannya sudah diketahui tetapi masih mahu meminta konfirmasi dan pelbagai lagi.

Apabila menerima sebahagian soalan-soalan di atas teringat saya kata-kata Imam As-Syafie

إذا نطق السفيه فلا تجبه ... فخير من إجابته السكوت

Ertinya : Apabila berkata kepadamu orang ‘safih' ( bodoh, provoke, emosi hingga hilang pertimbangan warasnya dan sepertinya) maka janganlah kamu menjawabnya...maka sebaik-baik jawapan kepadanya adalah senyap.

 


Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 November 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Blog, Mufti & Ahli Agama