Peribadi, Tazkirah & Fikir Busy Body Orang Putih & Melayu

Busy Body Orang Putih & Melayu

  • PDF
(7 votes, average 4.86 out of 5)

Busy Body  vs Tidak Peduli

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

"Anak kami menangis agak lama sedikit, tiba-tiba polis datang ke rumah" Demikian kata seorang rakan di Wales, UK

"Bagaimana boleh sampai jadi begitu?"

"Kami rasa, jiran sebelah rumah menelefon polis mungkin kerana sangka ada penderaan bayi agaknya kot. Orang sini memang gitu..nasib baik masa polis datang anak kami dah tenang" Jawabnya.

"Anak kita orang ada garis sikit di pipinya kerana jatuh bermain, bila pergi pasaraya orang putih nampak..sibuk ditegurnya.."apa terjadi kepada anak engkau ni?"" Itu pula kata seorang lagi kenalan saya di sini.

"Anak ana mata merah sikit pun depa sibuk nak tanya khabar anak dan macam-macamlah" Dengus seorang lagi kenalan yang kelihatan tidak selesa dengan keadaan yang pernah ditempuhinya.

Bagus atau tidak sifat 'menyibuk' atau busy body begini?

Sebahagian rakan yang saya temui di sini turut mengakui sikap 'orang putih' di sini yang agak kerap 'masuk campur hal orang lain', tapi ia bukan sebarangan 'campur tangan', kebanyakkannya ada kaitan dengan kebajikan, kesihatan, keselamatan dan sepertinya.

Di peringkat saya, masih belum pernah mengalami apa-apa pengalaman seumpama tadi. Oleh itu saya masih belum mampu membuat kesimpulan penuh untuk sikap 'orang putih' ini, saya hanya mampu membuat hipotesis sahaja. Tiga minggu berada di sini belum melayakkan saya mendapat satu jawapan konkrit berkenaan sikap 'campur tangan orang putih' di sini sama ada ia layak dipuji atau dikeji.

busy body

Sikap suka mengambil tahu perihal orang lain memang menjadi lumrah dalam kebanyakan masyarakat. Sebagaimana biasa, sikap ini terbahagi kepada dua jenis dan bentuk iaitu positif dan negatif.

Terdapat juga sikap 'ambil tahu hal orang lain' yang menjadi tuntutan dalam Islam terutama apabila ia berkait dengan perihal kebajikan umat Islam yang lain, ini ternyata jika kita meninjau beberapa nas hadis yang cukup popular, antaranya seperti :-

من أصبح وهمه الدنيا فليس من الله في شيء ومن لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

Ertinya : Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan untuknya, dan barangsiapa  yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (muslim)" ( Riwayat At-Tabrani, Majma' Az-Zawaid, 10/248 ; terdapat perawi bertaraf Matruk)

Selain itu, terlalu banyak nas dan dalil yang mengarahkan kita berpenanan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tugas khalifah sudah tentu menyebabkan kita perlu busy body atas urusan orang lain yang dilihat bercanggah dengan nilai-nilai ajaran Islam dan juga nilai murni sejagat.

Sabda Nabi s.a.w :

من رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بيده فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Ertinya : Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat satu kemungkaran, maka hendaklah ia ubahnya dengan tangannya, jika tidak berkemampuan, maka dengan lisannya, jika masih tidak berupaya, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman" ( Riwayat Muslim, no 49, 1/69)

Jangan sampai 'orang putih' lebih tahu mengubah dengan tangan berbanding umat Islam.

BUSY BODY ‘ORANG PUTIH'

Jika busy body dalam membawa kebaikan dan mencegah keburukan dituntut di dalam Islam, maka sikap busy body sebahagian besar orang putih yang menegur, bertindak dan membuat isyarat tidak puas hati apabila berlaku sesuatu yang dirasakan bercanggah dengan nilai murni dan undang-undang seperti

  • memukul anak berlebihan,
  • tidak menjaga anak sewajarnya,
  • memandu style Malaysia (masuk lorong orang, potong barisan, pusing ikut suka),
  • membuang toxic di dalam sungai,
  • parking tidak di tempatnya
  • melihat sesuatu yang meragukan di ruamh jiran atau kawasan awam

dan banyak lagi sepertinya akan dicampur tangani dengan dilaporkan kepada pihak yang berkuasa. Sikap ini boleh dikatakan busy body yang positif malah seiring dengan kehendak Islam. Biarpun adakalanya laporannya tersilap dan perkara negatif yang dijangka juga disilapfahami, namun ia akan mengajar secara tidak langsung sikap berhati-hati dalam masyarakat.

Sikap sebahagian ‘orang putih' di sini akan menelefon polis apabila mendengar kanak-kanak menangis agak luar biasa dalam tempoh agak lama di dalam sebuah rumah, saya kira sebagai satu sikap proaktif yang positif.

Tidak dinafikan, ia memang akan menganggu dan menyusahkan ibu bapa yang tidak pun mendera anaknya tetapi kebingungan mencari jalan menenangkan si anak. Namun demikian, tindakan proaktif seperti ini, jika sudah menjadi budaya biasa ia pasti akan mampu memberikan sedikit kegerunnan kepada ibu bapa ‘ganas' untuk berbuat sesuka hati terhadap anaknya atau kanak yang dijaganya.

Malah mana-mana ibubapa yang meninggalkan anaknya ( mungkin bawah 12 tahun) seorang diri di rumah adalah satu kesalahan dan jika ada jiran yang terlihat, pastinya ia akan melaporkannya kepada polis. Demikian juga membiarkan anak keseorangan berjalan di pecan atau bandar. Ada sahaja yang akan busy body dan mengambil tindakan membuat laporan. Bagaimana jiak di Malaysia?. Ada sesiapa yang ambil kisah ? Positif atau negatif?

'ORANG PUTIH' DAN KANAK-KANAK

Keadaan ini pula disokong oleh budaya setempat di sini yang saya lihat ketara berlembut dengan kanak-kanak dalam cara pendidikannya, mereka juga tidak meng'halang' dan  asyik melarang itu dan ini seperti kita.

Baru semalam saya bersama keluarga di taman permainan di Swansea. Kanak-kanak kecil umur sekitar 2-3 tahun memanjat tali-tali untuk naik ke gelongsor, ia kelihatan bahaya tetapi si ibunya hanya melihat dari jauh sahaja. Dan anak tersebut berjaya, malah berkali-kali membuatnya. Agak mengkagumkan. Namun saya kira inilah jenis 'pentarbiyahan' di sini, demikian juga di nursery dan sekolah. Kanak-kanak tidak ditegah selalu jika melakukan sesuatu yang tidak baik, namun diajak bersembang dan adakalanay dibiarkan dengan hujjah untuk memberikan kecerdikan dan kreativiti anak berkembang, dan tidak terbantut dengan pelabagai larangan cikgu dan ibu bapa.

Sudah tentu terdapat mereka yang kontra dengan sikap terlalu memberi kebebasan dan berlembut kepada anak ini. Paling mudah, mereka mendakwa sikap inilah yang menyebabkan lahirnya manusia seperti kisah 'Anakku Sazali' apabila mereka meningkat dewasa. Sukar dikawal dan masih ingin bebas sebebasnya dan sentiasa ingin membuat keputusan sendiri walaupun masih mentah. Hasilnya, institusi keluarga menjadi lemah.

Di samping pro dan kontra sikap busy body orang putih dan cara mereka melayani kanak-kanak. Cuba kita lihat sikap busy body orang kita dalam konteks isu-isu yang saya sentuh disini. Saya boleh katakan, sikap busy body dan proaktif untuk kebaikan semakin menurun di Malaysia, malah agak kerap didengari penceramah dan ilmuan yang menganggapnya sebagai penyakit hidup masing-masing, nafsu nafsi di bandar terutamanya.

Mungkin tidak di semua tempat, namun busy body orang kita kelihatan lebih menonjol dalam bab yang negatif. Saya tidak katakan tiada yang positif, namun 'yang lebih ketara' adalah yang tidak baik.

PENSYARAH AKTIF DAN TIDAK AKTIF

Seorang kenalan saya pensyarah yang agak popular, aktif dan kerap ke luar negara membentang kertas kerjanya pernah berkata kepada saya :

"Ana ni syeikh, orang di fakulti ana ni teruk sangat busy body dan dengkinya, sehinggakan ada pensyarah yang sukarela mencatat masa ana masuk pejabat, masa ana tiada, masa keluar dan kemudian dilaporkan ke jabatan, kononnya ana ni teruk le" Demikian intipati kekesalannya kepada saya.

Anda lihat, bagaimana boleh terdapat beberapa orang pensyarah tidak aktif (kecuali di univeristi mereka sahaja) yang begitu terdesak dalam sikap busy body dan cemburunya. Lalu cuba didengkinya dengan membuat sebuah laporan khas. Sudah tentu dengan mudah, kenalan pensyarah saya ini membawakan segala surat jemputan antarabangsa dan kertas kerja yang dibentangnya kepada jabatan sebagai bukti dia tidak curi tulang atau masa, malah sedang aktif berperanan sebagai pendidik dan ilmuan dalam masyarakat, kes ditutup akhirnya. Keaktifan pensyarah di peringkat antarabangsa amat-amat dialukan oleh sesebuah universiti malah bertambah lagi meritnya.

Jika inilah jenis busy body yang ada dalam masyarakat kita, kebarangkalian kita akan sentiasa berada di belakang dalam segala segi adalah cukup tinggi. Terutamanya apabila melihat sikap ketidakpedulian kita yang tinggi, membuka peluang peningkatan jenayah.Masing-masing dengan diri masing-masing, selagi keluarga aku tidak kena then its ok.

AKTIVIS POLITIK

Teringat saya seorang aktivis politik wanita bertemu isteri saya lalu menceriatkan bagaimana pengalamannya cuba menyedarkan seorang surirumah terhadap bahaya kes jenayah yang semakin meingkat di Malaysia. Apabila aktivis politik tersebut masuk sahaj kisah Nurin dan yang sepertinya, tanpa lengah lagi  sang surirumah membentak :

"Ala, anak saya tak kena apa-apa pun..ok je, kita masih selamat" Tegasnya 

Jauhilah sikap 'selagi belum kena muka sendiri, selagi tu tak ambil tahu'

Memang benar, umat Islam ditegah mengambil tahu atau busy body dalam perkara yang salah dan tidak menjurus kepada kebaikan, ini disebut melalui hadis :

قال رسول الله من حسن إسلام المرء تركه مالا يعنيه

Ertinya : Rasulullah s.a.w bersabda : "Dari kebaikan diri seorang Muslim adalah apabila ia meninggalkan bercakap dan campurtangan dalam perkara yang tidak berkaitan dengannya" ( Riwayat Ahmad, no 1737, 1/201 ; Majma Az-Zawaid, Al-Haithami : Perawi Ahmad taraf Thiqat)

Ada riwayat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w pernah menceritakan bahawa tercatat di dalam Suhuf Ibrahim lafaz nasihat yang hampir sama dan sangat bermanfaat di dambil pengajaran iaitu :-

من عد كلامه من عمله قل كلامه إلا فيما يعنيه

Ertinya : Barangsiapa yang mengira setiap percakapannya sebagai amalannya, maka akan sedikitlah percakapannya kecuali dalam urusan yang berkaitan dengannya sahaja" (At-Tamhid, Ibn Abd Barr, 9/199)

Menurut para ulama erti perkara yang tidak berkaitan adalah Semua urusan yang haram, syuhbat dan makruh yang tidak diperlukan percakapan, perbuatan, penglihatan dan fikiran tentangnya. Malah semuanya boleh memudaratkan agama dan iman sahaja.

Imam Al-Ghazzali menerangkan :-

وحد ما يعنيك أن تتكلم بكل ما لو سكت عنه لم تأثم ولم تتضرر في حال ولا مال ... وهذا على فرض السلامة من الوقوع في كلام المعصية وأن لا تسلم من الآفات التي ذكرناها

Ertinya : Had perkara yang berkaitan (bermakna selepas itu semuanya tidak berkenaan denganmu) adalah apabila kamu bercakap dengan perkara yang jikalau diam sekalipun kamu tidak berdosa, dan tidak pula memudaratkan satu urusan pun, juga tidak memudaratkan harta...dan semua ini jikalaupun selamat dari perbualan maksiat, namun ia mungkin jatuh dalam masalah-masalah lain yang telah kami nyatakan sebelum ini ( iaitu riya, mendatangkan cemburu orang dan lain-lain) (Tuhfatul Ahwazi, 6/500 )

Sebahagian ulama lain pula berpendapat erti terlibat dengan perkara ‘tidak berkaitan' adalah mempelajari ilmu-ilmu yang tidak punyai kepentingan serta meninggalkan yang lebih penting, seperti meninggalkan pembelajaran ilmu yang boleh memperbaiki dirinya kerana sibuk pelajari ilmu debat. ( Syarah Muwatta , Az-Zarqani, 4/317)

Akhirnya, tidaklah saya ingin memuji ‘orang putih' dengan begitu sahaja dalam artikel ini, Cuma mengambil antara sikap mereka yang baik untuk difikirkan bersama, manakala sikap mereka yang buruk sama-sama kita hindari. Dalam masa yang sama cuba sama-sama kita meninjua sikap busy body yang ada dalam diri dan masyarakat kita sama ada ianya lebih kepada positif atau dipenuhi dengan yang negatif..

Sama-sama bermuhasabah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

30 Julai 2008

Wales, UK



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 10 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Busy Body Orang Putih & Melayu