Saya Telah Bertolak Meninggalkan
Malaysia Sekitar 3-4 Tahun
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Setelah 3 bulan terlewat dihalang segala satu macam masalah dan cubaan, akhirnya dapat juga saya sekeluarga confirmed bertolak ke luar negara untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Segala puji bagi Allah yang mengizinkannya menjadi kenyataan.
InshaAllah jika tiada aral, saya sekeluarga hanya akan berada di Malaysia sekitar 9 hari sahaja lagi. Pada tanggal 4 Julai 2008 jam 11 malam kami sekeluarga akan bertolak selama 13 jam 30 minit untuk ke destinasi. Kami juga akan singgah 5 jam di Amsterdam sebelum terus ke destinasi.
SEMUA PEMBELIAN BUKU SECARA ONLINE DITUTUP
Atas sebab itu, semua pembelian buku online melalui zaharuddin.net dengan rasminya TERPAKSA DITUTUP. Namun bagi mereka yang masih berminat anda masih boleh membeli secara online melalui :-
1) Buku "Wang, Anda & Islam" di www.millionairesplanet.com
2) Formula Solat Sempurna ; hubungi Telaga biru sdn bhd di +603-6275 4070 / 6276 8057 dan faruq@telagabiru.net.my
Gambar : Saya bersiaran di RTM, yang terakhir sebelum bertolak adalah pada 27 Jun 2008 (Jumaat) InshaAllah
SAMBUNG DI MANA
Ini adalah soalan wajib yang diutarakan kepada saya setiap kali saya menyebut akan menyambung PhD.
"di Mesir ?"
"di Jordan?"
"di Syria?"
Inilah tekaan kerap yang diberikan oleh mereka yang bertanya. Sesuai dengan latar belakang saya seorang ahli agama dan ingin menyambung PhD di bidang Islam. Sudah tentulah negara Timur Tengah adalah lubuknya.
Saya sebenarnya agak malas menjawab, kerana jawapan saya agak ‘anti klimaks'. Kerana saya tidak ke negara Arab malah saya akan mencari ilmu Islam di Negara BARAT. Secara spesifiknya di United Kingdom. Saya akan cuba mencari dan melihat sendiri nilai-nilai Islam yang diamalkan di tengah-tengah masyarakat bukan Islam di negara Barat ini. Cukuplah saya hidup di Jordan dengan mereka beragama Islam namun sikap dan sifat sebahagian mereka tidak kelihatan seperti Islam. Anti klimaks bukan?.
Saya sendiri satu ketika dahulu, memandang agak serong dan kurang enak dengan "Mengaji Islam di negara barat"
Terbayang terus menadah kitab Islam di depan seorang kafir atau Orientalis, tidak mandi wajib tetapi membaca ayat-ayat Allah dan lain-lain lagi. Selain itu, terbayang juga, ilmu Islamnya yang tidak pure, berhabuk dusta, berjarum racun dan macam-macam lagi bayangan negatif yang menyelubungi pengajian Islam di negara Barat ini. Malah sebahagiannya memang tepat dan benar, lihat sahaja hasil-hasil keluaran darinya di negara kita Malaysia ini. Hal ini telah dihuraikan oleh Syeikh Dr Musfata As-Sibaie dalam buku beliau yang memuatkan pengalamannya mengembara dan bertemu pensyarah-pensyarah oreintalis di nebara-negara barat.
Saya juga tiada jawapan untuk mempertahankannya buat masa ini kerana saya sendiri belum sampai ke sana. Namun saya ada TARGET tersendiri, matlamat yang telah saya gariskan ini menyebabkan UK adalah pilihan saya berbanding negara-negara Timur Tengah. Maaf, belum masanya saya ingin berkongsi dengan pembaca perihal target tersendiri saya ini.
Cuma cukuplah logik ringan ini saya hidangkan. Ijazah pertama saya perolehi dari Universiti Malaya, MALAYSIA. Ijazah Kedua dari Universiti Yarmouk, JORDAN. Maka saya memilih United Kingdom kerana keperluan saya untuk mengetahui corak dan cara pembelajaran, manusia dan kehidupan dan sistemnya, gaya hidup, suasana, research metholodogy, bahasa dan banyak lagi.
Saya kira, sudah agak memadai pengalaman saya menjadi pelajar di Universiti di Malaysia, demikian juga di sebuah negara Arab seperti Jordan, Syria dan Mesir. Kini, sampai masa saya melengkapkan ilmu dan pengalaman di benua barat yang belum saya ketahui sebelum ini.
Saya perlu mendalami dan fahami kehidupan di benua-benua asas ini untuk berdakwah di peringkat nasional dan antarabangsa dengan lebih berkesan. Saya kira logik ringan tadi pun sudah cukup untuk menjustifikasikan mengapa saya memilik negara Barat. Saya harap, ilmu atas kertas (PhD) dan ilmu melalui penelitian dan pengalaman ini kelak akan dapat menghasilkan sesuatu yang amat bermanfaat untuk saya kongsikan bersama masyarakat.
Adapun dari sudut keilmuan atas kertas dan kitab, saya tidak begitu banyak mengharapkannya dari pengajian PhD ini, kerana tahap keperluan seperti itu adalah lebih sesuai ketika saya menuntut di Jordan dahulu, di pergunungan ulama, kitab dan kehalusan bahasa Arab sebagai asas mendalami ilmu Islam. Matlamat saya di peringkat PhD adalah berbeza dari target ketika saya menuntut di Jordan.
Jangan bimbang, saya tidak rela menuntut ilmu Fiqh Islam dari seorang orientalis. Profesor atau pensyarah yang akan bertanggungjawab menyelia thesis PhD saya adalah seorang ulama dari negara Iraq, beliau adalah seorang Islam, ahli sunnnah wal jamaah dan bukan Syiah.
Walalupun beliau tidaklah begitu popular, namun beliau sedang menyelia tesis PhD seorang pendakwah Islam yang cukup terkenal di dunia Arab, iaitu Syeikh Amru Khalid. Salah seorang tokoh agama Islam paling berpengaruh di dunia. So, kira ok la ye tak.
UNIVERSITI MANA NI?
Jawapnya University of Wales, Lampeter. Universiti ini bukanlah sangat terkenal dan popular di United Kingdom seperti Oxford, Cambrigde dan lain-lain. Justeru, mengapa perlu saya memilihnya?
Banyak sebabnya, antara yang paling utama adalah kesukaran mencari pensyarah (professor) yang mampu dan sanggup menyelia tajuk yang saya pilih, tajuk yang menggabungkan bidang Fiqh, kewangan dan perbankan moden. Bidang ini sebagaimana saya katakan amat sedikit ulama yang mahir, justeru untuk mencari pensyarah yang mahir dan bersedia juga begitu sukar.
Saya masih ingat, pensyarah-pensyarah Islam di University of Birmingham membalas email saya sambil meminta maaf kerana mereka tidak mahir sama sekali dalam tajuk yang saya cadangkan, lalu mereka mencadangkan Wales atau Durham.
Selain itu, saya pun bukankan bijak sangat untuk mengambil di universiti-universiti yang terlalu sukar serta popular. Cukuplah saya memilih universiti yang sesuai dengan kemampuan dan IQ saya. Yang lebih penting adalah usaha diri sendiri berbanding universiti yang hanya merupakan faktor sampingan kepada kejayaan seorang pelajar.
Itulah kesimpulan yang boleh saya luahkan setelah melihat dan merasai pengajian di dua benua (Asia dan Timur Tengah). Walaupun Univeristi pilihan saya ini tidak begitu mashyur, namun ia cukup membuatkan seorang ulama terkemuka dan menduduki senarai ‘Top Five' dalam senarai individu berautoriti dalam bidang kewangan Islam seluruh dunia memilihnya. Beliau juga sedang menyiapkan PhD di university ini, beliau adalah Syeikh Nizam Ya'qubi .
Hmmm.. jika demikian, bagi saya ‘Not bad at all' universiti ini.
Nah, kini tinggal 9 hari lagi sebelum saya berlepas ke sana, lewat tiga bulan dari tempoh sepatutnya saya sampai. Justeru, saya sudah kehilangan 3 bulan untuk PhD saya. Doa anda amat diperlukan, dan jutaan terima kasih bagi mereka yang mendoakan saya dan menyokong web ini.
WEB INI AKAN HIDUP KE?
InshaAllah, saya kira WALES tidaklah mundur sampai tidak mempunyai jaringan internet. Kesibukan saya melakukan PhD pula?. Ini tidak dapat saya ulas lagi kerana belum menghadapinya lagi, namun saya yakin akan mampu update web ini seperti biasa. Malah mungkin lebih aktif...mana tau.
Sekadar coretan awal.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
25 Jun 2008
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites