Kami Perjuang Usul, Anda Dakwah
Remeh & Ranting ?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Beberapa bulan lepas saya membaca satu berita yang menggembirakan jika dilihat dari sudut pandang Islam. Namun saya yakin ia berita yang negatif jika dilihat dari sudut nafsu wanita moden yang sentiasa ingin ‘bebas' dalam cara pemakaian mereka, kononnya di atas nama ‘hak kebebasan'.
Berikut adalah beritanya :-
KOTA BHARU 23 Jun - Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi
ialah antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam
kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, arahan itu bagi mengelak
berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta
peribadi muslimah di negeri ini.
Katanya, wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat
seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang
mengeluarkan bunyi.
....Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat
daripada getah,'' katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita
beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di
dalam kawasan MPKB-BRI.
Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan
terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu.
Selain itu, beliau berkata, antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai
tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan
panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta
memakai sarung kaki.
Shafie berkata, kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan
dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit
kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500. - BERNAMA.
Saya mengucapkan tahniah kerana pihak berwajib yang bersungguh melaksanakan etika sebegini. Namun sudah pasti di zaman kerosakan akhlak dan kebanjiran masalah sosial ini, pelaksanaan etika ini akan dilihat PELIK, JANGGAL, ZALIM dan pelbagai lagi.
Bagi mereka yang ingin membaca hujjah lanjut saya dalam hal ini, anda boleh membaca di artikel berikut :-
1) Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi?
2) Dilema Aurat Wanita Bekerja & Suami Nusyuz
Bagi mereka yang memahami Islam dari sumber yang sohih, ia tidak pelik sama sekali malah tepat sekali terutamanya di waktu wanita keluar bekerja.
Sabda Nabi s.a.w :-
إن الإسلام بدأ غريبا وسيعود غريبا كما بدأ
Ertinya : Sesungguhnya Islam dahulu datanag dalam keadaan asing, dan ia akan kembali semula dalam keadaan yang dilihat asing" (Riwayat Muslim)
Al-Qadhi ‘Iyadh mengulas bahawa di waktu Islam muncul dahulu, ia hanya diamalkan oleh sebilangan kecil pengikut, justeru ajaran-ajarannya dilihat begitu pelik dan asing dari kebiasaan masyarakat Jahiliyyah, kemudian Islam tersebar luas di seluruh dunia. Sesudah itu, semakin ramai yang akan culas dari ajaran Islam sehingga Islam tidak diamalkan kecuali oleh sedikit manusia sahaja. Tatkala itulah kumpulan yang ingin dan telah mengamalkan Islam AKAN DILIHAT BEGITU PELIK oleh si Jahil, munafiq dan kafir yang merupakan majoriti.
Inilah yang saya kira akan berlaku kepada usaha kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan etika aurat ini. Pasti ramai yang akan mengecilkannya dari kelompok yang telah saya sebutkan di atas.
ISU REMEH SAHAJA
Tidak kurang juga ada yang mengutuk usaha Kelantan ini sebagai usaha yang sangat kecil dan meninggalkan priority. Tidak berbaloi, ranting dan lain-lain. Jika berjaya, ia kejayaan remeh, demikianlah kesimpulan yang lahir dari minda si pengkritik.
Saya teringat, ketika saya muncul secara ‘live' di RTM 1 sekitar sebulan lepas membicarakan persoalan harta dan pendapatan syubhat dalam urusan kewangan harian, ada seorang pemanggil yang saya tidak pasti ingin bertanyakan soalan atau memberikan pandangan. Individu itu berkata :
"Bukankah isu yang sedang kita bincangkan ini hanya isu ranting, malah banyak lagi isu besar yang patut dibincang..bla bla bla.."
Itulah point utama komennya, ia seolah-olah tidak puas hati kerana kononnya kami membuang masa membincangkan perkara ranting, meninggalkan perbincangan hal besar dan usul, mungkin seperti isu hudud, ISA, sekular, politik dan lainnya.
Panjang
jika saya ingin mengulas lengkap, namun cukuplah saya katakan, adakah anda
faham bagaimana penentuan sesuatu hukum itu sebagai ranting atau usul ? Zhonni atau Qati'e ?
Isu harta haram sebenarnya bukan isu ranting bahkan ia adalah tergolong dalam isu usul dan kekal pengharamannya sehingga hari kiamat. Malah ia memberI kesan kepada seluruh ibadah, sistem iman dan nilai seseorang sebagaimana hadis nabis.a.w yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini. Demikian juga isu aurat dan zina.
Malah jika sesebuah jemaah Islam atau parti politik islam itu yang berjuang habis-habisan untuk perkara besar (menurut mereka) iaitu kerajaan Islam hingga berjaya memenagni kerusi dan tampuk pemerintahan, namun jika sistem kewangannya, pelaburan kerajaannya, simpanannya masih terlibat dengan riba. Saya kira perjuangan mereka masih dikira gagal kerana sesiapa yang terlibat dengan riba adalah dikira berperang dengan Allah dan RasulNya.
Benar, saya selalu mendengar kutukan dari satu pihak terhadap usaha kebaikan Islam yang cuba dilakukan oleh pihak lain hanya kerana kononnya ia isu kecil dan ranting. Lalu diikuti kutukan itu dengan merendah-rendahkan tugasan dan usaha yang dilakukan. Ia tidak sama sekali dari cara Islam.
TIADA DAKWAH MELAINKAN DENGAN BERPOLITIK KEPARTIAN?
Sekali lagi saya nasihatkan, mereka yang berjuang Islam melalui sesuatu paltform, akan memperkecilkan usaha dakwah pendakwah LAIN YANG TIDAK melalui wadah yang sama dengan mereka. Sebagai contoh, kerap kita lihat kejumudan minda beberapa individu yang berjuang Islam melalui politik kepartian, lalu diremeh dan dikutuk semua yang tidak berjuang Islam melalui politik secara terangan seperti mereka. Dicemuh kononnya ‘tercicir' dari jalan dakwah. Apa mereka ingat dakwah itu khas buat mereka, tertipu sungguh mereka dengan permainan perasaan oleh Syaitan.
Justeru, jika anda ingin berjuang menegakkan politik Islam melalui wadah politik kepartian, silakan.
Namun
jangan sesekali memandang rendah individu yang berjuang untuk Islam
melalui wadah penulisan blog, buku, novel, cerpen, perubahan sikap, kartun,
nasyid dan lain-lain. Masing-masing mempunyai peranan dan hanya Allah
yang mengetahui siapakah di antara mereka yang lebih ikhlas dan
diterima amalnya.
Selain itu, ingin saya tegaskan sikap sombong dan besar diri beberapa individu yang ‘kononnya' merekalah juara dalam isu besar dan usul sehingga memperkecilkan kerja dan usaha baik orang lain. Sikap ini perlu dijauhinya sama sekali. Kononnya mereka adalah 'hero' sebenar kerana berdepan dengan kezaliman, penjara, mudarat dibuang kerja dan lainnya, sedangkan pejuang lain dikatakan hanya bermain-main di tepi-tepi tanpa keberanian.
Sedarilah, merasa hero dan berani dalam berjuang adalah pemusnah kepada segala amalan, ia tergolong dalam perasaan ujub dan riya yang menghilangkan berkat dan pahala.
Tidak sedarkah mereka ia satu penyakit ‘ujub dan merasa diri hebat dengan jalan perjuangan itu. Memperjuangkan Islam punyai cara yang amat luas dan pelbagai, tidak perlu semua mengikuti rentak dan cara yang sama, kaedah perlu di pelbagai sesuai dengan kumpulan sasaran.
Bahkan berjuang Islam melalui politik kepartian itu sendiri amat luas skopnya, dan bukan hanya dengan berterus terang sebagai ahli atau pimpinan parti tertentu. Berceramah di musim pilihanraya atas pentas, berdemontrasi aman, menyerah memorandum, mengulas isu politik kepartian dengan terus terang dan lain-lain atas nama parti. Inilah sahaja yang dikategorikan 'berani' dan 'berjuang Islam' oleh segelintir mereka.
Kita dapat lihat di zaman ini, begitu ramai ulama berperanan walaupun tanpa komit dengan parti politik kepartian tertentu. Seperti Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli, Dr Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi. Buku tulisan mereka, kertas kerja pembetangan mereka tersebar seluruh dunia dan dimanfaatkan oleh kawan dan lawan, berparti dan tidak berparti.
Tidak dinafikan ramai juga yang mengambil jalan politik kepartian seperti Syeikh Dr. Abdullah Azzam, Dr Muhd Abu Faris, Syeikh Dr Hammam Sa'id dan lain-lain. Justeru kedua-duanya cara dan kaedah punyai faedah dan kelebihan masing-masing, menafikan usahakan kedua-dua cara adalah KEJAHILAN yang menyedihkan.
SEMUA MULA MENDABIK DADA
Saya bimbang sampai satu ketika, masing-masing ingin mendabik dada, isu yang dipilihnya adalah yang paling awla (tinggi priority),
Pejuang isu aqidah mendabik dada mendakwa perjuangannya paling kukuh dan awla, tanpa aqidah semua rosak, sehinggalah dia tenggelam dalam kafir mengkafir,
Pejuang fiqh kewangan juga mungkin dilambung ujub kononnya isu riba dan harta halal amat penting,
Pejuang politik islam dan hudud sudah tentu merasa semua yang baik boleh dibina melalui kuasa politik, justeru perjuangannay maha penting,
Pejuang perubahan sikap turut mungkin mendabik dada, tanpa perubahan sikap semua tewas,
Pejuang isu makanan halal pula mungkin bersuara, tanpa makanan halal kita akan hancur dengan doa tidak maqbul,
Pejuang isu wahabi, salafi dan khalafi pula tenggelam dalam isu bid'ah, aat sifat, tajsim,sifat dua puluh , tauhid yang tiga yang didakwanya maha penting,
Pejuang mengkafirkan ulama dan usaha ulama silam turut mungkin mendakwa sumbangan terbesar kernaa bimbang buku ulama terbabit akan menyelwengkan umat,
dan macam-macam lagi.
Saya tidak meremahkan mana-mana pun namun Apa yang penting untuk difahami, biarlah setiap orang berjuang dengan cara mereka. Anda tidak tahu manakah yang lebih utama, berjasa dan lebih ikhlas di sisi Allah swt. Ada yang berjuang Islam melalui politik, teruskan. Ada yang mampu mengambil
* jalan akademik,
* ada yang ikuti jalan NGO,
* korporat,
* motivasi pelajar,
* pembinaan program di sekolah,
* mengasaskan tadika islam,
* menyediakan perniagaan dan makanan halal dan lain-lain.
Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Mana yang terbaik di sisi Allah?, ia bergantung kepada dalaman, usaha bersungguh dan keikhlasan si pendakwah.
Allah swt berfirman :-
قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَى سَبِيلاً
Ertinya : Katakanlah: ""Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut keadaannya masing-masing"". Maka tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya" ( Al-Isra : 84 )
Ibn Abbas menyatakan erti "syakilatihi" dalam ayat ertinya " sudut masing-masing", manakala sebahagian lain mengatakan berdasarkan niat masing-masing( At-Tabari, 15/154 ; Al-Qurtubi, 10/322)
Buat pihak yang suka dan berhasrat untuk mengutuk kerja dan usaha baik orang lain, sedarilah anda sebenarnya sedang MELAKUKAN DOSA dan menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-
لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )
Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang, kita ditegah untuk memperlecehkannya. Yang penting juga adalah setiap kita bukan Malaikat yang mengetahui setiap gerak geri, niat dan usaha yang dilakukan oleh orang lain untuk Islam. Oleh demikian, tidak adil sama sekali dengan ringan mulut kita menudingjari mendakwa si fulan telah tidak berjuang untuk Islam kerana sibuk dengan bisnesnya, motivasinya, syarikatnya, sekolahnya, kerjayanya dan lain-lain.
KIta sebenarnya tidak tahu secara tepat akan usaha dakwah yang dilakukan oleh orang lain, disebabkan sebahagian usaha untuk Islam mungkin dilaksanakan secara kelompok kecil, dan sebahagian yang lain pula tiada publisitinya.
Akhirnya tahanlah diri dari mudah bersangka buruk dan perhatikan tugas dan keikhlasan niat KITA SENDIRI dalam berjuang untuk kebaikan Islam, dan kurangkan 'menyibuk' dengan kutukan kepada individu lain.
APA SUMBANGAN KITA? SEJAUH MANA KEIKHLASAN KITA , SEBELUM MEMPERTIKAIKAN SUMBANGAN ORANG LAIN.
Sekian
ZaharuddinAbd Rahman
24 Jun 2008
siaran semula dengan kemaskini 30 dis 08
59562008
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites