Web Ini Tutup 'Periuk Nasi'
Orang & Asyik Haram Aja !
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
"Bila saya masuk web ni, saya dapati semuanya haram, itu haram ini haram naik pening kepala" rungut seorang pelawat web melalui ruangan komentar.
"Ustaz ni, elok berhati-hati dalam menentukan hukum..jangan sampai nanti menutup rezeki orang, menzalimi orang, dosa tau" kata seorang forex trader tegar
"Selagi belum ada hukum haram yang jelas dari badan berwajib, selagi tu harus bagi aku" Tegas leader sebuah syarikat MLM.
"ustaz, saya nasihat agar jangan la dengki dengan kami.. kan elok jika senyap je, ini tidak, asyik menyusah dan memeningkan kami dengan penilaian ustaz tu" seorang menghantar sms
Inilah antara luahan dan ketidakpuasaan hati beberapa individu dengan kandungan web saya.
Asal Hukum Mu'amalat Adalah Harus
Memang benar, asal hukum bagi hal ehwal mu'amalah perniagaan dan jual beli adalah harus sehingga dibuktikan ianya haram. Kerana itu, kajian saya sememangnya HANYA mencari sama ada terdapat unsur haram atau tidak. Unsur harus tidak perlu dicari lagi kerana hukum asalnya memang harus selagi belum dibuktikan haram.
Justeru, tidak wajar saya bertanya kepada anda,
"Apakah dalil urusniaga anda ni halal?"
Kerana itu, saya tidak patut marah jika ada yang sambil mendengus meluru kepada saya lalu bertanya,
"Mengapa ustaz kata ini haram?"
Lalu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kenapa apakah unsur haram, boleh membawa kepada haram atau syubhat yang terdapat di dalam sesuatu bisnes itu. Iaitu menurut kajian dan ilmu yang saya punyai. Saya akan menjawab persoalannya dengan jawapan dan dalil, namun secara ringkas disebabkan kekangan masa adakalanya menghalang untuk saya menulis dan membentangkan kesemua hujjah dan dalilnya.
Cuma saya mungkin akan tidak melayan sebarang persoalan apabila penyoal tidak beradab ketika ingin mendapatkan penjelasan ilmu atau soalannya berulang dan telah dijelaskan sebelum ini.
Kemudian jika ada kesempatan masa, saya mungkin akan membaca respond dari pihak sebelah sana yang berusaha mematikan setiap hujjah dan dalil yang saya gunakan. Malangnya kebanyakan hujjah yang diberikan dengan bukanlah dengan bimbingan ilmu dan aqal yang sihat tetapi dengan emosi atau kefahaman ilmu Fiqh Muamalat yang sangat pincang.
Jika hujjahnya telah mematikan setiap hujjah pokok dan dalil yang saya gunakan dengan baik, nescaya hukum urusniaga tadi akan kembali menjadi harus seperti asalnya. Saya juga pasti gembira jika ia harus dan halal. Malah mungkin akan menyertainya juga. Jika sebaliknya, saya mungkin akan memadam sahaja komenytar dan ulasan emosi dan tiada nilai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan pembaca lain.
Ibarat sebuah kereta baru sebelum dikeluarkan dari kilang, ia perlu dihujani pelbagai ujian demi memastikan ia selamat untuk dipandu di jalanraya. Maka individu berpengajian Shariah seperti saya dalam hal ini, ibarat tukang uji produk dan urusniaga kewangan dari sudut Shariah, jika ia berjaya dan lulus, mari kita kempen kerana ia selamat digunakan.
Jika sekiranya tiada saya dapati hujjah balas yang logik dan kukuh, jika tidak haram sekalipun, paling kurang bisnes, program, MLM, produk dan skim tersebut akan duduk ditangga syubhah. Tatkala itu, terpulang kepada pembaca untuk menggunakan aqal, kemampuan memahami hujjah saya dan bertanya kepada iman di dalam hati sendiri :
"siapa yang patut aku turuti?"
Namun, tidak mudah untuk menyongsang arus duit yang masuk ke poket orang, saya masih ingat betapa ramainya orang tidak puas hati masuk ke web saya dengan bahasa biadap dan kotor. Kebanyakannya telah dipadam tanpa siar dan baca.
Respond Biasa
Pada kebiasaannya hujjah dan dalil saya tidak berbalas dengan sesuatu yang ilmiah tapi kerap kali berbalas dengan hal-hal dan ayat yang tidak berkaitan serta langsung tidak boleh dijadikan hujjah seperti :
"Saya minta ustaz kaji dengan lebih halus"
"Ustaz tidak faham"
"Jangan tutup periuk nasi orang lain"
"Jangan susahkan kami"
"Habis, ramai orang masuk ini, termasuk ustaz-ustaz di Jabatan fiqh sebuah universiti, takkan semua mereka tak tahu dan hanya ustaz seorang yang tahu?"
"habis bank buat macam mana?"
"Ia sama dengan senarai yang dilulus oleh Suruhanjaya Sekuriti, apa ulasan ustaz" (sepatutnya mereka dahulu yang patut menerangkan dimana bentuk persamaan dengan isu yang didakwanya sama, bukan mengarahkan saya dan menunggu dari saya)
" Ada mufti kata harus, siapa lebih autoriti dari dengan ustaz"
Inilah ayat-ayat lazim respond terhadap hujjah permulaan saya, belum lagi di bawa hujjah yang mungkin lebih berat dan teknikal. Biasanya tulisan yang saya sertakan adalah merupakan sebuah ulasan yang telah saya permudahkan sedaya mampu agar ‘lay audien' mampu memahaminya, jika tidak mampu memahaminya secara ‘line by line', paling kurang pembaca dapat menangkap maksud utama secara umum. Malangnya, agak ramai juga yang sebelum membaca sehingga habis setiap dalil dan ulasan, mereka terus bertempik marah dan merungut.
Ada rakan saya berkata :
"Kita nak tolong dia agar selamat dari riba, dosa dan azab alam barzakh sedaya mampu berlandaskan panduan para ulama, kita pula dimarahinya."
Namun itulah sunnah dalam mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan. Perjuangan sukar dianggap sebagai perjuangan tanpanya.
Keluar Mulut Harimau, Masuk Mulut Buaya
Tidak dinafikan ada juga yang berhujjah, tetapi ibarat kata pepatah : "keluar mulut harimau, masuk mulut buaya", sebagai contoh dalam isu skim cepat kaya internet.
Setelah saya berhujjah dan kemudian difatwakan haram secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pesertanya yang dahulu terjebak, kini mula sedar, namun akibat berterusan dalam tahap ilmu yang cetek, akhirnya mereka terus terpesona pula dengan beberapa skim yang lain. Sedangkan ia juga merupkana skim cepat kaya dan piramid yang haram, cuma sekadar berubah nama dan sedikit bentuknya. Malangnya perubahan sebegitu pun tidak dapat mereka kenali dan kahirnya terus terperangkap pula di dalam mulut buaya, setelah terselemat dari mulut harimau.
Keadaan ini akan berterusan sehingga indidividu terbabtit melengkapkan dirinya dengan ilmu dan kesedaran yang cukup. Akhirnya ramailah yang mendesak untuk saya mengulas lagi, dan apabila saya menulis, sekali lagi individu yang sama meneruskan cerceaan dan makiannya. Sehinggalah ia bertemu pula dengan skim lain yang boleh menggantikannya. Begitulah berterusan..
Tidak mengapalah saya telah agak lali dengan keadaan seperti ini, dan setiap kali saya menulis sesuatu hukum berkaitan urusniaga baru, saya amat faham ia hanyalah pendapat peribadi saya, bukan fatwa dan ia tidak mengikat sesiapa. Masing-masing boleh mengkaji dan membaca sendiri ulasan saya dan kemudian membuat penilaian sendiri. Kemudian ia urusan anda dengan Allah s.w.t.
Saya hanya cuba menggunakan sedikit ilmu kurnian ilmu yang dianugerah Allah disulami dengan niat baik untuk menyelamatkan umat dari dosa riba. Itu tugas saya sebagai orang yang belajar, khalifah Allah di muka bumi dan juga sebagai ahli akademik, saya tidak mahu menjadi ahli akademik yang hebat dengan kajian dan tulisan bertahap tinggi yang tidak mampu difahami oleh 90 % manusia sedangkan ramai manusia di luar sana terbiar dalam kegelapan, saya berusaha untuk menjadi ahli akademik yang mampu menyumbang kepada manusia ramai yang 90%, biar pun tulisan dan hasil kajian ini tidak sama sekali ditulis pada tahap tinggi ahli akademik, lagi tidak dipandang tinggi oleh 10 % ahli akademik yang asyik berfikiran tinggi. Dengan tulisan dan kajian saya itu, mungkin saya silap dan mungkin saya benar.
Cara Umar Al-Khattab
Adakah saya zalim jika menutup periuk nasi anda kerana pandangan peribadi saya ? Saya tidak rasakan demikian kerana Khalifah Umar Al-Khattab r.a juga melakukannya apabila ia berkata:-
لقد خفتُ أن نكون قد زدنا في الربا عشرة أضعافه بمخافته
Ertinya : "Aku bimbang pula sekiranya kami tertambah riba ini kepada beberapa kali ganda (banyaknya dan jenisnya) lantaran kerana takutkan jatuh di dalamnya" (Al-Muhalla, Ibn Hazm, 8/477)
Demikian juga katanya lagi :-
تركنا تسعة أعشار الحلال مخافة الربا
Ertinya : "Telah kami tinggalkan 9/10 dari perkara halal kerana takutkan riba" ( Musannaf Ibn Abi Syaibah, 6/464 ; Al-Baihaqi, 6/225; Al-Muhalla, Ibn Hazm, 8/477 )
Adakah ingin kita katakan khalifah agung seperti Umar al-Khttab r.a menutup periuk nasi sahabat lain dengan fatwanya?. Sudah tentu niatnya adalah untuk menyelamatkan umat Islam dari riba yang tersembunyi, syubhah Riba dan unsur haram.
Isu Rumit & Terlindung
Tidak dinafikan isu riba memang terlindung ilmunya dari ramai. Tidak sesekali ingin saya mendabik dada mengatakan saya pakar dan faham, jauh sama sekali. Kebiasaannya apa yang saya tampilkan adalah keputusan ijtihad berkumpulan yang di lakukan oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Penasihat Shariah Badan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa.
Jarang-jarang pendapat yang saya utarakan dari diri sendiri semata-mata. Ini adalah kerana bab sebegini memang sukar dan memerlukan kepada idea-idea dan ilmu dari pelbagai ulama. Justeru dalam hal ini, saya kerap merujuk kepada majlis ulama yang dianggotai oleh para ulama sedunia yang disebut tadi, ia merupakan rujukan yang terbaik.
Malah bukan semua ulama besar dunia mampu memberikan fatwa yang konkrit dalam bidang ini, hanya mereka yang berkecimpung khusus dan setiap hari bergelumang dengan kajian ini mampu tampil dengan keputusan kukuh serta meyakinkan.
Sukarnya Isu Riba & Tempelak Mufti ?
Justeru tidak perlulah, menafikan keilmuan seseorang ustaz yang tersilap dalam menyertai skim itu dan ini. Keadaan ini hanya akan menyebabkan ia cuba menegakkan benang basah kerana menjaga air mukanya. Semuanya disebabkan oleh desakan dan takut dianggap tidak alim oleh orang awam.
Tidak perlu juga menempelak para mufti, JAKIM dan lain-lain kerana senyap sunyi dari pelbagai isu kewangan di sekeliling. Kesimpulannya, ia memang sukar dikaji. Tambahan pula jika yang ditanyakan adalah sebuah skim ganjil, syarikat atas angin, tiada lesen dan sebagainya. Sudah tentu semakin kurang semangat pihak berkuasa seperti JAKIM untuk mengkajinya. Sebagaimana juga JAKIM enggan menyemak dan mengesahkan produk makanan yang dihasilkan oleh kilang tanpa lesen dan mencapai standard tertentu.
Ingin saya tegaskan adalah kerumitan hal ehwal riba ini memang bukan calang-calang bidang, malah ia juga sukar buat semua ilmuan Islam termasuk para sahabat Nabi s.a.w, tabien dan ulama besar sejak zaman silam lagi.
Khalifah Umar Al-Khattab r.a berkata :
ثلاث وددتُ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عهد إلينا فيهنّ عهداً ننتهي إليه : الجد ,والكلالة , وأبواب من أبواب الربا
Ertinya : "Tiga perkara yang amat aku harapkan agar Rasulullah s.a.w sempat bersama kami sehingga kami jelas berkenaannya : Hal kedudukan datuk (dalam waris), Kalalah (waris yang tiada anak dan ibubapa), dan bab-bab berkaitan riba" (Riwayat Al-Bukhari ) [1]
Beliau juga disebutkan berkata :-
إنا والله ما ندري لعلنا نأمركم بأمور لا تصلح لكم , ولعلنا ننهاكم عن أمور تصلح لكم وإنه كان من آخر القرآن نزولا آيات الربا , فتوفي رسول الله قبل أن يبينه لنا . فدعوا ما يريبكم إلى ما لا يريبكم
Ertinya : Sesungguhnya demi Allah, tidaklah kami ketahui mungkin kami menyuruh kamu sesuatu, rupa-rupanya ia tidak baik buatmu (kerana riba), dan mungkin juga kami melarangmu dari sesuatu perkara yang rupanya baik (halal tetapi disangka riba) buatmu, ini kerana ayat berkaitan riba adalah antara ayat terakhir yang diturunkan, dan baginda Nabi s.a.w wafat sebelum sempat menjelaskannya (secara terperinci) kepada kami, Justeru tinggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan" ( Riwayat Ad-Darimi ) [2]
Selain itu Imam Ibn Kathir pula berkata :-
باب الربا من أشكل الأبواب على كثير من أهل العلم
Ertinya : "Bab Riba adalah dari bab yang paling sukar bagi kebanyakkan ahli ilmu (ulama)" ( Tafsir Al-Quran al-Azim, 1/327 )
Tegas Imam Abu Hamid Al-Ghazzali (wafat 505 H) pula :
مسألة الربا ..أغمض المسائل
Ertinya : "Bab riba adalah masalah-masalah yang paling sukar dan mengelirukan" ( Syifa al-Ghalil fi Bayan As-Shabah, hlm 359)
Pakar ilmu Usul Fiqh dan Maqasid Shariah, Imam As-Syatibi (wafat 790 H) mengatakan :-
إن الربا محل نظر يخفي وجهه على المجتهدين , وهو من أخفى الأمور التي لا يتضح معناها إلى اليوم
Ertinya : "Sesungguhnya riba adalah tempat penelitian yang kerap tersembunyi dari mujtahidin, dan ia adalah dari perkara yang paling tersembunyi serta kurang jelas maknanya sehingga ke hari ini" ( Al-Muwafaqat fi Usul Al-Ahkam, tahqiq Muhydin Abd Hamid, 4/42)
Justeru dengan ini tidak timbul lagi isu,
"kenapa ramai ustaz tidak faham?"
"kenapa ustaz seorang sahaja yang kelihataan bersungguh dalam isu ini, ustaz lain tidak ada pun"
Itulah salah satu dari jawapannya.
Kesimpulan
Hukum asal seluruh urusniaga perniagaan dalam apa jua bentuk adalah harus kecuali ada dalil yang membuktikannya haram.
Apabila telah wujud dalil menunjukkan ia haram serta tiada hujjah balasan konkrit untuk menafikannya, sesuatu urusniaga itu paling pun akan bertukar menjadi syubhat, jika tidak menjadi haram.
Islam mengajar kita agar menjauhi syubhat sebagaimana yang disebut Umar Al-Khattab tadi walaupun terpaksa mengorban 9/10 cara niaga yang mungkin halal.
Janganlah terlalu liberal sehingga terlalu mudah menghalalkan sesuatu urusniaga tanpa diteliti, kelak ia akan menyusahkan di barzakh.
Jangan pula mengharamkannya tanpa dalil dan logik pendalilan (wajh istidlal) yang sesuai. Kelak akan menyusahkan diri dan memundurkan agama.
Oleh kerana keharusan urusniaga tidak memerlukan dalil, maka saya dan web saya ini banyak memfokuskan kepada perkara yang haram disekeliling. Tidak perlu dipeningkan kerana yang haram itu sedikit, yang harus itu banyak.
Memang saya fokus kepada pendedahan skim & urusniaga haram berbanding menyebar luaskan yang harus, kerana yang harus tidak memerlukan banyak promosi berbanding yang haram kerana terjebak dalam yang haram merosakkan iman, barzakh dan akhirat.
Jika masih pening, silalah ke web yang tidak memeningkan. Adapun bagi saya, pening di dunia kerana kurang duit halal lebih elok dari pening di barzakh kerana banyak azab akibat banyak duit haram.
Akhirnya Nabi s.a.w bersabda :-
دع ما يريبك إلى ما لا يريبك
Ertinya : "Tinggalkanlah apa yang kamu ragui kepad aapa yang tidak diragui" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1946, 2/733 )
Bukankah Nabi telah memberi jaminan kebaikan buat mereka yang menjauhi syubhat dengan katanya juga:-
فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام
Ertinya : Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram" ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)
Fikirkanlah.......
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
16 Jan 2008
[1] Sohih Al-Bukhari, no 5266, 5/2122
[2] Sunan Ad-Darimi, no 129, 1/64
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites