Peribadi, Tazkirah & Fikir Peristiwa & Isu Kewangan Islam Ketika di Sabah

Peristiwa & Isu Kewangan Islam Ketika di Sabah

  • PDF
(26 votes, average 4.54 out of 5)

Saya & Misi Perangi Harta Haram di Sabah

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Alhamdulillah, misi penerangan kewangan Islam saya di Sabah ‘Negeri di bawah bayu' berjalan dengan lancar.

Jutaan terima kasih kepada Al-Fadhil Ust Norazamudden ( Ustaz di Maktab Sabah & Penceramah aktif di Sabah), Cikgu Jamel (JAKIM), Ust Zul ( pemilik kereta ALTIS yang sabar membawa saya ke sana ke mari ), Ust Nahar (Imam Besar Masjid Negeri), Ust Bongsu ( Pensyarah UITM) dan ramai lagi yang pastinya bertungkus lumus merancang bagi memastikan semua program berjalan lancar. Maaf, tak mampu saya senaraikan satu demi satu nama-nama mereka kerana saya memang agak lemah dalam mengingati nama, terutamanya apabila terlalu banyak nama yang muncul sepanjang kerjaya dakwah saya di merentas Negara dan negeri. 

Saya sampai di Kota Kinabalu, Sabah buat kali yang kedua sepanjang hidup saya pada malam Jumaat 26 Julai 2007. Program bermula pada pagi Jumaat,  27 Julai 2007 jam 9.30 pagi bertempat di UITM Kota Kinabalu Sabah. Di dalam program yang dipengerusikan oleh Ust Bongsu ini, saya berpeluang membentangkan perihal bahaya riba  kepada para pelajar, kakitangan dan tenaga pengajar  UITM. Pembentangan dan soal jawab memakan masa sekitar 3 jam.

 Salah satu permandangan di Kota Kinabalu Sabah
Program disusuli dengan khutbah Jumaat di Masjid Negeri Sabah. Melalui khutbah spontan tanpa teks ini, saya mengambil peluang untuk mewarwarkan berkenaan pewajiban perbankan dan kewangan Islam, kewajiban menyemak pendapatan dan perbelanjaan harta, saya juga sempat mendedahkan kesan kegagalan berbuat demikian kepada masa depan dunia dan akhirat seseorang dan zuriatnya.

Alhamdulillah secara umum dari atas mimbar yang tinggi itu, saya tidak ternampak sesiapa yang tertidur, mana tidaknya setiap kali ada yang kelihatan hampir terlentok, saya pasti akan menaikkan intonasi suara dan lalu memfokuskan kepada satu point penting, biasanya ia kelihatan seolah menyegarkan kembali  individu tersebut.  Moga ianya dapat menembusi jiwa dan hati rakyat Sabah yang hadir dan mendengarnya.

Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak masjid, khutbah Jumaat di masjid Negeri ini dapat diikuti secara langsung melalui radio di seluruh negeri sabah. Bagaimanapun, tidaklah diketahui berapa kerat wanita Sabah yang mempunyai keinginan untuk mendengar khutbah Jumaat ini. 

Program diteruskan dengan ceramah khas selepas maghrib di masjid negeri Sabah. Saya difahamkan agak ramai ustaz-ustaz dari semenanjung (yang bertugas di Sabah) turut hadir bagi mendengar sendiri beberapa isu berkaitan riba, pelaburan cepat kaya melalui internet dan terutamanya skim-skim yang baru mendapat tempat di sana iaitu Hibah Fund. Bagaimanapun, kerana luasnya skop isu ulasan terperinci yang saya lakukan, saya tidak sempat menyentuh isu MLM dan perniagaan menurut Islam.  Majlis ceramah dan soal jawab ini memakan masa sekitar 2 jam setengah.

Keesokan paginya ( 28 Julai 2007), program Seminar Kewangan Islam anjuran Jakim dilangsungkan di Putrajaya Sabah (iaitu gelaran bagi pusat pentadbiran kerajaan yang baru di Sabah, bentuknya juga hampir sama dengan PUTRAJAYA  di semenanjung). Program seminar ini dilaksanakan di auditorium yang indah lagi besar serta dihadiri oleh lebih kurang 300-400 orang peserta termasuk pelajar sekolah, kakitangan kerajaan, guru sekolah dan pelbagai lagi).

Sesi pertama adalah pembentangan saya berkenaan asas jual beli dalam Islam dan model produk di bank-bank Islam beserta penerangan ringkas berkaitan mekanisme yang digunakan.  Selepas  pembentangan selama 1 jam setengah, program diikuti dengan forum bersama seorang pensyarah ekonomi dan perbankan Islam dari sebuah IPT di Sabah. Hasil dari komen-komen rakan yang hadir, forum dilihat sebagai sedikit panas kerana ada beberapa perbezaan ulasan saya dan panel dari IPT ini. 

Antaranya, kekeliruannya dikesan ketika beliau menjawab dan mengulas isu berikut:-

1) Islam atau tidak bagi sebuah bank Islam menggunakan LIBOR sebagai 'benchmark' penetapan harga.

2) Mengapa Bank Islam adakalanya lebih mahal dari Bank Konvensional?

3) RIBA yang berganda-ganda sahajakah yang diharamkan.?

4) Semua mesti terkena Riba, paling kurang debunya.

Ini menyebabkan saya terpaksa menambah jawapan bagi menjelaskan isu yang di sebut di atas dari sudut pandangan Shariah dan aplikasi sebenar di Bank-bank islam.

Panel kedua tersebut juga kelihatan terkeliru dengan isu pengharaman riba di bank konvensional yang beliau katakan belum ada persepakatan ulama, sedangkan persepakatan tentang bentuk riba terkini di bank-bank konvesional telah disepakati oleh Majlis Fiqh Antarabangsa di bawah OIC dan Rabitah islami. Bagaimanapun, saya bersyukur juga kerana walau apa jua yang disebutnya, ia tidak lupa menamatkannya dengan kata-katanya

"Sebagai orang Islam, kita mesti sokong bank Islam sekarang ni, jika tidak siapa lagi"

Dharurat dan Bank Islam

Dewan auditorium yang luas itu benar-benar agak gawat apabila saya menjawab satu soalan peserta yang bertanya samada boleh atau tidak menggunakan hujjah dharurat bagi mengharuskan penggunaan bank-bank Riba di ketika ini.

"Jika seorang sesat berhari-hari di hutan tanpa makan dan dalam keadaan sangat genting untuk maut, tiba-tiba ia ternampak seekor babi, adakah ia boleh memakannya kerana dharurat?" tanya saya kepada para peserta di dewan besar itu

"Ya boleh" Jawab peserta secara rawak dan bising.

"Salah" jawab saya, ini menyebabkan peserta bising lagi serta kelihatan berada dalam kepelikkan.

"Ini kerana, terdapatnya banyak binatang lain yang masih boleh dimakan sekadar untuk menutup kelaparan, siput adalah lebih baik dari babi, cacing, pohon kayu, buah dan lain-lain semuanya perlu diutamakan dari memakan babi" Hujjah saya lagi.

"Bukankah di hutan terdapat pelbagai benda yang boleh dimakan yang jauh lebih baik dari babi"  Saya menambah

"Justeru, tiada dharurat tatkala itu, dan amat tidak harus jika orang yang sesat itu ingin makan babi juga hanya kerana ia lebih sedap, menyelerakan dan gemuk berbanding cacing" Tegas saya lagi, disambut gelak ketawa peserta.

Jadi, itulah situasi perbankan Islam di Malaysia dan konvensional yang Riba, selagi terdapat bank Islam walaupun nampak kurang sedap tawarannya (macam babi yang diangap lebih sedap berbanding cacing sebagai perumpamaan) dan menyebabkan kesukaran tambahan berbanding yang Riba dari Institusi konvensional. Ia tetap tidak memberikan peruntukan 'dharurat' kepada umat Islam.

Sebagaimana yang disebutkan :-

إنما أبيح للضرورة وإنما تستيقن الضرورة بعد الطلب

Ertinya : Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana dharurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya dharurat tersebut setelah usaha pencarian ( yang halal) - ( Syarhul Umdah, 1/426 )

Apa yang penting adalah, contoh yang saya bawakan hanya untuk memahamkan bahawa hujah dharurat bagi menggunakan bank & insuran konvensional di Malaysia ketika ini adalah tidak dapat diterima sama sekali kerana terlalu banyak bank Islam, jendela perbankan Islam dan takaful yang wujud. Tiada alasan dharurat kononnya harga di bank konvensional lagi murah, kerana ia samalah seperti orang yang sesat yang tersangat lapar lalu ternampak ayam yang halal tetapi didahulukan makan babi hanya kerana seleranya kepada babi. Kecuali jika semua yang intitusi kewangan Islam tadi telah menolak permohonan anda.

Ingatlah kaedah Fiqh yang berbunyi :-

ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها

Ertinya : Apa-apa yang diharuskan kerana sebab dharurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu" ( As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82 ; Hawashi Asy-Syarwani, 3/272 )

Masjid Bandaraya & Ceramah

Pada sebelah malam bertempat di masjid Bandaraya Kota Kinabalu, program ceramah khas etika perniagaan Islam dan penilaian cara-cara pemerolehan harta dalam konteks semasa dijalankan bermula pada jam 7.20 malam sehinggalah tamat pada jam 9.30 malam dengan seribu satu macam soalan yang diutarakan.

Soalan kerap yang berulang hampir di semua majlis adalah berkenaan mengapa bank Islam lebih mahal, tidak ketinggalan soalan seperti kad kredit, kad caj, PTPTN, refinance pinjaman Riba, BSKL dan teknik pembelian saham, forex, program hibah dan banyak lagi.

Alhamdulillah, saya amat berharap ianya mampu memberikan rakan-rakan di Sabah gambaran jelas tentang hukum dan kepentingan meraih harta yang halal. Demikian juga keperluan menyemak dengan teliti semua skim MLM yang disertai.

Perbankan Islam Mahal 

Jawapan berkenaan harga lebih mahal telah saya ulas di artikel sebelum ini, tetapi cuba anda fahamkan satu senario contoh di bawah :-

Di satu kampung terpencil yang kekurangan air minum bersih, tiba-tiba didatangi oleh dua penjual seperti berikut :-

Penjual A : Menawarkan jualan sebotol arak 1 liter yang haram : Promosi harga murah hanya RM 0.50 sebotol.

Penjual B : Menawarkan jualan sebotol oren 1 liter yang halal : Promosi harga murah hanya RM 1.00 sebotol.

Apa pandangan anda dalam senario di atas ?. Siapa yang nampak agak tak bertimbang  rasa dan zalim.?

Jika anda menjawab B tidak bertimbang rasa, anda mungkin perlu menyemak kembali tahap keimanan dan taqwa dalam diri. Kerana bimbang ia sudah semakin terhakis kerana pertimbangan utama diletakkan pada benda zahir sahaja iaitu harga serta mengurangkan sedikit keutamaan pada unsur 'ghaib' atau bersifat spiritual yang boleh menghancurkan iman seperti haramnya arak itu.

Bagi saya,TIDAK ADA YANG LEBIH ZALIM DAN KEJAM DARIPADA  MENAWARKAN ARAK YANG HARAM, MALAH IA MENJADI LEBIH ZALIM KERANA MENAWARKANNYA DENGAN HARGA YANG MURAH SEHINGGA MENGGODA DAN MENARIK RAMAI ORANG KEPADA MELAKUKAN YANG HARAM.

Jangan dimarah penjual B kerana menjual dengan sedikit mahal, kita tidak mengetahui modal dan kos yang diperlukan bagi memperolehi bekalan oren tadi. Sudah tentu, ia inginkan keuntungan disamping menawarkan air yang halal.

Benar, anda boleh mengatakan dan memberi komen,

"sepatutnya penjual B lebih bertimbangrasa dan berkorban demi menyelamatkan orang ramai dari tergoda kepada yang haram".

Respon saya, ia tertakluk kepada sejauh mana ihsan dan iman penjual B sahaja tetapi apa yang dilakukan tetap halal. Bagi sebuah bank Islam pula, ia tertakluk kepada pemilik bank tersebut. Cuba anda sendiri menjadi pemilik bank Islam, adakah anda bersedia untuk mendapat memberi potongan?Jika anda sendiri tidak mampu, maka tidak hairanlah pemilik islam yang lain juga banyak demikian.

Rakaman

Program terakhir adalah pada 29 Julai 2007 pada jam 8.15 pagi iaitu program rakaman video wawancara kewangan dan perbankan Islam yang dipengerusikan oleh Ust Bongsu. Saya tidak pasti apakah yang ingin dilakukan selanjutnya oleh rakan-rakan di Sabah dengan rakaman tersebut, samda ingin dijual atau disebarkan percuma atau di download di internet, akan tetapi harapan saya intinya dapat disebarkan kepada seluruh ustaz dan ustazah yang mengajar di Sabah terutamanya  dan seluruh rakyat Sabah umumnya semaksmimum mungkin agar mereka memahami apa itu kewangan dan perbankan islam dan kepentingannya dalam kehidupan dunia dan akhirat. 

Saya kira, golongan Ustaz dan ustazah di sana sangat perlu memahaminya, kerana mereka  kerap dijadikan sebagai ‘kiblat' dan ‘tempat rujukan bagi orang awam, tanpa kefahaman yang baik, mereka pasti tidak mampu menerangkannya dengan tepat.

Mutiara Laut Masin & Tawar

Sejurus selepas itu barulah saya berkesempatan untuk mencari sedikit buah tangan mutiara Sabah  bagi yang menanti di rumah. Itupun sekadar dalam masa 40 minit ‘shopping' sahaja dan kemudian bergegas ke airport. Jam 3.45 petang saya sampai di rumah, bersiap pula untuk menghadiri kuliah khas di rumah seorang usahawan Muslim, program bermula maghrib.

Email yang masuk bertambah dengan banyaknya di kotak email saya sepanjang 4 hari saya di Sabah, yahoogroups juga dilanda banjir email baru, sistem sms yang saya berikan keutamaan juga mengumpulkan begitu banyak soalan yang tertangguh selama 3 hari. Majalah-i sudah sampai dateline, demikian juga majalah Iktiasad dan selain itu, tenaga saya juga ditagih oleh sebuah majalah baru terbitan Telaga Biru. Sakit kepala juga memikirkannya pada ketika tertentu.  Penerbit buku sudah beberapa kali meminta ‘new version' manuscript saya untuk proses selanjutnya. Beberapa seminar peringkat Kebangsaan sudah masuk dalam barisan untuk disiapkan ‘presentation'nya.

Di celah-celah kesibukan itu, saya coretkan tulisan ringkas ini. Akhirnya, semoga guru-guru yang berjasa di Sabah, dapat meneruskan perjuangan menyelamatkan umat islam Sabah dari gejala peperangan dengan Allah dan RasulNya akibat terlibat dengan riba dan harta haram. Ameen.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

29 Julai 2007

6.25 petang



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Peristiwa & Isu Kewangan Islam Ketika di Sabah