Perbankan & Insuran Dharurat, Bank Islam Tolak Permohonan & Senarai Halal

Dharurat, Bank Islam Tolak Permohonan & Senarai Halal

  • PDF
(20 votes, average 4.70 out of 5)

Wajarkah Bank Islam Tolak Permohanan ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

 "Ustaz, saya dah cuba mohon pembiayaan dari bank Islam tetapi mereka tolak, adakah saya berdosa jika dapatkan pinjaman riba dari Bank Konvensional di ketika tu?" Demikian pertanyaan seorang pemuda sekitar umur 30 an kepada saya sejurus selepas kuliah yang panas berkaitan isu kewangan semasa di sebuah masjid.

"Dah puas saya pohon dari Bank Islam, tapi semuanya kena tolak. Kata nak selamatkan orang dari Riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya " Komen seorang lagi melalui sms.

"Cerewet benar prosedurnya, patutnya dimudahkan orang yang selamat dari Riba ni. Ini tidak, kena tolak pula, so jadi dharuratlah untuk ambil konvensional kan ustaz?" kata seorang ibu kepada 3 orang anak ini ketika waktu ‘break' Kursus Kewangan Islam.

Wajarkah Bank Islam Tolak Saya Nak Yang Halal Ni!!
 

Adakah Dharurat atau Hajiat Bila Permohonan Di Tolak?

"Belum lagi" Itu jawapan ringkas saya.

Hujjahnya telah saya sebutkan dahulu iaitu:-

Kaedah :-

إنما أبيح للضرورة وإنما تستيقن الضرورة بعد الطلب

Ertinya : Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana dharurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya dharurat tersebut setelah usaha pencarian ( yang halal) - ( Syarhul Umdah, 1/426 )

Justeru dalam hal ini, adakah sudah cukup digelar dharurat atau hajiat sedangkan baru satu bank islam yang menolak. ? Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia, sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terlibat dengan riba di bank Konvensional. Berikut senarai bank Islam dan Jendela Perbankan Islam yang wujud di Malaysia.

Bank-bank yang punyai lesen dan jalankan operasi produknya 100% menurut Shariah adalah seperti berikut :-

  1. Affin Islamic Bank Berhad
  2. Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad
  3. AmIslamic Bank Berhad
  4. Asian Finance Bank Berhad
  5. Bank Islam Malaysia Berhad
  6. Bank Muamalat Malaysia Berhad
  7. CIMB Islamic Bank Berhad
  8. EONCAP Islamic Bank Berhad
  9. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  10. Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
  11. RHB ISLAMIC Bank Berhad

Bank Konvensional Tetapi Punyai Lesen Untuk Wujudkan "Jendela Perbankan Islam" Bagi Menawarkan Produk Menepati Shariah.

Ia seperti berikut :-

  1. ABN Amro Bank Berhad
  2. Alliance Bank Malaysia Berhad
  3. Citibank Berhad
  4. HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah)
  5. Malayan Banking Berhad
  6. OCBC Bank (Malaysia) Berhad
  7. Public Bank Berhad
  8. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad  (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq)

Nota : Jika anda pergi ke bank-bank ini anda akan dapati ada produk pembiayaan Islam yang ditawarkan. Ia juga telah disahkan oleh Majlis Shariah mereka.

Institusi Kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam. Ia adalah seperti berikut :-

  1. Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad
  2. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
  3. Export-Import Bank of Malaysia Berhad
  4. Bank Pertanian Malaysia
  5. Bank Simpanan Nasional Berhad

Sumber : BNM.  

Jika semua bank-bank ini menolak anda kerana permohonan  anda tidak mempunyai kelayakan atau disenaraihitamkan, anda boleh mencuba beberapa Koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. ( Namun ia hanya bagi yang layak sahaja seperrti kakitangan kerajaan)

Bagi Insuran Islam atau Takaful pula, anda wajib mencari perlindungan dari mana-mana syarikat Takaful yang diiktiraf berikut terlebih dahulu. Ia seperti berikut :-

  1. CIMB Aviva Takaful Berhad
  2. Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad
  3. HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad
  4. MAA Takaful Berhad
  5. Prudential BSN Takaful Berhad
  6. Syarikat Takaful Malaysia Berhad
  7. Takaful Ikhlas Sdn Berhad
  8. Takaful Nasional Sdn Berhad

As at July 2007 : Sumber : BNM.

 

Setiap bank dan pengendali Takaful mempunyai cara semakan kemampuan individu ‘credit checking' yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam bermakna bank Islam yang lain juga akan menolak.

Setiap bank yang mempunyai cara pemasaran  dan  strategi masing-masing, contohnya, Asian Finance Bank Bank tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, Bank Islam Malaysia Berhad pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai ‘used car', RHB Islamic Bank pula menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi terdapat jenama kereta yang diterimanya dan ada yang tidak diterimanya. Justeru, tidak boleh dipukul rata semua bank Islam akan menolak jika satu menolak.

Tatkala semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda barulah kaedah hajiat atau dharurat boleh terpakai, itupun dalam konteks yang terbatas sebagaimana disebutkan:-

ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها

Ertinya : Apa-apa yang diharuskan kerana sebab dharurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu" (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82 ; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27 )

Ia mensyaratkan penggunaan minima dan mempunyai had tertentu. Ertinya wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar sekadar menampung keperluan mendesak sahaja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula. Dalam konteks rumah, ia adalah rumah pertama untuk didiami sahaja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.

Apa Yang Bank Islam Semak Dari Pemohon ?

Setiap bank mempunyai cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal.

Secara umum, mereka akan menyemak :-

1)      Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang-hutang anda dari pelbagai bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment' dan ‘Agrgregated margin of repayment'.

Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank. Sebagai contoh, di ketika pemohonan dibuat, pelanggan mestilah mempunyai lebihan pendapatan bulanan sebanyak  50 % dari semua jumlah hutang-hutang dari pelbagai bank.

Formula kiraan : -

                         Bayaran Ansuran Bank A + B + C  = mesti kurang dari 50%

                         Jumlah Pendapatan Kasar Bulanan

Contoh En. Karim yang berpendapatan bulanan RM 5000 dan punyai sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak  RM 1000, dua buah kereta RM 550 dan RM 600. Kini beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut :-

RM 1000 + RM 550 + RM 600 = 43 %

RM 5000

Jika dilihat dari keputusan ini iaitu 43 % , ini beerti permohonan En Karim layak untuk diproses dan diluluskan.

Jika tidak begitu cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.

2) CTOS : Repot ini biasanya mengandungi ‘customer's legal status' sebagai contoh saman-saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undag-undang.

Menurut CEO syarikat CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kinikan informasi yang ada setiap hari, info ini mereka kumpul dari info awam di Jabatan insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini perkhidmatan mereka menempuh kontroversi kerana terdapat banyak info yang tidak dikemaskni dan menyebabkan pihak bank menolak permohonan individu yang telah bersih dari masalah undang-undang. Rujuk di sini

3)      Central Credit Reference Information System (CCRIS) : Buat masa ini sistem ini mempunyai informasi seramai 5 juta peminjam dan pelanggan di bank-bank seluruh Malaysia. Melaluinya pihak bank dapat mengetahui samada pemohon mempunyai pernah lewat membayar atau tidak dalam hutag-hutangnya di bank lain, samda dalam kad kredit, rumah, kereta dan lain-lain. jika ada, maka laluan untuk mendapat kelulusan agak sukar.

4) Jenis kereta dan tahun pembuatannya (jika ingin beli kereta) dan pemaju (jika ingin membeli rumah di dalam pembinaan)

Ini kerana sebahagian jenis kereta dianggap tidak berdaya saing dan amat sukar untuk dijual di pasaran. Justeru risiko agak tinggi bagi bank untuk membiayai pelanggannya.

Demikian juga pemaju dan lokasi rumah yang ingin dibeli.  Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara-perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah satu perniagaan yang berisiko agak kurang atau risiko.

Apa yang disebut hanyalah adalah beberapa info ringkas sahaja, sekadar memberikan gambaran kasar kepada pembaca.

Setelah semua ini disemak barulah bank akan meluluskan atau menolak permohonan pelanggannya.

Wajarkah Bank Islam Tolak ?

Setelah kita mengetahui demikian cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya adakah wajar sebuah Bank Islam menolak  permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah dan lain-lainnya?.

Pertama : Sebagaimana yang telah diberitahu dalam artikel sebelum ini, bank Islam adalah sebuah entiti perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan dirinya kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tidak mempunyai kemampuan (menurut standard piawaian mereka) mampu untuk membayar hutang hasil jual beli asset yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah, jika kita mempunyai sebuah rumah yang ingin disewakan. Kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi ia tidak mempunyai sebarang kerja yang kukuh, sedangkan kos sewaan sebulan rumah yang ingin kita tawarkan adalah sebanyak RM 800. Adakah anda sanggup menyewakannya ? Sedangkan anda terpaksa membayar ayaran bulanan kepada bank sebanyak RM 750 sebulan.

Dalam hal ini anda terpaksa membuat budjet yang tepat bagi meraih untung dan dalam masa yang sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan.

Demikian halnya sebuah bank, ia mempunyai tanggungjawab bagi memeastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan yang baik, bagi memastikan keuntungan mampu dicapai, sudah tentu ia terpaksa memilih pelanggan.

Kesimpulannya, samada anda mahu menyewakan rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia akan bergantung kepada pengurusan dan standard atau piawaian anda selaku pemilik aset. Jika anda meneliti buku-buku pakar kewangan. Sudah pasti mereka akan menyarankan anda agar tidak menyewakannya kecuali kepada orang yang mempunyai tahap kewangan yang meyakinkan.

Kedua : Dari sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang dari anda. Adalah elok jika anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya kelak, kecuali jika anda sudah berniat dari awal untuk mensedeqahkannya kepada peminjam di waktu kesusahannya.

Allah s.wt berfirman :-

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : "Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."

Menghalalkan hutang merupakan satu tindakan yang amat terpuji dan sesuai dilakukan secara individu tapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank-bank Islam menyedeqahkan sahaja hutang yang berpuluh ribu ringgit jumlahnya, ia mungkin agak keterlaluan.

Justeru jika kita tidak berniat untuk menghalalkannya atau memberikan tempoh lebih panjang di waktu peminjam sukar, eloklah kita jangan memberikan hutang itu kerana kelak ia akan menjerumuskan si peminjam ke dalam dosa-dosa yang pelbagai seperti hadis ini :-

إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف

Ertinya : Baginda menyebut : " Sesungguhnya seorang itu apabila ia berhutang, ketika ia berbicara ia kerap berdusta, bila berjanji ia kerap mengingkarinya" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Dan juga sebuah hadis lain :-

مطل الغني ظلم

Ertinya : "Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman" ( Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, para ulama menyatakan harus hukumnya untuk di tangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam Al-Haithami pula mengatakan ORANG BERKEMPUAN TAPI MENGGUH MELUNASKAN HUTANG DENGAN SENGAJA dikira sebagai salah satu dari dosa besar ( Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250 )

Kesimpulannya, member hutang kepada orang yang tidak layak boleh menjermuskan mereka kepada tiga dosa berikut :-

  • a- Bercakap lalu berbohong
  • b- Berjanji lalu mungkiri janji
  • c- Ada duit tapi tangguh bayar lalu tergolong dalam kumpulan ‘Mumatil' dan dihukum zalim oleh Nabi s.a.w.

Hasilnya, tidak wajar kita menuduh bank-bank Islam sebagai zalim kerana menolak permohonan kita kerana  menurut sudut pandangan Islam, ia turut mempunyai masalahat dan kepentingan yang diiktiraf oleh Shariah  iaitu menjaga maslahat pemohon itu juga, agar tidak menjermuskannya ke lembah hina dan gagal bayar. 

Saya   kira sebagai perancangan kewangan yang bereksan, cuba pastikan setiap kali anda ingin membuat tambahan hutang, pastikan pendapatan dan pbeban hutang anda kurang dari 50 % sebagai formula bank tadi, ia baik diamalkan bagi individu.

Kini pihak academia Islam di universiti-universiti sedang mencadangkan diwujudkan pembiayaan mikro kredit Islam. Ia lebih khusus bagi individu berpendapatan rendah dan kesukaran untuk memperolehi pembiayaan. Namun masalahnya adalah kita kekurangan individu kaya dan syarikat kaya yang sudi untuk melepaskan peluang mendapat untung besar untuk masuk ke dalam jenis pembiayaan mikro ini yang menawarkan untung kecil dan pahal besar. Ini menyebabkan cadangan para ahli akademik menjadi bahan di perpustakaan sahaja.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

10 Disember 2007

30 ZulQaedah 1428 H



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Perbankan & Insuran Dharurat, Bank Islam Tolak Permohonan & Senarai Halal