Perbankan & Insuran Modal 'Kotor' Permulaan Bank Islam & Takaful ?

Modal 'Kotor' Permulaan Bank Islam & Takaful ?

  • PDF
(27 votes, average 4.22 out of 5)

Adakah Modal Perbankan Islam Haram ?

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Dalam arus pesat pembangunan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya, terdapat beberapa isu yang masih lagi dipertikaikan oleh masyarakat yang mana ia perlu ditangani segera oleh para ilmuwan Islam (Ulama). Antara isu yang kerap ditimbulkan adalah berkenaan modal permulaan bagi bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful, terutamanya yang berasal daripada syarikat induk beroreintasikan konvensional. Saya kerap mendengar, ramai yang mempersoalkan "kesucian" modal bank-bank Islam dan Takaful untuk permulaan perniagaan Islam. Ini menyebabkan mereka kerap bertanya : adakah Bank-bank Islam dan Takafuk benar-benar bersih dengan modal yang kotor?

Respon ringkas yang dapat saya berikan tehadap soalan ini adalah seperti berikut:

a) Wang itu sendiri adalah "tidak haram" dalam bentuk fizikalnya tetapi menjadi "haram"  disebabkan oleh jalan untuk memperolehinya yang haram (tidak selari dengan kehendak Syariat). (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas Al-Baz, hlm 265).

b) Modal dan keuntungan asal yang didapati oleh syarikat induk kepada bank Islam bukan kesemuanya berasal daripada perniagaan yang haram. Sebahagiannya adalah datang daripada individu-individu dan organisasi-organisasi kerajaan dan swasta. Justeru, wang modal dari sumber yang halal telah bercampur dengan haram. Walaubagaimanapun, perlu diketahui bahawa modal permulaan bagi bank-bank Islam dan Takaful telah disahkan bersih dan halal oleh syarikat induk. 

Jika dilihat di sisi  Shariah, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama, di mana majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim dari mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan Ibn Taimiyah menetapkan bahawa adalah harus melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram jika majoriti modal itu datang daripada sumber yang halal.

Imam Ibn Nujaim pula berkata: "Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatannya adalah halal, maka tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama mana tiada sebarang tanda yang jelas menunjukkan ia adalah haram. Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya adalah haram, maka tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali setelah disahkan kebersihannya(halal). (Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair, hlm 125). Imam Ibn Quddamah pula berkata: "....Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu adalah daripada sumber/modal yang halal, maka ia adalah halal." (Al-Mughni, 4/334)

Ulama terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat bahawa adalah DIBENARKAN SECARA TOTAL untuk bertransaksi dengan pemilik kepada pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian yang halal dalam modal tersebut adalah majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal, ms 116).

Dalil-dalil mereka amat banyak, antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19) :-

  • a) Rasulullah SAW telah bertransaksi dengan para sahabatnya dari kalangan penduduk Mekah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak-puak Kafir. Tidak pernah di dengari sebarang tegahan Rasulullah SAW untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka adalah dari sumber haram.
  • b) Telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah dari kalangan arab badwi yang syirik tatkala itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
  • c) Semasa Nabi SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi dari kalangan penduduk Madinah dan arab-arab Badawi yang menghalalkan perkara-perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka adalah haram, sudah tentu baginda akan menegah dari awal lagi.
  • d) Taqir (pengakuan) Nabi dengan membiarkan para sahabat berurusan kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah suatu dalil.
  • e) Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram dan halal hartanya, sudah tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan Muslim yang bercampur hartanya.
  • f) Para sahabat Nabi juga berurusan dengan perompak-perompak Madinah di zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali, 2/164)
  • g) Jika muamalah seperti ini dihalang, sudah tentu keadaan yang amat sukar akan berlaku kerana di akhir zaman seperti ini, sememangnya amat sukar bagi mencari sesebuah syarikat yang 100 % halal pendapatannya ( Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas, hlm253 )

Oleh yang demikian, adalah tidak benar untuk mengklasifikasikan keseluruhan modal bank-bank konvensional sebagai haram dan tidak boleh digunakan sebagai modal permulaan bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful. Tidak dinafikan bahawa adalah menjadi suatu keperluan yang besar bagi pihak bank untuk memastikan bahawa hanya bahagian yang halal sahaja digunakan dan diasingkan khas untuk penubuhan Bank Islam, Takaful atau bahagian perbankan Islamnya.

Akan tetapi, jika masih terdapat sebahagian kecil/minoriti modal yang haram daripada jumlah keseluruhan modal digunakan sebagai modal permulaan bagi bank Islam, saya berpendapat bahawa ia boleh dianggap sebagai Qard Hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada syarikat induk konvensional kepada anak syarikatnya. Berikutan itu, bank Islam bolehlah membersihkan modal yang ragu tadi dengan membayar kembali pinjaman itu selain menggunakan sebahagian keuntungannya untuk didermakan.

Jika anda berpandangan bahawa semua cara di atas adalah tidak dibenarkan juga, maka bagaimana mungkin sebuah bank atau syarikat konvensional beralih kepada sistem Islam tanpa bantuan modal atau kewangan yang mencukupi.  Oleh itu, selari dengan Maqasid Shariah, ia harus dibenarkan bagi membolehkan proses pertukaran sistem konvensional kepada sistem Islam dialkukan, walaupun pada permulaannya sebahagian daripada modal yang jelas haram terpaksa digunakan untuk tujuan itu.

Selain itu, Ulama  silam juga telah membincangkan berkenaan  hukum menggunakan keuntungan yang didapati dari perniagaan halal, bagaimanapun modalnya adalah wang curi atau haram. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam As-Shafie, Imam Abu Yusof dan Sheikh Zufar Huzayl bersetuju bahawa pencuri tersebut berhak mendapat bahagian keuntungan daripada pelaburannya walaupun modal asalnya adalah haram, tetapi ia wajib memulangkan kembali wang yang dicuri (wang yang digunakan sebagai modal perniagaannya atau pelaburannya) kepada yang berhak. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, 2/241; Rawdah at-Tolibin, An-Nawawi, 4/211; Al-Hawi, al-Mawardi, 7/337). Berdasarkan ijtihad ini, kita berpandangan bahawa bank Islam harus mengambil keuntungan daripada perniagaan/ pelaburan yang dijalankan walaupun pada modal yang digunakan untuk tujuan tersebut terdapat bahagian yang haram.

Isu ini harus difahami dengan jelas, terutamanya apabila kekeliruan mengenai perkara ini menyebabkan bank Islam dituduh sebagai tidak Islamik dan lebih buruk lagi, meletakkan bank Islam sama darjat dengan bank-bank konvensional.

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

25 September 2006



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 16 guests

Komen Terbaru

You are here: Perbankan & Insuran Modal 'Kotor' Permulaan Bank Islam & Takaful ?