Pelaburan & Perniagaan Tak Setuju Artikel Hukum MLM : Jawapan

Tak Setuju Artikel Hukum MLM : Jawapan

  • PDF
(24 votes, average 4.67 out of 5)

Hukum MLM : Respond Kepada

Tulisan Mereka Yang Terbabit

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Muqaddimah

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa ada sebuah artikel dan kajian ilmiah telah dibuat menolak kajian saya berkenaan MLM. Saya bersyukur kerana ada yang sudi membuat kajian ilmiah dan bukan emosi, bagaimanapun saya tidak membacanya lagi kerana ketika itu saya berada di Doha, Qatar dan hanya sempat untuk membaca artikel itu beberapa hari setelah pulang dari Qatar.

Justeru, pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai GAGASAN (Gagasan Mahasiswa Timur Tengah) ini kerana sudi membuat kajian hukum tentang MLM. Walaupun mereka tidak bersetuju dengan kajian saya, itu tidaklah mengapa. Yang penting kajian awal saya itu berjaya menggerakkan mereka untuk membuat kajian dan membuka kembali kitab-kitab fiqh dan hadith. Bagi saya ia adalah satu kejayaan yang manis.

Sila lihat tulisan GAGASAN 

Kenyataan GAGASAN

dan

satu lagi

Ini kerana sebelum ini artikel saya telah membuatkan mereka tergerak untuk membantu masyarakat juga. Justeru Nabi SAW menyebut ertinya :

الدال على الخير كفاعله

Ertinya : "Orang yang menunjukkan (atau mempelopori) sesuatau kerja baik dan orang lain membuatnya, maka yang menyeru (itu mendapat pahala) sebagaimana yang membuatnya. " (Hadith Sohih).

Jika sebelum ini ilmu-ilmu mereka tidak pernah ingin digunakan untuk tujuan sebegini, tapi kali ini kesedaran itu telah timbul, alhamdulillah.

Kajian Berlainan Output dari ‘GAGASAN'

Bagaimanapun, yang menjadikan saya sedikit pelik adalah kerana team GAGASAN ini mengeluarkan dua artikel yang kelihatan ada beza dan sama. Artikel pertama yang digunakan nama "Hj Zaharuddin Mohammad" kelihatan bersikap lebih tenang dan menghighlightkan persetujuannya dengan beberapa kajian dari artikel saya iaitu berkenaan beberapa bentuk MLM yang haram atau syubhat, tanpa menghighlightkan sebarang perbezaan pandangan. Saya kira ini cara yang baik juga.

Manakala seorang lagi penulis yang mengaku juga mewakili GAGASAN pula bersikap agak menyerang dan hanya membangkit "perbezaan pandangan dan bantahan" terhadap artikel saya.

Saya berasa pelik juga, akan mengapa ia mengenepikan sebarang persamaan dalam kajian mereka dan saya sebagaimana yang dikeluarkan oleh artikel GAGASAN sebelum ini. Wallahu ‘alam.

Selain itu, saya juga agak pelik akan mengapakah team GAGASAN ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan Pelaburan Internet pula. Sedangkan isu ini juga diperlukan oleh masyarakat ketika ini khasnya. Maka nasihat saya, team mereka ini perlulah lebih agresif untuk membantu masyarakat. Paling minima sepatutnya lebih aggresif dari saya, kerana saya hanya seorang diri manakala mereka berkumpulan.

Rujukan Yang Longgar

Perkara kedua yang saya lihat dari kajian mereka adalah, kajian mereka kelihatan hanya merujuk kepada petikan artikel saya yang disiarkan di akhbar Harakah. Dari cara penulisan mereka, saya lihat mereka tidak atau kurang merujuk kepada artikel asal saya yang berada di web saya. Kita perlu faham, apabila sesebuah tulisan disiarkan di akhbar maka ia pasti akan diedit oleh pihak editor dan mungkin perubahan editor itu tidak dipersetujui oleh penulis sendiri. Justeru, adalah kurang tepat untuk team GAGASAN ini hanya merujuk kepada akhbar tanpa membaca habis artikel asal saya di web saya.  

Anatara bukti terdekat adalah apabila seorang dari mereka meletakkan tajuk artikelnya "Komentar terhadap Artikel Mudah MLM Menjadi Haram". Antara fakta yang mereka perlu tahu adalah, tajuk yang disebut itu sebenarnya adalah bukan datangnya dari saya, tetapi dari editor Harakah sendiri. Malah bentuk-bentuk MLM yang haram, saya sendiri tidak secara putus mengharamkannya bahkan saya sendiri sememangnya telah mengedit artikel asal saya dengan menyebut "bentuk MLM yang jelas haram atau syubhat".

Selain itu juga, tulisan salah seorang penulisnya pula tidak membantah semua hujjah-hujjah saya, ada yang tidak diulas samada bersetuju atau tidak. Maka mengapa sebahagian sahaja yang ditolak dan sebahagian yang lain tidak diulas.? Justeru, bagi saya..apa sesuatu yang tidak kena dengan kajian seperti ini. Tidak lengkap.

Artikel GAGASAN mengatakan

Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor-faktor yang mengharamkannya. Dalil kepada harusnya muamalat ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. :

Maksudnya :
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.
- (Al-Baqarah : 29).

Dari sini lahirnya kaedah yang berbunyi:

Maksudnya:
Hukum asal bagi segala sesuatu adalah harus.


Berdasarkan kepada kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor-faktor yang mengharamkannya. Justeru itu, untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan kepada dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus.

Respond Ust Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)

Ini memang benar dan sememangnya telah dipersetujui oleh para ulama, bagaimanapun jangan begitu terbuka mengganggap semua urusan muamalat itu harus secara mudah. Ini kerana kaedah ini adalah terpakai apabila seseorang itu mempunyai ilmu dan dapat mengenal pasti mana jenis yang halal dan mana yang haram.

Justeru, menggunakan kaedah ini secara terbuka boleh menyebabkan orang awam bersifat ringan dan ‘tasahul' tentang hukum dalam bab kewangan ini. Sedangkan, bagi yang berpengalaman, urusan kewangan hari ini walaupun baru, ia mempunyai seribu satu macam, helah dan masalah dalam Shariah.

Akan muncul nanti, pelbagai jenis bentuk muamalat moden yang belum disebut jelas hukumnya oleh ulama lagi tapi telah dianggap halal oleh orang ramai dengan hujjah ini, padahal ia haram jika diteliti. Ini menjadikan awam pemalas merujuk dan ulama pula tidak berperanan, kernaa semauanya harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.

Akhirnya, tidak perlu lagi merujuk ke ulama kerana  asal hukum muamalah adalah harus selagi tiada dalil, maka jangan beritahu ulama hal ini agar terus tiada dalil.

Terutamanya dalam ketika ulama kerap terlewat dalam membuat kajian dan mengeluarkan hukum. Tatkala itu jangan demikian mudah mengatakan SELAMA MANA TIDAK TERDAPAT DALIL DAN FAKTOR HARAM, MAKA SELAMA ITU MUAMALAT TERSEBUT KEKAL HARUS" kerana, dalil itu mungkin ada dan jelas, cuma ulama yang lewat mendedahkannya. Maka selagi ulama tidak menjelaskannya atau mengkajinya maka tiada harus orang awam dengan mudah menganggap sesuatu harus sambil menggunakan hujjah kaedah di atas.

Dalam tulisan mereka mengatakan :-


1. Mengharamkan MLM berpandukan kepada perkara khilafiah.

Artikel tersebut menyatakan: " Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut:

1. Harga tinggi dari biasa: menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal." Menurut kaedah fiqh perbandingan mazhab, pengharaman sesuatu tidak boleh disandarkan kepada hukum khilafiah selagi khilafiah tersebut berada di dalam lingkungan yang diizinkan oleh syariat.

Justeru itu, kami dapati methodologi ini tidak bertepatan dengan kaedah yang tepat bagi menghukumkan sesuatu perkara.

Dalam kes ini, penulis mengkategorikan MLM sebagai haram disebabkan berlaku ketinggian harga pada barangan tersebut. Kemudian penulis menukilkan pendapat ulama antara harus, makruh dan haram daripada kitab Durar Al-Hukkam Fi Syarh Majallah Al-Ahkam klausa no. 356 halaman 369. Dalam masa yang sama, beliau menguatkan lagi pengharaman MLM disebabkan harga yang tinggi daripada biasa dengan menyebut hujah yang zonni dilalah dengan katanya: "bagaimana nabi S.A.W. pernah mengisyaratkanya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang."

2. Kesamaran terhadap maksud Ghabnun faahish.

Apa yang difahami daripada artikel tersebut, penulis seoalah-olah menganggap "harga tinggi daripada biasa" adalah ghabnun faahish. Artikel menyebut: menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu ia digelar sebagai ghabnun faahish." Di sini terdapat dua perkara yang perlu diperincikan:

1. Apakah ukuran sehingga menyebabkan sesuatu barangan itu dianggap sebagai ghabnun atau tidak ghabnun.

2. Apakah harga produk MLM yang lebih tinggi daripada harga produk pasaran biasa dianggap sebagai ghabnun?

Respond UZAR

Pertama : Ini bermakna, mereka mengganggap saya tersilap dalam kajian kerana mengharamkan salah satu bentuk MLM hanya kerana satu perkara khilafiah iaitu "Harga Lebih Tinggi dari Biasa".

Ini dakwaan yang tidak tepat, kerana artikel saya merangkumkan semua point-point itu. Ini kerana, dalam satu MLM mungkin terdapat 3 atau 4 unsur syubhat dan haram yang saya sebutkan. Ini tidaklah bermakna saya mengatakan MLM haram hanya kerana adanya unsur "Harga Lebih Tinggi dari Biasa" , ia cuma salah satu unsur yang perlu disemak dan boleh memburukkan lagi hukum sesuatu MLM sehingga boleh jatuh tahap haram kerana penipuan dalam keadaan tertentu yang lain.

Team GAGASAN membawakan contoh harga Colgate di sana dan sini dan konsep untung yang boleh melebihi seratus peratus dari harga modal, dan kepelbagaian kos menjadikan harga berbeza.

Ini adalah perkara yang telah amat diketahui, malah saya juga telah lama memberikan keharusan ini dalam jawapan saya ketika menjawab satu persoalan penanya di web saya . rujuk jawapan saya di http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=252&Itemid=93

Cuma apa yang ingin saya nyatakan ‘Ghabnun' di sini adalah yang dibuat dalam bentuk penipuan harga kepada orang awam, iaitu harga yang sengaja dinaikkan kerana merangkumkan yuran penyertaan dalam system priamid. Sebagai contoh saya pernah ‘terpaksa' membeli  sebuah produk MLM. Oleh kerana tukang jual MLM ini amat sukar beralah, dan saya ingin ia cepat menamatkan kempenanannya dengan adab, lalu saya belilah satu produknya yang termurah, iaitu sebiji bantal yang dikatakan sangat hebat, harganya mencecah RM300 sebiji. Inilah namanya 'Ghabnun', sedangkan bantal tersebut rupa-rupanya langsung tiada istimewanya setelah digunakan. Maka jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan sebagai ahli dan masuk dalam sistem. Tapi saya senyapkan saja keahlian dan langsung tidak bergerak, membeli hanya kerana kasihan dengan si penjual yang dikenali ini sahaja.

Inilah maksud saya mempunyai unsur ‘Ghabnun', mungkin unsur ini tidak cukup kuat untuk menjadikannya haram, tetapi ia salah satu unsur yang memberi kesan kepada aqad, kesan ini apabila ia bergabung dengan unsur-unsur syubhat yang lain, ia boleh menjadi haram.

Sebagai Makluman :

Mazhab Hanafi : terbahagi kepada 3 pandangan, iaitu ada ulamanya yang mengatakan ghabnun harus walaupun Fahisyh, kedua : Haram , ketiga : Haram bila ada usnur penipuan sahaja ( Syarh ad-Dur , AL-Haskafi, 2/82 )

Mazhab Maliki : Juga ulama mereka berbagai pandangan : Pertama : Ghabnun Mustrasil samada Yasir atau fahsiyh : Haram ; Kedua : Ghabnun lebih tinggi 1/3 dari harga pasaran biasa tanpa adalah HARAM. ( Al-Qawaid : Ibn Rusyd , hlm 601 ; AL-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ibn Juzay, hlm 294)

Mazhab Syafie : Harus hukumnya kecuali pandangan ganjil dari al-Mutawaali yang mengharamkannya . ( Al-Majmu' , 7/500 )

Mahzab Hanbali : Ibn Quddamah berkata : "Ghabn Mustarsil adala apabila si pembeli membeli dengan harga yang terkeluar dari harga pasaran ... teruatamanya apabila didesak ( agar tak pergi semak kedai-kedai lain dulu) dan cuba disegerakan oleh penjual " ( Al-Mughni , 4/78 )

Justeru, perbincangan panjang tentang 'Ghabn' sebenarnya menunjukkan terdapat jenis 'Ghabn' yang disepakati haramnya oleh ulama, ada yang disepakati halalnya, dan terdapat yang diperbezakan pandangan. Justeru apabila saya sebut 'ghabn' sebagai salah satu sebab boleh jadikan MLM haram, maka ini kerana berkemungkinan jenis yang disepakati haram itu berlaku. Justeru, semasa menulis artikel anda perlu faham target saya.  Adakah anda yakin semua jenis 'Ghabn' yang berlaku dalam MLM itu tergolong dari golongan yang harus ?. Jika ye, maka itu pandangan anda , bukan saya. Saya lebih selesa berpandangan ia banyak jenis 'Ghabn' yang berlaku lebih menjurus kepada haram terutamanya apabila hampir semua syarikat-syarikat MLM ini amat mengambil mudah akan hal hukum agama. Jika tidak, pastinya mereka telah mengambil Penasihat Shariah sejak dari awal.

Isu Kedua : Team GAGASAN mengatakan saya salah kerana menjatuhkan hukum berdasarkan satu fakta yang diperselisihkan statusnya. Ini juga satu pemikiran yang silap dan lebih keliru, ini kerana sesuatu itu boleh dianggap Haram oleh seseorang ulama atau sekumpulan berdasarkan keyakinan ilmu dan kajian masing-masing, tanpa mengira samada terdapat kumpulan ulama lain yang mengharuskan atau tidak.

Sebagai contoh, isu Bai ‘Inah ( contohnya Ahmad jual Kamal sebuah kereta dengan harga RM 50,000 dengan pembayaran tangguh selama 5 tahun, sejurus selepas itu Kamal menjual semula kereta yang sama kepada Ahmad dengan harga RM 40,000 secara tunai)

Ini adalah Bai inah, konsep ini dihalalkan oleh sebahagian besar ulama Malaysia dan mazhab Syafie silam. Bagaimanapun, ianya dianggap HARAM oleh majoriti Mazhab dan Ulama Timur Tengah serta pengharamannya juga disebut oleh Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia dan Badan Akauan Dan Kewangan Islam Dunia (AAOIFI).

Sekarang, adakah salah bagi Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia dan Badan Akaunting Islam Sedunia serta majority mazhab lain kerana mengharamkan sesuatu yang berdasarkan dalil dan nas yang boleh diperdebatkan dan khilaf?. Jawabnya tidak salah, iaitu bagi ulama yang meyakini sesuatu dalil bahawa ia haram kemudiannya memfatwakannya sebagai haram.

Jika idea tema salah seorang dari mereka iaitu "tidak harus fatwa haram benda yang berlandaskan isu khilafiah" diterima pakai oleh dunia, akan tiadalah fatwa di seluruh dunia yang sebut haram atau batal sekalipun. Maka semua orang boleh buat suka hati selagi mana dalilnya perkara khilafiah. Ini jelas, kenyataan yang mengelirukan dan tidak boleh dipegang. Apa yang boleh kita kata hanyalah, jika ada ulama kata harus, maka orang awam harus mengikutinya, tetapi yang lebih baik adalah menyemak hujjah masing-masing dan berfikir serta mengikuti yang lebih kukuh bagi mereka yang punyai kemampuan.

Kesimpulan saya:

a- Penulisnya yang membantah saya gagal memahami, metodolgi kajian untuk kefahaman awam dan bentuk kajian ilmiah untuk thesis ilmiah.

b- Penulisnya yang membantah saya gagal memahami  bahawa saya mendedahkan semua elemen syuhbat dan haram yang berkemungkinan dan ternyata ada dalam sesetengah MLM.

c- Perlu faham perbezaaan fatwa berkenaan isu 'Ghabnun' dan saya telah mentarjih satu jenis tetapi tidak perlu dibahaskan panjang dalam artikel awal saya kerana ia ditujukan untuk orang awam. Juga perlu memahami maksud 'Ghabnun Mustarsil' selain 'Ghabnun Fahisyh' yang juga memainkan peranan dalam halal haram sesebuah aqad.

d- Perlu faham bahawa jika ghabnun jenis yang diperbezakan ijtihad, maka ini bukanlah asas utama pengharaman, tetapi hanya salah satu elemen yang memburukkan lagi mana-mana MLM yg ada elemen ini.

Artikel seorang dari mereka menyatakan


3. Komisyen dari orang yang tidak dikenali dan kadar komisyen untuk ahli level bawahan perlu diperincikan.

Difahami daripada artikel tersebut seolah-olah komisyen yang diambil daripada orang yang berada dilevel bawahan dianggap sebagai haram kerana mendapat untung di atas angin. Komisyen ini perlu diperincikan kerana jika ianya datang dalam bentuk untung jualan, maka tidak ada sebab untuk diharamkan. Seseorang usahawan yang telah 'setup' strategi pemasaran seperti taukeh pusat beli belah dan seumpamanya akan duduk rilek selepas dia melantik pengarah urusan, mencari pekerja dan seumpamanya. Si taukeh tadi hanya mengira untung tanpa melakukan apa-apa lagi tugas. Untung dalam bentuk ini disepakati sebagai harus kerana taukeh tadi mengambil untung melalui modal dan dhoman.


Sama seperti sesetengah MLM yang meletakkan setiap level adalah penjual kepada level seterusnya dan berjalan di atas asas jual beli. Contohnya: harga satu sabun mandi yang dijual dengan harga RM2. Maka si level pertama mendapatkan ubat gigi tadi dengan harga RM1.40, manakala level 2 mendapatkannya dengan harga RM 1.60, level ke tiga dengan harga RM1.70 sen dan level keempat dengan harga RM1.80. Ini bermaksud, level pertama mengambil terus daripada kilang, level kedua membeli daripada level pertama, level ketiga membelinya daripada level kedua dan level keempat membelinya daripada level ketiga.

Ini dilihat tidak bercanggah kerana ia mempunyai persamaan dengan perlantikan agen tunggal dimana pembeli yang dicari oleh level keempat sebagai contoh tidak dibenarkan mengambil terus barang daripada kilang dan ia mesti mendapatkan barang keperluan tadi daripada orang yang berada dilevel ketiga kerana ia berada di kedudukan agen tunggal. Jika syarikat meletakkan syarat untuk kenaikan level berdasarkan kuantiti barangan yang dijual, ketika ini tidak ada sebab untuk ia dikategorikan haram.

...

Apa yang dimaksudkan dengan 'untung atas angin' atau 'bersenang lenang' yang diharamkan ialah keuntungan yang datang tanpa sebab yang disyariatkan: bukan sebab modal, bukan sebab kerja atau bukan sebab dhoman. Oleh kerana itulah, konsep kutu yang dijalankan sebagaimana jadual Autoplacement PLAN B di dalam Em-Pay.com diharamkan justeru perpindahan yuran ahli terkumpul kepada individu-individu ahli tanpa sebab yang dibenarkan syariat dan salah satu levelnya berisiko untuk tidak mendapat apa-apa pulangan.

Respond UZAR :

Penulis yang mendakwa mewakili GAGASAN ( tetapi dinafikan oleh GAGASAN selepas itu) dan membantah saya cuba menyamakan konsep sebuah syarikat sdn bhd atau bhd ( antara pemilik, pengarah dan pekerjanya ) dengan hubungan Syarikat MLM, upline dan 'downline'.

Pertama : Ini satu kesilapan dalam 'qiyas'. Sebuah syarikat seperti taukeh beli belah (sebagaimana contoh yang dikemukakan) setup perniagaan beerti dia meletakkan sejumlah modal untuk perniagaan itu, modal itu terdedah kepada rugi dan untung. Dengan itu, ia setup sebuah syaruikat di atas asas yang dikenalai dalam Shariah sebagai "Syarikah Musahamah" dan ia melantik pekerja-pekerjanya untuk melakuakn tugas.

Dalam Shariah semua pekerja itu telah beraqad secara sedar atau tidak dengan aqad ijarah atau aqad alal 'amal..iaitu gaji bulanan diberikan dengan sewaan manfaat ilmu, skill dan waktu si pekerja. Gaji bulanan adalah mesti diokethaui dengan jelas di awal kontrak. Ia adalah harus, buat si taukeh berehat, tapi rehatnya ia adalah dengan risiko modalnya lingkup dan tiada jaminan.

Manakala MLM, hubungan syarikat MLM dengan seorang ahli, adalah wakil penjual dengan upah atau "Wakalah Bil Ujr" (yang merupakan Aqad Lazim menurut Shariah). Yang mana komsiyenya tertakluk kepada berapa jumlah jualannya atau boleh juga ditetapkan, kemudian di upline ini melantik orang bawahannya yang juga menggunakan aqad wakalah bil ujr setelah diberi mandat melantik oleh si syarikat, maka setakat di sini,hubungan dan aqad masih jelas dan harus. Masalahnya adalah apa pula 'aqad' hubungan si upline dengan orang di bawahnya yang ke seratus sebagai contoh. Di mana aqadnya dengan jelas. Dalam hal syairkat taukeh tadi, urusan itu telah diserahkan kepada satu badan iaitu pengarah urusan syarikat dan Jabatan Sumber Manusia. Mereka sahaja yang diberi mandat untuk melaksanakan aqad ijarah atau aqad kerja.

Justeru, hal ini masih samar-samar dan syubhat dan dengan mudah boleh menjadi batal aqadnya jika tidak kena cara pengurusannya. Tindakan menyamakan agen-agen bagi MLM dengan sebuah Syarikat Taukeh Sdn Berhad atau Berhad adalah tidak tepat kerana sifat aqad yang mereka gunakan adalah berlainan. Justeru kerana si pemilik MLM tidak pernah ingin menyemaknya dari sudut Shariah, maka saya masukkan sebagai salah satu elemen syubhat dan boleh menjadi haram, ianya memang boleh dibincang, telah saya sebutkan di dalam artikel awal saya.

Kedua : Harga barangan yang berbeza jika dibeli di setiap level, mungkin tiada masalah, tetapi yang saya utarakan adalah hal berkaitan komisyen jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung?. Apa yang diletakkan untuk mendapat untung?.

Sedangkan dalam contoh syarikat taukeh tadi, si taukeh memang layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana ia meletakkan 'modal', sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh didapati dari tiga sebab iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan 'Dhoman' barangan dari sebarang aib pada barang yang dijual.

Lalu si taukeh berhak mendapat untung kerana ia letak modal, si pekerja layak mendapat untung kerana ia bekerja .. jadi apa hak si upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke seratus? Tiada modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan yang dijual, kernaa jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat, bukan upline!.

Artikel mereka  menyatakan


4. Maksud Sofqotain Fi Sofqoh atau Bai'atain fi Bai'ah.

Artikel memaksudkan "Sofqotain Fi Sofqoh" atau "Bai'atain fi Bai'ah" tanpa perincian yang menimbulkan kekeliruan dengan menyebut: "ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan sama ada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini boleh dikatakan termasuk di dalam kategori hadis: Sofqotain Fi Sofqoh atau Bai'atain fi Bai'ah.

Berkenaan seseorang yang bersifat pembeli barang dan dalam masa yang sama ia bertidak sebagai wakil syarikat untuk merekrut ahli baru bukanlah diharamkan secara ijmak. Sama seperti pihak bank yang menjadi Al-'Amil dalam masa yang sama ia menjadi mudhorib kerana duit yang dilaburkan oleh pelabur di dalam bank tertentu dan kemudiannya pihak bank atau syarikat perbankan tadi melaburkan atau memberikan pinjaman kepada syarikat tertentu. Dalam hal ini (mudhorib mudhorobah), ia tidak dianggap sebagai haram secara putus.


Respond UZAR:

Penulis  berkata : "Berkenaan seseorang yang bersifat pembeli barang dan dalam masa yang sama ia bertidak sebagai wakil syarikat untuk merekrut ahli baru bukanlah diharamkan secara ijmak"

Sudah tentu tidak ijma' kerana ia adalah salah satu perkara baru yang belum dibincang teliti oleh ulama. Dan tidak benar, bahawa mesti kena tunggu haram kerana ijma' sahaja barulah kita boleh kata haram. Ia satu kekeliruan dalam diri penulis.

Jika demikian, mengapa begitu tebal kitab fiqh setiap mazhab, masing-masing menyebut itu ini haram, sedangkan ia tidak ijma' dan begitu banyak perbezaan ijtihad?

Penulis berkata :-

"Bahkan maksud hadis sofqotain Sofqotain Fi Sofqoh atau Bai'atain fi Bai'ah ialah dua transaksi di dalam satu masa yang tidak diputuskan ketika akad sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Isa di dalam riwayat Tarmizi.

Al-Khottobi dan lain-lain menerangkan maksud hadis ini dengan katanya: "Aku tidak mengetahui seseorangpun di kalangan fuqaha yang berpendapat (beramal) dengan zahir hadis ini atau mengharuskan jualan dengan pengguran salah satu dua harga melainkan apa yang diriwayatkan daripada Imam Auza'i, dan mazhab ini (pendapat Imam Auza'i dalam masalah ini) adalah tidak tepat'. "

Oleh itu, Imam Al-khattabi menyatakan bahawa hadis ini bukan bermaksud zahirnya sebagaimana dinyatakan di atas dan beliau menerangkan maksud hadis dengan menambah bahawa sebab haramnya 'Sofqotain Fi Sofqoh atau Bai'atain fi Bai'ah' ini dengan katanya:


Maksudnya: (akad Sofqotain Fi Sofqoh atau Bai'atain fi Bai'ah) Ini disebabkan mengandungi gharar dan jahil.

Justeru itu, Imam tarmizi memetik pendapat ulama tentang maksud hadis ini dengan berkata:

Maksudnya: Sebahagian ahli ilmu menafsirkan (hadis ini) dengan berkata: dua jualan dalam satu jualan (dalam bentuk): (si penjual) berkata: aku menjual baju ini kepada kamu dengan harga 10 tunai dan dengan harga 20 ansuran dan ia tidak membezakan (memutuskan) salah satu keduanya ketika berpisah (ketika kontrak dibuat). Dan jika ia membezakan salah satu keduanya ketika berpisah (ketika kontrak dibuat) maka ia tidak mengapa jika perjanjian (kontrak) itu diputuskan untuk salah satu keduanya.

Perincian ini menunjukkan bahawa, setelah kedua-duanya bersetuju dengan salah satu antara dua harga yang dicadangkan, maka ia dibolehkan kerana tidak mengandungi gharar dan jahalah sekalipun bentuk ini termasuk di dalam kategori hadis dari sudut zahirnya.

Justeru itu, jika seseorang menjadi agen kepada syarikat dalam masa yang sama ia merekrut ahli baru tanpa apa-apa gharar maka ia dibolehkan sebagaimana hukum mudhorib mudhorobah.


Respond UZAR :

Shafqatain di Safqah dan lafaz yang seertinya denganya memang tidak dinafikan mempunyai banyak takrif dan tafsiran menurut kefahaman ulama yang berbeza. Manakala penulisnya hanya mendedahkan hanya beberapa kerat dari pandangan tersebut dan kemudian terus memegangnya. Tapi perlu diingat disana terdapat pelabagi tafsiran yang lain pula, dan saya memegang tafsiran yang lain. Maka itu tidak bererti tafsiran pegangan saya adalah salah, dan tafsiran pegangan anda mesti betul. Jika demikian perangainya, maka ini jelas tidak faham konsep ikhtilaf dalam nas.

Saya sebutkan di sini kepelbagaian itu, sememangnya saya tidakingin menyatakannya kepada umum keranamungkin memeningkan orang awam. Tetapi kerana penulisnya mengatakan tanpa perincian, jawabnya : sudah tentu saya tidak ingin memerincikan benda yang ditujukan kepada awam kerana ini kurang tepat dengan methodology tulisan orang awam. Jika untuk thesis MA atau PHD sudah tentu akan diperincikan.

Bagaimanapun, sebagai hadiah untuk awam dan pembaca yang mampu faham ini beberapa tafsiran tentang hadith dua aqad dalam satu mengikut beberapa kumpulan ulama silam dan kaitannya dengan MLM:-

  • 1) iaitu contoh berkata penjual kepada pembeli : " Aku jual kepadamu baju ini dengan harga RM 10 tunai , atau RM 20 secara tangguh" , maka si pembeli bersetuju TANPA mengspecifickan plan tangguh atau tunai yang dikehendakinya. Ini bentuk yang ditafsirkan oleh Imam Malik, Abu Hanifah, At-Thawri, Ishak Rahawaih, Imam As-Syafie ( Syarh as-Sunah, Al-Baghawi, 8/142 ; ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 6/333; Al-Mudawwanah, 9/191 ).

Tiada khilaf di kalangan ahli ilmu, jenis ini adalah HARAM. Bagaimanapun tafsiran ini tidak berapa berkaitan dengan MLM, kerana biasnaya plan harga akan dipilih dengan tepat.

  • 2) Iaitu contohnya pembeli : "jualkan kepadaku barangan ini dengan harga RM 10 tunai atau dengan sebuah radio pada tarikh akan datang", kemudian kedua-dua bersetuju tanpa memberikan yang mana satu mereka inginkan. Ini adalah tafsiran Imam Malik pula ( ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ) . Ini juga tiada kaitan dengan MLM.

  • 3) Iaitu contohnya berkata seorang lelaki : "Aku jual kebunku ini dengan harga RM 10,000 dengan syarat kamu jualkan rumah kamu pula dengan harga RM 15,000" . Inilah juga tafsiran ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie. ( Al-Mughni , 6/332 ; Al-Um, 3/67 ; ‘Aridatul Ahwazi, 5/239 )

Inilah tafsiran yang saya lihat ada kaitannya dengan kebanyakkan MLM. Iaitu berkata syarikat MLM kepada seorang ahli baru sebagai contoh : "aku jual barang water filter ini dengan harga RM 2000 dengan syarat engkau jadi wakil jualanku dengan komisyen sebanyak 3 % dari harga jualanmu dan aku beri mandate kamu untuk jadi lantik ahli baru dan setiap jualannya kamu akan dapat 1 % dengan syarat kamu ada jualan sendiri sebanyak RM 1000 setiap bulan"

Lihat, dalam contoh saya tu ada berapa jenis aqad muawadah maliah yang bersifat lazim?

a-      Jual barang RM 2000 - Aqad jual beli yang bersifat lazim

b-     Lantik jadi wakil dengan upah (Wakalah bil Ujr) - aqad wakalah yang bersifat lazim.

c-       Beri mandate untuk cari ahli - ini tiada masalah

d-     Setiap ahli yang kamu lantik jual kamu layak dapat 1% - Ini ju'alah, juga kelihatan tiada masalah.

e-      Kamu hanya layak dapat 1 % ju'alah tadi dengan syarat kamu ada jualan sendiri RM 1000 - Ini ada syubhat sikit syarat seperti ini. Perlu perbincangan dan ijtihad.

Cuma, secara umum kita dapat melihat bergabungnya dua aqad mu'awadat maliah (pertukaran hak milik harta) yang bersifat Lazim.  Jika aqad itu ghayru Lazim maka ia diharuskan, tetapi dalam hal ini dua aqad itu adalah "aqad lazim"

  • 4) Iaitu seorang penjual menjual dua barangan berlainan harga iaitu kasut dengan harga RM 100 dan handphone dengan harga RM 700, tetapi ia membuatnya terikat, iaitu jika anda beli handphone, maka pembelian kasut juga menjadi wajib. Inilah takrif yang dipegang oleh Al-Qadhi Ibn Al-Arabi al-Maliki ( Al-Qabas Syarah Al-Muwatta', 2/842 ; Al-Muntaqa , 5/36) .

Ini juga mempunyai sedikit kaitan dengan MLM kerana meletakkan syarat satu aqad lain sebagai syarat untuk sesuatu aqad itu boleh ‘concluded'.

  • 5) Iaitu contohnya : Berkata penjual : " Aku jual handphone ini dengan RM 100 dengan bayaran ansuran dalam 3 bulan, dengan syarat aku akan belinya semual darimu dengan harga RM 80 tunai" . Ini adalah tafsiran Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim pula. Ia adalah sama dengan takrif Bai Inah. ( Mukhtasar Al-Fatawa Lib Ibn taymiah, hlm 327 ; Tahzib Mukhtasar Sunan Abi Daud, Ibn Qayyim, 5/100 )

Tafsiran ini agak kurang kaitannya dengan MLM.

Demikianlah beberapa takrifan dan tafsiran ulama tentang hadith dua aqad dalam satu. Sebanrnya ada terdapat 3 lagi tafsiran, Cuma cukuplah yang dinyatakan sebagai pembuka mata "One G" dan yang bersamanya. Oleh kerana beberapa yang dilakukan dalam MLM ada terdapat dalam salah satu tafsirannya, maka saya masukkan point dua aqad ddalam satu sebagai isu yang boleh menjadikan MLM samda haram atau batal atau syubhat.

Penulisnya Juga menyatakan :-


Jika berpandukan kepada zahir hadis ini, mudhorib mudhorabah sebagaimana yang diamalkan oleh perbankan Islam adalah haram kerana bank bertindak sebagai 'amil dan mudhorib di dalam satu masa. Selama mana ia tidak mengandungi gharar dan jahalah, maka selama itu ia tidak dikategorikan haram secara qat'i.

Respond UZAR:

Pertama : Penulisnya sebut "Mudhorib Mudhorabah" , perlu saya sebut bahawa istilah ini adalah kurang tepat dan mengelirukan. Sedangkan istilah yang betul dan terpakai secara sepakat oleh Ulama kontemporari adalah "Mudhorib Yudhorib". So penggunaan istilah juga perlu dipertepatkan, kelonggaran sekecil ini boleh meyebabakan silap faham tentang isu yang dibincang.

Kedua : Inilah masalah apabila penulis yang mendakwa mewakili GAGASAN ini, tidak meneliti dan menilai perbezaan impak aqad lazim dan ghairu lazim, Mudarabah adalah "Aqad Ghairu Lazim" dan ia boleh digabungkan tanpa sebarang masalah. Isu yang saya utarakan adalah gabungan dua aqad lazim.

Ketiga : Contoh yang diberikan kurang tepat, kerana kebiasaanya bank-bank islam tidak menggunakan wang pelaburan pelabur untuk melabur kepada usahawan lain. Ertinya amat jarang Bank Islam melakuakn "Mudarib Yudhorib" . Biasanya bank islam ini berfungsi sebagai Mudarib atau amil, iaitu ia sendiri untuk perusahaan perniagaan perbankan Islam. Amat sedikit dan kurang bank-bank islam berfungsi sebagai rabbul mal menggunakan duit pelabur. Justeru, hujjah ini amat rapuh dan boleh dikira tuduhan rambang kepada bank-bank Islam secara umum.

Keempat : Penulis juga nampaknya terkeliru sehingga gagal membezakan istilah Mudarib, Rabbul Mal dan Amil. Penulis menyatakan " kerana bank bertindak sebagai 'amil dan mudhorib di dalam satu masa". Sedangkan, 'amil dan mudorib itu mempunyai erti yang sama iaitu pengusaha. Perlu difahami istilah Fiqh untuk mudarabah yang terpakai seluruh dunia adalah seperti berikut :-

Rabbul Mal : Pemberi modal, (Pemodal)

Amil atau Mudhorib : Pengusaha (Bank)

 

Kelima : Jika si penulis ingin cuba juga menyamakan, maka apa yang dilakukan oleh bank-bank islam adalah kedua-dua aqad itu terasing di antara satu sama lain. Iaitu pelanggan meletakkan duit atas nama pelaburan mudarabah, maka habis selesai  satu aqad. Selepas itu barulah si bank tadi masuk ke aqad yang kedua. Maka kenyataan penulis adalah kurang tepat sama sekali kepada Bank Islam. Ini mungkin kerana hanya membaca dari atas kertas atau mendapat penerangan kurang jelas dari pegawai bank yang tidak begitu memahami operasinya dari sudut Shariah. 


Penulis Mendakwa keputusan GAGASAN 

KEPUTUSAN.

Hujah yang dikemukakan untuk mengharamkan MLM sebagaimana yang disiarkan di dalam Harakah pada 11 - 25 safar 1428 / 1 - 5 Mac 2007 adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai. Justeru itu, kami telah membuat keputusan untuk membuat artikel yang lain bagi menerangkan semula kekeliruan.

Keputusan ini dibuat pada 11 Mac 2007


RESPOND UZAR

Saya juga menolak artikel tulisan penulis dan sebahagian keputusan Gagasan Mahasiswa Timur Tengah (GAGASAN), Malah adakalanya ia lebih mengelirukan orang ramai lagi.

Bagaimanapun, saya ucap terima kasih kepada gagasan kerana berinsiatif mengkaji dengan ilmiah tetapi saya tidak dapat bersetuju dengan hasil tulisan penulis peribadi tadi setakat ini. 

 


Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

5 April 2007

17 Rabiul Awwal 1428 H



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 18 guests

Komen Terbaru

You are here: Pelaburan & Perniagaan Tak Setuju Artikel Hukum MLM : Jawapan