Lelaki & Wanita Lelaki Melayu Bermasalah & Email Mendukacitakan

Lelaki Melayu Bermasalah & Email Mendukacitakan

  • PDF
(62 votes, average 4.81 out of 5)

 Lelaki Melayu bermasalah?

Tulisan tambahan adalah surat pembaca di bawah sekali

Petikan Berita Utusan 

Pada ketika Wawasan 2020 hanya tinggal 13 tahun sahaja lagi, saya percaya kita semua harus bekerja kuat pada masa ini. Namun, saya berasa kecewa dengan sikap kaum lelaki Melayu di negara ini.

Baru-baru ini, saya dan beberapa orang rakan perempuan melalui Stadium Hoki Jalan Pantai Bahru di Lembah Pantai. Pada masa itu, ada sekumpulan pelajar lelaki sedang berehat di tepi pagar dengan hanya berseluar pendek dan tidak berbaju. Saya percaya mereka adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Sudahlah tidak berpakaian dengan sopan, mereka tanpa segan silu bersiul dan cuba mengganggu kami. Entah apa agaknya di fikiran mereka. Mereka ingat lulusan luar negara seperti kami ini berminat hendak berkenalan dengan budak sekolah yang belum habis belajar seperti mereka.

Saya dan kawan-kawan sebenarnya sudah banyak kali diganggu lelaki-lelaki muda tidak bertamadun seperti ini dan berasa sangat sakit hati setiap kali diganggu seperti itu. Kadang-kadang, yang mengusik itu hanya berpakaian compang-camping dan kotor, berbau seperti sudah 10 tahun tidak mandi dan kelihatan seperti penagih dadah pun masih berani mengganggu anak gadis orang.

Pernah suatu ketika saya berada di Bangsar, saya nampak seorang lelaki berpakaian selekeh dengan rokok di tepi bibirnya mengganggu dua orang pelancong wanita berbangsa Inggeris yang hendak ke restoran mamak di situ. Dua pelancong wanita itu kelihatan takut, lalu beredar dari situ dengan segera. Barangkali niat mereka untuk mencuba makanan mamak, terbatal.

Saya berpendapat, sikap lelaki Melayu tidak berubah walau betapa maju pun negara kita. Mereka masih beranggapan wanita perlukan mereka dan mereka tidak peduli untuk memalukan diri sendiri dengan berperangai seperti itu.

Banyak pelajar perempuan di universiti enggan bekerjasama dengan pelajar lelaki kerana mereka merasakan pelajar lelaki memang tidak boleh diharap. Walaupun mereka lulusan luar negara, kerap kali pelajar lelaki kaum lain jauh lebih baik daripada pelajar lelaki Melayu.

Diganggu

Saya menetap di luar negara selama dua tahun ketika belajar di sana dan dalam tempoh itu, saya tidak pernah diganggu walaupun berjalan seorang diri pada pukul 2 pagi pada malam Sabtu. Sebaik sahaja pulang ke Malaysia selama dua bulan ini, sudah ada tiga lelaki Melayu yang berperangai seperti sampah, bersiul dan mengganggu saya yang berjalan di pesiaran kaki di ibu kota. Setelah pulang dari luar negara, saya berpendapat lelaki-lelaki Inggeris lebih bersopan santun daripada lelaki Melayu, sekalipun kita selalu berpendapat mereka itu tidak bermoral. Saya tidak pernah disentuh walau seinci pun oleh lelaki-lelaki Inggeris.

Saya pernah menghadiri sebuah parti untuk mengumpul data kajian saya dan saya tidak dipaksa minum arak, sekalipun arak dihidangkan di parti itu. Setelah melihat sendiri budaya dan cara hidup bangsa Inggeris yang selalu kita katakan tidak bermoral, saya berpendapat sebenarnya mereka jauh lebih baik daripada lelaki Melayu.

Golongan wanita tidak kira daripada bangsa apa pun, lebih selamat berada di kalangan lelaki Inggeris daripada bersama lelaki Melayu. Sekumpulan lelaki Inggeris pun tidak pernah menimbulkan sebarang gangguan. Tetapi kalau lelaki Melayu, seorang pun cukuplah untuk menimbulkan masalah.

Saya tidak faham mengapa lelaki Melayu mesti berkelakuan begitu buruk sekali. Fikirkanlah. Lelaki Melayu di Kuala Lumpur pun berperangai seperti ini, bagaimana di kampung-kampung? Budak-budak sekolah semuda 16 tahun sudah pandai mengusik anak gadis orang, bagaimana sikap mereka apabila dewasa kelak?

Janganlah harap mereka akan berubah sendiri apabila dewasa kerana lelaki seperti mereka inilah yang akan mengabaikan keluarga mereka kelak. Seorang ilmuwan pernah berkata; "Jika hendak tahu keadaan masyarakat pada zaman hadapan, lihatlah anak-anak muda hari ini."

Jika perempuan boleh dilatih sejak kecil untuk menguruskan rumah tangga, kenapa tidak lelaki juga dilatih bertanggungjawab? Kerap kali kita mendengar golongan tua meleteri gadis-gadis muda, "Kalau tidak tahu masak macam mana nak kahwin?" Kenapa tidak katakan perkara yang sama kepada anak-anak lelaki? Kenapa tidak ada yang berkata, "Kalau perangai macam sampah, macam mana hendak kahwin?"

Saya hendak berterus-terang; saya sudah bosan dengan sikap lelaki Melayu yang terus-terusan menimbulkan masalah dan sentiasa juga enggan mengaku itu ialah masalah mereka. Malah, mereka tidak pun berasa malu mempertanggungjawabkan orang lain atas masalah mereka.

Atas tujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk wanita supaya mereka bebas keluar masuk rumah mereka, saya mencadangkan agar lelaki-lelaki yang bersantai di tepi jalan yang mengusik anak-anak gadis didakwa atas kesalahan melakukan gangguan sosial.

Mereka ini perlu diajar menghormati wanita. Wanita bukannya bodoh seperti dahulu. Yang bodoh sekarang ini ialah lelaki Melayu, kerana tidak tahu memanfaatkan keadaan negara yang aman dan makmur ini.

Barangkali saya bersikap terlalu cauvinis wanita. Tetapi saya percaya cauvinis wanita tidak akan wujud jika puncanya tidak ada. Fikirkanlah. Lelaki Melayu sudah semakin terpinggir. Masihkah kita mahu berpeluk tubuh?

- AKMAL FAIRUZ,

Victoria University of Wellington,

New Zealand.

KOMEN UST ZAHARUDDIN

Apa pandangan anda? Sekali baca tulisan di atas, saya tidak dapat mengelak dari bersetuju dengan apa yang disebutkan. Walaupun tidak semua lelaki Melayu demikian tetapi kebanyakkan mereka mungkin tergolong dalam kategori itu.

Saya tidak berpeluang mengulas panjang, tetapi cukuplah bagi kita mengambil pengajaran bahawa ia semuanya berpunca dari ketiadaan ilmu, malas, iman yang tipis dan jauhnya Islam dalam kehidupan. Hiburan menjadi rutin, seks dan duit menjadi kiblat dan Tuhan rekaan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah.

Firman Allah SWT :

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Ertinya : Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda-gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.." ( Al-An'am : 70) 

Memang benar ia satu masalah sebahagian lelaki melayu yang jenis 'sampah' ( sebagaimana dibahasakan tadi) , tetapi jika dilihat lebih mendalam, mengapa lelaki seperti ini berani mensampahkan dirinya untuk bersiul dan mengganggu wanita yang lalu lalang, jawabnya kerana ramai juga wanita yang mensampahkan dirinya dan 'amat murah' , boleh dimiliki hanya dengan top up prepaid card RM 10.

Ini petikan email yang amat memening dan merungsingkan saya :-

Sekarang nie masalah sosial dan seks bebas sangat serius di kalangan kawan² saya.. oh ya, utk pengetahuan ustaz saya baru habis blajar dari univ ( XXX saya delete-uzar) ..sebenarnye benda nie saya tau dah lama, tapi tak tau kepada siapa harus saya mengadu..

kawan² saya walaupun bergelar siswa, sembahyang tak penah miss, kalo ade kwn lain yg tak sembayang, dia siap marah lg.. tp hidup dia bergelumang maksiat..sepanjang 1 semester..lebih kurang 2 minggu sekali dia akan ke (deleted by uzar) atau tempat² yang ramai pompuan..dia just duduk n menunggu pompuan tegur..dengan bermodalkan senyum..tentu ade pompuan yang tegur.. bersembang dan pergi minum²..lepas minum, diorang akan cari tempat untuk lepas gian..kadang² rumah sewa pompuan tu...sebelum 6 pg kawan saya tu akan balik..nie baru 1 kes yg saya cerita..ade lg 2-3 kes, pengakuan ikhlas dari kawan saya yg lain lebih kurang sama jer kisahnyer..

Pompuan skarang nie begitu murah..dengan modal senyum, belanja minum, kadang² blanja topup..dah boleh dapat 'one night stand'..yang paling kerap saya dengar, dalam bas on the way nak balik kampug..kalau kebetulan kawan saya dapat dok sebelah pmpuan..dia akan try tekel pmpuan tu..pastu dpt la 'ringan²' sebelum sampai ke destinasi..>>>>(deleted).., lain kali kat tempat yg lebih selesa lagi..tu kes yang dlm bas..dia penah citer..stakat nie stiap kali balik kg, kalo dok sebelah pompuan jer, mesti dapat 'benda' tu..

dia penah citer jugak, dia ader pegi mandi kat wet world..nampak 2 orang pompaun (deleted by uzar).. bila saya dgr benda nie..saya fikir betapa teruknyer remaja sekarang..pompuan murah sangat..pmpuan kat (univ ....) nie sendiri tak terkecuali
dari terlibat dlm seks bebas..yang saya cerita nie cuma kawan² saya dia (deleted)..bukan sorang dua, tapi ramai lagi.

Saya ader jugak adik angkat..baru 16 tahun..tapi dah terlibat dengan seks bebas sejak usia 13 thn lg..saya try nasihat tapi tak guna, bila dia rasa nak..kadang² saya pun dia ajak..dia tu yg tinggal kat felda..dia ckp kebanyakan budak² felda dah biasa dgn benda nie..mak ayah tak tau..tu kes yg kat pedalaman..yg kat bandar pun sama..mak ayah benarkan anak pompuan dia bawak kawan laki tido kat rumah, bila smua org dah tido, yang laki² td menyusup masuk ke bilik pompuan..berlaku la adengan yg tak perlu saya cakap.. saya cakap nie berdasarkan pengalaman saya tangkap org buat camtu..dia mengaku dia rapat sangat dgn parents pompuan tu, so diorang tak kisah laki² tu tido rumah dia..dan dia ade ckp jugak, kawan² dia yg lain pun buat benda yg sama..dan saya sendiri pernah diizinkan tido di rumah kawan pompuan saya..tu baru kawan..camner la kalo pakwe dia dtg rumah.. - tamat petikan -

Inilah yang disampaikan kepada saya oleh seorang pelajar Univeristi melalui email, memberitahu berkenaan masalah ke'murah'an wanita di areanya, hingga sekadar senyum pun seorang lelaki itu sudah mampu memiliki gadis itu secara haram.

Sudahnya? ..mungkin lelaki sebegini bersifat tidak beradab kerana dalam kamus hidupnya mendapati tidak ramai wanita yang marah atau menolak ajakan 'sampah' mereka.. menyebabkan mereka sangka semua wanita boleh ber'sampah' dengan mereka.

Maka ia adalah silap kaum wanita dan kaum lelaki sekaligus sebenarnya. Fikirkan..

Kemunculan 'wanita' sampah akan melahirkan lebih banyak lelaki 'sampah'. Akhirnya telur dulu atau ayam dulu??,. Jawabnya ..?

Jawabnya, jangan salahkan 'dahan' dan 'ranting' yang rosak..tapi carilah puncanya iaitu akarnya yang beracun dan ubatilah, nescaya ia akan subur kembali. Firman Allah SWT :

وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ 

Ertinya : Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur ( Surah Al-A'raf : 58)

Justeru dari firman Allah SWT, tanahnya adalah punca kesuburan atau keracunan dahan dan buahnya. Hari ini lelaki 'sampah' dan wanita 'sampah' lahir akibat tanahnya tidak dibajai iman dan ilmu yang benar.

Hal ini menjadikan beberapa wanita bertanya kepada saya akan apakah hukum wanita itu tidak berkahwin kerana tidak menjumpai lelaki soleh yang sesuai dijadikan suami yang boleh diharap. Saya tangguh jawapannya dulu.

Ini pula adalah bukti kesopanan lelaki asing ? gambar di bawah menunjukkan Sejumlah 18,000 orang dengan sukarelanya berbogel di  Zocalo Square, Mexico City kononnya atas nama seni. Tanpa rasa malu mereka berkumpul awal bulan lalu, semata-mata memenuhi hasrat seorang jurugambar profesional, Spencer Tunick untuk mencatat rekod dunia

Kerja GILA
 

Sekian

Ust Zaharuddin

005 . Apa Kata Yang Lain - "Jangan hukum lelaki Melayu"

Forum - utusan Malaysia 23.05.07

SURAT 1
SAYA amat tertarik dengan komentar saudari Akmal Fairuz dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 2007.

Sebagai individu yang pernah belajar di United Kingdom selama empat tahun, saya bersetuju dengan pendapat beliau yang menyatakan lelaki barat jauh lebih bermoral daripada kebanyakan lelaki Melayu di Malaysia.

Mereka lebih mudah memberikan tempat duduk mereka kepada wanita atau kanak-kanak semasa menaiki kenderaan awam.

Mereka juga bersedia membuka pintu jikalau kita mendukung anak atau waktu tangan kita sarat membawa barang-barang.

Namun saya terkilan dengan kata-kata Akmal Fairuz di akhir tulisan beliau.

Beliau mengatakan, "Mereka ini (lelaki Melayu) perlu diajar menghormati wanita. Wanita bukannya bodoh seperti dahulu. Yang bodoh sekarang ini ialah lelaki Melayu, kerana tidak tahu memanfaatkan keadaan negara yang aman dan makmur ini."

Atas dasar apakah Akmal Fairuz membuat kenyataan bahawa wanita dahulu bodoh? Pada pengamatan saya, walaupun ibu bapa atau nenek moyang kita dahulu tidak belajar hingga ke universiti apatah lagi keluar negara, tetapi kebanyakan mereka pandai mendidik anak-anak.

Kerana didikan wanita-wanita dahulu maka kita mempunyai pemimpin yang berkaliber, pentadbir dan pengurus yang berwawasan, anak-anak muda yang mencipta pelbagai kejayaan di persada dunia.

Kenapa sampai mengecam wanita dahulu sebagai bodoh hanya kerana marahkan lelaki-lelaki yang tidak menghormati wanita?

Wanita dahulu lebih terjaga adabnya dan terpelihara maruahnya. Mereka tahu menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Bersifat pemalu dan bersopan-santun. Adakah sikap sebegini yang menyebabkan mereka ini dikatakan bodoh?

Hari ini kita dapat lihat betapa ramai wanita yang cemerlang dari segi akademiknya tapi runtuh moral dan peribadi mereka.

Wanita-wanita yang hebat dalam bidang akademik ini belum tentu pandai dan bijak mendidik anak-anak mereka.

Apa yang penting sebenarnya ialah kita semua tahu tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang perempuan. Tegur-menegur itu penting tapi jangan sampai menghina sesiapa sebagai bodoh.

- DR. FAUZIAH MOHD. NOOR,
Kuala Lumpur.


SURAT 2
SEBAGAI seorang yang pernah tinggal di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan England kesemuanya lebih 22 tahun (bukan dengan kedutaan Malaysia), saya kira saya layak mengulas tulisan Akmal Fairuz ini.

Pertama, inilah sindrom anak-anak muda kita yang dihantar belajar ke negara-negara berbahasa Inggeris.

Tidak sampai pun empat tahun di sana mereka pulang dengan pemikiran semua yang terdapat di negara berkenaan baik belaka.

Walhal pemikiran-pemikiran ini kadang-kadang sempit dan tidak objektif.
Sebagai seorang terpelajar Akmal seharusnya mengemukakan pertanyaan kenapa setengah-setengah muda-mudi Melayu berkelakuan demikian, sebab tiap fenomena buruk mesti ada sebab musababnya.

Adakah ini kerana agama sudah diabaikan. Atau adakah ia disebabkan persekitaran yang kita wujudkan sendiri di mana hiburan adalah segala-galanya.

Atau adakah ia disebabkan masalah sosio-ekonomi di mana bangsa Melayu sendiri merasa seperti mereka merempat di tanah airnya sendiri.

Akmal pergi belajar di New Zealand, sebuah negara di mana bilangan kambing-birinya jauh melebihi penduduknya dan nilai-nilai dan cara-cara hidup adalah lebih baik dari England sendiri.

Waktu saya di New Zealand 30 tahun lalu, hari Ahad memang hari agama. Kedai-kedai ditutup, semua orang bangun pagi dan pergi ke gereja. Bandar-bandar sunyi senyap.

Tetapi sekarang Auckland, Wellington atau Christchurch sudah pun dicemari dengan gaya hidup 7-eleven dan sudah tidak tahu tidur lagi.

Semasa di Melbourne 30 tahun lalu, saya sudah pun berdepan depan dengan anak-anak muda dalam kereta menunjukkan punggong kepada saya di satu hentian bas dan waktu melihat kawan-kawan main billiard saya dilontarkan dengan panggilan perkauman.

Di Amerika dan England pun orang-orang bukan kulit putih (termasuk warga negara itu sendiri) sentiasa berdepan dengan kata-kata dan perbuatan yang terang-terang menyatakan mereka tidak dikehendaki.

Soalnya ia bergantung kepada di kawasan mana kita berada. Kalau Akmal di London atau Birmingham dia bukan akan diganggu oleh anak-anak muda kulit putih tetapi anak-anak muda keturunan India, Bangladesh, Pakistan, Arab atau Filipina.

Tetapi kalau di Scotland, Ireland atau Wales maka Akmal akan berdepan dengan muda-mudi kulit putih yang kurang ajar dan tidak menghormati wanita.

Di California atau New York, Akmal akan berdepan dengan pelbagai bangsa, kulit hitam, Korean, Hispanic dan lain-lain bergantung kepada kawasan.

- SAAD HASHIM,
Ampang, Selangor.


SURAT 3
SAYA merupakan penuntut tahun ketiga University of Auckland, New Zealand dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan.

Pada hemat saya, pendapat yang saudari Akmal Fairuz utarakan amat keterlaluan dan tidak melambangkan sikap keseluruhan pelajar lelaki Melayu sama ada di tanah air mahupun di luar negara.

Meletakkan tuduhan yang begitu serius dengan hanya berdasarkan pengalaman-pengalaman yang saudari alami, ternyata menampakkan saudari berhujah dengan emosional dan bukannya secara rasional.

Cuba saudari fikirkan, adakah dengan penghujahan seperti itu dapat menginsafkan kaum Adam yang saudari gelar sebagai bodoh?

Sudah pasti, tidak! Saudari harus melihat situasi semasa dengan skop yang lebih luas. Bukan sahaja pemuda Melayu, pemudi pun dua kali lima teruknya. Merokok, seks bebas, berpakaian menjolok mata, isu lesbian, pengkid, bohsia dan sebagainya antara isu yang melibatkan beliawanis masa kini.

Saya pasti pengalaman saudari selama dua tahun di New Zealand boleh membantu saudari melihat permasalahan ini dari perspektif yang lebih luas.

Sebagai contoh, tidakkah pernah saudari mendengar kisah pelajar-pelajar perempuan bertudung dikacau oleh lelaki-lelaki Inggeris?

Dicemuh dengan panggilan yang menjijikkan, diludah, serta dibaling dengan telur dan botol arak ataupun diekori lelaki Inggeris untuk dijadikan ‘rakan sekatil'. Ini adalah di antara seribu satu pengalaman pahit yang mungkin tidak dapat saya lupakan.

Bahkan, saban hari media tempatan seperti New Zealand Herald kerap membicarakan isu pemuda New Zealand yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial; lumba haram, memandu secara mabuk, seks bebas, sumbang mahram, kes buli, gangsterisme dan sebagainya.

Bahkan masalah keciciran di kalangan pemuda New Zealand di sekolah. Di New Zealand budaya berparti lebih-lebih lagi pada Jumaat malam, sudah sebati dengan kehidupan sosial mereka.

Mereka hidup tanpa haluan dan tujuan yang jelas. Adakah ini contoh perlakuan pemuda-pemuda New Zealand yang saudari banggakan?

Biarpun masalah yang hampir serupa turut melanda segelintir lelaki-lelaki Melayu, saudari tidak boleh meletakkan tuduhan serius sedemikian rupa kepada majoriti lelaki Melayu Muslim, yang rata-rata masih bertanggungjawab serta mempunyai misi dan visi dalam hidup mereka.

Membebankan pemuda Melayu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan yang bias, bukanlah suatu tindakan yang bijak. Sewajarnya jika mereka dianggap bermasalah, kita wajar mengkaji penyelesaian yang sesuai untuk menangani permasalahan ini.

Terima kasih kepada saudari kerana membangkitkan isu ini. Cuma lain kali, tajamkan minda sebelum ingin menajamkan pena.

Lelaki Melayu yang boleh diharap, tidak bodoh, dan tidak bermasalah,

- PELAJAR,
University of Auckland,
New Zealand



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 2 guests

Komen Terbaru

You are here: Lelaki & Wanita Lelaki Melayu Bermasalah & Email Mendukacitakan