Fatwa Caj PTPTN Harus 28 Julai 08
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
PTPTN lagi, saya tidak dapat online sehari penuh pada 29 Julai 2008. Hari ini 30 Julai 2008, ruangan komentar di web saya dihujani pelbagai soalan berkenaan keputusan Majlis Fatwa yang menghalalkan system kiraan PTPTN. Namun saya benar-benar tiada info yang banyak berkenaannya.
Penjelasan salah seorang individu berautoriti dalam majlis fatwa kebangsaaan iaitu S.S Mufti Perlis saya kira sudah cukup untuk saya dan anda memahami latarbelakang keputusan tersebut.
Saya hanya dapat berharap agar apa yang disebut oleh Ketua Pengarah JAKIM kepada Mufti Perlis adalah benar dan akan disemak sewajarnya, kenyataan Mufti yang dicatat di web beliau :-
"yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang"
Namun demikian, setelah merujuk laporan akhbar dan kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa iaitu
PUTRAJAYA 28 Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.
Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.
‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).
‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini. ( sumber )
Saya merasakan, jika benarlah wartawan mencatat kenyataan itu dengan tepat, maka apa yang dicatatkan adalah mengelirukan jika dibuat perbandingan dengan kenyataan Mufti Perlis. Selain itu, jika ia kenyataan yang benar, saya kira ia telah membuka aib dan menunjukkan ketidakfahaman mereka yang diberi amanah fatwa tentang isu caj dalam kewangan moden, selain agak ketinggalan dalam menyemak ijtihad dan kajian-kajian terkini Shariah oleh ulama Shariah dan kewangan berwibawa tinggi di seluruh dunia. Wallahu'alam.
Sewajarnya setiap isu kewangan dan Shariah, perlu dibincang bersama dengan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti. Mereka lebih berautoriti, berpengalaman dan berwibawa dalam hal Shariah dan kewangan.
Perlu saya dedahkan di sini, pengalaman saya dan rakan-rakan penasihat Shariah di seluruh dunia. Terdapat antara penasihat Shariah ini yang kerap berhadapan dengan 'permainan', 'helah' dan ayat-ayat mengelirukan dari pihak pengurusan bank, institusi kewangan dan komersial apabila diminta mengesahkan sesuatu produk atau masalah.
Tidak dapat dinafikan sememangnya ada pihak pengurusan yang sengaja berbuat demikian sehingga menyorokkan sebahagian informasi semata-mata untuk mendapat kata 'halal' atau harus' dari pihak Majlis Shariah mereka.
Namun, bukanlah semua pihak berhelah sedemikian, malah ada yang tidak sengaja dan ada juga yang 'tidak endedahkan' sesuatu info secara tidak sengaja kerana menyangkakannya tiada kaitan dengan isu Shariah, bagaimanapun sangkaannya meleset kerana apabila didedahkan, produknya diputus sebagai haram.
Justeru, pihak ulama atau majlis Shariah perlu bijak dan biasa dengan hal seperti ini. Untuk itu mereka yang dibawa berbincang isu caj perkhidmatan, sms judi, pelaburan dan yang sepertinya ini perlu berpengalaman dan memahami istilah-istilah kewangan moden. Selain itu mereka juga patut tahu dan biasa dengan 'muslihat' kerap pihak pengurusan. Juga penting untuk mereka tahu menyoal soalan yang relevan bagi memastikan semakan setiap inci produk sudah difahami sebelum diluluskan.
Bagi memastikan 'kesilapan' yang disengajakan atau tidak ini dari berlaku, ahli Shariah yang berpengalaman dan faham instrumen kewangan moden amat diperlukan dalam sesebauh mesyuarat Fatwa Kebangsaan. Di Malaysia, pakar kewangan moden dan shariah ini kebanyakkannya berkumpul di dalam Majlis Shariah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja dan mereka bukannya ahli di dalam majlis Fatwa kebangsaan. Malah amat jarang dijemput bersama.
Ini penting bagi mengelakkan ulama yang mendengar penerangan dari orang industri tersalah faham lalu menyebabkan salah fatwa.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
30 Julai 2008
Berikut adalah komentar S.S Mufti Perlis berkenaan hal ini.
"Banyak pihak menghubungi saya pada hari ini berhubung dengan pengumuman Pengerusi Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang kembali menghalalkan sistem yang digunakan oleh PTPTN dengan menyatakan ia tidak langgar syarak -seperti yang dilaporkan oleh Utusan pada hari ini (29 Julai 2008).
Untuk pengetahuan, saya tidak hadir pada mesyuarat khas pada 28 Julai 2008 tersebut yang kembali membincangkan kedudukan PTPTN, setelah diputus riba oleh Jawatankuasa yang sama di Alor Setar yang saya juga turut hadir. Dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba.
Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan. Saya sendiri semasa mesyuarat mengingatkan diri sendiri dan semua bahawa fatwa hendaklah bebas daripada tuntutan atau kepentingan mana-mana pihak.
Adapun pengumuman beliau tentang keputusan mesyuarat khas terbaru yang memansuhkan keputusan sebelum ini agak mengejutkan. Oleh kerana pada pengalaman yang lepas, Pengerusi Jawatankuasa tersebut juga pernah mengumumkan tentang kehalalan ASB dengan begitu umum tanpa menyebut bahawa keputusan Jawatankuasa -saya juga turut hadir- yang menuntut terlebih dahulu agar pihak berkenaan menubuhkan jawatankuasa syariah. Saya juga telah mengkritik cara pengumuman itu dibuat.
Untuk kali ini, saya mengambil keputusan menghubungi terus Dato' Pengarah JAKIM untuk mengetahui kedudukan sebenar. Apa yang saya difahamkan, bahawa yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang. Jika begitu, ini tentu berbeza dengan pengumuman tersebut.
Berhubung dengan perkara berkaitan, saya sendiri pernah mencadangkan agar Jawatankuasa Fatwa hendaklah menjemput mereka yang mempunyai padangan yang berbeza dalam sesuatu isu agar berbagai-bagai sudut dapat dilihat sebelum fatwa dibuat".
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites