Kewangan Imam Dijerat Skim Hadiah AF 6 : Apa Sudah Jadi ??! (Kemaskini)

Imam Dijerat Skim Hadiah AF 6 : Apa Sudah Jadi ??! (Kemaskini)

  • PDF
(7 votes, average 5.00 out of 5)

Imam Dijerat Skim Hadiah AF 6 : Apa Sudah Jadi ??!

Oleh 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

Wang Oh Wang

 

Malam semalam ( 22 Mei 08) saya memberikan pengisian kepada sekitar 370 Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) muda yang puratanya telah bekerja sekitar 1-4 tahun.  Sejumlah hampir 50 orang pesertanya terdiri dari non muslim.  Topiknya tidak lain dan tidak bukan adalah berkenaan isu-isu kewangan semasa dan kelebihan kewangan Islam, bukan sekadar untuk Muslim malah untuk Non-Muslim.

 

dewan kuliah 22 mei

 

Gambar : Dewan Semasa Ceramah

 

sesi soal jawab

 

Gambar : Semasa Sesi Soal Jawab 

Berdasarkan kepada soalan-soalan yang ditanya saya kira peserta dapat menerima dengan baik point-point yang disampaikan. Saya juga sempat membawa buku saya "wang, Anda & islam" sebanyak 80 buah untuk dijual  di majlis tersebut. Alhamdulillah semua buku habis terjual!

Seterusnya, pagi tadi (23 mei 08) pula saya mengulas sekitar 15 minit di RTM 1, mengenai persoalan muamalat syubhat dalam kehidupan tika ini. Semasa mengulas soalan-soalan al-fadhil Ust Zamri, di dalam minda saya teringat-ingat beberapa sms bertanya hukum kepada saya, antaranya  :-

"Apa pendapat ustaz tentang menyediakan pelamin di majls perkahwinan bagi tujuan mencantikkan ruang bergambar kenangan, bagaimana upah saya menyiapkannya, halalkah ?"

Dan satu lagi berbunyi :-

"Syarikat saya dipelawa memasuki satu tender direct negotiation  oleh orang dalam satu kementerian. Harganya di suruh markup dari harga sepatutnya. Bolehkah kami terima projek itu dari segi syara?."

 

rtm  22 mei 08

 

Saya berhasrat mengulas situasi tersebut, namun tidak berkesempatan kerana waktu yang sangat pendek. Namun satu isu yang juga menarik adalah isu ‘claim' atau tuntutan kos kepada syarikat. Saya sempat menyentuh beberapa jenis tuntutan yang antara haram dan syubhat. Sebagai contoh :-

a)      Empat pegawai menaiki satu kereta, tetapi setiap seorang membuat claim milage dan minyak kepada majikan.

b)      Pegawai yang layak menaiki teksi, tetapi menaiki bas lalu membuat tuntutan teksi kepada majikan, baki lebihan wang digunakan untuk peribadi.

Banyak lagi situasi dan keadaan yang menjadikan syubhat berlaku dalam pendapatan para pekerja hari ini. Untuk tujuan itu, Ust Zamri menyebutkan sambungan bicara Islam berkenaan Muamalat Syubhat ini akan dibuat pada 6 Jun 2008 inshaAllah.

Namun, dalam keadaan minda saya masih panas berfikir hal ehwal kewangan halal, selepas menunaikan solat Jumaat, sambil makan tengahari saya sempat mencapai Akhbar harian Metro untuk dibaca. Namun tajuk besarnya menjadikan saya kurang selesa. Berikut adalah beritanya:-


Imam terjerat

SUMBER  

KANGAR: "Saya perasan (sedar) kes penipuan ini kerana pernah ternampak notis amaran dilekatkan di bank mengenai sindiket penipuan menerusi SMS Akademi Fantasia 6 (AF6), tetapi entah macam mana saya sendiri boleh terpengaruh," kata Imam Masjid Negeri di Arau, dekat sini, (DELETED).

(DELETED) berkata, beliau bernasib baik kerana hanya memberi satu daripada tiga nombor akaun bank kepada anggota sindiket terbabit yang jumlah simpanannya sedikit berbanding dua akaun lain.

"Saya mempunyai tiga akaun simpanan dan memberi hanya satu daripadanya kepada ahli sindiket SMS ini, tetapi mujurlah jumlah simpanan di dalamnya kecil saja," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Imam terbabit ialah mangsa terbaru yang kerugian RM240 apabila wang terbabit lesap daripada akaun simpanannya selepas diperdaya sindiket penipuan SMS AF6 yang kononnya dikendalikan Astro, Selasa lalu.

 

Mengimbas kejadian itu, (DELETED) berkata, beliau menerima SMS daripada nombor telefon +6281584051 yang tertera ‘From Astro AF6. Nombor Sim Card anda berjaya memenangi RM14,000. Untuk info sila hubungi               0062817705397       ' pada Selasa lalu.

Menurutnya, ketika dihubungi, seorang lelaki bertutur dengan pelat Indonesia mendakwa wakil Astro mengesahkan (DELETED) adalah pemilik kad modul pengenalan pengguna (SIM) bertuah, lalu meminta nombor akaun bank untuk urusan deposit wang hadiah.

"Pada mulanya saya sedikit ragu untuk mengikuti arahan terbabit, tetapi terpedaya dan menyerahkan satu daripada tiga nombor akaun milik saya yang mempunyai nilai simpanan paling sedikit.

"Saya kemudian diminta ke bank dan menghubungi nombor berkenaan untuk kali kedua, tetapi mula meragui dan terus memeriksa baki akaun sebelum mendapati dua transaksi tidak sah dilakukan dengan nilai pengeluaran masing-masing RM120.

"Pelik dengan kejadian berkenaan, saya terus meminta penjelasan bank sebelum dimaklumkan ia kejadian pertama seumpama itu dan terus membuat laporan di Balai Polis Kangar," katanya




Apa pandangan anda setelah membaca berita di atas?

Tanpa dapat saya sorok lagi, terus terang saya berasa malu dan kesal dengan berita di atas, saya bukan kesal kerana tuan imam itu ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab lalu jatuh kasihan dan kesal, tetapi saya rasa malu dan kesal adalah disebabkan hal yang berikut :-

1)    Adakah jika tawaran wang RM 14,000 itu betul-betul diberikan tanpa tipu, adakah anda fikir ia halal ?. Tidak sama sekali kerana ia hasil Akademi Fantasia, satu rancangan hiburan yang bercanggah dengan Islam tanpa khilaf lagi. Namun Tuan Imam masih berminat ?? kekesalan saya yang pertama. Nabi s.a.w bersabda :-

يأتي على الناس زمان لا يبالي ‏ ‏المرء ما أخذ منه أمن الحلال أم من الحرام

Ertinya : "Akan datang satu zaman dimana seorang individu itu tidak lagi memikirkan dari mana sumber perolehan hartanya, samada dari yang halal atau haram." ( Riwayat Al-Bukhari)

2)    Kes ini menunjukkan pengaruh duit free dan cepat, sangat mudah memabukkan orang ramai hari ini. Salah satu ciri mabuk adalah aqal menjadi kurang waras dan tidak dapat berfikir dengan tenang dan tepat.

Saya kesal, kerana RM 14,000 duit free yang ditawar telah mampu dengan mudah menjadikan seorang ahli agama LEMAH pertimbangannya sehingga ‘terlupa' untuk menunaikan hak-hak Islam seperti menyemak kontrak, memastikan apakah asal usul  hadiah free ini? apakah hukumnya ? dan juga bagaimana kewibawaan sms tersebut sebelum menyertainya atau memberikan kerjasama (memberikan nombor akaun).

Terang dan nyata sms itu datang dari luar Negara, apa kena mengena Indonesia dengan AF yang dianjurkan di Malaysia, oleh salah sebuah stesyen televisyen swasta dari Malaysia ? Namun, kemabukan wang cepat menutup segala pintu kewarasan. Saya sangat bimbang.

Ya Allah, kalaulah boleh saya letakkan begini, jika seorang ahli agama dengan semudah itu diperdaya dengan wang cepat tanpa usaha, bagaimanakah keadaan orang awam yang biasanya kurang sedikit pertahanan iman dan spriritualnya ? (tanpa menafikan ramai juga individu yang tidak berlatarbelakangkan agama tetapi mantap ilmu agamanya dan imannya).

3)    Adakah jika seorang ahli agama seperti ini berjaya memperolehi RM 14,000 yang dijanjikan, lalu ia akan dijadikan hujjah oleh orang ramai berkenaan ‘HALAL'nya kaedah perolehan duit ini?  Lalu berbondong-bondonglah orang ramai dan ustaz-ustaz lain pula menyertainya dengan hujjah, "eh kan imam besar dah masuk ni!!" Fitnah terus jatuh ke atas orang agama yang tidak berhati-hati, mereka perlu sedar mereka dijadikan ikutan orang ramai sama ada mereka redha atau tidak.

4)    Mungkin anda tidak bersetuju dengan saya kerana mengkritik imam tersebut, namun saya memang amat kesal dan malu. Malah saya juga mungkin marah kerana nama imam dan masjid telah terpalit dengan kes buruk. Lebih haru apabila tanpa segan silu dipaparkan wajahnya dan nama masjidnya. Bukankah lebih baik tidak perlu mengaku anda seorang imam agar tidak dirosakkan nama baik "IMAM" itu dengan kesilapan diri.

SERTAI TANPA ILMU

Satu lagi kebimbangan saya adalah budaya turut serta tanpa faham dan ilmu oleh umat Islam  dewasa ini. Kes ini jelas membuktikannya berlaku, tanpa memhami hakikat dan rasional disebalik hadiah tiba-tiba, tanpa membuat sedikit semakan. Individu ini sudah percaya dan menyertainya.

Sebenarnya, sifat dan sikap menyertai dan menuruti sesuatu tanpa berfikir dalam ini semakin banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Malah sebahagian besar pensyarah universiti juga tidak terlepas. Ramai pensyarah malah professor yang tidak langsung membaca kontrak pembelian rumah dan kereta mereka. Menurunkan tandatangan tanpa memastikan kandungannya difahami adalah satu kesalahan dalam Islam. 

Saya tahu ramai akan mencari 'excuse' diri, susah nak faham le, bahasa Inggeris tinggi le, tak faham istilah tertentu le, tidak ada masa le dan lain-lain. Apa juga excuse, anda tetap salah menurut Islam. Tidak terlepas juga, budaya ikut-ikut dalam hal ehwal ibadat khusus. ramai yang main ikut sahaja tanpa mengetahui sebab, nas dan rasional.  

Hasilnya, kualiti ibadah diri semakin merudum, peluang ditipu melebar luas.

Ingatlah, ayat pertama Al-Quran adalah "BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU', Ia menunjukkan KEPERLUAN membaca dan memahami sebelum bertindak. 

KESIMPULAN

Saya faham ramai antara kita yang bercita-cita menjadi jutawan sama ada dengan cara segera atau lambat. Ramai menjadi semakin ghairah memperolehinya sehingga melupakan cara-cara perolehan yang halal.

Yang kerap dilihat, disanjung, difikirkan dan dimasukkan dalam hatinya hanyalah kekayaan mereka yang telah berjaya menjadi kaya, jutawan di sana sini.

Malah apabila akhbar hari ini ( 23 Mei 08)  memaparkan sepuluh billionaire Malaysia yang 90 peratusnya bukan beragama Islam. Cita-cita si pembaca menjadi semakin menggunung, sedarkah anda Allah swt mengingatkan kita :-

فَلاَ تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلاَ أَوْلاَدُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ اللّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُونَ

Ertinya : Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyiksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir. ( At-Taubat : 55 )

Akhir sekali, saya bukanlah mengajak pembaca mencemuh tuan imam itu di ruangan komen. Saya hanya ingin kita melihat isu ini lebih besar dari seorang Imam itu. Ini isu kita semua umat Islam. Ia memerlukan tindakan dan bantuan kesedaran dari semua.

Fikirkan..

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

23 Mei 08



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Kewangan Imam Dijerat Skim Hadiah AF 6 : Apa Sudah Jadi ??! (Kemaskini)