Kewangan Doktor, Mekanik & Harga : Halalkah ?

Doktor, Mekanik & Harga : Halalkah ?

  • PDF
(25 votes, average 4.40 out of 5)

Doktor, Saya dan Harga : Halalkah

Pendapatan Doktor?

Oleh

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Mula-mula kaki saya merasa sedikit sakit, saya menjangkakan ianya hanya sakit biasa dan akan hilang sendiri.

Harga di hospital boleh menakutkan
Keyakinan itu menjadikan saya terus buat tidak endah kesakitan di kaki kanan saya, dan terus ke sana  ke mari walapun terpaksa berdengkut-dengkut sedikit.

Petang itu, sakitnya kelihatan bertambah dan amat sukar untuk menahan sakit ketika berjalan. Saya gagahi juga. Sebelah malam ia sampai ke kemuncak, sakit yang tidak dapat ditahan lagi. Sentuh di lantai pun sakit sangat, apatah lagi untuk memijak lantai.

Saya pelik, saya tidak pernah sakit begini, saya juga tidak ada terjatuh, terhentak dan lain-lain yang difikirkan logik boleh menyebabkan kesakitan begini.

Esoknya,  saya ke sebuah pusat perubatan swasta. Malangnya saya tidak tahu untuk bertemu dengan doktor pakar bahagian apa. Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada yang dinamakan doktor ‘pakar kaki'. JIka doctor pakar telinga, mata, tulang, kanak-kanak, jantung, saraf kerap juga saya dengari.

Akhirnya setelah merujuk bahagian pertanyaan, mereka mencadangkan saya bertemu pakar tulang. Maka menunggulah saya di atas kerusi roda beberapa minit, kemudian ambil darah dan urine test, x-ray kaki dan kemudian kembali bertemu doktor . Setelah 3 minit nasihat, saya disuruh pulang dan datang kembali esoknya untuk melihat keputusan.

Sebelum pulang saya dikehendaki membuat pembayaran terlebih dahulu. Bil dikeluarkan dan harganya hampir mencecah RM 400. Kos ‘consultation' doktor pakar tadi selama 5 minit juga mencecah RM 60. Perincian pembayaran juga ada di atas resit.

Apakah hukumnya kos seperti ini?

Jawab saya, inilah ‘gharar' dan ‘Jahalah' dalam harga perkhidmatan. Definisi Gharar menurut istilah Shariah ialah:

ما يكون مستور العاقبة أو الخطر الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم

Ertinya: Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak. (Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani, 5/263 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

Ertinya: "Nabi  melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar"  (Riwayat Muslim, 5/3 )

Jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas samada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, gambaran yang saya beritakan di atas termasuk dalam kategori ‘jahalah' dan boleh juga dikategorikan sebagai ‘gharar' atau ketidaktentuan.

Doktor, Klinik & Pendapatan Syubhah

Pengajaran ringkas saya dari tulisan ringkas ini adalah, para doktor perlu sedar, pendapatan mereka yang dihasilkan dengan cara ini adalah ‘syubhah' manakala sebahagiannya boleh dianggap tidak sah menurut Shariah. 

Saya tidak mengatakan pendapatan cara begini haram, saya cuma nyatakan cara ini kurang baik, syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada gharar fashiyh atau gharar besar yang merosakkan aqad. Saya faham bahawa orang ramai telah biasa dan rela dengan cara ini, maka isu gharar dan kezaliman cara pengiraan ini tidak begitu ketara. Cuma adalah terlebih baik jika ia dapat diperbaiki.

Ini kerana disebutkan oleh ulama islam ketika menerangkan tentang gharar bahawa :-

 باع ما لم ير ولم يوصف له فلم يصح

Ertinya : Kerana ia adalah jualan barang yang tidak dilihat dan tidak disifatkan, maka ia tidak sah ( AL-Mughni , 4/15 )

Justeru, saya bimbang apabila tidak diberitahu harga dan juga tidak ada dimaklumkan cara kiraan atau bencmark kiraan di awal aqad pesakit dan doktor. Ia boleh menjadi gharar yang besar.

Apa yang perlu dilakukan adalah mereka PERLU mendedahkan dengan jelas sebarang kos rundingan atau rawatan sebelum ianya dilakukan. Jika perlu letak gantung di depan pintu, ye sila gantungkan saja. seperti

1 minit - 1 jam : kos rundingan : RM 60 dan sebagainya.

Cara ini dapat mengelakkan dari Jahalah dan Gharar yang besar (gharar fashisyh) dari berlaku dalam pendapatan mereka.

Ramai orang awam yang tidak biasa dengan kos doktor, mungkin sebahagiannya telah biasa dan maklum. Bagaimanapun andaian ‘orang sudah tahu harga' ini tidak menjamin elemen ‘jahalah' dapat dihindari.

Selain kos perundingan, kos ubat-ubatan yang diberikan juga menjadi ‘jahalah' dan ‘gharar' kedua.

Bayangkan, dalam kebanyakkan keadaan, orang ramai langsung tiada ‘kata' @  ‘have no say'  untuk memilih ubat, semuanya di tentukan oleh doktor. Berbekalkan sangka baik kepada para doktor, semuanya redha dengan ubat yang dicadangkan oleh doktor, itu tiada isu.

Isunya adalah ubat-ubatan tersebut mempunyai harga yang pelbagai. Adakalanya kita tidak boleh memilih, sedangkan mungkin wujud ubat yang sama fungsinya tetapi lebih murah. Malangnya, doktor telah menulis kepada farmasi untuk diberikan ubat tertentu, maka pesakit tiada kuasa melihat harga, berbincang harga dan fungsi ubat. Jika boleh berbincang, maka masalah ‘jahalah' dapat dielakkan.

Dalam kes saya di atas tadi, iaitu hari esoknya apabila saya bertandang ke pusat perubatan itu, didapati tiada sebarang masalah pada tulang kecuali asid urik saya yang tinggi. Doktor pakar tulang terus meminta saya berjumpa dengan seorang doktor lain kerana beliau mengatakan sakit kaki saya kemungkinan adalah 'ghout'. Hari kedua ini juga hanya 4 minit bertemu tetapi dikenakan RM 60. 

Rawatan hari pertama seperti harga x-ray tidak saya ketahui, harga ‘urine test', dan ujian darah, semuanya saya tidak ketahui sebeleum rawatan dilakukan. Ye, mungkin saya yang bersalah kerana tidak bertanya, tetapi demikianlah praktis majoriti orang awam, mereka tidak bertanya dan hospital atau pusat perubatan pula tidak memaklumkan. Pesakit sememangnya jarang bertanya, semuanya seolah-olah redha dengan apa juga harga yang diletakkan tanpa banyak soal. Itu bagi yang berkemampuan, bagaimana jika tidak berkemampuan.? Redha begini adalah tidak begitu menepati kehendak Shariah.

Ringkasnya, bagi mengelakkan jahalah dan gharar :-

 

1) Harga rundingan doktor perlu di nyatakan sebelum rundingan bermula.

2) Jenis ubat dan harga setiap ubat yang ingin dicadangkan kepada pesakit perlulah diberitahu.

3) Semua harga rawatan, pembedahan dan yang berkaitan perlu dimaklumkan sebelum ianya dilakukan.

Lebih malang lagi, ada sesetengahnya yang seperti mensyaratkan atau seolah mensyaratkan perkhidmatan ini dengan ubat ditempatnya sahaja. Ini sekali lagi membawa masalah Shariah di dalam industri perubatan apabila pesakit seolah dipaksa secara pakej untuk berubat dan membeli semua ubat yang dicadangkan tanpa sebarang soal. Biasanya pesakit memang tidak menyoal kerana mereka sakit dan hanya ingin sembuh secepat mungkin. Saya Cuma bimbang hasrat ingin sembuh ini menyebabkan mereka dinafikan hak untuk mengetahui harga ubat dan hak memilih.

Mekanik Kereta

Isu yang sama juga berlaku dalam industri servis kereta. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah syarikat servis yang bagus apabila mereka pasti memberitahu pelanggan kos-kos yang terlibat sebelum sebarang servis dan pembaikan dibuat. Jika begini, alhamdulillah ia bertepatan dengan Shariah.

Masalahnya, ada juga yang sewenangnya menukar minyak gear, itu ini , tanpa memaklumkan kepada pelanggan, akhirnya pelanggan terpaksa membayar harga tinggi, sedangkan ia tidak bersetuju untuk menukar bahagian tertentu mungkin.

Maka, pendapatan para dokotr, klinik, hospital, mekanik kereta dan sapa juga yang mempunyai ciri pendapatan begini. Anda perlulah membuat perubahan dengan membuat pemakluman harga serta mendapatkan persetujuan pelanggan dengan lebih kerap. Ia menjamin harta dan  pendapatan yang halal.

Adapun bagi orang awam pula, bagi mengelakkan anda terjebak dalam perkara syubahh ini, pastikan anda bertanya harga itu dan ini dengan jelas sebelum membut servis atau berubat.

Perunding & Peguam

Selain dua kumpulan yang saya nyatakan tadi, perunding mortivasi atau keluarga atau perancangan kewangan dan juga peguam juga perlu menyemak akan hal 'consultation fees' mereka. Adakah ianya di maklumkan di peringkat awal atau tidak. Jika tidak, ianya semua adalah pendapatan yang syubhah dan amat mudah jatuh kepada haram menurut Shariah.

 Wallahu ‘alam

Sekian

Ust. Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

3 Jun 2007

11.58 pm



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 10 guests

Komen Terbaru

You are here: Kewangan Doktor, Mekanik & Harga : Halalkah ?