Kakitangan Awam & Cukai Halal Haram
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Soalan
Berdasarkan
apa yang ustaz tulis sebelum ini, apa yang saya faham tanggungjawab pengutipan
cukai tersebut adalah daripada pemerintah. jika pemerintah mencampuradukkan
wang kutipan halal haram tersebut, dosa tersebut ditanggung oleh mereka
sendiri,walaupun kutipan cukai yang paling banyak boleh dikatakan datang
daripada Genting group.
Kakitangan kerajaan pula selagi mana melakukan kerja secara halal, selagi itu
wang tersebut halal, walaupun dari segi peratusan kutipan cukai haram melebihi
yang halal. begitu ker ustaz? Saya muskil dari segi peratusan, jika peratusan
yang haram melebihi daripada yang halal (memandangkan syarikat besar banyak
milik Cina). Adakah hukumnya sama?
Jawapan
Jawapan saya sebelum ini yang dirujuk oleh penyoal, sila buka di sini .
Benar,
selagi mana terdapat peratusan halal, selagi itu kakitangan awam tidak perlu
bimbang berkenaan pendapatan gajinya selama mana kakitangan tadi tidak bertugas
membantu yang haram atau memperolehi pendapatan dari jalan haram seperti
rasuah, hadiah yang berkait dengan jawatannya dan sebagainya.
Mungkin ada yang akan menyoal, bagaimana jika gaji keseluruhan kakitangan
mengambil 30 % dari hasil kerajaan, dan cukai daripada sumber halal adalah
hanya mencecah 10 % dari keseluruhan cukai.
Itu soalan yang relevan, pertamanya saya tidak mempunyai statistic ini untuk memmastikan
sama ada andaian itu betul atau salah, keduanya jika benar skealipun andaian
peratusan kumpulan wang cukai tadi, pendapatan kerajaan tidak terhad kepada
cukai sahaja, malah terdapat banyak bentuk pendapatan kerajaan yang lain.
Sekali lagi pasti timbul, semua pendapatan lain turut datang dari sumber
bercampur. Maka jika itu berlaku, kakitangan awam dan orang awam tidaklah
dituntut untuk mengkajinya dengan terperinci kecuali jika dimaklumkan sendiri
oleh kerajaan secara terbuka. Selagi ia bukan informasi yang terbuka dan mampu
diperolehi, tatkala itu, hukum harus gaji kakitangan awam adalah kekal.
Mungkin akan pula yang berkata
"tidak dapat diketahui kakitangan mana yang akan dapat bahagian halal terlebih dahulu, dari pendapatan kerajaan tadi, Justeru bagaimana dengan kakitangan yang terpaksa menerima bahagian dari yang haram ?".
Isu ini juga tidak timbul kerana sekali lagi ia tergolong dalam tanggjungjawab pembuat dasar dan diluar kemampuan orang biasa untuk memperolehi maklumat serta ia juga tidak dituntut ke atas kakitangan awam untuk mengkajinya. Selain itu, ia turut boleh dianggap tergolong dalam kategori 'umum al-balwa' yang merupakan salah satu cabang rukhsah atau keringan atau kesalahan dimaafkan menurut Islam akibat ketidakmampuan untuk elak dan dijaga dalam keadaan biasa.
Antara definisi Umum al-Balwa adalah :
شمول وقوع الحادثة ـ مع تعليق التكليف بها ـ بحيث يعسر احتراز المكلفين أو استغناؤهم عن العمل بها الا بمشقة زائدة تقتضي التيسير والتخفيف.. أو يحتاج جميع المكلفين ـ أو كثرتهم ـ إلي معرفة حكمها
Ertinya : Menyeluruhnya berlaku sesuatu perkara yang terlalu amat sukar bagi seorang mukallaf mengelakkan diri dari melakukannya, atau ia berhadapan dengan kesukaran tambahan yang menuntut keringanan, atau terlalu sukar untuk orang ramai mengetahui hukumnya secara tepat.
Konsep ini sebenarnya duduk di bawah kaedah Umum Fiqh iaitu
المشقة تجلب التيسير
Ertinya : Kesukaran yang bersangatan boleh membawa kepada keringan (dalam hukum)
Namun Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi mengatakan dengan jelas bahawa kaedah ini tidak terpakai dalam perkara harian yang telah putus hukumannya dengan jelas ( Qat'ie) seperti zina, rompak, rasuah, riba, bunuh, homoseksual, liwat dan banyak lagi.
Imam al-Ghazzali berkata :-
أن يكون الاحتراز أو الاستغناء عنها فيه مشقه وصعوبة نظرا لاشتباهه بغيره من الحلال والمباح واختلاطه به وامتزاجه معه بحيث يصعب الانفكاك منه كما هو ظاهر في بعض صور النجاسات والمستقذرات واختلاط الأموال
Ertinya : iaitu apabila untuk menjaga dan mengelak diir darinya menjadi terlalu sukar, disebabkan kekeliruan dan percampurannya antara halal dan haram, sehingga terlalu sukar diasingkan sebagaimana yang berlaku dalam beberapa bentuk percampuran najis, kotoran dan juga percampuran dalam harta (antara halal dan haram)
Antara bentuk lain dalam kes ini adalah :-
1) Tawaf di bahagian atas masjidil haram
2) Menggunakan jadual waktu solat bagi menentukan masuk dan habis waktu.
3) Menggunakan kompas bagi mencari arah ka'abah.
4) Menonton televisyen.
5) Wanita bekerja dan terlibat dalam nafkah keluarga.
6) Mencukur janggut dan jambang.
Dan lain-lain lagi. Namun demikian, penggunaan kaedah Umum al-Balwa diikat dengan pelbagai syarat dan di sini bukanlah tempat yang sesuai untuk saya jelaskannya dengan terperinci.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
14 Feb 2009
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites