Hal Ehwal Riba Tuduhan: Riba & Jual Beli Adalah Sama

Tuduhan: Riba & Jual Beli Adalah Sama

  • PDF
(6 votes, average 5.00 out of 5)

Tuduhan: Riba & Jual Beli Adalah Sama

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

jualan.jpg

 

Sejak zaman baginda Nabi s.a.w lagi, golongan kafir Quraisy dan munafiq mempertikaikan perbezaan di antara riba dan jual beli. Oleh yang demikian, tidak hairan terdapat individu di zaman moden, yang turut berfikiran seperti golongan Jahiliyah ini. Pertikaian mereka direkodkan oleh Allah swt sebagaimana berikut :-

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا

Maksudnya : ..disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba,

  (Al-Baqarah : 275)

Menelurusi penulisan dan keterangan para ulama, pertikaian ini timbul disebabkan hal berikut:-

  1. Jika sekiranya riba itu haram, maka tentulah jual beli juga menjadi haram, ini kerana jual beli juga turut menghasilkan sesuatu yang lebih, iaitu modal berbanding dan margin keuntungan. Manakala bagi riba, pokok pinjaman dan kadar bunganya. [1]
  2. Jika sekiranya jual beli itu halal, pastilah riba juga wajar menjadi halal, bahkan riba itu lebih jelas berbanding jual beli, sehinggakan jualbeli disamakan dengan riba dan bukan sebaliknya. At-Tabari mengatakan inilah tahap buruk dan melampaunya puak kafir, sebenarnya mereka sengaja menjadikan riba sebagai rujukan perbandingan dan bukan yang dibandingkan.[2]
  3. Riba dikatakan menyamai jual beli secara muajjal (bayaran tangguh), iaitu apabila dijual satu barang dengan harga tunai sebanyak RM100, manakala RM150 jika bayaran bertangguh.[3] Malangnya, pertikaian ini juga diterima oleh beberapa pemikir Islam semasa sehingga menghalalkan pertambahan bagi kedua-dua pinjaman kewangan dan juga jual beli. Hasilnya, faedah bank bagi simpanan wang di bank-bank konvensional dianggap halal.[4] Mereka menjadikan keharusan kenaikan harga pada kontrak jual beli bertangguh sebagai hujjah dan asas keharusan.

 

Melihat beberapa jawapan ulama silam, kita akan dapati bahawa Al-Qaffal As-Syafie telah berjaya menerangkan perbezaan antara jual beli dan riba dengan baik, beliau berkata [5] :-

 

Di dalam jual beli : Apabila seseorang menjual sehelai pakaian yang bernilai (modal) sepuluh (dirham sebagai contoh), dengan harga dua puluh dirham, maka baju tersebut adalah sebab untuk pihak penjual memperolehi harga dua puluh dirham tadi. Oleh itu, sekiranya diperolehi redha dari kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli, akan termeterai kontrak pertukaran pemilikan harta (pada wang dan pakaian) di antara keduanya. Kedua-dua pihak tidak mengambil milik yang lain tanpa balasan material.

Di dalam pinjaman dengan faedah : jika seseorang memberikan pinjam sepuluh dengan mengambil lebih dari sepuluh dirham pula tanpa sebarang pertukran milik harta sebagai baju dalam kes jual beli di atas, kini apakah sebab yang membolehkan pemberi pinjam untuk mengambil lebih daripada apa yang diberi?

Kita tidak boleh mengatakan ‘penangguhan pulangan' untuk sesutau tempoh itu sebagai harta, kerana ‘penangguhan' itu sendiri adalah bukan sebuah harta yang mempunyai nilaian tersendiri. Atas sebab itu, tiada sebab untuk pemberi pinjam mendapat lebihan sebanyak sepuluh dirham tadi.

Dengan itu, kita sepatutnya telah dapat memahami perbezaan antara jual beli tangguh yang berasaskan asset, berbanding pinjaman riba tangguh yang tidak didasari aset.

Selain Al-Qaffal,  Fakhruddin Ar-Razi dan Al-Baidawi turut memberikan penjelasan tambahan : 

Dalam jual beli; seseorang yang menjual sesuatu aset yang bermodal 10 dinar dengan harga 11 dinar, dia telah memberikan pembeli peluang dan kemudahan hasil dari barang yang dibeli  sama ada untuk dirinya atau untuk diniagakan, atas sebab itu penjual berhak untuk mendapat bayaran lebih berpunca dari satu nilai kebaikan pada aset yang diberikan. Itu juga adalah sumber untuk perolehan keuntungan halal serta beredarnya harta di dalam sebuah masyarakat.

Dalam pinjaman : Seseorang peminjam yang membayar lebih atas pinjamannya, tidak beroleh sebarang manfaat kecuali hanya berpeluang memanfaatkan wang pinjaman yang diperolehinya. Walaupun dia boleh berniaga menggunakan wang tersebut sebagai modal lalu mendapat keuntungan, namun ia tidak dapat lari dari proses jual beli aset dan barang, 

Mungkin ada yang mengatakan si peminjam boleh mendapat keuntunagn dengan cara memberi pinjam kepada individu lain dengan riba. Jika begitu cara pendapatan keuntungan, bayangkan kesan yang akan berlaku kepada masyarakat. Pertumbuhan ekonomi di dalam sesebuah Negara akan pasti sukar disebabkan tiadanya proses jual beli berdasarkan real asset atau barangan sebenar. Atas sebab itu, jual beli amat berbeza dengan pinjaman dengan riba.

Syeikh Ibn Asyur pula cuba menambah pula apabila menegaskan perbezaan juga boleh dilihat daripada keadaan diri peminjam dan pembeli. Kebiasaannya, seorang pembeli adalah golongan yang mempunyai wang dan berhajat kepada sesuatu barangan, manakala peminjam biasanya akan menggunakan wang pinjaman untuk keperluan dirinya. Justeru, mengambil keuntungan atas pemberian pinjam tidak lain kecuali menambah tekanan kepada golongan miskin, justeru ia diharamkan dan ia tentunya berbeza dengan jual beli. [6]

Namun begitu, hujah yang dikemukakan oleh Ibn Asyur mungkin sukar diterima oleh keadaan perniagaan masakini yang mana menyaksikan begitu ramai ushaawan besar dan kecil meminjam untuk bisnes mereka.

Justeru itu, saya berpendapat hujah yang dikemukan oleh Al-Qaffal, Ar-Razi dan Al-Baidhawi sudah cukup jelas memberikan letak duduk perbezaan yang sebenar, menolak dakwaan puak musuh Islam di zaman Nabi s.a.w. Dakwaan yang juga diterimapakai oleh ramai indifivdu di zaman ini yang sering menafikan perbezaan di antara keduanya.

Kesimpulannya, perbezaan di antara keduanya adalah :-

Pinjaman Riba

Jual beli

Pertukaran antara jenis yang sama iaitu matawang dengan matawang

Pertukaran antara dua yang berbeza, iaitu aset dengan matawang

Pertukaran wang kepada wang yang lebih banyak kepada pemberi pinjam hanya pusingan duit yang sama, tiada peluang kekayaan dibina untuk yang lain selain pemberi pinjam. Hanya (wealth transfer)

Jualan aset membentuk peluang kekayaan kepada banyak pihak (wealth creation)

Pinjaman adalah kontrak belas ehsan (Irfaq)

Jual beli adalah kontrak perniagaan pertukaran harta.

Pulangannya tetap

Pulangannya tidak tetap

Pinjaman adalah sebuah aktiviti yang berasingan daripada pertumbuhan sebenar

Aktiviti jual beli berkait dengan perniagaan aset sebenar.

Keuntungan diperolehi hasil tempoh penangguhan yang diberi

Keuntungan diperolehi hasil barang yang dijual dan manfaatnya

 

 

 

Atas sebab itulah Allah swt menolak dakwaan penyerupaan antara jual beli dan riba dengan firmannya yang jelas :

وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Ertinya : Dan dihalalkan jual beli dan diharamkan riba ( Al-Baqarah : 275)

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 Sha'ban 1430 H

04 Ogos 2009

 



[1] Al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, Muhammad az-Zarkasyi (tahqiq Ibrahim Abu Al-Fadhl), Dar al-Makrifat, Beirut, jil 3, hlm 427

[2] Jami'ul Bayan, Muhammad Bin Jarir At-Tabari, 3/82

[3] Mafatihul Ghayb, Ar-Razi, hlm 76; Tafsir Al-Manar, Rasyid Redha, 3/107

[4] Majallah Liwa al-Islam, Abd Wahab Khallaf, Rejab 1370 H ( 1951)

[5] Mafatihul Ghayb, Muhammad Bin Umar Ar-Razi, Dar Kutub Ilmiah, Beirut, 2005, hlm 3/277

[6] At-Tahrir wa At-Tanwir, Tohir Ibn Asyur, Dar Suhnun, 3/85



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Hal Ehwal Riba Tuduhan: Riba & Jual Beli Adalah Sama