Hal Ehwal Riba Rasa Dizalimi Bukan Penentu Riba

Rasa Dizalimi Bukan Penentu Riba

  • PDF
(14 votes, average 5.00 out of 5)

Zalim Bukan Penentu Riba

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

(Nota : Perbincangan dalam artikel kali ini adalah sedikit berat bagi mereka yang tidak biasa walaupun saya telah cuba memudahkannya sedaya mungkin. Persediaan minda dan pembacaan teliti satu demi satu beserta faham diperlukan)

Ramai yang terkeliru dalam hal ini, ada yang mengatakan bahawa setiap kezaliman dalam urusan kewangan adalah riba.

"Bukankah riba itu diharamkan kerana zalimnya" kata seorang pelajar sarjana Shariah kepada saya.

"Oo tidak, saudara tersilap faham. Mengelakkan kezaliman bukanlah ‘illah kepada riba tetapi ia hanyalah hikmah dan wisdom disebalik pengharaman riba. Ia adalah dua perkara yang berbeza" Ulas saya

" errmm tak faham" dia membalas lemah.

 

duit oo duit

Untuk memahami perbezaan, kita perlu memahami apa itu ‘illah dan apa syarat-syaratnya. Secara ringkas, ‘illah itu bolehlah dikatakan sebagai satu asas atau sifat yang standard.

Apabila sifat ini ('illah) ada dalam sesuatu transaksi, maka hukumnya akan mengikutnya lalu menjadikan transaksi atau tindakan itu haram, makruh atau halal dan sebagainya.

Disebutkan dalam kaedah Fiqh :-

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

Ertinya : Hukum (dalam Fiqh Islam) itu berpusing (mengikut) 'illah nya, jika terdapat illahnya maka hukumnya juga ada, jika ‘illah tu tiada maka hukum juga tiada.   (‘Ianah At-Tolibin, 2/290 ; Nihayatul Muhtaj, 3/292 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 24/159)

CONTOH MUDAH, ARAK.

‘Illah pengharaman arak adalah mabuk.  Manakala hikmah disebalik pengharamannya arak yang memabukkan ini adalah untuk menjaga aqal manusia.

Justeru itu, semua benda yang memabukkan minda apabila diminum atau makan (bukan dengan tujuan perubatan - ia punyai perbincangan lain) adalah dikira arak yang haram. Apabila minuman dan makana itu tidak memabukkan sama ada banyak atau sedikitnya, ia bukanlah arak dan tidaklah haram. 

HUKUM MUSAFIR 

Demikian juga hukum musafir yang layak mengqasarkan solat.

Apakah ‘illah perjalanan untuk dikategorikan sebagai ‘musafir'?

Perlu difahami, bukanlah kesusahan perjalanan, lelah dan letih atau ‘masyaqqah' dalam perjalanan yang menyebabkan sesuatu perjalan itu diiktiraf sebagai ‘musafir'(dari sudut hukum) sehingga layak diberikan kemudahan qasar solat.

Ini kerana kesusahan adalah berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain. Ketidaktentuan inilah yang dinamakan ‘TIDAK STANDARD', sekaligus menyebabkan "susah" tidak boleh dijadikan ‘illah dalam mengenalpasti sesuatu perjalanan itu ‘musafir' atau tidak.

Majoriti ulama bersetuju jarak kilometer tertentu atau dua marhalah adalah yang paling sesuai dianggap sebagai ‘illah bagi menentukan satu perjalanan itu musafir atau tidak. Justeru, setiap perjalanan yang mencecah dua marhalah (2 marhalah bersamaan dengan 84 atau 85 kilometer) mazhab Hanafi pula mengatakannya 90 kilometer (Al-Majmu', 4/322 ; Fiqh Islami Waadillatuh, Az-Zuhayli)

Justeru apa sahaja perjalanan yang akan mencecah 85 KM secara automatik digelar musafir di dalam Islam, lalu layaklah untuk qasar solat dalam perjalan sebegini tanpa mengira sama ada perjalanan itu sukar atau tidak, meletihkan atau tidak.

BAGAIMANA PULA RIBA ??

Adakah zalim sesuai dijadikan ‘illah ?. Jika sesuai ini bermakna setiap yang zalim itu riba?.. Para ulama bersepakat bahawa ‘zalim' tidak sesuai kerana ia adalah satu sifat yang tidak mundabid (standard). 

Dikenakan faedah (interest) sebanyak RM 500 ke atas pinjaman RM 1 juta mungkin dinggap tidak zalim menurut logik aqal berbanding jika dikenakan RM 200,000. terutamanya jika si peminjam seorang usahwan berjaya.

Namun RM 500 yang sama juga mungkin akan dianggap zalim bagi usahawan yang belum maju. Oleh kerana itu, jika zalim dijadikan illah kepada riba, hukum akan menjadi permainan dan sentiasa berubah mengikut nafsu manusia. Ramailah pula yang mendakwa dizalimi dan ramai pula yang mengatakan tidak.  

Saya masih ingat, tercatat di dalam kitab Usul Fiqh yang unggul bertajuk Al-Mustasfa karangan Imam Abu Hamid Al-Ghazzali, kisah seorang raja yang melakukan kesalahan bersetubuh disiang hari bulan Ramadhan.

Hukumannya adalah berdasarkan hadis sohih ini :-

جاء رَجُلٌ إلى النبي  فقال إِنَّ الآخر وَقَعَ على امْرَأَتِهِ في رَمَضَانَ فقال أَتَجِدُ ما تُحَرِّرُ رَقَبَةً قال لَا قال فَتَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قال لَا قال أَفَتَجِدُ ما تُطْعِمُ بِهِ سِتِّينَ مِسْكِينًا

Ertinya : Datang kepada nabi seorang lelaki yang telah menyetubuhi isterinya di siang hari Ramdhan 

Nabi bertanya, : Adakah kamu mempunyai hamaba untuk dibebaskan ?

Lelaki berkata : "Tiada"

Nabi membalas : Adakah kamu boleh berpuasa 60 hari berturut-turut ?

Lelaki : Tidak berupaya wahai rasul.

Nabi membalas : Adakah kamu mempunyai makan yang boleh memberi makan 60 orang miskin?.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1835, 3/ 684 )

Justeru, pandangan majoriti ulama. Kaffarah atau denda bagi kesalahan itu, mestilah mengikut tertib yang tercatat di atas. 1) membebaskan hamba 2) puasa 60 hari berturut 3) memberi makan 60 orang miskin.

Apabila raja merujuk kepada qadhi, sang qadhi terus memberikan hukuman puasa 60 hari berturut kepada raja dengan alasan hukuman pertama terlalu amat mudah bagi raja kerana ia kaya dan mempunyai ramai hamba. Lalu dibimbangi ia tidak akan memberikan sebarang kesan kepada sang raja. Tindakannya berdasarkan maslahat yang dilihatnya lebih penting dari berpegang kepada nas hadis yang menyebut bebaskan hamba terlebih dahulu.

Anda mungkin bersetuju dengan tindakan qadhi tadi. Betul tak ?

Namun tindakan qadhi ini telah dijadikan contoh popular bagi semua yang mempelajari ilmu usul fiqh..iaitu contoh bagaimana ‘maslahat mulgha' (maslahat yang tertolak) atau "kepentingan" yang disalah gunakan sehingga melanggar nas hadis yang specifik memberikan tertib hukuman kaffarah . Tindakan qadhi ini ditolak oleh ulama Usul Fiqh.

Imam Al-Ghazzali berkata semasa memberi komen terhadap kes di atas :-

فهذا قول باطل ومخالف لنص الكتاب بالمصلحة وفتح هذا الباب يؤدي إلى تغيير جميع حدود الشرائع ونصوصها بسبب تغير الأحوال

Ertinya : Tindakan dan kata-kata seperti tadi (keputusan tadi) adalah pendapat yang batil serta bercanggah dengan nas dari Al-Quran berselindung di sebalik nama maslahat, sebarang tindakan membenarkannya berlaku akan menyebabkan perubahan seluruh undang-undang Syariat dan nasnya atas sebab perubahan lokasi dan masa. ( Al-Mustasfa Min ‘Ilmi Al-Usul, 1/216, cet Ihya At-turath Al-Arabiy)

Lihat!.. apabila nas sudah jelas..tiada elemen logik, redha dan perasaan kemanusiaan boleh masuk campur untuk membatalkannya. Kecuali dalam isu-isu hukum yang terbuka untuk itu, tetapi tidak dalam isu ini dan juga riba.

Ada yang cuba berhujjah dengan saya kononnya riba di institusi kewangan riba atau konvensional tidak mahal, kemudian ada pula yang mengatakan riba sekadar 3 % bagi pinjaman rumah dan pelajaran tidak sewajarnya diharamkan kerana ia memberi manfaat kepada peminjam. Justeru ia tidak riba kerana tidak zalim dan memperolehi redha kedua-dua pihak.

"Yang riba dan zalim adalah Institusi Kewangan Islam yang mencecik darah dan mahal." demikian kata-kata mereka yang terkeliru akibat ilmu yang kosong di dada.

Silap..!.

Dalam mengenal pasti dan menentukan riba, illahnya jelas dari nas hadis..

Iaitu :-

1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -

a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang haram.

b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.

2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-

a- Pertukaran matawang dengan matawang lain

b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.

Itulah illah yang disepakati oleh majoriti ulama, ia bersifat standard dalam semua keadaan bagi semua orang, semua benua dan negara. Tidak terkesan dengan nafsu seseorang. 

Saya akui, agak sukar untuk saya memudahkan penerangan ini dalam bentuk tulisan ringkas ini. Penerangan secara verbal mungkin lebih mudah. Namun saya masih berharap pembaca yangtidak mempunyai latar belakang ilmu Usul Fiqh mampu memahaminya.

REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?

"Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?" Berkerut dahi student saya ketika bertanya di luar kelas di UIAM.

Saya membalas :

"Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan redha dan rela hati mereka."

"Sama seperti zina.!, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan redha dan rela..Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia Hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka" jawab saya.

ASAL HUKUM TRANSAKSI KEWANGAN DI BANK ADALAH HARAM

Ada pihak yang cuba bermudah-mudah dengan mengambil kaedah fiqh yang menyebut

"Asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan haram"

Namun, perlu difahami secara halus kaedah tersebut. Yang paling tepat, kaedah ini sememangnya terpakai tanpa syak lagi buat semua perkara ciptaan Allah swt. Sepeprti hukum makan tupai, apakah hukumnya?..justeru selagi tiada nas yang haram, dan tidak pula memudaratkan. Ia kekal sebagai hukum HARUS DAN HALAL. Demikian aplikasinya.

Namun dalam instrument kewangan moden di bank khususnya, para ulama kontemporari mempunyai pendapat lain. Dr Md Daud Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia) pernah menyebut dalam bengkel Muzakarah Cendiakawan Shariah Nusantara, bahawa asal hukum semua transaksi kewangan di bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.

 

Bersama Dr Mohd daud Bakar di Bengkel Shariah Bank Negara malaysia

 

Saya bersetuju seratus peratus dengan pandangan beliau.  Ini kerana instrument kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakkannya adalah hasil ciptaan Yahudi dan puak kapitalis yang sentiasa menjadikan riba, gharar dan judi sebagai tapak ciptaan instrument kewangan moden ini.  

Objektif utama mereka bagaimana ingin mencipta lebih banyak wang untuk mereka tanpa mengira kesan kepada orang lain. Pasaranlah yang akan menentukan kesannya kelak.

Hasilnya, adalah amat wajar dan tepat bagi ulama menganggapnya haram selagi belum dibuktikan harus dan halal.

 

Susana bengkel bersama pakar-pakar Shariah & Kewagan Islam dari Malaysia, Thailand & Indonesia

 

 

Pengalaman meneliti produk kewangan moden yang wujud hari ini amat tepat bagi membuat keismpulan, amat sukar untuk disah halal sesuatu skim dan produk kewangan itu. Jika ingin menjadikannya halal mesti akan perlukan banyak atau sedikit modifisikasi. Setelah modifikasi barulah ia mampu menjadi harus dan halal.  

Akhirnya, kerana sebab itulah umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan bank-bank Islam dan Takaful. Mereka mempunyai pakar Shariah yang ditugaskan memantaunya serta mengambil tanggungjawab didunia dan akhirat.

 

Hari kedua, persidangan penuh selepas bengkel . 2008

 

 

Tanpa pakar Shariah yang menelitinya, setiap individu bertanggung jawab sendiri di akhirat untuk menjawab berkenaan keterlibatannya dengan sebarang skim pelaburan dan bank. Tiada excuse boleh diberikan. Hidup hanya sebentar, jangan leka dengan sebarang skim riba yang memukau nafsu cintakan harta.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

21 April 2008



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 7 guests

Komen Terbaru

You are here: Hal Ehwal Riba Rasa Dizalimi Bukan Penentu Riba