Hidangan Pemilik Harta
Haram : Pandangan Islam ?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Ada yang bertanya saya samada boleh menghadiri rumah seorang rakannya yang menjemputnya ke satu kenduri sebagai meraikan rakan-rakan lamanya. Bila saya bertanya mengapa tidak?. Dia memberitahu saya tuan rumah yang menjemput amat dikenali seorang yang terbukti kaki rasuah, judi dan amat diyakini hartanya haram.
Bolehkah makan di rumah orang yang mempunyai lambakan harta haram?
"Kerjanya saya tahu haram, dia kerja di kelab malam dan artis yang mendedahkan semua auratnya" kata seorang penanya lagi.
Bolehkah membeli dan menjual dari dan kepadanya?
Isu ini berkait dengan artikel berkenaan hukum beli barangan Yahudi, McDonald, Tesco dan lain-lain. Justeru sebahagiannya telah terjawab manakala bakinya akan saya huraikan ringkas di artikel ini.
Sebahagian para ulama silam kelihatan cukup tegas ketika menerangkan hukum menerima jemputan dan berurusan dengan orang berharta haram, pandangan mereka seperti berikut:-
1) Jika harta haram hasil rompakan, rampasan, curi, Riba ; Tatkala itu tidak harus berurusan dengannya samada jual dan beli, tidak halal jua untuk memakan makan hidangannya, pakaian yang diberinya dan tidak harus juga meneirma hadiah darinya, tidak harus juga mengambil atau member hutang dari dan kepadanya.
2) Jika harta yang haram tadi telah tiada dalam simpanannya, dan hanya berbekas dosa di hatinya sahaja iaitu akibat perbuatannya. Sekiranya seluruh hartanya adalah haram para ulama menegaskan hukum haram berurusan dengannya, sekiranya majoriti hartanya haram maka sebahagian ulama mengharuskan urusan dengannya. Manakala sebahagian ulama lain mengharuskannya, sebahagian yang lain pula hanya menyebutnya sebagai makruh. ( Al-Qawaid, Izzudin Abd Salam, 1/84-85 ; Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali, 4/191 )
Majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim dari mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan Ibn Taimiyah menetapkan bahawa adalah harus melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram jika majoriti modal itu datang daripada sumber yang halal.
Imam Ibn Nujaim pula berkata: "Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatannya adalah halal, maka tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama mana tiada sebarang tanda yang jelas menunjukkan ia adalah haram. Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya adalah haram, maka tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali setelah disahkan kebersihannya(halal). (Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair, hlm 125). Imam Ibn Quddamah pula berkata: "....Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu adalah daripada sumber/modal yang halal, maka ia adalah halal." (Al-Mughni, 4/334).
Ulama terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat bahawa adalah DIBENARKAN SECARA TOTAL untuk bertransaksi dengan pemilik kepada pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian yang halal dalam modal tersebut adalah majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal, ms 116).
Dalil-dalil mereka amat banyak, antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19) :-
a) Rasulullah SAW telah bertransaksi dengan para sahabatnya dari kalangan penduduk Mekah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak-puak Kafir. Tidak pernah di dengari sebarang tegahan Rasulullah SAW untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka adalah dari sumber haram.
b) Telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah dari kalangan arab badwi yang syirik tatkala itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
c) Semasa Nabi SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi dari kalangan penduduk Madinah dan arab-arab Badawi yang menghalalkan perkara-perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka adalah haram, sudah tentu baginda akan menegah dari awal lagi.
d) Taqrir (pengakuan) Nabi dengan membiarkan para sahabat berurusan kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah suatu dalil.
e) Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram dan halal hartanya, sudah tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan Muslim yang bercampur hartanya.
f) Para sahabat Nabi juga berurusan dengan perompak-perompak Madinah di zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali, 2/164)
g) Jika muamalah seperti ini dihalang, sudah tentu keadaan yang amat sukar akan berlaku kerana di akhir zaman seperti ini, sememangnya amat sukar bagi mencari sesebuah syarikat yang 100 % halal pendapatannya ( Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas, hlm253 )
Bolehkah kita tahu semua hartanya haram?
Saya kira agak sukar bagi kita untuk mengatakan harta dan pendapatan seseorang itu semuanya haram. Mungkin kerjanya dalam bidang yang haram tapi itu tidak semestinya seluruh pendapatannya dan wang simpanannya haram.
Jika pandangan yang mengatakan haram berurusan dengan individu yang hartanya bercampur diaplikasikan dan difatwakan, kita akan dapati sudah tentu seluruh umat Islam akan ditimpa kesusahan yang tiada taranya lagi. Tidak dapat dinafikan terlalu ramai umat Islam yang hartanya bercampur apatah lagi orang bukan Islam.
Ibn Masud pernah ditanya :-
قال جاء رجل إلى عبد الله يعني بن مسعود فقال إن لي جارا ولا أعلم له شيئا إلا خبثا أو حراما وأنه يدعوني فأحرج أن آتيه واتحرج ان لا آتيه فقال ائته أو أوجبه فإنما وزره عليه
Ertinya : Aku mempunyai seorang jiran dan tidak ku ketahui berkenaan hartanay kecuali semuanya haram dan kotor, dan dia menjemputku (ke rumahnya) aku merasa sukar untuk hadir dan sukar juga untuk tidak hadir. Berkata Ibn masu'd : Terima dan hadirlah jemputannya sesungguhnya dosa-dosa ( dari harta haram tadi) adalah tanggungannya sahaja" ( Riwayat Al-Baihaqi, 5/335 ; Al-Baihaqi berkata sanad riwayat ini tidak kukuh)
Mengamalkan pandangan tegas seperti pengharaman sudah pasti boleh menyebabkan kehidupan umat Islam dan lainnya akan terhenti.
Justeru, pandangan yang mengharamkan berurusan dengan individu harta bercampur dilihat terlalu ideal serta seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata. Terlalu sedikit umat Islam yang mampu melaksanakannya.
Tidak dinafikan, adalah amat baik untuk mendisplinkan diri dengan hukum yang lebih tegas, tetapi saya kira mengamalkan pandangan tadi menyebabkan anda tidak akan ke kedai, kenduri kahwin, aqiqah, korban, rumah jiran dan pelbagai. Pastinya ia akan membantutkan kehidupan manusia biasa.
Tiadalah juga jual beli di pasar kerana majoriti manusia sememangnya bercampur yang haram dalam pendapatannya. Jika kita tidak demikian, penjual di pasar belum tentu semua modalnya halal malah kebanyakan peniaga atau pengusaha terlibat dalam pinjaman Riba dengan bank untuk menjalankan perniagaannya. Jiran kita juga mungkin kita ketahui kerjanya tidak halal sebagai pegawai promosi produk riba dan insuran, penjual rokok dan lain-lain. Adakah akan terhenti semua hubungan yang melibatkan makan dan harta dengan mereka?. Sukar..
Keadaan ini menyebabkan Imam Al-Ghazzali berkata :-
أنه إذا عمّ الحرام , وأطبق في منطقة ما , وتعسر الإنتقال منها فإنه يباح تناول ما يزيد على قدر الضرورة , لأنه لو اقتصر الناس على سد الرمق لتعطلت الحياة واختل النظام , وفي ذلك خراب أمر الدين وسقوط شعائر الإسلام
Ertinya : Sesungguhnya sekiranya harta haram telah tersebar luas di sebuah tempat dan sukar untuk berpindah dari tempat itu maka harus hukumnya berurusan walaupun melebihi had darurat, kerana jika manusia hanya dihadkan sekadar 'alas perut' (had dharurat) maka pastilah akan terhenti kehidupan manusia, rosaklah system dan tatkala itu urusan agama juga akan rosak dan jatuhnya syiar Islam ( kerana semuanya tidak boleh dilakukan tanpa peranan harta) " ( Shifa al-Ghalil, Al-Ghazzali, hlm 245 ; Mabahith at-Ta'lil, Al-Kabisi, Hlm 133 )
Yang tidak diketahui adalah harus
Apa yang disebut tadi adalah bagi individu yang diketahui pendapatannya ada yang haram, adapun bagi yang tidak diketahui sumber pendapatan hartanya, hukumnya tetap pada yang asal iaitu HARUS dan HALAL selagi mana tiada diketahui keterlibatan dengan haram, tidak juga menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidik harta dan sumber pendapatan rakan-rakan kita.
Kesimpulan
Harus berurusan dan hadir ke rumah orang yang menjemput walaupun diketahui hartanya bercampur. Jika tidak diketahui terdapat hartanya yang haram secara jelas, hukum menghadiri tadi menjadi sunat dan mendapat pahala berdasarkan sabda Nabi SAW :-
قال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذا دُعِيَ أحدكم إلى طَعَامٍ فَلْيُجِبْ
Ertinya : Apabila seorang kamu dijemput suatu majlis hidangan (kenduri makan) hendaklah ia sahut dan terimanya" ( Riwayat Muslim, no 1430, 2/1054 ).
Malah menerima hadiah dari Musyrikin yang kemungkinan besar harta yang diperolehinya dari sumber haram juga masih diharuskan di dalam Islam, sehinggakan Imam Al-Bukhari meletakkan satu tajuk di dalam sohihnya :
باب قبول الهدية من المشركين
Ertinya : bab Menerima hadiah dari Musryrikin
Bab ini memuatkan hadits Nabi SAW menerima hadiah baju yang amat indah dari kafir musyrik dan apabila para sahabat memuji kecantikan baju itu, Nabi SAW menyatakan pakaian Sa'ad Bin Muadz di syurga jauh lebih cantik dari pakaian yang dihadiahkan. Imam Ibn Hajar pula menyatakan selepas itu, hadis ini membuktikan harus menerima hadiah dari si kafir musyrik (Fath Al-Bari, 5/230 )
Imam Ibn Hajar juga menyatakan hadith ini lebih kuat dari hadis larangan menerima hadiah dari Musryik seperti :-
قدم على رسول الله فأهدى له فقال إني لا أقبل هدية مشرك
Ertinya : Telah datang kepada Nabi seorang Musryik lalu menghadiahkan kepada Nabi SAW lalu Nabi menjawab : " Aku tidak menerima hadiah dari kaum musryik
Ibn Hajar mengatakan hadis berkenaan Nabi menolak hadiah dari musyrik itu adalah terhad kepada keadaan ianya diberikan dengan niat, maksud tersirat dan tersurat seperti untuk mendapat seperti sesuatu pengiktirafan dari Islam yang tidak boleh diberikan, meminta dilantik menjadi kepimpinan utama dan lain-lain. ( Fath Al-Bari, 5/230).
Terdapat satu lagi hadis yang boleh menambah kefahaman kita iaitu ; Asma bt Abu Bakar r.a pernah dihadiahkan barang makanan seperti susu yang dikeraskan (makanan biasa arab) oleh wanita musyrik dan Asma' menolaknya,
فَأَبَتْ أَسْمَاءُ ان تَقْبَلَ هَدِيَّتَهَا وَتُدْخِلَهَا بَيْتَهَا فَسَأَلَتْ عَائِشَةُ النبي فَأَنْزَلَ الله عز وجل ( لاَ يَنْهَاكُمُ الله عَنِ الَّذِينَ لم يُقَاتِلُوكُمْ في الدِّينِ ) إلى آخِرِ الآيَةِ فَأَمَرَهَا ان تَقْبَلَ هَدِيَّتَهَا وان تُدْخِلَهَا بَيْتَهَا
Ertinya : Asma menolak dari menerima hadiah wanita musyrik dan tidak membenarkan masuk ke rumahnya. Kemudian Aisyah r.a bertanya hal itu kepada Nabi lalu turunlah ayat : ertinya : Kamu tidak dilarang oleh Allah SWT dari mereka ( kafir) yang tidak memerangi agama kamu (terus terang) ; justeru Aisyah mengarahkan Asma untuk menerima hadiah wanita musyrik itu dan membenarkannya memasuki rumahnya (Tuhfatul Ahwazi, Syarah Tirmidzi, Al-Hakim, Ahmad, no 16156, 4/4)
Satu lagi hadis juga boleh menambahkan lagi kefahaman :-
إن قوما يأتوننا باللحم ، لا ندري أذكروا اسم الله عليه أم لا ؟
فقال : سموا أنتم ، ثم كلوا
Ertinya : "Ada orang yang membawa kepada kami dagng, Tidak tahu pula samada mereka menyebut nama Allah (semasa sembelih) atau tidak? Baginda menjawab : Sebutkanlah pada diri kamu, dan makanlah" [Riwayat Bukhari, no 5507].
Hasilnya, Ini bererti jika sesuatu hadiah yang diberi tadi :-
1) membawa sesuatu maksud yang bercanggah dengan hukum dan objektif Islam, haram diambil hadiahnya.
2) datang dari bukan Islam yang memusuhi dan memerangi Islam, haram diambil.
3) sekadar hadiah walaupun hartanya bercampur atau tidak diketahui, ia BOLEH dan harus untuk diambil.
Adapun berkenaan hidangan dari orang yang bercampur hartanya dan tidak pula diketahui samada disembelih atau tidak. Hadis Al-Bukhari tadi boleh memberikan jawapannya. Bagaimanapun, eloknya makan yang dipastikan halal sahaja.
Wallahu 'alam
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
4 SYa'ban 1428 H
17 Ogos 2007
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites