Ciri ringkas Kad Kredit:-
Antara ciri utama yang berkaitan dengan wujudnya Riba dalam kad ini adalah :- • Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan, TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARIPADA BIL. Manakala bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.
• Kad ini mempunyai had tertinggi penggunaan. Bermakna pemegang hanya boleh berbelanja sebanyak mana yang disukainya selagi mana di dalam kadar maksimum yang dibenarkan, dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil (sekitar 5 % sahaja), manakala jika bakinya di tangguh sehingga melepasi tempoh percuma (biasanya 30 hari), pelanggan akan dikenakan peratusan faedah. Biasanya kadar faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18-25 % setahun. Inilah Riba yang amat jelas malah amat membebankan dan menindas.
Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba. Selain itu berikut di sertakan beberapa ringkasan hukum berkaitan penggunaan Kad Kredit:-
1. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad
Hukumnya : HARUS, tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah Riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.
2. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar
Adakalanya pihak Bank atau pengeluar Kad akan meletakkan syarat dalam perjanjiannya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk peratusan yang akan di ambil dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law Relating to Credit Cards, London, 1989 ,ms 14)
Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.
Hukumnya : Harus . Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini dikira hadiah. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan lain lain ). Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah wakil (Ujrah Wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).
4. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)
Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim mereka. Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan.
Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap Ringgit Malaysia (RM) hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau diskaun di restoran-restoran dan lain lain. (Lihat : American Express Cards, an exclusive opportunity for a select few)
Hukumnya : berbeza menurut jenis hadiah; ia seperti berikut :-
a) Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pd 1397 H, sebagai Haram kerana mengandungi unsur Riba, Gharar (ketidaktentuan), Jahalah(ketiadaan maklumat tepat semasa transaksi), Judi dan lain lain. Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian). Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa “Dimaafkan yang berlaku pd tawabi’ dan tidak pd lainnya” (Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).
b) Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan. Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal menurut pandangan Shariah. Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).
5. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja
Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa persetujuan Pemegang kad.
Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak ‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.
6. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit
Ulama Fiqh telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa sebarang penangguhan, ia disebut “at-taqabud fil hal” dalam istilah Fiqh. Ia adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan syarat dan keperluan itu. Ini adalah kerana wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi (usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.
Persoalannya dalam isu Kad Kredit adalah : Adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC telah membuat dua ketetapan ; Iaitu yang lama yang yang baru . Pandangan lama (dalam sidangnya yang ke 9 pada April 1995) menyebut : “Proses terima serah “At-Taqabud” sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat”.
Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu. Ia juga merupakan ketetapan dari Simposium Ekonomi Islam ke -12 anjuran Dallah al-Barakah pada 1996. Pandangan baru mereka (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) ; mereka memfatwakannya sebagai HARAM ( Berdasarkan keputusan nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 ) Justeru, saya menyarankan agar orang ramai menjauhi hal ini lebih baik dari mengambil mudah. Ini kerana kaedah Fiqh menyatakan “ Keluar dari khilaf adalah lebih diutamakan” . Maka hukumnya : HARAM.
7. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit.
Biasanya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini, maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut - sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh izin sekitar 2-3 minggu.
Jelas, terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini. Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa syarat dalam Islam bagi pertukaran wang adalah At-Taqabud fil hal.
Hukumnya : HARAM. Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ . Ia menurut ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC dalam sidangnya yang ke 12 pada September 2000. BAGAIMANAPUN dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang amat sangat.
-bersambung-
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites