Fiqh Ibadah Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?

Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?

  • PDF
(6 votes, average 5.00 out of 5)
"

Salam Idilfitri 1429 H & Soal Pahala

www.zaharuddin.net

Salam Hari Raya

 

Soalan

Salam Ustadz,

Apa hukumnya jika kita buat amal dalam bulan Ramadan kerana nak pahala, sadakah ia salah? Saya ada membaca seseorang seolah mempertikaikannya.

Dia menulis : Sebaik-baik sedekah adalah sedekah Ramadan. Sebesar-besar kebaikan adalah memberi makan kepada mereka yang berpuasa. Apakah ia sekadar soal pahala? Saya tetap melihatnya sebagai perlatihan". "Segala ibadah bukan sekadar mengisi musim ibadah, tetapi untuk mencetus momentum yang perlu bagi bulan-bulan yang seterusnya. Ramadhan itulah kursus motivasi, ia jugalah kursus kemahiran, ia jugalah kursus peningkatan agar cergas iman dan tubuh badan. Justeru apa sahaja perlakuan kita di bulan Ramadhan, bukan sekadar mengejar pahala yang dijanjikan, tetapi ia memberhentikan kebiasaan yang buruk lalu digantikan dengan perlatihan untuk mencetuskan kebiasaan yang baik."

Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Awalnya, saya ingin mengucapkan salam idilfitri kepada seluruh pengunjung web zaharuddin.net, moga amalan kita diterima baik dan menghasilkan bekalan tenaga iman yang kuat untuk mengharungi gelora tipu daya Syaitan dan dunia sepanjang tahun.

Selamat Hari Raya Eidil Fitri 

Kami di UK menyambut Eidil Fitri pada 30 September 2008, Namun begitu sebahagian kecil kawasan UK menyambutnya pada 1 Oktober 2008. Rujuk  

Takbir Raya - Hijjaz, In-Team & Unic

‘Taqabballahu minna wa minkum'

Berbalik kepada soalan, saya tidak pasti sama ada tepat atu tidak kefahaman sdr terhadap tulisan si penulis. Juga tidak dapat saya pastikan sama ada ia di dalam konteks yang betul atau tersasar.

Namun begitu saya akan cuba mengulas berdasarkan soalan yang saudara majukan.

1)                  Saya secara ringkasnya ada yang setuju dan ada juga yang kurang bersetuju.

Saya tidak berapa bersetuju untuk menganggap Ramadhan adalah bulan latihan bagi menjadi baik dan bertaqwa, ini kerana sefaham saya perkataan ‘latihan‘ membawa maksud yang kurang tepat.

Latihan jika dilihat dalam konteks penggunaan biasanya merujuk kepada satu proses di luar medan sebenar dan tiada masalah jika tersilap sekalipun dalam proses tersebut.

Justeru, saya tidak sama sekali boleh setuju jika itulah maksud 'latihan' yang dimaksudkan oleh penulis tersebut, namun saya harap bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau.

Sebagaimana saya juga tidak bersetuju dengan pendapat beberapa penggerak dakwah yang mengatakan Universiti adalah tempat latihan berdakwah. Bagi saya ia bukan tempat latihan tetapi adalah medan sebenar, cuma medannya sedikit lebih kecil dari luar kampus. Dosa pahala tetap wujud di dalam universiti, tanggungjawab mencegah mungkar dan mengajak kepada yang ma'ruf tetap wujud di atas bahu pelajar muslim dan muslimah di sana. Ia bukan latihan, ia medan pendidikan.

Sama seperti Ramadhan, ia adalah bulan ujian sebenar dan bulan didikan bagi umat Islam, ia bukan bulan latihan tetapi didikan. Mungkin perkataan didikan lebih sesuai berbanding latihan. Wallahu'alam.

2)                  Adakah salah mengejar pahala di bulan Ramadhan ?

Jawapan ringkas saya, TIDAK SALAH. Namun kurang baik jika minat untuk mengejar pahala itu sekadar terhenti di bulan ramadhan, sedeqah hanya di bulan Ramadhan, solat sunat pun demikian, itu yang salah. Sama seperti apa yang telah saya tuliskan, antara kesalahan umat Islam adalah menghindari dosa secara bertempoh, seperti seorang ahli maksiat berkata :

" Ini bulan Ramdhan, kita stop nanti dulu, nanti Raya kita sambung la"

Ini memang terkeji, bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyah dan pendidikan diri agar mampu menghindari dosa itu sehingga 11 bulan akan datang.

BUKAN ‘LATIHAN' TAPI PENDIDIKAN

Keghairahan kepada pahala juga dituntut; penjagaan solat, bangun malam, bersedeqah, bacaan al-Quran dan macam-macam mesti diusahakan untuk diteruskan selepas Ramadhan. Inilah hasil pendidikan Ramadhan, namun ia bukan ‘latihan'.

Cuma apakah wajar kita menggunakan bahasa atau perkataan berikut :-

"Apakah sekadar pahala?"

kepada mereka yang berbondong-bondong beribadah di bulan Ramadhan kerana ingin pahala?

Memang benar, kita ingin menasihati mereka agar jangan terhenti ibadah dengan tamatnya Ramadhan, namun menurut apa yang saya faham, perkataan yang digunakan itu kurang sesuai dan seolah menyalahkan mereka yang berniat mendapat pahala di bulan mulia Ramadhan ini.

Salahkah mereka tiba-tiba ringan beribadah (walau dengan apa jua niat) di bulan Ramdhan kerana ingin mengejar gandaan pahala yang ditawar di musim Ramadhan? Ini mungkin persoalannya?

Tidak salah jika mereka amat ghairah dan berminat beribadah kerana pahala walaupun hanya di bulan ini kalau itulah sahaja yang termampu dek mereka asalkan mereka tidak meninggalkan yang wajib. Namun demikian, mereka sepatutnya membuat yang lebih baik dari itu dengan meneruskannya di luar Ramadhan sebagai tanda berjayanya proses pendidikan Ramadhannya.  

Sifat keinginan kepada pahala di waktu puasa ini dinyatakan dalam hadis popular :-

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Ertinya : Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan penuh keimanan dan "ihtisab" , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu" ( Riwayat Al-Bukhari, no 38, 1/22)

Apakah erti ihtisab?

Al-Hafidz Ibn Hajar memetik takrifan yang diberikan oleh Imam Al-Khattabi iaitu :-

احتسابا أي عزيمة وهو أن يصومه على معنى الرغبة في ثوابه

Ertinya : Ihtisab ertinya satu keinginan kuat iaitu dia berpuasa dalam rasa keinginan kuat untuk memperolehi pahalanya. (Fath Al-Bari, 4/110)

Pengertian yang serupa boleh dilihat dalam kitab ‘Aunul Ma'bud Syarah Sunan Abi Daud (2/190)

Selain itu, ihtisab juga membawa erti ikhlas untuk Allah swt dan mengkehendaki redhanya. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/39 ; ‘Umdatul Qari, 1/226)

Malah jikalau keinginan beroleh pahala itu ditegah, maka apa gunanya Allah SWT menawarkannya dan sudah tentu Nabi s.a.w tidak akan kerap mengulang-ulangkan perihal ganjaran pahala kepada para sahabat dan Umat Islam. Semua tawaran dan tarikan pahala ini boleh dilihat terlalu banyak dalam pelbagai ayat dan hadis dalam pelbagai jenis keadaan.

Sifat manusia yang normal memang sukakan ganjaran, bezanya bagi seorang insan soleh, yang beriman lagi bertaqwa mereka sukakan ganjaran pahala dan syurga serta keredhaanNya. Namun janganlah sehingga menolak pahala kerana inginkan keredhaan, hal ini kerap dinisbahkan kepada tokoh Sufi Rabi'ul Adawiyah, namun saya tidak pasti kesohihan menisbahkan kata-kata sebegini kepadanya. Bagi saya, bukankah pahala itu juga sebahagian dari keredhaan Allah swt, maka mengapa ingin dipisahkan?.

INGIN PAHALA JUGA ADALAH PENDIDIKAN ATAU ‘LATIHAN'

Selain itu, pahala adalah sesuatu ganjaran yang bersifat spiritual dan tiada kelihatan sama sekali. Oleh itu, sesiapa yang bermotivasi untuk bersedeqah, solat, doa, membaca Al-Quran dan lain-lain ibadah kerana inginkan pahala yang disebutkan Allah dan RasulNya, itulah satu jenis pendidikan spiritual dan ‘latihan' yang juga amat dituntut.

Bukan semua orang terangsang dengan gandaan pahala di bulan Ramadhan, hakikatnya lebih ramai yang tertarik dengan ganjaran duit dan kebendaan berbanding pahala yang tidak kelihatan itu.

Amat jelas, individu yang beribadah berkali ganda di bulan ini kerana pahala, sedang menjalani proses pendidikan dan ‘latihan' yang dikehendaki Islam, iaitu memantapkan keimannnya kepada Allah, hari akhirat serta menyakini bergunanya matawang pahala di alam selepas mati. Itu sepatutnya di puji dan bukan diulas seolah-olah satu kesalahan untuk mendapat pahala. Bukan mudah untuk membuat seseorang tertarik dengan pahala.

Kesimpulan, soal pahala adalah soal besar, jangan dianggap kecil sehingga dipersoal "apakah sekadar pahala?". Dengan pahala, mungkin kemampuan untuk terus ber istiqamah akan menjelma.

Kami di UK menyambut Eidil Fitri pada 30 September 2008, Namun begitu sebahagian kecil kawasan UK menyambutnya pada 1 Oktober 2008. Rujuk  

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Oktober 2008

29 Ramadhan 1429 H

Wales, United Kingdom



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Fiqh Ibadah Salam Eidilfitri & Salahkah Beramal Untuk Pahala?