Pandangan Islam Berkenaan
Sebarkan Gambar Post Mortem Nurin
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Agak heboh perihal gambar bedah siasat Al-Marhumah Nurin Jazlin Jazimin yang disebar melalui email.
Menurut agakan rambang saya, orang yang mula-mula menyebarkannya mungkin terlalu tertekan menyimpan gambar kedahsyatan itu sehingga tidak mampu bertahan untuk menanggung perasaan sedih, kecewa dan tekanan berseorangan.
Keadaan ini mungkin menyebabkan ia mengambil keputusan untuk berkongsi perasaan tertekannya dengan orang ramai dengan mula menyebarkannya kepada orang lain dengan niat ingin berkongsi sedih dan marah kepada si pembunuh.
Walau apapun niat baik dan tekanan yang diterima, tindakannya kini menjadi kecoh kerana gambar yang disebarkan mengecewakan ahli keluarga Nurin Jazlin.
En Jazimin dalam kenyataannya berkata :-
Sementara itu, bapa Nurin, Jazmin Abdul Jalil, 33, menyifatkan mereka yang mengedarkan gambar autopsi anaknya melalui internet sebagai tidak berperikemanusiaan, sama seperti orang yang membunuhnya.
"Orang yang menghantar gambar itu memang tidak berotak dan buta hati," katanya yang membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi, jam 9.40 malam tadi.
SILA BACA BERITA PENUH DI SINI
Jika saya cuba meninjau pandangan Islam dalam hal ini, saya kira hukum MENYEBARKAN GAMBAR INI ADALAH HARAM, ia bukan sahaja melanggar OSA bahkan ia juga melanggar hukum Islam.
Secara ringkas ia adalah kerana sebab berikut :-
1) Ia tidak mendapat izin pihak keluarga Al-Marhumah. Sudah tentu tiada keluarga yang ingin disebarluaskan gambar jenazah ahli keluarganya yang meninggal dunia terutamanya jika ia dalam keadaan tidak menyenangkan.
Justeru, ia dikira adalah hak peribadi yang bersifat persendirian atau ‘private and confidential'. Hasilnya, penyebaran ini dikira membuka dan mendedahkan rahsia orang lain yang tidak diizinkan oleh Islam untuk dilakukan. Ia juga mencarikkan maruah al-marhumah dan keluarganya.
Nabi s.a.w menyebut :-
كل المسلم على المسلم حرام عرضه وماله ودمه
Ertinya : "Hak setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya" ( Riwayat Muslim, no 2564, 4/1986 ; At-Tirmizi, no 1927, 4/325 ; Tirmizi : Hasan Ghorib)
Nabi juga menyebut :
من كانت عنده مظلمة لأخيه من عرضه وماله فليستحله اليوم قبل أن يأخذه به حين لا دينار ولا درهم
Ertinya : Barangsiapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya seperti menzalimi maruahnya, dan hartanya maka hendaklah ia segera meminta halal pada hari ini sebelum saudaranya itu mengambil haknya di hari yang tiada dinar (duit) dan Dirham" ( Riwayat Ib Hibbanm 16/361 )
2) Ia juga bercanggah dengan arahan Nabi untuk menceritakan yang baik berkenaan si mati, ia berdasarkan hadis Nabi :-
مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عليها خَيْرًا فقال النبي وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرَى فَأَثْنَوْا عليها شَرًّا فقال وَجَبَتْ فقال عُمَرُ بن الْخَطَّابِ رضي الله عنه ما وَجَبَتْ قال هذا أَثْنَيْتُمْ عليه خَيْرًا فَوَجَبَتْ له الْجَنَّةُ وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عليه شَرًّا فَوَجَبَتْ له النَّارُ
Ertinya : Mereka telah meziarahi jenazah dan mereka bercakap perkara baik tentangnya. Maka berkata Nabi : wajiblah,
Kemudian mereka telah pergi menziarahi yang lain lalu berkata tentang keburukannya, Nabi menjawab : wajiblah.
Maka berkatalah Umar al-Khttab : Barangsiapa yang memujinya atau berkata tentangnya (si mati) akan kebaikkannya ( selepas kematiannya), maaf mestilah ia (pemuji) itu memasuki syurga, dan barangsiapa dikalangan kamu yang menceritakan perihal buruknya nescaya mestilah ia ke neraka ( Riwayat Al-Bukhari, 1/460 )
Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam An-Nawawi berkata, menceritakan perihal buruk si mati adalah merupakan kerja orang Munafiq. (Fath Al-Bari)
Walaupun hadis ini lebih specifik berkenaan amal perbuatan si mati ketika hidup. Walau demikian saya kira menyebarkan gambar al-marhumah Nurin Jazlin dalam keadaan psot mortem itu termasuk dalam mendedahkan perkara yang buruk tentang al-marhumah, iaitu keadaan tubuhnya serta mendedahkan auratnya.
3) Tindakan itu membuka aurat Nurin ; Ini kerana gambar yang disebarkan itu mendedahkan seluruh aurat al-Marhumah Nurin Jazlin. Tiada khilaf di kalangan para ulama Islam bahawa WAJIB menutup aurat jenazah. Malah ia adalah ijma' di kalangan ulama.(Hasiyah Ad-Dusuqi, 1/408; Mawahib al-Jalil, 2/212).
Malah wajib hukumnya untuk menutup apa yang tidak disukai untuk dilihat oleh seseorang tatkala hidupnya.
4) Gambar itu juga boleh dan telah menyebabkan trauma, gangguan perasaan dan minda berpanjangan bagi setiap orang yang melihatnya, terutamanya bagi mereka yang lemah semangat.
Malah kaum wanita yang pernah merasai peritnya bersalin pastinya pastinya amat terganggu dengan apabila melihatnya.
Bayangkan, terdapat wanita yang menghantar email kepada saya memohon bantuan saya untuk menerangkan cara-cara menenangkan fikiran, mental dan perasaan dalam Islam. Ia adalah akibat melihat gambar tersebut.
Malah terdapat wanita yang seperti ingin menyalahkan Allah s.w.t kerana membiarkan ini terjadi kepada kanak-kanak perempuan tanpa dosa. Mereka mula mempersoalkan sesuatu yang boleh menggugat aqidah mereka.
Kesimpulan
Berdasarkan ringkasan dalil di atas, maka semua individu yang menyimpan gamabr tersebut di dalam emailnya , WAJIB memadamnya secara kekal. Agar tiada peluang untuk diminta dan dilihat olehnya lagi dan orang lain.
Bagi yang telah menyebarkan gambar itu walau dengan apa jua niat baik, hendaklah bertaubat dan memohon maaf kepada ahli keluarga Nurin, boleh dibuat melalui web http://www.nurinjazlin.blogspot/ atau sms atau berdepan dengan keluarga Nurin.
Sebagai akhirnya, pesanan buat keluarga al-Marhumah; perbanyakkan sabar dan berdoakan dengan doa ini:
اللّهُمَّ اَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَاخْلُفْ لِيْ خَيْراً مِنْهَا
Ertinya : Ya Allah, berikanlah aku balasan baik dari musbiah yang menimpaku ini dan gantikanlah daku dengan apa yang lebih baik darinya
Marilah kita di akhir Ramadhan ini mendoakan agar al-Marhumah damai dan ditutup auratnya. Juga memohon agar dipertemukan segera pembunuh sebenarnya dengan kadar segera, agar ia tidak lagi boleh melakukan kejahatan melampau ini kepada orang lain serta mendapat balasan azab dunia (sebelum akhirat) yang setimpal.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
29 Ramadhan 1428 H
11 Oktober 2007
Pesanan
- 1) Selamat hari raya Idil fitri dan berhati-hati semasa pulang.
- 2) Tidurnya anda 2 saat semasa memandu boleh membawa anda ke alam barzakh. Justeru sama-samalah kita berhati-hati.
- 3) Berhati-hatilah semasa membeli belah di kawasan yang padat di musim perayaan ini. Jagalah anak-anak anda dengan 'super baik', kita tidak mahu sesiapa beraya dalam kesedihan kerana anak hilang. Janagan terlalu khusyuk memilih baju tanpa menyedari anak di sebelah masih ada atau tidak.
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites