Ganti Haji Kerana Tidak Boleh Baca Quran
Soalan
Ayah saya sudah berusia 51 tahun dan mampu dari segi fizikal dan kewangan untuk pergi menunaikan haji. Masalahnya, ayah saya enggan kerana dia tidak tahu membaca Al-Quran. Ayah saya hanya menghafal surah-surah dan bacaan lazim di dalam solat, itupun dengan bantuan ibu saya. Adakah ayah saya perlu menunaikan haji juga? Ataupun ayah saya dibolehkan untuk mengupah haji (mengupah orang lain untuk membuat haji untuknya)?
Kiriman Wardatun Salma
Jawapan :
Kemampuan merupakan pra-syarat (syarat wajib) kepada kefarduan menunaikan ibadat Haji.
Firman Allah swt :-
"Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, bagi mereka yang berkemampuan pergi ke Baitullah" - [Aal ‘Imraan 3:97]
Para ulama menghuraikan erti "Kemampuan" kepada 3 perkara iaitu :- a) Kemampuan fizikal (sihat tubuh badan) b) mempunyai kewangan yang cukup c) Selamat perjalanan pada "ghalib" nya (kebiasaannya). Dan sesetengah ulama menambah satu lagi syarat (khas bagi wanita) bagi wanita iaitu mesti terdapat mahram yang pergi bersamanya
Persoalan mengupah orang untuk menunaikan haji kerana kelemahan bacaan quran, adalah tidak dibenarkan. Menurut para ulama Fiqh, berikut adalah syarat-syarat untuk membuat upah haji kepada individu lain:-
1) Uzur tubuh yang tiada harapan akan pulih.
2) Penyakit serius yang tiada harapan pulih dan penyakit ini pasti tidak memungkinkan seseorang melaksanakan kerja-kerja haji.
3) Telah meninggal dunia dan harta peninggalan cukup untuk di tunaikan Haji.
Menurut Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi, ketika itu barulah wajib Haji itu akan boleh dipindahkan kepada individu lain. ( Rujuk Al-Muhazzab, 1/198 ; AL-Muhgni, 3/227 ; Al-Mabsut, 4/153 )
Selain dari sebab-sebab yang seperti di atas, maka kewajiban Haji masih tertanggung bagi muslim untuk menunaikannya sendiri. Ini bermakna, ketidakmampuan membaca al-Quran tidaklah boleh dijadikan alasan untuk tidak menunaikan haji , malah kewajiban haji (setelah cukup syarat-syarat kemampuan tersebut) masih terpikul di atas bahu ayah saudari.
Ini juga dikuatkan lagi apabila ayah saudari juga telah pun manghafal surah-surah tertentu. Ini adalah cukup untuk membolehkan ayah saudari untuk beramal ibadat, solat dan sebagainya semasa haji. Jika ayah saudari membaca al-quran dengan bantuan ibu saudari, itu pun tidak boleh dikira sebagai keuzuran yang mengugurkan wajib haji, malah perlu diketahui ..tergagap-gagap dan tersekat-sekat dalam membaca al-quran bagi orang yang sedang belajar adalah mendapat 2 pahala menurut hadith yang sohih. Maka pahala ini pasti berganda jika ianya dibuat di masjid al-haram.
Di sini, perlu di ingat juga, kemungkinan terdapat individu yang berasa bimbang atau takut untuk menunaikan haji kerana dosanya atau maksiat yang pernah dilakukan lalu mencari pelbagai alasan untuk menangguhkan hasrat murni ini. Ini kerana terdapat kebimbangan sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepadanya di mekah akibat dosanya yang pernah dilakukannya...sebenarnya ini adalah suatu kesilapan yang besar dan merupakan gangguan Syaitan bagi melambatkan seseorang Islam menunaikan salah satu rukun Islam yang agung iaitu Haji, Haji yang merupakan gabungan segala jenis ibadah yang terbesar dan ibadah yang teragung. Mungkin ada yang terpengaruh membaca cerita-cerita pelik yang berlaku di mekah sebagaimana yang di paparkan di akhbar-akhbar dan majalah.
Justeru, saya berpandangan, periwayat cerita-cerita pelik di mekah dan madinah..walaupun mereka berniat baik iaitu untuk memberi pengajaran..tetapi sebenarnya ia juga boleh membawa kesan negatif, iaitu menakutkan orang ramai yang pernah melakukan dosa untuk menunaikan ibadah terbesar ini. Ini sesungguhnya suatu kesilapan. Fikirkan...
Maka jawapan ringkas : Tidak boleh mengupah orang untuk membuat hajinya hanya kerana tidak cekap membaca al-Quran.
Ust Zaharuddin Abd Rahman
11 Muharram 1428 H
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites