Empat Isu Semasa : Ulasan Ringkas
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Terdapat beberapa isu semasa yang saya tidak sempat untuk memberikan respon, walaupun agak ramai yang meminta ulasan. Isu-isu semasa yang berkait dengan Islam seperti keputusan kabinet untuk membiarkan anak kekal dalam agama masing-masing walau selepas ibu bapanya memeluk Islam, penggunaan nama Allah bagi penganut Kristian, orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran dan isu bahasa Melayu untuk pengajarn sains dan matematik.
Bagi tidak menghampakan mereka yang bertanya dan menjelaskan pandangan saya, tulisan ini dibuat, namun disebabkan oleh kekangan masa dan memandangkan agak ramai ilmuan Islam telah menulis berkenaan hal ini, saya tidak akan menghurai panjang lebar beserta dalil, cukup sekadar menjelaskan pandangan saya sebagai menjawab soalan ringkas dari mereka yang bertanya.
PERTAMA : ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN
Isu ini timbul dari kempen ceramah politik pakatan rakyat di pilihanraya Kecil Bukit Gantang, terdapat dua kelompok masyarakat Islam ketika mengamati peristiwa ini. Pertama : Yang tidak bersetuju serta menganggap ia sebagai penghinaan khususnya disebabkan kesilapan sebutannya dan nama surah. Kedua : yang tidak melihat sebagai satu kesalahan malah menganggapnya sebagai satu kelebihan buat Islam.
Setelah mendengar sendiri ucapan Yang Berhormat yang berkenaan di youtube, dan setelah meneliti hujjah kedua-dua kelompok, saya secara peribadi dan atas dasar ilmiah, tidak nampak sebarang masalah yang besar atau yang boleh dihebohkan.
Ia adalah kerana :-
1) Banyak dalil jelas menunjukkan bukan Islam turut membaca sama ada secara tertutup atau terbuka ayat-ayat al-quran di zaman Nabi sa.w. Malah ayat-ayat al-Quran digelar mu'jizat (sesuatu yang mencarik adat dan luar biasa serta melemahkan musuh), apabila ayat-ayatnya diteliti oleh ahli sastera kafir quraisy, tatkala itulah baru mereka mendapati Al-Quran adalah sebuah kalam Allah dan bukan hasil pemikiran manusia.
2) Nabi s.a.w turut menghantar surat yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran kepada pemimpin bukan Islam di zamannya. Tentunya ia dibaca dan sememangnya untuk diwarwarkan.
3) Ayat Al-Quran juga turut dibaca oleh Umar al-Khattab semasa beliau belum Islam. Akhirnya menjadikannya Islam.
4) Ayat yang dibaca bukan dalam intonasi dan situasi menghina tetapi adalah untuk menegaskan intipati keperluan kepada kesaksamaan dan keadilan dalam kehidupan. Benar, ia adalah satu penghormatan dan bukan penghinaan.
5) Kesalahan sebutan dan nama surah, adalah dimaafkan bagi mereka yang dalam pembelajaran, apatah lagi orang bukan Islam. Terlalu ramai umat Islam yang masih gagal membaca al-Quran dengan betul malah ramai juga yang langsung tidak mampu membacanya. Tun Dr Mahathir turut pernah menyebut nama surah dengan sebutan yang salah, ketika menyampaikan ceramah umum beliau di Nilam Puri pada tahun 1993, semasa beliau menghentam PAS yang ingin memperkenalkan hudud. Saya berada di sana ketika itu, namun tiada rakaman yang boleh dikongsikan.
KEDUA : PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN
Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.
Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.
Setelah melakukan penilaian terhadap pelabagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang membenarkan penganut kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :
Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).
Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.
Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.
Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat dari hujah kumpulan yang menolak.Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada penegrtian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.
Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi Bible yang wujud hari ini bukannya injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as.
TETAPI ..
Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU PENGHARAMAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan.
Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah digunakan oleh pihak Kristian.
Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini. Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Ye di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat.
Terutamanya apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu. Kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang dirasakan akan mempermainkan dan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, eloklah ia dilarang.
Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun dari sudut mudarat, ia wajar dilarang sama ada dalam tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu bagi menhindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang lemah.
KETIGA : ANAK KEKAL DALAM AGAMA ASAL
Berlaku lagi isu yang dianggap sensitif berkait isu agama, sebagaimana kes jenazah individu yang dipertikai sama ada telah menganuti Islam atau tidak semasa hayatnya.
Merujuk kepada laporan akhbar tempatan, keputusan kabinet Menteri memutuskan bahawa setiap ibu bapa yang menukar agamanya ke agama lain, anak-anak mereka yang dibawah umur tidak akan bertukar secara automatik, malah mereka akan kekal dalam agama asal sehinggalah mereka dewasa dan membuat keputusan sendiri selepas itu.
Pelbagai artikel ditulis dalam hal ini, saya tidak berhasrat untuk mengulang-ulang apa yang telah ditulis. Fatwa dari empat mazhab turut disertakan. Secara ringkasnya, majoriti mazhab berpandangan anak akan menjadi Islam secara automatik sama ada ayah atau ibunya menganuti Islam. Manakala mazhab Maliki pula hanya meletakkan kemasukkan Islam secara automatik itu hanya berlaku jika si ayah yang menganuti Islam. Justeru itu, menurut pandangan keempat-empat mazhab, kes yang berlaku di Malaysia ini, anak turut automatik menjadi Islam.
Bagi yang berminat membaca lanjut boleh merujuk di link berikut .
PKPIM juga ada mengeluarkan kenyataan yang baik, disamping menyertakan beberapa kes lama yang boleh dijadikan panduan dalam menetapkan sikap terhadap kes terbaru ini, iaitu :-
"Berdasarkan
kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah
memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak
berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan
ibu.
"Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan
bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh
ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga.
"Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah
memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk
agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut
memberi keizinan,"
Secara kesimpulan, sudah tentu saya cenderung kepada pendapat majoriti yang menganggap secara autoamtik anak-anak menjadi Islam. Namun demikian adalah lebih tepat dan hikmah jika si suami dapat mengambil keputusan bijak mengelakkan isu ini dibawa ke mahkamah dan berusaha sedaya mampu mengajak isterinya tuurt serta menganuti islam sebagai cara hidup mereka. Dapatkan bantuan bijak pandai antara agama jika perlu.
Selain itu amat wajar untuk pihak berkuasa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum melakukan sebarang kenyataan umum berkait isu Islam. Saya bersetuju dengan pendapat Mufti Perak bahawa isu ini memerlukan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan,
Namun masalah yang paling ketara jika dirujuk ke Majlis Fatwa adalah tidak pasti bilakah mereka mampu memberi respond dan jawapan. Wallahu'alam.
KEEMPAT : ISU PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS BAGI MENGAJARKAN MATEMATIK DAN SAINS
Ini juga isu hangat yang ditanyakan kepada saya, namun saya tidak mampu memberikan banyak idea berkenaan isu ini khususnya kerana ia adalah satu isu yang lebih dominan berkaitan keputusan politik dalam sesebuah negara.
Apa sahaja yang diputuskan oleh pihak kerajaan sememangnya perlu berdasarkan hasil kajian terperinci teori dan praktikal, kesan dan target, perbincangan peringkat atasan, ahli akademik, guru, murid, ibu bapa dan ahli politk. Hanya selepas ini semua dilalui, barulah pihak kerajaan patut memutuskan keputusan. Bagi saya, itu cara terbaik jika sesebuah kerajaan menghormati minda dan idea rakyatnya. Malah setiap keputusan yang diambil pula tidak semestinya tidak boleh dibuah, boleh sahaja dicuba beberapa tahun dan dilihat kesan buruk dan baiknya, kemudian ia terbuka kepada pindaan dan perubahan. Yang menjadi maslaah hari ini, kerajaan mungkin malu untuk membuat penilaian dan pindaan kerana bimbang akan dituduh sebagai flip flop dan yang sepertinya.
Perlu diingat, tekanan politik yang menghentam sehingga terlebih had, sehingga bertindak dan tidak bertindak, kedua-duanya akan dihentam, bakal membawa kerugian kepada banyak pihak. Ada kalanya terdapat individu yang ingin melakukan perubahan kebaikan, tetapi membatalkannya kerana tidak mahu dihina dan dimalukan akibat dituduh flip flop selain dianggap tidak cekap dalam membuat keputusan politik. Padahal, keputusan untuk sesebuah negara bukan mudah, malah dengan kajian sekalipun, ia mungkin sahaja tersilap atau berubah berdasarkan keperluan dan zaman.
Malah para ulama sendiri pun banyak yang terpaksa mengubah fatwa dan pendirian apabila mendapat info baru. Seperti Imam As-Syafie yang mengubah beberapa fatwanya ketika berada di Mesir. Adakah ini menjadikan Imam Syafie rh, flip flop dan tidak cerdik.? Tidak timbul isu tidak cerdik sebenarnya, itulah adalah sifat kemanusiaan biasa yang ilmu kita terbatas.
Lihat sahaja, kerajaan Britain hari ini, bajet terbaru menyaksikan pihak parti pemerintah terpaksa mematahkan janji manifestonya untuk tidak menaikkan cukai pendapatan individu, tetapi bajet pada minggu lepas (April 2009) menyaksikan mereka terpaksa menaikkan juga cukai individu kaya. Hasilnya, mereka dilanyak sepuas hati oleh pembangkang yang diketuai oleh David Cameroon. Itulah politik kepartian yang merugikan banyak pihak jika tidak ditangani dengan baik.
Bagi saya secara peribadi, tiada pandangan yang lebih saya cenderung kerana saya tidak punyai data yang mampu menyokong atau menolak. Saya telah baca banyak tulisan sokongan dan bantahan, tetapi semuanya tidak cukup untuk saya menetapkan keputusan buat masa ini.
Semoga apa yang dicoretkan mampu memberi sedikit sebanyak manfaat buat anda.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
28 April 2009
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites