Kehilangan Nurin : Antara
Cercaan & Simpati
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
Sekali lagi saya amat bersimpati dan sedih dengan apa yang berlaku kepada adik Nurin yang diberitakan masih tidak dijumpai sehingga hari ini. ( iaitu pada 29 Ogos 07)
Di kesempatan ini, saya ingin turut serta mewartakan kepada orang ramai agar menjadi ‘mata' bagi melihat sekeliling anda bagi mencari anak ini. Saya kira kehilangan ini lebih membimbangkan dari kehilangan YIN, kerana Nurin adalah kanak-kanak perempuan, mempunyai 'rupa' dan sedang mengidapi sakit buah pinggang. Seribu satu macam kejahatan boleh menimpa dirinya.
Saya juga ingin menyentuh petikan akhbar di bawah yang berbunyi :-
Menurut Jazimin, seorang pengamal tradisonal yang datang menawar diri kerana simpati dengan keadaan keluarga mangsa memberitahunya bahawa Nurin kini berada di sebuah rumah di sekitar Setapak dan dia dipercayai dipukau.
Sekali lagi juga seperti kes Yin dahulu, jauhilah bomoh yang menjadi cabaran besar bagi merosakkan aqidah umat Islam sewaktu ditimpa ujian.
Sesungguhnya kesan tindakan ini dalam Islam adalah amat besar, dalam artikel ini ingin saya nasihatkan keluarga Nurin agar JANGAN TERLIBAT DAN SAMADA MEMBERI KERJASAMA ATAU PERCAYA DENGAN RAMALAN BOMOH ATAU NAMA ‘BERSOPANNYA' PENGAMAL TRADISIONAL YANG MERAMALKAN DI SANA SINI.
Saya masih ingat, bagaimana Yin dahulu pernah di ramalkan oleh seorang bmoh perempuan muda berada dalam simpanan bunian dan akan dibebaskan beberapa waktu lagi, tetapi semuanya meleset dan telah berjaya merosak aqidah orang yang mempercayainya.
Sama-sama ibu bapa dan kita bantu gunakan cara berikut sahaja dalam usaha mencari anak kesayangan mereka :-
Pertama: Usahalalah dengan Berdoa kepada Allah dengan menyebut Nama-namaNya dan Sifat-Nya.
Allah berfirman:
"Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna itu dan tinggalakanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."(QS. Al-A'raaf : 180)
Caranya, seorang hamba ketika berdoa kepada Allah, terlebih dahulu menyebutkan nama-Nya yang sesuai dengan permintaannya; seperti menyebutkan nama Yang Maha Pengasih (Ar-Rahmaan), ketika ia meminta belas kasihan; atau menyebut nama Yang Maha Pengampun (Ghafuur), ketika memohon hajat ditemukan dengan anak dan lain-lain hajat.
Kedua: Berdoa dan bertawasul kepada Allah dengan iman dan tauhid.
Allah berfirman:
"Ya Rabb kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, karena itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah). " (QS. Ali Imraan : 53)
Maka contohnya, berdoalah dengan menyebut : "ya Allah kami benar-benar beriman denganMu dan apa yang dibawa oleh RasulMu dan kami tolak syrik dan semua ramalan syirik para bomoh, kerana itu yang Allah tolonglah kami mempertemukan anak kami dalam keadaan sihat dan segera".
Ketiga: Berdoa dan bertawassul kepada Allah dengan Menyebut amal soleh.
Iaitu dengan cara seorang hamba memohon kepada Allah SWT melalui amalan paling ikhlas yang pernah dia lakukan, yang bisa diharapkan, seperti shalat, puasa atau membaca Al-Qur'an, atau kesuciannya dalam menjaga diri dari maksiat dan sejenisnya. Di antaranya seperti yang disebutkan dalam hadits Al-Bukhari dan Muslim tentang kisah tiga orang yang masuk gua, tiba-tiba pintu gua tertutup oleh batu besar. Lalu mereka berdoa kepada Allah dengan menyebutkan amalan-amalan mereka yang paling diharapkan pahalanya.
Termasuk di antaranya bila seorang hamba bertawassul kepada Allah SWT dengan kefakirannya, sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Ayyub 'Alaihissalam:
"Inni Massaniadh-Dhurru wa Anta Arhamurrahimin."
(Sesungguhnya aku telah mengalami kesengsaraan dan Engkau adalah Yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih..)
Atau dengan pengakuan seorang hamba terhadap kezhalimannya dan keperluan dirinya terhadap Allah sebagaimana diungkapkan oleh Nabi Yunus:
"Laa Ilaaha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazh zhalimin."
(Tidak ada yang berhak diibadahi secara benar melainkan Engkau; Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zhalim..)
Maka doalah seperti : " Ya Allah kami sudah cukup menderita dengan ujian ini, ditambah dengan cercaan orang yang mencerca dan kami bersabar, maka ya Allah, temukan anak kami dengan segera ya Allah" . Inilah antara jenis doa yang kuat dan semakin maqbul berdasarkan ayat di atas.
Keempat : Memohon Doa Melalui Doa Orang Soleh Yang Masih Hidup.
Bertawassul melalui doa orang Islam yang masih hidup, menurut Al-‘Allamah Ibnu Taimiyah, telapun disepakati oleh ulama akan keharusannya, kerana ianya memang terdapat di dalam Al-Qur‘an dan hadis Nabi. Firman Allah Ta‘ala:
Ertinya: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."(Surah Al-Hasr: 10)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anh. Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa ‘Umar bin al-Khattab berkata:
Ertinya: "Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu(ketika menunaikan umrah), janganlah engkau lupakan kami."(Riwayat At-Tirmizi)
JAUHI BOMOH SEJAUHNYA DALAM HAL INI
Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.
Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebinarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Ertinya : Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :
مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Ertinya: Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Abu Daud )
ORANG AWAM TOLONG JANGAN MENCERCA
Islam sangat melarang kita mencerca orang yang sedang sakit dan sedang ditimpa kesusahan. Saya katakan ini apabila saya membaca berita di bawah, saya cukup sedih bila membaca kenyataan di bawah ini.
Ia menggerakkan saya untuk menulis serba ringkas tulisan ringkas ini walaupun sedang agak keletihan baru pulang dari Johor. Moga ia bermanfaat bagi kita yang tidak terkena cabaran dan ujian sama yang cukup meresahkan :-
Katanya, hampir setiap hari, isterinya menerima kira-kira 100 khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Lebih separuh daripada SMS yang diterima berunsur ejekan dan mengutuk kami," katanya.
Dalam Islam, apabila kita bertemu dengan orang yang ditimpa sakit atau sedang dilanda musibah seperti ibu bapa Nurin ini, adab yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah sebagaimana berikut : -
من عاد مريضا خاض في الرحمة فإذا جلس غمرته الرحمة
Ertinya : Barangsiapa yang melawat orang sakit, hendaklah mereka masuk bertemunya dengan penuh rahmat ( belas kasihan) dan apabila ia duduk di tepinya, ia juga memegangnya dengan penuh belas" ( Adab Al-Mufrad, Al-Bukhari, no 532 ; Hasan Sohih )
Saya kira kes menziarahi orang sakit dan keadaan ibu bapa dan keluarga Nurin ini ada persamaannya, justeru perkara yang sama perlu kita lakukan apabila berhubung dengan ibu bapa Nurin yang boleh dikira berada dalam keadaan sakit fizikal dan mental sekarang ini disebabkan kehilangan anaknya yang tercinta. Murahkanlah diri dengan menghantar sms kepadanya tetapi jauhilah kata-kata cercaan, penghinaan dan perbanyakanlah doa dan kata-kata baik untuknya. Moga ia dapat membantu menenangkan perasaan mereka dan menyelamatkan anak mereka.
Juga terdapat riwayat yang menyebut :-
كان ابن عمر إذا دخل على المريض يسأله : كيف هو ؟ فإذا قام من عنده قال : خار الله لك , ولم يزده عليه
Ertinya : Apabila Ibn Umar melawat orang sakit, ia akan bertanya, "bagaimana keadaannya?" dan jika ia berdiri di sisinya ia akan mendoakan dengan katanya : " Semoga Allah menagurahkan mu (kesihatan) dan tidak menambahkannya ( kesakitan) " ( Adab Al-Mufrad, no 537 , hlm 152 ; Sanad dhoif )
Nabi pula mendoakan kesembuhan dan kebaikan sebagai hadis :
أن رسول الله كان إذا عاد مريضا مسح وجهه وصدره أو قال مسح على صدره وقال اذهب البأس رب الناس واشف أنت الشافي لا شفاء إلا شفاؤك شفاء لا يغادر سقما
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullullah SAW apabila melawat orang sakit, baginda akan menyentuh dada (lelaki) orang yang sakit itu sambil berdoa Ya Allah, jauhkankan kesakitan ini wahai tuhan bagi manusia, sembuhkanlah dan engkaulah maha pemyembuh, tiada kesembuhan kecuali dariMu, kesembuhan yang tidak kembali sakit" (Riwayat Baihaqi, 3/381 )
Akhirnya, ucapan yang mampu diberikan buat semua yang ditimpa kesusahan, sakit dan kesedihan adalah :-
ما يصيب المسلم من نصب ولا وصب ولا هم ولا حزن ولا أذى ولا غم حتى الشوكة يشاكها إلا كفر الله بها من خطاياه
Ertinya : Tiada ditimpa seorang Muslim dari keletihan, sakit, kekecewaan, kesedihan, kesakitan dan dukacita sehinggakan jika terkena duri sekalipun ( dan ia sabar) kecuali Allah akan menghapuskan darinya dosa-dosanya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 5318, 5/ 3137 )
Moga Allah menemukan Nurin dalam keadaan sihat dan selamat secepat mungkin, moga Allah selamatkan aqidah keluarganya. Jauhkan kami dari cabaran yang tidak mampu ditanggung oleh kami Ya Allah. Jauhi kami dari kejahatan manusia, Jin dan Syaitan. Ameen..
Hubungi ibu bapa Nurin di 019-3667067 atau menghubungi ibunya, Norazian Bistaman di 013-2486651
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
29 Ogos 2008
Nurin mungkin diculik - Polis
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, bukan saja dirasai keluarganya malah rakan-rakan dan gurunya di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak di sini.
Malahan, mereka sanggup berkongsi wang untuk membeli hadiah berupa set alat tulis untuk dihadiahkan kepada Nurin sekembalinya ke sekolah kelak.
"Saya tahu Nurin mesti ke sekolah tak lama lagi," kata rakan karibnya, Mohd. Afizy Azman, 8.
Mohd. Afizy memberitahu, dia selalu bermimpikan Nurin kembali bersekolah.
Menurutnya, walaupun Nurin seorang yang pendiam dan pemalu tetapi dia dan rakan-rakan begitu sedih terutama setiap kali melihat tempat duduknya yang kosong.
Seorang lagi rakannya, Nurul Aina Mohd. Nooh, 8, berkata, mangsa ada menyatakan hasratnya mahu ke pasar malam sebelum cuti penggal bermula.
Sementara itu, guru kelasnya, Zuraini Ismail memberitahu, walaupun Nurin tidak secergas kanak-kanak lain kerana mengalami masalah kesihatan tetapi prestasi akademiknya tetap cemerlang.
"Dia tidak pernah putus asa dan selalu tunjukkan semangat tinggi untuk belajar," katanya ketika ditemui di sekolah hari ini.
Kata Zuraini, Nurin yang belajar di situ sejak prasekolah tidak mudah bergaul dengan orang baru terutamanya lelaki.
"Dia seorang pelajar yang jarang ponteng kelas walaupun mempunyai sedikit masalah kesihatan," katanya.
Sehubungan itu, Zuraini berkata, pihak sekolah telah mengadakan sembahyang hayat dan meminta orang ramai sama-sama berdoa agar kanak-kanak itu pulang secepat mungkin.
Sementara itu, bapa mangsa, Jazimin Abd. Jalil, 33, ketika ditemui di rumahnya di Wangsa Maju dekat sini percaya, anaknya itu telah dipukau.
"Dia (Nurin Jazlin) jarang keluar seorang diri dan bergaul dengan orang luar.
"Kami terlepas pandang, kesilapan kami membuatkan kami menderita hampir seminggu," ujarnya dalam nada sebak.
Katanya, hampir setiap hari, isterinya menerima kira-kira 100 khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Lebih separuh daripada SMS yang diterima berunsur ejekan dan mengutuk kami," katanya.
Menurut Jazimin, seorang pengamal tradisonal yang datang menawar diri kerana simpati dengan keadaan keluarga mangsa memberitahunya bahawa Nurin kini berada di sebuah rumah di sekitar Setapak dan dia dipercayai dipukau.
Isnin lalu, Nurin yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam, kira-kira pukul 8.30 malam.
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites