Aqidah & Kepercayaan Diskusi Hukuman Murtad

Diskusi Hukuman Murtad

  • PDF
(32 votes, average 4.75 out of 5)

Diskusi Hukuman Jenayah Murtad

Oleh : Ust. Hj Zaharuddin Bin Ab. Rahman

Web site : http://www.zaharuddin.net

Segala puji bagi Allah, pencipta sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW. Serta ahli keluarganya dan para sahabatnya.

Penulisan ini akan menyentuh beberapa aspek :

1. Ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan hukuman murtad.

2. Hadith sandaran hukuman Murtad.

3. Adakah ‘Istitab' (memberi tempoh dan menasihati si murtad agar tawbat) suatu kewajiban ?

4. Adakah hukuman wanita murtad sama seperti lelaki?.

5. Hukuman murtad boleh di tangguh kerana maslahat?

6. Hukuman Murtad tidak terpakai kerana sabit dengan hadith Ahad?.

Semua aspek akan disentuh secara ringkas, dan hanya akan mengambil isi perbincangan sahaja. Dalil-dalil setiap mazhab sukar untuk disertakan akibat panjang, lalu bolehlah bagi mereka yang berminat merujuk nama-nama kitab rujukan yang disenaraikan bagi penulisan ringkas ini.

AYAT-AYAT AL-QURAN YANG BERKAITAN HUKUMAN MURTAD.

Allah SWT berfirman : ertinya : " Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia
mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang
dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman
(dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan
dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya
dan baginya azab yang besar".....(16:106).

Selain itu, Allah juga menegaskan : "......Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada
kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang
murtad diantara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam
kekafiran , maka mereka itulah yang sia-sia amalannya
didunia dan diakhirat dan mereka itulah penghuni neraka
dan mereka menetap disana." ( A-l-Baqarah : 217).

Allah juga menyatakan : " Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir
sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahwa
Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul dan keterangan-
keteranganpun telah datang kepada mereka? Allah tidak
menunjuki orang-orang yang zalim."....(
Ali Imran :86).
  
"Mereka itu balasannya ialah : bahawasanya laknat Allah
ditimpakan kepada mereka (demikian pula) laknat para
malaikat dan manusia seluruhnya"..
....... (Ali Imran: 87).
  
"Terkecuali mereka yang taubat, sedsudah kafir itu dan
mengadakan perbaikan. Kerana sesungguhnya Allah Maha
Pengampun dan Maha Penyayang
.".......(Ali Imran :88).
  
"Sesungguhnya orang yang kafir sesudah beriman, kemudian
bertambah-tambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan
diterima taubatnya dan mereka itulah orang-orang yang
sesat"
....( Ali Imran :90).

Walaupun di dalam al-Quran tidak memperincikan bentuk hukuman Murtad selain menyebut balasan akhiratnya tanpa menyebut hukuman dunia yang khusus. Ia bukanlah suatu perkara yang pelik kerana solat dan tatacaranya juga tidak didetailkan, maka di sinilah wujudnya Rasulullah SAW sebagai pencerah, penjelas dan perincian terhadap bentuk solat, maka demikianlah juga bentuk hukuman dalam hal bagi individu yang Murtad. Kumpulan anti Hadith dan penyokongnya kerap berhujjah bahawa hukuman murtad tiada di dalam al-quran, padahal mereka lupa, Allah SWT memerintahkan kita agar mentaati Rasul dan mengikutinya. Antara Firman Allah SWT yang memberikan maksud ini adalah :-

مَن يُطِع الرسولَ فقدْ أطاعَ الله

Ertinya : " Barangsiapa yang mentaati Rasulullah SAW maka ia telah mentaati Allah"

وما آتاكُمُ الرسولُ فخذوهُ وما نهاكم عنه فانتَهُوا

Ertinya : "Dan apa-apa yang telah dibawakan oleh Rasulullah maka hendaklah kamu terima, dan apa yang telah dilarang kamu darinya, hendaklah kamu jauhi"

وَمَا يَنطِقُ عنِ الهوَى. إِنْ هُوَ إلا وحْيٌ يوحَى

Ertinya : "Dan tiadalah apa-apa yang dilafazkan (oleh Rasulullah) dari hawa nafsu baginda, bahkan ia tidak lain kecuali dari wahyu"

Malah terdapat juga ayat al-Quran yang menyebutkan hukuman murtad seperti :-

قُلْ للذينَ كفروا إن ينتَهُوا يُغفَرْ لهم ما قد سلَفَ وإن يَعودُوا فقدْ مضتْ سنَّةُ الأولينَ. وقاتِلُوهمْ حتى لا تكونَ فتنةٌ ويكونَ الدينُ كلُّه لله

Ertinya : Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu : " Jika mereka berhenti dari kekafirannya, nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang lampau, dan jika mereka kembali lagi kafir (murtad) sesungguhnya akan berlaku sunnah Allah terhadap sebagaimana orang-orang terdahulu; Perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu untuk Allah semata-mata " ( Al-Anfaal : 38-39 )

Imam An-Naisaburi mengatakan sebahagian ulama berkata ayat ini sebenarnya menyatakan hukuman bagi orang murtad. Ini adalah kerana ayat ini pastinya ditujukan bagi umat Islam agar mereka tidak keluar dari Islam. Jika tidak, maka ayat ini seolah ditujukan kepada orang kafir, maka Allah tidak akan menujukan hukum-hukum syariah kepada orang kafir. Ia juga merupakan pandangan Imam Ibn Juraij.

HADITH UTAMA SANDARAN HUKUMAN MURTAD

Hadith yang berkenaan hukuman Murtad datang dalam pelbagai lafaz. Hadith-hadith ini didatangkan dari beberapa orang sahabat utama seperti Sayyidina Uthman Affan ra, Sayyidina Ali kw, 'Aisyah, Ibn Abbas, Ibn Mas'ud, Abu Musa as-Sya'ary, Muadz bin Jabal, Anas Bin Malik, Abu Hurairah radhiyallahuanhum ajma'in.

Lafadz hadith dari para sahabat di atas berbeza serba sedikit dari sudut lafaznya tetapi sama dari sudut maknanya. Antara yang paling jelas adalah :-

1) Nabi SAW bersabda :

من بدل دينه فاقتلوه

Ertinya: Dari Ibnu Abbas ra : Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya" ( Riwayat Bukhari 2/280; Abu Daud (4351); Tirmizi 145 ; Nasaie, 7/104 dan Ahmad ,1/282)

2) Sabda Nabi Muhammad SAW juga :

" لا يحل دم امرئ مسلم يشهد أن لا إله إلا الله، وأني رسول الله إلا بإحدى ثلاث: النفس بالنفس، والثيب الزاني، والتارك لدينه، المفارق للجماعة" (رواه الجماعة)

Ertinya : " Tidak halal darah Muslim yang bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan Aku sebagai Rasulullah kecuali ia melakukan mana-mana salah satu dari tiga perkara iaitu membunuh nyawa, janda yang berzina yang (penzina muhson) dan orang memisahkan dirinya dari agamanya lalu meninggalkan jemaah" ( Al-Bukhari, 6/2521 ;Muslim 3/1032 ; Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain )

Dalam riwayat lain dari UThman bin Affan ra :

"..... رجل كفر بعد إسلامه، أو زنى بعد إحصانه، أو قتل نفسًا بغير نفس" (رواه الترمذي وحسنه والنسائي وابن ماجة، وقد صح هذا المعنى من رواية ابن عباس أيضًا وأبي هريرة وأنس)،

Ertinya : " Tidak halal darah Muslim yang bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan aku sebagai Rasulullah kecuali seorang lelaki yang kufur (murtad) selepas Islamnya, atau berzina selepas berkahwin atau membunuh seseorang" ( Riwayat At-Tirmidzi : At-tirmizi : hasan)

Imam Ibn Rejab al-Hanbali pula ketika mensyarahkan hadith ini telah berkata : " Hukuman bunuh bagi setiap satu dari kesalahan ini adalah disepakati oleh ulama Islam seluruhnya" ( Jami' al-‘Ulum wal Hikam, dgn tahqiq Syeikh Syuaib, cet ar-Risalah)

Banyak lagi hadith terutamanya dan ayat al-quran yang menyebutkan hukuman bagi jenayah murtad, bagaimanapun penulis hanya mengambil satu sahaja atas sebab tidak ingin memanjangkan penulisan.

Hukuman yang diistinbad (dikeluarkan) dari hadith di atas:

1. Ijma' ulama' dari mazhab yang lapan (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad, Mazhab Zohiri, Mazhab Syiah Zaidiyah, Mazhab Syiah Imamiah dan Mazhab Ibadiyah) dalam perihal membunuh si murtad.

(Sila lihat Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, cet Dar Ibn Hazm, tahqiq oleh Majid al-Hamwi 4/1764; 'A'lam al-muwaqqi'ien, Ibnu Qayyim jld 5, ms 42; al-Majmu' 21/43, at-Tasyri' al-Jinaie al-Islami, Abd Qadir Audah, Al-Fiqh al-Islami, Dari Wahbah az-Zuhayli, Al-'Uqubah, Syeikh Abu Zuhrah, hlm 172)

Dari Yusof al-Qaradhawi mengatakan bahawa telah ijma' fuqaha' Islam bahawa hukuman bagi murtad adalah bunuh selepas Istitab. Perkara ini telah disahkan oleh Al-Allamah Imam Ibn Rejab al-Hanbali (w 795 H) di dalam kitabnya Jami' al-'Ulum wa al-Hikam (Syarh Hadith ke 14, cet al-Maktabah al-'Asriyah, hlm 134). Imam Muhd Abu Zuhrah (cendikiawan Islam terhebat di zamannya, w 1972 m) juga mengesahkan kesepakatan ulama' ini. (Lihat Al-uqubah, hlm 172)

Perihal menjatuhkan hukuman bunuh terhadap murtad ini juga telah dilaksanakan di zaman sahabat (selain Abu Bakar) oleh Mua'dz Jabal ra, Sayyidina Ali kw, (Rujuk Shohih Bukhari dengan syarah, Fath Bari, hadith no 6923) oleh Ibn Mas'ud setelah ditanya kepada Sayyidina Umar ra. (Rujuk Musannaf Abd Razak, 10/168, athar no 18707) . Lihat selanjutnya selepas ini.

Tetapi mereka berselisih dalam hal:

a) Keperluan menyuruh dan meminta si murtad bertaubat (istitab).

b) Qadar masa istitab.

c) Adakah hukuman kepada perempuan sama seperti lelaki.

KEPERLUAN MENYURUH DAN MEMINTA SI MURTAD BERTAUBAT (ISTITAB)

1. Pandangan Jumhur (Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad, dan dari salaf dan khalaf. : Hendaklah simurtad disuruh bertaubat.

- Ibnu Qusar al-Maliki menaqalkan bahwa para sahabat telah ijmak dalam hal ini.

2. Pandangan Thowus (fuqaha' tabi'en w:106 H), Imam Hasan al-Basri (w 110 H), Ibn al-Majishun al-maliki, Qadhi Abu Yusof al-Hanafi (Imam Mujtahid w: 182 H), serta mazhab Dzohiriyah. : Tidak perlu istitab. Bahkan sekiranya si murtad bertaubat, ianya hanya akan memberikan manfaat kepadanya di akhirat, manakala di dunia tetap akan dibunuh.

3. Pandangan 'Ato' bin abi Rabah (ulama' besar tab'ien w: 114 H)) : sekiranya ia lahir muslim kemudian murtad maka tidak perlu istitab, terus dijalankan hukuman bunuh. Kiranya ia lahir sebagai kafir kemudian muslim kemudian kafir, ketika itu perlu istitab. Demikian juga pandangan Hasan al-Basri.

ISTITAB ADALAH WAJIB ATAU MUSTAHAB (DIGALAKKAN)

Ia adalah pandangan Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad serta Imam Ishak Rahawaih - Istitab adalah Wajib

(Lihat Bidayatul Mujtahid 2/448, Mughni al-Muhtaj ms 139, Al-Muhgni 8/124; Al-Fiqh al-Islami, Wahbah Zuhayli, 7/5582)

- Manakala tempoh istitab adalah selama 3 hari berdasarkan Hadith Umar al-khattab ra. Hadith ini diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwatta', juga oleh Imam As-Syafie dan Al-Baihaqi dari Muhd b. Abdullah (Lihat al-Muhazzab, Imam As-Syirazi as-syafie dan syarahnya, al-majmu' Imam Nawawi, Bab Bunuh ke atas Murtad, Lihat juga Nasb ar-Rayah 3/460 ; Nayl Awtar, 7/191 )

- Ada yang berpendapat serta merta, sekiranya enggan lalu terus dijatuh hukuman.

- Terdapat juga pandangan Istitab selama sebulan.

Menurut Imam Abu Hanifah - Istitab adalah mustahab dan tidak berdosa membunuhnya sebelum istitab. Beliau berhujah dengan athar Sayyidina Umar ra yang lain.

Imam At-Thohawi al-Hanafi (w 321 H) : istitab hanya bagi mereka yang murtad secara tak sengaja, tidak sebaliknya (Lihat Al-Majmu', Imam Nawawi, Najib Mut'ie)

Hukuman istitab mempunyai hikmat yang sangat besar dalam hukuman murtad, di masa inilah si murtad akan didatangi oleh para alim ulama dan pendakwah demi berbincang tentang segala permasalahan yang bermain di minda si murtad yang membawanya ingin meninggalkan Islam yang syumul. Justeru, tiada siapa yang layak berkata tiada hikmat jika dilaksanakan hukuman ini di Malaysia akibat suasana yang berbeza-beza. (Sebagaimana yang dituduh oleh Astora Jabat). Ini semua adalah helah yang mazmum.

Pandangan yang lebih kuat bagi (a) dan (b):

Adalah pandangan yang memberi tempoh istitab asasnya tiga (3) hari dan boleh dipanjangkan menurut keadaan dan maslahat semasa. Sebagaimana Nabi memberi peluang untuk menjadi Islam atau membayar jizyah sebelum mengisytiharkan perang ke atas puak musyrikin dalam siri Jihad Nabi. Syeikh Muhd Abu Zuhrah memilih pandangan ini. Bahkan ulama tabie Imam Ibrahim an-Nakha'ie tidak menghadkan tempoh kiranya kelihatan masih ada peluang dan tanda-tanda untuk si murtad tawbat dan kembali kepada Islam.

ADAKAH HUKUMAN TERHADAP PEREMPUAN SEPERTI LELAKI?.

1. Jumhur atau majority mazhab dan ulama (Sayyidina Abu Bakar as-siddiq, Imam Hasan al-basri, Imam Az-Zuhri (Fuqaha' Besar Tabi'en, w 124 H), Imam Al-Hafiz Al-Awza'ie (Imam Mujtahid, w : 157 H) , Imam al-Laith Bin Sa'ad (w : 175 H, Imam Syafie menganggap Laith lebih faqih daripd Imam Malik) , Imam al-Hafiz Ishak Rahawaih (w: 237 H, guru Imam Al-Bukhari dan Muslim) serta majority ulama' Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

Mereka semua berpandangan bahawa :

- Perempuan adalah seperti lelaki, apabila ia tidak bertaubat, maka dibunuh.

Dalil jumhur adalah :-

a) Umum hadith perihal murtad yang merangkumi lelaki dan wanita. Iaitu dua (2) hadith di atas.

b) Hadith yang umum berkenaan seorang bernama Marwan yang menyebut bahawa ia dibunuh setelah enggan bertawbat. Bagaimanapun hadith ini dianggap dhoif oleh ulama hadith Mazhab Hanafi ( Lihat Nasb ar-Rayah, 3/458 ; Hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari 'Aisyah, juga ad-DarulQutni dari Jabir; Lihat juga Nayl Awtar, 7/192æ )

c) Hadith :

Ertinya : Mana-mana wanita yang keluar dari Islam (murtad) serulah ia (istitab) kiranya ia kembali (maka tiada hukuman) kiranya ia enggan, bunuhlah ia" (At-Tobrani dari Mu'adz Jabal)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, sanad hadith ini adalah Hasan (Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar, cet dar as-salam, 12/ 340 ; Nasb ar-Rayah 3/457 ; Nayl awtar, 7/193 )

Seluruh dalil-dalil ini jelas menunjukkan bahawa hukuman wanita murtad adalah sama dengan lelaki yang murtad. Hukuman Sayyidina Abu Bakar ra yang menjatuhkan hukuman bunuh terhadap wanita murtad di zaman pemerintahannya di hadapan para sahabat menjadi dalil persepakatan (Ijma') mereka dalam hukuman Sayyidina Abu Bakar ra. Perkara ini dikeluarkan oleh Ibn Munzir (Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar al-asqolani, 12/340. Ibn Munzir adalah Imam Mujtahid, w : 319 H )

2. Imam Abu Hanifah dan mazhabnya serta kumpulan kecil ulama.

- Perempuan tidak dibunuh tetapi hanya dipenjara dan diminta kembali kepada Islam.

Dalil mereka dalam hal ini adalah hadith yang berkaitan larangan Nabi membunuh wanita ketika Jihad :

Ertinya : "Jangan kamu bunuh para wanita"

Ulama' Hanafi dalam hal ini, berpandangan bahawa hukuman bunuh ke atas si murtad adalah untuk menolak kerosakan yang timbul akibat murtad, iaitu 'hirabah' (memerangi Islam dengan lisan atau tindakan), maka ketika itu, hukuman bunuh mesti dijalankan, bagaimanapun ia hanya dikhaskan kepada mereka yang berpotensi untuk melakukan 'muhabarah' tadi, sudah tentu mereka adalah lelaki dan bukan wanita akibat ketidak sesuaian fizikalnya. (Rujuk al-Mabsut, as-Sarakhsi, 10/98 ; Fath al-Qadir, Ibn Hummam, 4/134 ; Tabyin al-Haqaiq, az-Zaila'ie 3/384)

3. Imam Hasan al-Basri (salah satu riwayat dari beliau), Imam al-Hafiz Qatadah (ulama' besar tabien terutama dalam bidang tafsir, w 116 H) - perempuan murtad harus dijadikan hamba. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah iaitu dengan syarat dalam suasana perang. Berdalil dari tindakan Sayyidina Ali kw (Al-Majmu', Imam Nawawi, dilengkapkan oleh Syeikh muhd Najib Mut'ie)

Pandangan Yang Terpilih

Adalah pandangan jumhur yang menyamakan hukuman murtad wanita dengan lelaki. Ini adalah pandangan Abu Zuhrah, Dari. Yusoff al-Qaradhawi dan lain-lain.

BEBERAPA BENTUK PRAKTIKAL HUKUMAN MURTAD.

1. Bunuh Setelah Murtad dan istitab (Di amalkan di zaman sahabat)

Sayyidina Ali KW pernah melaksanakan hukuman bunuh dengan membakar mereka dengan api, iaitu selepas disuruh bertaubat tetapi enggan (Sila lihat Nailul awtar, Imam Syawkani 7/209; lihat juga a'lam al-muwaqqi'ien, Ibnu Qayyim 5/42)

Bagaimanapun Ibnu Abbas ra (sahabat dan anak saudara Nabi, w: 67 H), tidak bersetuju dengan cara Sayyidina Ali (bunuh dengan bakaran api) serta beliau berhujah atas hadith ertinyanya : "Jangan kamu mengazab dengan azab Allah" (Riwayat al-Bukhari dalam Bab Jihad) Bagaimanapun perlu diingat perselisihan Ibnu Abbas dengan Ali kw hanyalah pada kaedah pelaksanaan bukannya prinsip asas.

Muadz Bin Jabal ra ( tokoh Sahabat Nabi, w : 18 H) dan Abu Musa As-Sya'ari (shbt Nabi yang mashyur, w : 44 H) juga pernah melaksanakan hukuman bunuh di Yaman, terhadap seorang Yahudi yang Islam kemudian kafir kembali. Berkata Muadz setelah itu (Hukuman Allah Dan Rasulnya) - (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dan Ahmad; Sila lihat juga al-Majmu', 21/47).

2. Hukuman Bunuh Si Murtad Tidak Dilaksanakan Kerana Tiada Muharabah. (Sering di utarakan oleh kumpulan Mutaakhirin)

Ini adalah pandangan yang agak berbeza iaitu:-

Tidak dibunuh si murtad kecuali jika memerangi Islam atau mengajak manusia lain kepada murtad. Seperti Salman Rushdie.

Antara dalil yang kelihatan di gunakan terdapat di dalam kalam Syeikhul Islam Ahmad bin Abd Halim Ibn Taimiyah al-Harrani (Imam Mujtahid, w 728 H) : " Sesungguhnya Nabi SAW telah menerima taubat sekumpulan murtad manakala telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada sekumpulan murtad yang lain. Ini kerana, selain murtad mereka juga membuat jenayah-jenayah lain yang membawa mudharat kepada Islam dan Muslimin, seperti:

a. Arahan Nabi membunuh Maqyas Bin Hibayah pd hari Fathul Makkah, kerana selain murtad ia telah memerangi muslim dan mencuri harta serta tidak bertaubat selepas berkemampuan berbuat demikian,

b. Nabi juga memerintah membunuh sekumpulan yang digelar 'uraniyyin (kaum yang meminum kencing unta untuk berubat) juga dengan sebab yang sama.

c. Begitu juga Nabi mengarahkan membunuh Ibn Khattal akibat murtad disertai dengan penghinaan, cacian dan memerangi muslim (Lihat kitabnya As-Sorim al-Maslul hlm 368, Ibn Taimiyah)

Lalu Imam Ibn Taimiyah membahagikan murtad kepada dua jenis :

i)   Murtad semata-mata maka boleh diterima jika ia bertaubat.

ii) Murtad yang bersamanya ‘muharabah' (memerangi) Allah dan RasulNya serta menyeru kefasadan atas muka bumi, taubatnya tidak boleh diterima oleh pemerintah Islam, maka hukuman tetap akan dijalankan.

Justeru jelas sekali Nabi pernah melaksanakan hukuman bunuh ini, dan ini menolak dakwaan Nabi tidak pernah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap si murtad. Menurut Dari Yusof al-Qaradhawi, kiranya benar sekalipun, ia adalah kerana murtad tidak terzohir di zaman baginda.

Hujah beberapa kumpulan di Malaysia yang menyatakan mengecualikan bunuh bagi murtad tanpa berserta 'muharabah' (memerangi Islam) ADALAH KURANG TEPAT JIKA BERDALILKAN PERISTIWA DI ATAS dan tertolak dengan hujah berikut:

a) Peristiwa tersebut berkisar tentang masalah penerimaan taubat, bukannya gugur hukuman kerana tidak 'muharabah'. Jelas dari kalam Ibnu Taimiyah, kumpulan Murtad yang tidak dibunuh adalah kerana mereka bertaubat dan tidak memerangi Islam (iaitu sekali dua) !, lalu Taubat bagi si Murtad yang tidak memerangi Islam adalah diterima Nabi SAW.

b) Manakala kumpulan kedua, mereka cuba bertaubat tetapi tidak diterima akibat jenayah ‘muharabah' seperti mencuri, membunuh dan lain-lain selain murtad. Justeru, tawbat mereka bukan hanya melibatkan hak Allah tetapi juga hak manusia. ini jelas kerana 'muharabah' mempunyai hukuman yang lain dalam peruntukan hukuman Islam Sebagaimana dalam ayat : Al-Maidah ayat 33. :

إنما جزاء الذين يحاربون الله ورسوله ويسعون في الأرض فسادا أن يقتلوا أو يصلبوا أو تقطع أيديهم وأرجلهم من خلاف أو ينفوا من الأرض ذلك لهم خزي في الدنيا ولهم في الآخرة عذاب عظيم

Ertinyanya : "Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."

c) Justeru pendalilan yang dibuat dari peristiwa Nabi tidak membunuh sekumpulan Murtad adalah kerana mereka hanya semata-mata murtad (tanpa memerangi Islam) dan kemudian bertaubat tidak boleh dijadikan hujah bagi membenarkan murtad tanpa ‘muharabah'. Sebagaimana pandangan beberapa kumpulan masa kini. Bahkan amat sukar untuk dipisahkan murtad dan ‘muharabah' ini. Dan kiranya ia diluar pengetahuan pemerintah, maka ia adalah perkara lain. Sebagaimana Hadith Nabi SAW :

Ertinya : Barangsiapa yang melakukan mana-mana kemungkaran atau dosa, dan ia menyembunyikannya maka ia masih dilindungi Allah (dari terdedah aibnya), dan sesiapa yang menyatakan kemungkaran perlakuannya, maka kami akan laksanakan hukuman had ke atasnya" (Dikeluarkan oleh Tirmizi, Ibn Majah, Al-Hakim dari Sayyidina Ali Ra, disebut oleh al-Mawardi di dalam al-ahkam al-Sultaniah, ms 252).

MUHARABAH LISAN DAN KUASA

Ibn Taimiyah juga menyatakan bahawa muharabah itu terbahagai kepada dua 2 bahagian:-

1) Muharabah Secara Lisan : Iaitu pengisytiharan diri sbg Murtad dikira memerangi Allah dan Rasul kerana ia dikira menghina Islam, dan kata-katanya boleh mempengaruhi orang lain.

2) Muharabah Secara Kuasa: ini jelas iaitu dengan melawan dengan kuasa serta menyeru ke arah kekafiran. Kesimpulannya Ibn Taimiyah mengganggap murtad dan pengiklanannya terhadap umum adalah dianggap muharabah secara lisan serta layak dikenakan hukuman bunuh dengan peruntukan Muhabarah selain Riddah. Jika demikian, perkara ini adalah boleh diterima.

Juga perlu disebutkan di sini bahawa adalah menjadi kelaziman si murtad akan mendedahkan perihal murtadnya. Ketika itu, perihal pengiklanan murtad adalah termasuk di dalam bab Hirabah. Sebagaimana yang diperjelaskan sebelum ini bahawa terdapat dua jenis Hirabah. Hirabah dengan kuasa dan hirabah dengan lisan. Kedua-dua jenis hirabah adalah sama dari sudut hukumannya iaitu bunuh. Ianya thabit dari Al-Quran. Dr Abd Karim Zaidan juga telah menyebut perkara ini. (Majmu'ah Buhuth Fiqhiyyah, Dr Abd Karim Zaidan, hlm 416, Rujuk juga Jarimah ar-Riddah, Dr Yusof al-Qaradhawi)

Justeru, murtad secara senyap bukanlah bermakna tiada hukuman ke atasnya, tetapi kesembunyiannya itu menyebabkan hal murtadnya tidak diketahui, maka sudah tentu tiada hukuman bagi perkara yang tiada kelihatan, jika demikian urusannya hanya ditentukan Allah.

Akhirnya, Ulama' ittifaq (sepakat) bahawa jenayah murtad akan gugur (hukumannya) sekiranya si Murtad bertaubat (bagi mereka yang tidak muharabah) Ini adalah kerana maksud istitab adalah mengembalikannya kepada Islam. Bagaimanapun Murtad berserta 'muharabah' tetap akan dihukum berdasarkan jenis jenayah muharabah yang telah dilakukannya. (Rujuk: Al-Mabsut As-Sarakahsi; Fathul Qadir Ibn Humam ; Bidayatul Mujtahid Ibn Rusd ; Al-Mughni al-muhtaj Khatib Syarbini; al-Mughni Ibn Quddamah, al-'Uqubah, Muhd Abu Zuhrah)

3. Tidak Dibunuh Si Murtad Di Dalam Keadaan-keadaan Tertentu Demi Menjaga Maslahat Semasa.

Jumhur ulama' tetap berpandangan si murtad perlu dibunuh dalam semua keadaan selagi tidak terdapat syubhat yang menghalang pelaksanaan, kecuali diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ra pernah berbeza dalam hal ini, ianya seperti berikut :

..فقدم على عمر, فسأله : ما فعل الستة الرهط من بكر من وائل, والذين ارتدوا عن الإسلام, فلحقوا بالمشركين؟ قال : يا أمير المؤمنين, قوم ارتدوا عن الإسلام, ولحقوا بالمشركين, قُتلوا بالمعركة, فاسترجع عمر (أي : قال إنا لله وإنا أليه راحعون) قال أنس, وهل كان سبيلهم إلا القتل؟ قال : نعم, كنت أعرض عليهم الإسلام, فإن أبوا أودعتهم السجن. ( رواه عبدالرزاق في المصنف 10/165, الأثر(18696)؛ البيهقي في السنن : 8/207 ؛ إبن حزم في المحلى : 11/221)

Ertinyanya : Sesungguhnya seorang telah kembali dari Tustar lalu berjumpa Umar ra, lalu Umar bertanya kepadanya: "Apa yang mereka berenam daripada Bakr bin Wail telah lakukan, adakah merka murtad dan menyertai kumpulan Musyrikin? Berkata si pengadu : Wahai Amirulmukminin, kaum yang murtad dari Islam lalu masuk ke dalam kumpulan Musyrikin, dibunuh dalam peperangan. Lalu Umar berkata (inna lillahi inna ilaihi raji'un) Berkata lelaki itu : adakah jalan lain bg si murtad itu selain bunuh? Berkata Umar : ya, Aku mengajak mereka kembali kepada Islam, kiranya mereka enggan aku akan memenjarakan mereka" (Rujuk Musannaf Abd Razak 10/165; Al-Baihaqi dalam As-Sunan 8/207; Ibn Hazm dalam al-Muhalla 11/221; Diriwayatkan oleh Imam Abd Razak as-San'ani (guru hadith Imam Ahmad,w : 211 H) dan Imam al-Hafiz al-Baihaqi as-Syafie (w: 458 H) dan Ibn Hazm Al-Zohiri (Imam Mujtahid, w 456 H))

Berdasarkan kepada athar tadi, sesungguhnya Umar ra tidak melihat hukuman bunuh adalah satu hukuman yang mesti dalam setiap keadaan. Ini bermakna ianya boleh ditangguh pelaksanaannya dalam keadaan DHARURAT atau mana-mana keadaan yang seumpama dengannya. Ia juga tidaklah bermaksud, bahawa hukuman ini adalah ta'zir, hukuman potong tangan juga boleh ditangguh atau tertolak kiranya terdapat syubhat. Ia berbeza dengan apa yang ada di Malaysia, perlu dibezakan bahawa pelaksanaan hukuman hanya di tangguh atau dengan memanjangkan tempoh pemenjaraan dan ‘istitab', bukannya terus tidak mewartakannya sebagaimana yang berlaku di Malaysia.!

Menurut Dr. Yusof Al-Qaradhawi : Dharurat di sini bermaksud : DALAM KEADAAN PERANG, lalu sekiranya dilaksanakan hukuman tersebut maka dibimbangi fitnah dan si murtad akan masuk bersama dalam kumpulan musuh hingga menguatkan mereka pula. Beliau mengatakan bahawa kemungkin Sayyidina Umar meng'qias'kan hukuman ini dengan sabda Nabi SAW : Ertinya : "Tidak dipotong tangan (pencuri) ketika perang"

Perbincangan tentang maslahat adalah panjang. Apa yang perlu difahami oleh pembaca sebagai asas. Maslahat terbahagi kepada beberapa pembahagian. Antara yang terpenting adalah pembahagian berikut:-

1. Maslahat Mu'tabarah : Kepentingan yang terdapat sokongan dari Nas quran dan hadith dan bertepatan kandungannya . Maslahat ini diterima secara sepenuhnya oleh Ulama'.

2. Maslahat Mursalah : Kepentingan yang tiada terdapat nas yang melarang dan juga nas yang menyokong. Maslahat ini diperselisihkan di kalangan ulama' iaitu samada diterima @ ditolak.

3. Maslahat Mulghah : Kepentingan yang terdapat nas melarang dan bertentangan dengan nas, kebiasaan ia datang dari hawa nafsu. Maslahat ini ditolak secara sepenuhnya oleh ulama'. (Rujuk al-Muwafaqat, Imam as-Syatibi, cet Dar Ibn Hazm, 2/15, rujuk juga Manahij a-Ijtihad, Prof. Dari Salam Madkur)

Justeru, setiap maslahat yang didakwa mestilah di pertimbang sebaiknya oleh kumpulan pimpinan dan para ulama' demi memastikan maslahat yang timbul termasuk di dalam kategori mana. Tidak boleh dengan sewenangnya mennolak atau menangguhkan hukuman Hudud hanya kerana maslahat hawa nafsu hasil sangkaan zanni dan kemelesetan Ruh Islam.

PENOLAKAN PERTIKAIAN TERHADAP PERUNTUKAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP MURTAD.

1. Hadith yang menthabitkan hukuman Murtad adalah hadith Ahad. (Maksud Ahad adalah : Hadith yang diriwayatkan oleh dua, tiga, empat dan ke atas, yang bilangannya tidak sampai bilangan perawinya ke tahap mutawatir, iaitu suatu jumlah yang mustahil dianggap perawi boleh bersepakat berbohong)

Pertikaian ini boleh ditolak dengan hujjah :

a) Dr. Yusoff Al-Qaradhawi menjawab bahawa penolakan pengunaan hadith Ahad di dalam hal Hudud adalah tidak dapat diterima. Seluruh mazhab telah mengiktiraf pemakaian hadith ahad di dalam hukum Islam samada hudud mahupun lainnya, bahkan ia juga diguna dalam bab aqidah. Demikian juga pandangan Syeikh Muhaddith Al-Albani.

b) Kiranya hadith Ahad tidak diterima dalam hukum. Ini bermakna hampir 95% sumber perundangan hukum Islam akan ditolak. Kerana semuanya bersumber dari hadith Ahad.

c) Hadith berkenaan murtad telah diriwayatkan oleh sekumpulan sahabat besar. Telah disebutkan di awal dalil tadi (9 orang ke atas).

d) Dalil peruntukan hukuman bunuh terhadap murtad telah ijma' hukumannya adalah bunuh, kecuali yang diriwayatkan oleh Sayyidina Umar r.a, Ibrahim an-Nakhaie dan Sufyan at-Thawry. Bagaimanapun, periwayatan athar berkenaan tindakan Umar tadi pun tidak langsung diriwayatakan di dalam Enam kitab hadith yang utama (Bukhari, Muslim, Nasaie, Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah atau Malik). Bahkan terhadap pula riwayat lain yang menyatakan Sayyidina Umar mengarahkan Ibn Mas'ud agar si murtad dibunuh jika tidak bertawbat. (Rujuk Musannaf Abd Razak, 10/168, athar no 18707)

e) Bilangan perawi hadith yang dianggap sampai tahap mutawatir juga diperselisihkan, antara bilangan yang sering di sebut ulama' hadith ialah 40 orang, Ibn Hajar di dalam Nuhbah al-Fikr hanya menyebut suatu bilangan yang pada adatnya mustahil untuk sepakat berbohong. Bukankah 9 orang tadi dikira logik untuk berbohong?. Padahal ia adalah hadith yang shohih dengan diriwayatkan di dalam 5 kitab hadith utama kecuali Muslim. Imam Ali al-Qari ketika mensyarahkan kata-kata Ibn Hajar tadi, membuat kesimpulan, bilangan yang banyak dan diterima adat mustahil berbohong, adalah mencukupi untuk mutawatir.

Ada yang mengatakan bilangan 4, 5, 7, 10, 12, 40, 70 dan lain2 (Rujuk Syarh Nuhbah al-Fikr, cet Dar al-Qalam, ms 164). Ini bermakna penolakan hadith Ahad dari digelar Mutawatir juga tidak bersifat qat'ie. Malah kiranya hadith yang ingin dikelaskan Mutawatir itu hanya 40 atau 70 perawi ke atas, maka ia hampir-hampir tidak wujud menurut Imam-imam dalam bidang Hadith. Ia disebut oleh Imam Ibn Solah (w: 643 H) di dalam kitabnya al-Muqaddimah yang terkenal dalam bidang ulum hadith.

KESIMPULAN

1) Pendapat jumhur bahawa hukuman bunuh bagi individu Murtad yang terang-terangan mencabar kesucian Islam dengan memburukkan Islam secara langsung atau tidak langsung mesti dilaksanakan bagi menutup pintu fitnah terhadap Islam, serta menumpaskan kebejatan Aqidah. Maka sekiranya keadaan dalam keadaan dharurat (dalam masa perang) atau yang sepertinya hingga yakin atau (ghalbah az-zann) akan membawa keburukan kepada kekuatan Islam, maka ketika itu bolehlah berpegang kepada pandangan Sayyidina Umar ra, Imam Sufyan at-thauri atau Imam Ibrahim An-Nakhaie. Itupun dalam keadaan dan had masa tertentu.

2) Imam Ibrahim an-Nakhaie (Fuqaha' Tab'ien Iraq yang mashyur, w: 96 H) dan Imam Sufian At-Thauri (Imam Mujtahid Mustaqil Mutlaq, w: 161 H), berpendapat bahawa (berdasarkan athar Umar ra di atas). Hukuman Murtad boleh ditangguh apabila ada harapan kembali kepada Islam, pada masa yang sama bolehlah dilaksanakan hukuman penjara. Bagaimanapun pandangan ini adalah lemah apabila berhadapan dengan Hadith-hadith shohih, tindakan sahabat, dan majoriti fuqaha dan ulama' setiap zaman.

3) As-Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi berkata : "Adalah perlu untuk kita membezakan di antara 'riddah ghalizah' (Murtad berat yang diiklan dan dakyah) dan 'riddah khafifah' (murtad secara senyap tanpa dakyah), juga perlu dibeza di antara murtad dengan menyeru orang lain (agar membenci Islam dan lain-lain) dan murtad yang tanpa seruan" (Dari. Yusof al-Qaradhawi, Jarimatur Riddah, hlm 35)

Beliau memberikan contoh Murtad Ghalizah seperti Salman Al-Rushdi dan Noraisyah Bukhari iaitu si murtad yang membawa pemikiran bid'ah dan sesatnya dengan lisan dan tulisannya.

Apapun, perlu difahami, tidaklah bermakna menangguhkan hukuman itu membawa maksud bahawa hukuman itu dihapuskan atau tidak diwartakan, bahkan ia ada dan diwartakan penguatkuasaannya, Cuma dalam kes-kes tertentu sahaja ianya ditangguh dengan sebab-sebab yang kuat. Hal ini berlainan sama sekali dengan suasana di Malaysia yang langsung tidak mewartakan hukuman ini.

4) Begitupun tegas hukuman Islam dalam hal ini, di sana terdapat banyak syarat-syarat sebelum seseorang boleh di'thabit'kan murtad, ia bukannya semudah menukar pakaian dan tidak boleh pula dengan mudah untuk menuduh secara rambang dan bebas. Perlu diingat juga bahawa kiranya si murtad, keluar dari Islam tetapi tidak menghebohkan terhadap umum dan kemurtadannya dirahsiakan, tiada lah pemerintah berhak menjatuhkan hukuman terhadapnya, (Lihar Jarimah ar-Riddah, Al-Qaradhawi hlm 37) . Ini jelas dari hadith Nabi SAW :

Ertinya : Barangsiapa yang melakukan mana-mana kemungkaran dosa, dan ia menyembunyikannya maka ia masih dilindungi Allah( dari terdedah aibnya), dan sesiapa yang menyatakan kemungkaran perlakuannya, maka kami akan laksankan hukuman had ke atasnya" (Dikeluarkan oleh Tirmizi, Ibn Majah, Al-Hakim dari Sayyidina Ali Ra, disebut oleh al-Mawardi di dalam al-ahkam al-Sultaniah, ms 252).

Iaitu dengan harapan ia bertawbat lalu Allah menerima tawbatnya.

5) Pendapat yang menolak hukuman bunuh terhadap Murtad atas alasan hadith Ahad, adalah sangat lemah dengan hujjah-hujjah yang telah dikemukakan tadi.

6) Hukuman ini tidaklah dapat dilaksanakan kiranya tidak memenuhi syarat-syarat tertentu (tidak dapat dibicarakan kerana tidak mahu memanjangkan penulisan). Malah si murtad juga diberi tempoh untuk bertawbat, dibawa berbincang dan diberi kaunseling secukupnya. Ia semuanya membuktikan toleransi Islam dan dalam pada masa yang sama tegas dalam menjaga aqidah umat dan maruah Islam. Terdapat juga perbincangan yang panjang tentang syubhat yang menggugurkan hukuman murtad dan seluruh hukuman hudud yang lain. Seperti syubhat kerana jahil dan lain-lain. ( rujuk al-'Uqubah, Muhd Abu Zuhrah, ms 198 - 239)

7) Terdapat juga perbincangan yang panjang mengenai kesan kiranya si murtad bertawbat sebelum kesnya di bawa ke penghakiman, begitu juga selepas dan yang berkaitan. (Rujuk al-'Uqubah)

8) Tidaklah wajar menuduh seseorang kafir dan yang seerti dengannya, sehinggalah terdapat bukti jelas dari perkataan dan tindakannya yang mendedahkannya. Ketelitian dalam hal ini sangat penting supaya hal seserius ini tidak dicop sewenangnya. Pensabitan hukum sesorang itu telah murtad hanya patut ditentukan oleh qadhi / hakim di dalam system perundangan Islam yang haqiqi.

Catatan Hujung

Hukuman membunuh murtad didahulukan (dari sudut keutamaan diambil tindakan) dari memerangi kafir harbi. Demikian pandangan para sahabat, yang diketuai oleh Sayyidina Abu Bakar ra. Dalilnya Abu Bakar mendahulukan memerangi kumpulan murtad sekitar madinah walaupun Nabi telah menyiapkan pasukan tentera Usamah sebelum kewafatan Baginda SAW untuk memerangi musuh kafir Harbi, tetapi Abu Bakar as-siddiq menangguhkannya demi menyelesaikan kumpulan ingkar zakat(murtad).

RUJUKAN

Mazhab Hanafi

1. Al-Mabsut, Imam as-Sarakhsi

2. Fathul Qadir, Imam Kamal Ibn Humam

3. Al-Badai' as-Sonai', Al-Kasani

Mazhab Maliki

1. al-furuq, Imam al-qarafi

2. Bidayatul Mujtahid wa an-Nihayatul Muqtasid, Ibn Rusd, Dar Ibn Hazm

3. Syarh al-Kabir, Ad-Dardir

Mazhab Syafie

1. Al-Minhaj Syarh Shohih Muslim , Imam An-Nawawi, Darul Makrifah

2. Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, Imam An-Nawawi, Dar Ihya' Turath al-Arabi

3. Al-Mughni al-Muhtaj, Khatib Syarbini

Mazhab Hanbali

1. Al-Mughni, Ibnu Quddamah, al-Hijrah

2. Zadul Ma'ad, Ibn Qayyim, Muassasah ar-Risalah

3. Kasyaful qinaq' , Salahuddin al-Bahuti, Alam al-Kutub

Lain-lain

1. Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-asqolani.

2. Nailul Awtar, Imam As-Syawkani,

3. Tarikh Tasyri' al-Jinaie, Abd Qadir Awdah

4. Jinayah ar-Riddah wa 'uqubatiha, Dari Yusof Al-Qaradhawi

5. Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, Dari. Wahbah Az-Zuhayli

6. Kitab-kitab Hadith Shohih Bukhari, Muslim, Abu Daud, Musnad Ahmad, Muwatto' Malik, Sunan an-Nasaie.

7. Tuhfatul Aysraf, Al-Imam al-Mizzi

8. Majmu'ah al-Buhuth, Dari Ab Karim Zaidan

9. Syarh Nuhbah al-Fikr, Al-Hafiz Ali Al-Qari

10. Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim dengan tahqiq Syeikh Syua'ib arnaut

11. Al-'Uqubah, Imam Muhd Abu Zuhrah, Dar Fikr al-Arabi.



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 10 guests

Komen Terbaru

You are here: Aqidah & Kepercayaan Diskusi Hukuman Murtad